Suara riuh-rendah dan kelibat wanita-wanita yang berkerudung menghiasai mata dan pendengaran kami, tatkala kami sampai di Kem Rimba Ria Sungai Congkak. Deruan air yang deras, kawasan hijau yang sejuk dipandang, serta bunyi-bunyi derupan tapak kaki anak-anak kecil terus-terus mengasyikkan pendengaran dan penglihatan saya. Tidak ada yang layak untuk dipuji di atas semua ciptaan ini, hanya kepada Dia semua ini kembali dan segala puji dan syukur diucapkan kepada-Nya; Allah akbar!
Cuaca malam itu sedikit dingin, sesuai dengan kawasannya yang berdekatan dengan air terjun dan diselimuti dengan hutan tebal. Saya, Razak dan Fuad meninjau-ninjau lokasi yang akan dijadikan tempat program IU Induction Camp 2008. Alhamdulilah, tempatnya amat sesuai dan selamat untuk diadakan program. Selepas beberapa ketika kami mula memunggah barang-barang makanan dan keperluan lain di dapur yang telah disediakan oleh pihak kem. Sementara menunggu peserta dan komiti lain yang datang dengan sebuah bas dan sebuah van, kami masak air dan mengemas barang-barang dapur.
“Cuba kau tengok air itu dah masak belum?” Ujar Razak kepada saya. Saya melangkah pergi menuju ke arah air yang sedang dimasak.
“Er..macam mana nak tahu air itu dah masak belum. Aku selalu masak air guna Karen je.” Saya mula bingung, melihat-lihat kedalam air, untuk mendapat kepastian. Berderai ketawa dari Razak dan Fuad. Saya pun turut ketawa, memang dasar tidak pernah masuk ke dapur di rumah rasanya.
Di atas hanyalah secebis kenangan yang dapat saya gambarkan dan coretkan di sini. Tetapi bukan itu tujuannya saya menulis bagi artikel kali ini. Kenangan atau kronologi hanyalah sebuah catatan perjalanan, ia tidak lebih sebuah diari kembara. Tetapi saya pasti catatan-catatan itu akan ditulis oleh mereka yang datang bersama-sama tempoh hari. Saya tidak berniat untuk menjadi penambah catatan, tetapi saya mahu menyentuh beberapa perkara penting dan pengajaran yang harus kita kongsi dan rasakan. Bukan sekadar kenangan yang dihiasa dan diisi dalam kotak ingatakan kita, tetapi lebih daripada itu.
TANGUNGJAWAB
Tangungjawab mendewasakan diri dan juga pemikiran kita. Tangungjawab itu bukan sekadar nama tetapi ia membawa beban dan amanah yang digalas dan tergalas kepada diri manusia. Kerana tangungjawab, manusia akan berubah dan terus akan diubah. Sama ada tangungjawab itu dibebankan dengan kerelaan atau dipaksa-paksa keatas diri manusia, ia tetap menjadi agen perubahan kepada diri manusia.
Semua manusia dibebani dengan tanggungjawab, hatta kepada junjungan besar umat Islam iaitu Nabi Muhammad s.a.w, seorang Rasul dan juga kekasih Allah tetap Allah berikan dan galaskan tanggungjawab. Bukan ringan tanggungan yang dibawa oleh Rasulullah, tanggungjawab itu meliputi seluruh alam tidak ada yang terkecuali sedikit pun, iaitu menyampaikan risalah TAUHID ke seluruh alam tanpa dibatasi oleh Bangsa, rupa paras, perbezaan warna kulit dan lain-lain. HANYA, menyampaikan risalah Tauhid dengan terang dan nyata.
Sepertimana yang dikatakan Allah, “Katakanlah lagi (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kepada Rasul Allah. kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah Bahawa Sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata”.(24:54)
GUNUNG PUN MENOLAK
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”(33:72)
Lihatlah betapa besar dan sukarnya amanah ini untuk dipikul sehinggakan langit, gunung-ganang dan bumi menolak untuk dipertanggungjawabkan. Tanggungjawab itu sekadar retorik, tetapi ia adalah perlaksanaan, perlaksanaannya pula haruslah menepati risalah yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah melalui petunjuk Allah ta’ala.
Bila saya dicadangkan sebagai Camp Commandant oleh brother Fuad, pada mulanya saya teragak-agak untuk memikulnya, tetapi memandangkan saya pernah menjadi Timbalan Amir 1, maka saya merelakan diri untuk memikul tanggungjawab itu. Alhamdulilah, walaupun ada dua sessi saya tidak dapat menghadirkan diri semasa program berlangsung kerana terlalu penat dan sakit kepala, saya merasakan tanggungjawab saya sebagai Camp Commandant ketika itu dapat dijalankan dengan sempurna. Walaupun ada kekurangannya, tapi bagi pihak diri saya, saya sangat berpuas hati dengan kerja keras dan usaha yang saya curahkan selama 3 hari dua malam dalam program tersebut.
Bangun pagi seawal 3.30, ketika para peserta masih lagi dibuai mimpi, benar-benar melelahkan dan dicemburui. Mata memujuk-mujuk untuk terus ditutup dan nafsu pula merengek-rengek untuk dibuai dengan lena. Tetapi tanggungjawab menyegarkan diri saya, mengerakkan tubuh saya, iman pula berzikir-zikir memberi makanan kepada hati untuk terus istiqomah dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diberi. Syukur, kedua-dua pagi itu dapat saya gagahkan untuk mengejutkan mereka pada jam 4.30 pagi dan menyampaikan sedikit ilmu yang ada seawal jam 3.45 pagi berkenaan dengan berwuduk menggunakan khuf.
MARAH ITU ADALAH FITRAH
Ramai yang cuba menjadi hero dalam menasihatkan orang yang sedang marah(termasuk juga saya), ada yang menasihati dengan menggunakan hadith, dan ada juga menasihatkan dengan ayat-ayat Quran. Semua itu benar dan sama sekali tidak dinafikan, tetapi mereka juga lupa tentang fitrah yang dirai oleh agama, iaitu emosi. Manusia bukan hanya dikurniakan dengan akal, tetapi manusia juga dikurniakan emosi dalam menghadapi seharian-seharian kehidupan. Manusia yang tidak ada emosi sama sahaja dengan robot, yang diciptakan dengan kepelbagaian fungsi tetapi robot tidak ada perasaan yang menaikkan darjatnya sama dengan manusia.
Dalam sebuah hadits Sahih yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi Rasulullah berkata, “Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia meletakan dirinya ke bumi.” Hadith ini sangat jelas menunjukkan bahawa marah adalah sebuah fitrah yang ada dalam diri manusia. Al-Imam Syafie’ pernah mengatakan, bahwa orang yang tidak memiliki rasa marah itu diibaratkan seperti khimar (keldai).
Walaubagaimanapun, marah itu harus dikawal dengan Iman. Kerana marah itu kadang-kala membawa diri ke lembah binasa. Hanya taqwa dan iman kepada Allah adalah solusi dalam menyelesaikan kemelut emosi marah dari terus menjadi sebati dalam kehidupan kita. Disebabkan itu, bagi mereka yang dapat menahan marahnya, dianggap sebagai seorang yang hebat oleh Rasulullah. Sepertimana yang disebutkan Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim, “Abu Hurairah berkata, bahwa Rasulullah s.a.w berkata: Tidaklah seseorang itu dikatakan kuat disebabkan menang bergusti/berlawan, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.”
Tidak cukup dengan menahan atau mengawal marah, tetapi menahan marah dan memaafkan, serta berbuat baik kepada mereka yang dimarahi dalah satu kesatuan nilai yang mendasari ketaqwaan kepada Allah. Menahan marah saja tanpa memaafkan, bukan ciri orang yang bertaqwa, melainkan ciri orang yang berdendam. Oleh itu, marilah kita meraikan fitrah emosi, namun dalam masa sama kita menghayati sunnah-sunnah Rasulullah yang sering menggalakkan umatnya menjadi seorang yang pemaaf dan menahan marah.
ILMU ITU IMAM, AMALAN ITU MAKMUM
Dalam program ini para peserta diajar pelbagai perkara termasuklah soal-soal yang berkaitan dengan ibadah berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan Hadith yang sahih. Antaranya ialah, mengambil wudhu’ menggunakan khuf, memasang sutrah, bersolat menggunakan kasut, cara solat tahajud, dan perlbagai lagi. Bukan sekadar mempelajarinya dengan mendengar taklimat tetapi ia terus dipraktikan selepas mendengar penjelasan dari fasilitator yang bertugas. Antaranya ialah penggunaan khuf , bersolat menggunakan kasut, dan memasang sutrah ketika bersolat.
Ilmu yang disampaikan bukan hanya didalam dewan atau surau, tetapi perlaksanaan terus dilakukan agar para peserta faham dan jelas dengan apa yang mereka dapat melalui penjelasan berdasarkan dalil-dalil yang stabit. Kerana Ilmu itu imam, amal itu adalah makmum. Setiap makmum harus mengikut imam, begitu jugalah amalan yang perlu dilakukan mengikut ilmu yang didapati. Saya dan beberapa fasi amat menekankan perlaksaan ibadah hanyalah boleh dilakukan jika ada dalil yang menjelaskannya. Alhamdulilah, sedikit sebanyak dapat dilihat kesedaran dan kefahaman tentang penggunaan dalil dalam setiap ibadah daripada reaksi para fasilitator sendiri. Kerana itulah yang diharapkan oleh Allah dan Rasul, setiap amalan ibadah haruslah didasari dengan dalil naqli yang jelas dan stabit dari Allah dan Rasul tanpa ada tokok tambah.
TERIMA KASIH DAUN KELADI
Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program IU Induction Camp ini. Moga Allah tautkan hati-hati kita semua dengan tautan Ukhwah kerana Allah, dan meleraikan perbezaan dan bibit perpecahan yang mula timbul dalam keluarga kita. Usrah itu bermaksud keluarga, moga keluarga yang kita sering sebut-sebutkan ini benar-benar terjadi, bukan hanya retorik dan bebelan di mulut sahaja. Usrah atau keluarga ini harus menjadi sebuah keluarga yang bahagia, sering nasihat-menasihati, dan akhir sekali menjadi syurga dunia dalam kehidupan berkeluarga di MMU Cyberjaya ini. Itulah yang dinamakan “Baiti Janati” Syurgaku Rumahku.
Saya lebih bahagia bersama persatuan dan kelab, dan bahagia bersama anda semua. Mungkin itu menyebabkan saya lebih dikenali sebagai orang Usrah atau orang UPG. Kerana saya lebih dihargai dan diperlukan didalam keluarga ini. Kerana ikatan kekeluargaan itu ada dan sentiasa dicambah dan dibumbui dalam USRAH ini. Terima kasih sahabat, kerana memberikan erti keluarga dalam KELUARGA ini.
(*_*)..a good reminder,thanks!
ReplyDelete