Saturday, September 3, 2011

CATATAN AIDILFITRI


Ramadhan sudah pergi meninggalkan kita.

Tidak pasti sama ada kita akan bertemu lagi atau tidak Ramadhan yang akan datang. Cuma doa yang kita panjatkan agar masih ada sisa-sisa umur yang diberi.

Hujan rintik semakin lebat, saya rasa ia seperti menangisi pemergiaan Ramadhan.

Aidilfitri pula dah masuk ke fasa dua. Orang bandar sudah pulang ke rumah masing-masing meninggalkan orang kampung. Orang kampung, meneruskan kehidupan seperti biasa, malah masih menerima tetamu yang tidak putus-putus berkunjung.


Bagi saya, Ramadhan dan Aidilfitri tahun ini membuka lembaran baru yang bahagia. Berpuasa bersama isteri tersayang, kemudian beraya bersama dua keluarga besar.

Aidilfitri pertama dan kedua, kami berkunjung ke Melaka dan Batu Pahat. Sahaja saya memberi peluang kepada Isteri untuk beraya di Melaka dan Batu Pahat dulu. Lagi pula Ipar saya masih berada di UK dan tidak dapat pulang beraya di Malaysia.

Sungguh mencabar untuk bertolak ansur dalam soal ‘belah’ mana nak raya. Pada awal perkahwinan, sudah berjanji raya tahun pertama di Negeri Sembilan, ‘belah’ saya.  Tetapi perkahwinan  bukan sebuah dokumen perjanjian yang tak boleh diubah sesuka  hati.

Perkahwinan melibatkan hati dan toleransi. Bagi saya perbincangan sangat diperlukan dalam semua perkara dalam sebuah perkahwinan. Akhirnya kami membuat keputusan, tahun pertama beraya di Melaka dan Batu Pahat.




SOAL HATI

Ketika mengambil Mardiati sebagai isteri saya. Saya sering mengingatkan diri agar menjaga hati beliau dan keluarga. Kedua-dua hati keluarga harus dijaga dan dipelihara. 

Bukan mudah, tapi itulah proses untuk mematangkan diri. Membuat keputusan beraya di mana, adalah proses pertama dalam mendidik diri agar lebih matang dalam perkahwinan.

Manakan tidak, jika silap langkah pasti ada yang terasa hati dan tersinggung. Lebih-lebih lagi perasaan ibu bapa, sama ada ibubapa suami atau isteri.

Bak kata pepatah, seperti menarik rambut di dalam tepung, tidak berserak tepung dan tidak putus rambutnya.
Disebabkan tahun pertama beraya di rumah Isteri, Ramadhan pertama kami memilih untuk berbuka puasa bersama-sama di rumah keluarga saya, Negeri Sembilan.

(ayah dan ayah)

Itulah cara kami. Hati ini jika tidak dijaga, kesannya sangat panjang dan dalam. Lebih-lebih lagi saya anak bongsu, dan isteri pula menjadi anak sulung memandangkan kakaknya tidak pulang beraya.


NILAI SEBUAH ZIARAH

Di Melaka, kami beraya di Serkam selepas bersalam-salaman di rumah.

Keluarga di Melaka setiap tahun akan berkumpul dan ‘konvoi’ ramai-ramai ke rumah saudara mara. Berpeluh-peluh, tapi puas hati. Ramai saya kenal, malah ada yang kata saya hensem! haha..

Ziarah bukan sekadar salam, makan kuih raya. Nilai ziarah sangat besar. Misalnya saya, sebagai orang baru dalam keluarga isteri, dapat berkenalan dengan semua saudara mara. Kalau terserempak di kedai atau di jalanan, bolehlah nak bertegur-sapa dan berhai-bai-bai. :)
(beraya di Serkam Melaka)

Di Melaka sehari, kemudian kami bertolak ke Batu Pahat beraya di Rumah keluarga ayah mertua saya.

Semasa berada di Batu Pahat, dari rumah ke rumah kami ziarah. Saudara mara hanya tinggal bersebelahan, dan berdekatan.

Kebanyakkan adalah saudara Nenek. Kata atuk, sauadara maranya ramai di Senggarang. Saya suka melayan atuk berborak. Duduk di belakang rumah, sambil mendengar lagu-lagu dangdut lama. Haha!

Kalau duduk borak dengan atuk, macam-macam cerita keluar. Paling banyak, atuk akan bercerita tentang setiap satu keluarga yang kami ziarah.





 (Lin, Yul, Ain (nama femes) )


 (Yang tengah-tengah sangat kuat makan -.-" )


(Jalan kaki beraya rumah saudara mara) 



“Di Medan itu, kakak kepada nenek.”
“Sebelah rumah ini, saudara kita”
“Saudara atuk ramai di Senggarang”

Ingatan atuk masih kuat dan boleh dikatakan informasi tentang keluarga-keluarga belah Ayah mertua saya diingat satu persatu.

Atuk orang jawa. Orang kata orang jawa ini kuat tenaganya dan ingatannya. Memang betul, fizikal atuk masih kuat kalau dilihat, begitu juga ingatannya.

Apa yang menarik atuk tidak habis-habis menyuruh saya belajar cakap jawa. Katanya Makcik Azizah yang dari Melaka berkahwin dengan saudaranya (bukan mak mertua saya, ini Azizah lain :) ) , sangat pandai cakap bahasa jawa walaupun bukan orang jawa. Bahkan berjaya dalam perniagaan di Batu Pahat.

Saya mengangguk kecil. Bukan tidak mahu, tetapi tidak ada orang yang ingin mengajar di tempat saya. Sempat jugalah saya belajar dua-tiga perkataan jawa dari Maksu saya. Itupun saya dah bangga bagai nak rak bila cakap dengan isteri. :)

“Pamit disek”
“Dino Bordo”
“Lek-ku”



BERAYA DI NEGERI SEMBILAN

Hari ke tiga Aidilfitri, saya bergegas ke Pedas, rumah keluarga saya. Adik-beradik setia menunggu. Banyak cerita nak dikongsi, begitu juga anak-anak saudara yang menunggu duit raya!

Tahun ini, anak saudara saya semakin menambah. Setakat tahun ini, sudah ada 19 orang anak saudara. Paling tua berumur 14 tahun, dan paling muda 10 bulan.

Rumah riuh-rendah, lari sana-sini dan ada juga anak dara yang menolong neneknya di dapur.  Itupun sekejap, selepas bosan dan penat terus ke depan bermain dengan sepupu-sepupu yang lain. Macam-macam ragam, tapi itulah yang membuakan ayan dan ibu saya gembira.

Melihat anak-anak semakin dewasa dan berkahwin, kemudian melihat cucu-cucu yang semakin bertambah dari hari ke hari. Kadang-kadang kepenatan yang dirasa hilang begitu sahaja melihat keluarga yang semakin berkembang. Puas hati melihat hasilnya, selepas 40 tahun mendirikan rumah tangga.

(sebahagian dari anak saudara)

(duit raya-duit raya)

 (Ibu) 

 (Abang dan kakak)








Catatan ini biasa-biasa sahaja. Tiada yang menarik, dan ilmiah. Tetapi saya rasa nilai Aidilfitri dan Ramadhan tahun ini sangat besar pada saya dan isteri. Kami berdoa, agar Ramadhan akan datang dapat kami tempuhi sama-sama.

Tahun ini, Bandar Seri Putra – Melaka – Batu Pahat – Negeri Sembilan – Melaka – Bandar Seri Putra. Semoga perjalanan ini diberkati!




Yussamir Yusof
Bukit Katil, Melaka

No comments:

Post a Comment