Bagi mereka yang sedang sibuk dengan persiapan perkahwinan, banyak perkara berlaku. Tidak mudah untuk melaluinya jika tiada iman, percaya dan kasih.
Kehidupan selama ini yang kelihatan mudah dan ringkas, tiba-tiba menjadi berat dan susah. Banyak perkara yang perlu diuruskan, disamping hambatan kerja yang tidak habis-habis.
Tidak tahu mengapa, tetapi saya pasti ia ada lumrah sesebuah persiapan terutama yang berkaitan dengan pernikahan.
Dalam meniti dan mengira masa untuk bersatu, kadang-kadang kita akan teringat masa-masa lalu. Masa-masa yang dahulunya, susah senang seorang diri. Suka duka seorang diri dan kehidupan Lelaki bujang atau Anak dara. Terasa sayang dan sedih untuk meninggalkan zaman itu.
Tetapi bila difikir, sampai bila? Adakah kita diciptakan untuk terus berseorang. Untuk terus hidup seorang diri yang asyik dengan kerja, seronok dan adventures? Adakah itu sebabnya Allah jadikan kita khalifah di muka bumi?
Adakah ‘sebab memakmurkan’ yang Allah ciptakan kita itu boleh dilakukan seorang diri?
Saya tidak pasti bagaimana penafsirannya. Tetapi yang pasti, pernikahan akan membina sebuah institusi kekeluargaan dan khalifah-khalifah yang seterusnya bagi memakmurkan bumi Allah.
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An-Nisa’:1)
MAHAR YANG MURAH
Mahar adalah sebuah tuntutan dalam agama. Mahar adalah harta yang diberikan pihak calon suami kepada calon istrinya untuk dimiliki sebagai penghalal hubungan mereka. Mahar ini menjadi hak isteri sepenuhnya, sehingga bentuk dan nilai mahar ini pun sangat ditentukan oleh kehendak isteri.
Dalam konteks di Malaysia, Mahar ini dikenali dengan nama Mas kahwin yang telah ditetapkan oleh setiap negeri.
Bukan Maskahwin yang menjadi persoalan, tetapi Hantaran yang dibina atas nama adat itulah yang menjadi igauan ngeri oleh sebahagian Lelaki-lelaki yang ingin menyunting wanita idaman.
Begitu ramai pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga terpaksa berfikir berkali-kali. Sehinggakan, mereka terpaksa melupakan hasrat untuk bernikah dan memendam perasaan, yang akhirnya jika tidak dijaga akan membawa ke lembah dosa.
Hasrat mereka terhalang, jiwa mereka merana. Hanya kerana hantaran yang dipinta tinggi dan sukar untuk dipenuhi. Bahkan pelbagai alasan diberi, untuk menyedapkan hati.
“Tunggulah kerja sudah stabil, baru masuk meminang,”
“Biar habis belajar baru fikir nak kahwin,”
Di atas antara alasan biasa yang sering diberi kepada pemuda dan pemudi.
Bukan sebab belajar, bukan sebab kerja, tetapi hanya kerana hantaran tidak cukup dan belum dipenuhi. Berat sungguh cubaan dan ujian yang terpaksa ditempuh dua insan ini.
Hantaran menjadi medan jihad. Kadang-kadang semua ini membuatkan hidup tidak tentu arah, hanya kerana ingin mencari duit mencukupkan nilai hantaran. Bagi melupakan hasrat untuk bernikah awal, puas pasangan ini berpuasa dan menyibukkan diri dengan pelbagai program. Tetapi sedarlah, mereka ini adalah insan. Sepasang insan yang mempunyai keinginan biologi dan fitrah ingin saling berkasih.
Lupakah kita dengan pesanan Rasulullah agar merendahkan nilai mahar dan memudahkan pernikahan? Dari Aisyah ra bahawa Rasulullah Shallahu alaihi wasalam bersabda,” Nikah yang paling besar barakahnya itu adalah yang murah maharnya” (HR Ahmad 6/145)
Indahnya Islam, sehingga Rasulullah sendiri membenarkan mahar sebuah pernikahan itu hanya dengan membaca al-Quran. Seperti hadith yang diriwayatkan dari Sahl bin Said radiallahuanhu bahawa baginda menikahkan seorang sahabat dengan maskahwin dari ayat-ayat Al-Qur’an kerana sahabat tersebut terlalu susah tidak mempunyai apa-apa untuk dibuat sebagai maskahwin (Hadith sahih riwayat Bukhari no 5126 dan Muslim no 1425).
YUSSAMIR
Bandar Seri Putra,
No comments:
Post a Comment