Bukan seorang, tetapi sudah ramai yang mula mencanangkan tentang keperluan me’reformasi’kan pemikiran. Tetapi kesannya tidak berapa nampak, dan kurang membawa kesan. Saya percaya, dunia intelektual Malaysia akan beku, jika pemikiran lama masih digunakan dan dijadikan ‘benchmark’ untuk orang-orang muda. Lebih teruk apabila anak-anak muda turut sama mengiyakan budaya ‘tidak boleh kritik’, dan meneruskan tradisi lama yang sudah mengakar.
Tradisi mengmaksumkan khazanah Klasik sehingga membina sebuah stigma bahawa ‘karya para ulama tidak boleh dikritik’ adalah sebuah penyakit berbahaya. Jika ia tidak dirawat dengan cepat, takut-takut ia membawa keruntuhan institusi keilmuan bahkan membawa perpecahan besar sepertimana yang berlaku ketika peperangan antara mazhab.
Peperangan antara mazhab ini menjadi parah apabila ada yang tidak selari dengan pendapat sesuatu kaum akan difitnah dan dijatuhkan hukuman.
Sampai bila pemahaman dan tradisi memusuhi ‘perbezaan’ pandangan akan diteruskan? Kita tidak akan dapat menghalang orang ramai dari berbeza pandangan. Bahkan ia akan terus berkembang walau dipotong sedalam mana pun. Perbezaan pandangan dalam dunia intelektual seperti kuku, walau dipotong sekerap dan sedalam mana sekalipun ia akan terus tumbuh dan berkembang.
Saya fikir, orang-orang atau institusi yang menghalang perbezaan pandangan dalam pentas intelektual adalah Diktator Ilmu. Mereka takut kedudukan mereka terancam dan susutnya pengikut jika perkembangan ‘intektual muda segar’ seperti yang dibawa oleh tokoh-tokoh tajdid akan mempengaruhi orang ramai. Mereka masih mahu melihat umat manusia khususnya Islam terus tenggelam dengan dunia syirik, taqlid dan mendewakan para ulama.
Kegelisahan dan ketakutan ini semakin menjadi-jadi apabila pihak berkuasa agama turut terpengaruh dengan symptom ini. Mereka menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk menghalang dan membantutkan progress tajdid yang semakin berkembang. Untuk merasionalkan tindakan mereka, pihak berkuasa menggunakan pelbagai istilah untuk dinisbahkan kepada golongan intelektual segar ini. Istilah-istilah seperti Liberal, Sekular, Wahabi dan pelbagai lagi ditujukan agar masyarakat awam sebati dengan kosa kata-kosa kata ini dan difikirkan ia adalah sebuah kosa kata negatif.
Kegilaan menggunakan Autoriti sebegini semakin parah apabila Pihak Berkuasa menghalang pelbagai seminar mahupun dialog intelektual yang memberi kebebasan untuk berdebat, bertukar-tukar fikiran dan mengkritik secara ilmiah. Keresahan ini dapat dilihat dengan penahanan beberapa tokoh Sarjana seperti Dr Asri Zainul Abidin, Dr Abdullah Yassin, dan baru-baru ini membatalkan beberapa seminar seperti seminar Future of Islamic Feminism yang dianjurkan oleh IRF (Islamic Renaissance Front) dan pengajian agama di Madrasah Ittiba’ Sunnah Kuala Pilah.
Sejarah membuktikan bahawa penggunaan kuasa untuk menghalang gelombang tajdid intelektual segar tidak pernah berjaya. Bukan sahaja tidak berjaya, malah desakan dan tekanan yang diberikan memberi motivasi dan semangat yang besar untuk terus menyebarkan budaya kritis dan kritikal dikalangan masyarakat awam.
Penyisihan golongan awam dari mengenali budaya intelektual segar seperti berwacana, bertukar pandangan, berdebat dan menyuarakan pelbagai pandangan sebenarnya satu usaha membodohkan masyarakat. Kita semua seharusnya, (lebih-lebih lagi pihak berkuasa agama) perlu membina satu wacana dan platform yang mengumpulkan masyarakat untuk mengenali budaya intelektual ini. Kita harus sedar bahawa orang awam yang dahulunya kononnya ‘mudah keliru’, ‘mudah terpengaruh’ bukanlah sebodoh itu. Masyarakat masa kini, sudah boleh berfikir waras, malah lebih hebat jika didedahkan dengan budaya intelektual segar.
Marilah sama-sama kita membentuk sebuah masyarakat madani yang meraikan budaya intelektual segar. Bukan sebuah budaya menuduh, melabel dan menghukum kerana berbeza pandangan. Menuju wawasan 2020 yang dicanang bukan sahaja dari segi materialnya, tetapi kondusi berfikir dan pemikiran masyarakat turut harus maju dan kehadapan. Kita tidak ingin melihat sebuah Negara maju tetapi pemikiran masyarakat disekat dan dikawal oleh sesebuah entiti.
Kebebasa bersuara, menyuarakan pandangan serta ruang berdialog harus dicambah dan dibugarkan ketika kita sibuk mengejar kemajuan material. Kebebasan ini lebih-lebih lagi tertuju kepada kebebasan mengkritik dan mempersoalkan kembali khazanah klasik Islam yang ditulis oleh para ulama silam.
Seringkali salah faham wujud apabila perkataan kritik ditulis. Kritik terhadap ilmu yang dicatat, tidak bermakna kita tidak menghormati para ulama yang bersusah payah menuntut ilmu dan menulisnya. Hasil kajian dan tulisan mereka bukanlah sebuah Kitab Suci seperti al-Quran. Malah wujud pelbagai salah faham dan kecacatan didalamnya jika ingin dibandingkan dengan al-Quran.
Apa yang kita tekankan disini ialah, penafsiran dan pemahaman mereka terhadap nas mungkin tersilap dan tidak releven pada masa kini. Nas sama ada dari al-Quran dan Hadith akan tetap sama, tetapi penafsiran dan pemahamannya sentiasa berubah mengikut keadaan dan masa. Bahkan, setiap para ulama mempunyai pelbagai pandangan dan fahaman dalam memahami dan menafsirkan nas-nas naqli.
Persoalannya sampai bila. Sampai bila kita perlu bermusuh dengan perbezaan dan menggunakan kuasa untuk menahannya?
Yussamir Yusof
Bandar Seri Putra
No comments:
Post a Comment