Monday, December 12, 2011

TRAVELOG IMAN MENCARI TUHAN - 1

1- NAK LIHAT ALLAH

“Macam mana kita nak tengok Allah?” Tanya kawan saya. Mukanya serius, tidak nampak sebarang tanda-tanda gurauan.

Saya tidak menjawab terus, cuba berfikir bagaimana untuk menjawab dengan mudah tetapi lengkap. Ketika itu saya berada di Indonesia, sedang melakukan kajian mengenai budaya dan bahasa untuk projek Universiti.

Cuaca sejuk di Universiti Andalas, kabus-kabus menutupi jalan-jalan yang akan kami turuni. Saya mendiamkan diri, tidak banyak bercakap seperti biasa. Hazman, yang berjalan bersama saya turut diam. Mungkin serba-salah dengan soalan yang diajukan kepada saya.

“Kita rehat sebentar, minum kopi dahulu.” Ajak saya kepada Hazman. Pagi itu benar-benar sejuk, jaket yang dipakai seolah-olah tidak memberi sebarang kesan. Saya mencicip kopi panas yang dihidang. Harganya cukup murah, kira-kira 50 sen dalam ringgit Malaysia.

Saya mengeluarkan sebatang pen yang sentiasa dibawa. Saya berikan kepada Hazwan, “Nah ini jawapannya.”

Wednesday, November 23, 2011

BUKU TERBARU - HIKMAHNYA DAKWAH RASULULLAH




Jadual Terbit: Disember 2011


Judul: Hikmahnya Dakwah Rasulullah: Ilmu Perbandingan Agama
Penulis: Yussamir Yusof
Penerbit: Mazni Irfan Publication
ISBN: 978-967-10128-7-1
Harga: RM17.00
Kategori: Umum, Dakwah
Halaman: 144 m/s
----------------------------------

“Wahai Ahli Kitab, marilah berpegang kepada satu ketetapan yang tidak ada perselisihan di antara kami dan kamu..." Surah Ali Imran, ayat 64.

Dua perkara yang diseru oleh Allah. Menolak perbezaan yang memecah belahkan, dan mencari persamaan yang boleh menyatukan.

* Benarkah agama di dunia mempunyai persamaan?
* Adakah semua agama menyeru kepada Tuhan yang satu?
* Bagaimanakah Rasulullah dan nabi-nabi berdialog sewaktu menyebarkan agama Islam?
* Benarkah Bible adalah kitab penganut Kristian yang tidak boleh disentuh atau dibaca oleh orang Islam?

Hikmahnya Dakwah Rasulullah, membimbing kita berdakwah melalui pengalaman tokoh pendakwah berpengaruh di dunia. Pelajari bagaimana berdakwah dengan gaya yang lebih mesra, profesional dan tepat.




________________________________________________________________________



Alhamdulilah buku kedua saya bergenre sama iaitu Perbandingan Agama akan diterbitkan oleh Mazni Irfan Publication. Bakal diterbitkan pada bulan Januari 2012, InsyaAllah.

Semoga buku ini memberi manfaat kepada semua dan diri saya sendiri.  Saya akan mengulas lanjut perjalanan menulis dan jerit-perih saya ketika menulis buku ini. Banyak cabaran dan kekangan yang saya hadapi..




NANTIKAN...

Tuesday, September 27, 2011

MEREFORMASI PEMIKIRAN

Bukan seorang, tetapi sudah ramai yang mula mencanangkan tentang keperluan me’reformasi’kan pemikiran. Tetapi kesannya tidak berapa nampak, dan kurang membawa kesan. Saya percaya, dunia intelektual Malaysia akan beku, jika pemikiran lama masih digunakan dan dijadikan ‘benchmark’ untuk orang-orang muda. Lebih teruk apabila anak-anak muda turut sama mengiyakan budaya ‘tidak boleh kritik’, dan meneruskan tradisi lama yang sudah mengakar.

Tradisi mengmaksumkan khazanah Klasik sehingga membina sebuah stigma bahawa ‘karya para ulama tidak boleh dikritik’ adalah sebuah penyakit berbahaya. Jika ia tidak dirawat dengan cepat, takut-takut ia membawa keruntuhan institusi keilmuan bahkan membawa perpecahan besar sepertimana yang berlaku ketika peperangan antara mazhab.

Peperangan antara mazhab ini menjadi parah apabila ada yang tidak selari dengan pendapat sesuatu kaum akan difitnah dan dijatuhkan hukuman.

Sampai bila pemahaman dan tradisi memusuhi ‘perbezaan’ pandangan akan diteruskan? Kita tidak akan dapat menghalang orang ramai dari berbeza pandangan. Bahkan ia akan terus berkembang walau dipotong sedalam mana pun. Perbezaan pandangan dalam dunia intelektual seperti kuku, walau dipotong sekerap dan sedalam mana sekalipun ia akan terus tumbuh dan berkembang.

Monday, September 5, 2011

KISAH-KISAH RAMADHAN

Walaupun Ramadhan sudah pergi meninggalkan kita. Saya ada banyak perkara nak bercerita tentang apa yang berlaku sepanjang Ramadhan.

Bukan sedikit tetapi banyak hal yang berlaku sepanjang Ramadhan tahun ini. Bermulanya dengan perkahwinan kami pada awal bulan Julai, kemudian terus masuk bulan Ramadhan yang kurang dari sebulan.

Pertama kali berpuasa sebagai suami isteri, merupakan pengalaman paling indah buat kami.

Manakan tidak, semuanya telah disediakan isteri saya seawal jam 4.45 pagi setiap hari. Kemudian selepas  bersahur, kami solat subuh berjamaah dan kemudian bersiap-siap untuk ke tempat kerja dan belajar.


Sepanjang Ramadhan juga, isteri saya sering jatuh demam dan lemah seluruh badan. Pada awalnya saya ingat ia hanyalah symptom kepenatan bangun awal pagi. Rupa-rupanya Allah telah anugerahkan sebuah hadiah yang tak ternilai pada kami berdua. Syukur….

Saturday, September 3, 2011

CATATAN AIDILFITRI


Ramadhan sudah pergi meninggalkan kita.

Tidak pasti sama ada kita akan bertemu lagi atau tidak Ramadhan yang akan datang. Cuma doa yang kita panjatkan agar masih ada sisa-sisa umur yang diberi.

Hujan rintik semakin lebat, saya rasa ia seperti menangisi pemergiaan Ramadhan.

Aidilfitri pula dah masuk ke fasa dua. Orang bandar sudah pulang ke rumah masing-masing meninggalkan orang kampung. Orang kampung, meneruskan kehidupan seperti biasa, malah masih menerima tetamu yang tidak putus-putus berkunjung.


Bagi saya, Ramadhan dan Aidilfitri tahun ini membuka lembaran baru yang bahagia. Berpuasa bersama isteri tersayang, kemudian beraya bersama dua keluarga besar.

Aidilfitri pertama dan kedua, kami berkunjung ke Melaka dan Batu Pahat. Sahaja saya memberi peluang kepada Isteri untuk beraya di Melaka dan Batu Pahat dulu. Lagi pula Ipar saya masih berada di UK dan tidak dapat pulang beraya di Malaysia.

Sungguh mencabar untuk bertolak ansur dalam soal ‘belah’ mana nak raya. Pada awal perkahwinan, sudah berjanji raya tahun pertama di Negeri Sembilan, ‘belah’ saya.  Tetapi perkahwinan  bukan sebuah dokumen perjanjian yang tak boleh diubah sesuka  hati.

Perkahwinan melibatkan hati dan toleransi. Bagi saya perbincangan sangat diperlukan dalam semua perkara dalam sebuah perkahwinan. Akhirnya kami membuat keputusan, tahun pertama beraya di Melaka dan Batu Pahat.

AYAH, IBU SAYA MAHU NIKAH



Bagi mereka yang sedang sibuk dengan persiapan perkahwinan, banyak perkara berlaku. Tidak mudah untuk melaluinya jika tiada iman, percaya dan kasih.

Kehidupan selama ini yang kelihatan mudah dan ringkas, tiba-tiba menjadi berat dan susah. Banyak perkara yang perlu diuruskan, disamping hambatan kerja yang tidak habis-habis.

Tidak tahu mengapa, tetapi saya pasti ia ada lumrah sesebuah persiapan terutama yang berkaitan dengan pernikahan.

Dalam meniti dan mengira masa untuk bersatu, kadang-kadang kita akan teringat masa-masa lalu. Masa-masa yang dahulunya, susah senang seorang diri. Suka duka seorang diri dan kehidupan Lelaki bujang atau Anak dara. Terasa sayang dan sedih untuk meninggalkan zaman itu.

JAMULAH RAKAN-RAKAN MU


Saban tahun kita sering diingatkan dengan pelbagai hukum hakam mengenai puasa. Bermula dari niat puasa, sehinggalah bacaan doa buka puasa. Namun jarang sekali kita dididik untuk menjadi seorang yang dermawan di bulan Ramadhan.

Sabda Rasulullah, “Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya.” (Sahih Muslim)

Apalah sangat dengan menjamu sehidang dua makanan kesukaan kita kepada jiran tetangga. Bukan sahaja menambah rezeki, malah turut menjalinkan hubungan silaturahim antara jiran.

Mana yang tidak pernah bercakap, sudah boleh berborak panjang.