Saban tahun kita sering diingatkan dengan pelbagai hukum hakam mengenai puasa. Bermula dari niat puasa, sehinggalah bacaan doa buka puasa. Namun jarang sekali kita dididik untuk menjadi seorang yang dermawan di bulan Ramadhan.
Sabda Rasulullah, “Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya.” (Sahih Muslim)
Apalah sangat dengan menjamu sehidang dua makanan kesukaan kita kepada jiran tetangga. Bukan sahaja menambah rezeki, malah turut menjalinkan hubungan silaturahim antara jiran.
Mana yang tidak pernah bercakap, sudah boleh berborak panjang.
Mana yang tak pernah nampak langsung kelibat, sudah dapat bertepuk tampar dek akrab.
Itulah berkat Ramadhan.
Panjang-panjangkanlah tangan untuk menghulur sedikit sumbangan kepada susah. Kalau tiada masa, cukuplah dengan melakukan transaksi ‘online’ kemana-mana pertubuhan kebajikan yang ada.
Miskinkah kita dengan menghulur sepuluh atau lima puluh ringgit? Dengan ringgit itulah, tiga orang atau sepuluh orang miskin dapat mengisi perut ketika berbuka.
Memberi makanan untuk orang yang berpuasa mendapat ganjaran besar dari Allah. Besar ganjarannya sehinggakan Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”. (Hadith direkodkan Imam Tirmidzi)
Menjadi seorang dermawan di bulan Ramadhan menjadi titik-tolak dalam kehidpan kita untuk menjadi seorang yang ‘merasa cukup’ di atas setiap rezeki yang Allah kurniakan.
Jom kita mendidik diri dengan amalan memberi makan kepada mereka yang berpuasa.
No comments:
Post a Comment