GILA BUKU
Itu antara perkataan yang saya boleh cari setakat ini untuk menggambarkan betapa meja saya berselerak dengan buku dan tidak tahu dimana harus saya letak lagi. Sudah tidak ada ruang, dan semua rak buku saya telah dipenuhi dengan buku. Tambahan lagi, saudara Rahmat berbesar hati menghadiahkan saya buku-buku beliau yang boleh saya katakan SANGAT BANYAK.
Antara buku yang beliau hadiahkan kepada saya ialah, dua buah kita Riyadus Solihin berbahasa Inggeris, Kewajipan menguasai 6 jenis feqh bagi pendakwah islam di alaf baru oleh al-Imam Yusuf al-Qardhawi, The basis of Muslim belief oleh Gary Miller, The religion of truth oleh Abdul Rahman bin Hammad al-Omar, What Rushdie says about the British oleh Ahmad Deedat, Let the Bible speak oleh Ali Muhsin, Is Jesus God? The Bible says No oleh Shabir Alli, The meaning of the Testimony of faith oleh Sh. Hammoud R. Murad, Follow Jesus or Follow Paul oleh Dr. Roshan Enam, Paul and the Bible in the light of Islam oleh Atef Sallam, Know this Man, Christianity & Islam according to the Bible & the Quran oleh Naser al-Moghamis, dan akhir sekali sebuah Bible yang pernah digunakan oleh Brother Shah kirit.
Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana sudi menghadiahkan buku-buku tersebut, dan insya Allah saya akan khatamkan kesemuanya.
KEBETULAN
Malam itu bilik saya dikunjungi seorang rakan yang beragama Kristian. Kunjungan beliau sebenarnya atas pelawaan rakan bilik saya untuk membantu beliau membaiki komputernya, dalam masa yang sama saya mengenalinya. Kebetulan ketika itu saya sedang membaca sebuah buku yang bertajuk Follow Paul dan menggunakan Bible untuk merujuk beberapa ayat yang digunakan dalam buku tersebut. Saya berhenti membaca, kemudian berborak-borak kosong dengannya. Antara perbualan yang berlaku antara saya dan dia ialah tentang beberapa doktrin Kristian yang membingungkan (dan dia sendiri mengakuinya) dan beberapa salah faham terhadap Islam.
“Betulkah dalam Islam ada mengatakan bahawa boleh membunuh orang yahudi, kemudian akan mendapat ganjaran 70 ribu Malaikat untuk seorang Yahudi yang dibunuh.” Saya termenung sekejap kemudian tersenyum kepadanya.
“Siapa yang beritahu Joe (bukan nama sebenar) pasal itu?”
“Saya ada dengar seorang Ustaz katakan begitu.” Saya termenung lagi, betapa berdosanya seorang Ustaz itu menerangkan perkara yang silap kepada beliau.
“Tidak ada satu pun bukti sama ada dalam Quran atau Hadith tentang perkara tersebut. Orang bukan Islam yang duduk didalam negara orang Islam dilindungi, tidak kiralah sama ada kristian ataupun Yahudi. Sehinggakan Nabi Muhammad ada berkata, “Sesiapa yang menyakiti zimmi, sesungguhnya dia telah menyakitiku, sesiapa yang menyakitiku sesungguhnya dia menyakiti Allah” (HR Tabarani). Bukan mudah untuk membunuh orang lain tanpa sebab. Islam hanya membenarkan membunuh seseorang itu jika orang tersebut memerangi Islam dan mengancam nyawa orang-orang Islam. Selagi orang tersebut tidak ada hasrat menyerang negara Islam dan orang-orang Islam, selagi itu Islam tidak membenarkan pertumpahan darah berlaku, itulah yang diajarkan oleh Islam.”
“Saya pun terfikir macam itu juga. Takkanlah agama Islam yang menganjurkan kepada keselamatan dan kesejahteraan boleh membenarkan perbuatan seperti itu. Sebab itu, saya hanya mempercayai jika perkara itu ada disebutkan dalam sumber agama awak, iaitu al-Quran dan juga Hadith.”
“Yup, untuk mengetahui kebenaran sesuatu agama itu, bukan hanya mendengar dari apa yang orang katakan. Tetapi perlu terus ke sumbernya, iaitu kitab agama tersebut.” Saya mengkagumi sikap Joe yang hanya berpegang kepada sumber. Berbeza dengan sikap umat Islam yang rata-ratanya lebih suka dengar-dengar daripada mencari dan mengkaji sendiri dari al-Quran dan Hadith. Apabila ada orang berpegang kepada kedua sumber ini, mereka mengatakan Wahabi atau sebagainya. Sedangkan orang bukan islam lebih tahu dan maju dari mereka iaitu hanya mempercayai sesuatu yang datangnya dari kedua sumber ini.
ISLAM DAN MUSLIM
“Saya pada mulanya sangat anti dan benci dengan Islam. Sebab ada kawan-kawan saya tidak pernah tunjukkan moral yang baik kepada saya. Mereka lebih teruk dari orang bukan Islam. Tetapi bila saya ada baca apa yang dikatakan oleh Yusuf Islam iaitu “Saya bersyukur dapat mengenali Islam sebelum saya mengenali orang Islam” barulah saya terbuka untuk mengenali Islam bukan dari penganutnya tetapi dari Islam itu sendiri. Saya pernah berdialog dengan Brother Lim, dan antara yang dibincangkan ialah tentang sikap orang Islam.”
Ya, sikap itu memainkan peranan yang besar dalam lapangan dakwah dan Islah. Hanya kerana akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah sahaja, ramai orang-orang musyrik ketika zaman Rasulullah memeluk agama Islam. Kita sudah lupa tentang sejarah ini, kita lupa bahawa berdakwah dengan akhlak yang baik adalah salah satu cara menyebarkan Islam kepada orang bukan Islam. Salah kita, apabila orang bukan Islam tidak mahu mendekati Islam, semuanya kerana akhlak yang tidak senonoh kita pamerkan.
Selain akhlak, perkara yang ditimbulkan oleh Joe ialah sikap meninggalkan orang bukan Islam yang telah memeluk Islam sejurus sebulan atau dua bulan mereka memeluk Islam. Memang benar! Banyak kes yang berlaku apabila tidak ada program atau tindakan susulan yang dilakukan selepas seseorang itu memeluk Islam. Akibatnya, saudara baru ramai yang kembali kepada agama asal mereka kerana tidak ada bimbingan dan pendidikan Islam yang berterusan diberikan kepada mereka. Mereka murtad kembali kerana tidak ada asas agama yang mantap dan berada didalam lingkungan rakan-rakan bukan Islam yang tidak lelah memburukkan Islam didepan matanya. Cukuplah sekadar mereka katakan, “tengoklah agama baru kau ini, tidak pernah membantu dan memperdulikan engkau selepas engkau memasuki agama mereka.”
Jangan hanya gembira apabila mereka memeluk agama Islam tetapi tidak melakukan program sususalan kepada mereka atas alasan Perkim, atau jabatan-jabatan lain boleh melakukan perkara tersebut. Perkara ini adalah tangungjawab kita bersama, usah lepas tangan dan membiarkan jabatan-jabatan ini menguruskannya sendirian. Kita ada tangungjawab bersama. Urusan saudara seislam kita, adalah juga urusan kita.
Sebelum beliau beredar dari bilik saya, sempat saya katakan kepada beliau, “Kalau ada agama yang lebih baik dan benar daripada Islam, saya akan menganutinya.” Dia tersenyum kemudian berlalu pergi. Moga Allah memberi Hidayah kepada beliau, AMEEN...
Hadis riwayat Ibnu Umar رضي الله عنه: ia berkata:Bahwa Rasulullah صلی الله عليه وسلم bersabda: “Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat .”(HR Muslim nombor 4677)
Salam,
ReplyDeleteSetuju benar tentang akhlak orang Islam sekarang.. Dalam pada kita mahu berbaik kepada orang bukan Islam jangan sampai maruah Islam itu sendiri tergadai.
artikel yang mantap.