Wednesday, December 31, 2008

SEHARI DI MELAKA SUBURNYA SUNNAH

Semasa mendengar kuliah hadith yang disampaikan oleh Ustaz Azdlan berkenaan dengan ‘Rehlah fi tolabal Ilm’ oleh para ulama hadith, saya menjadikan kisah-kisah tersebut sebagai ubat peransang untuk terus ghairah berkelana mencari ilmu hingga ke Melaka bersama sahabat. Walaupun tidak sehebat kelana yang dilakukan oleh para ulama hadith seperti Imam Bukhari dan ulama-ulama hadith yang lain, tetapi sedikit sebanyak saya merasakan tradisi keilmuan mereka. Perasaan dan suasana mencari ilmu di luar kerangka tempat kediaman kita amat berlainan sekali rasanya. Ia sebuah perasaan yang sukar untuk diceritakan dan digambarkan.


MUDAH KE SYURGA
Alhamdulilah pada minggu lepas saya berkesempatan untuk ke sebuah tempat yang tak kurang hebatnya, di mana tokoh-tokoh perjuang Sunnah masih dan berpeluang menyampaikan kuliah-kuliah hadith di sana, iaitu Melaka. Kunjungan kami ke sana, atas tujuan untuk menghadiri Konvensyen Sunnah yang keempat anjuran Institut Ibnu Hajar di Universiti Kuala Lumpur. Malam sebelum program berlangsung, saya dan tiga orang lagi sahabat bermalam di Darul Hadith. Sebuah pusat perkembangan dakwah Sunnah di Melaka. Dahulu tempat ini subur dengan pengajian-pengajian agama terutamanya pengajian Hadith. Namun, kini ia tidak semeriah dan serancak seperti dahulu. Entah di mana silapnya, saya pun tidak pasti.

“Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (Muslim)


Konvensyen kali ini lebih meriah dan ramai pengunjungnya. Saya membantu komiti program ini sebagai urusetia secara tidak rasmi . Dengan sebuah tajuk pada hemat saya sangat bermanfaat iaitu, “Ahlu Sunnah Wal Jamaah : Hubungan Sesama Mereka dan Hubungan Dengan Masyarakat.” Konvensyen dimulakan dengan ucaptama dari setiap negeri di Malaysia dan dua buah negara iaitu Indonesia yang mewakili Persatuan Muhamadiyah, dan Singapura juga dari Muhamadiyah. Rata-ratanya banyak menyentuh tentang perkembangan dakwah Sunnah di tempat mereka, termasuk juga beberapa rintangan dan masalah yang dihadapi.

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan petang dengan mengharap keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini. Janganlah kamu mengikut orang yang hatinya telah kami lalaikan daripada mengingati kami serta menurut hawa nafsunya dan keadaan mereka itu sudah melampaui batas. Katakanlah: Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman dan barang siapa yang ingin (kufur) biarlah dia tetap dalam keadaan kufur." (Surah al-Kahfi, ayat 28-29)



AKIDAH ASAS KEIMANAN
Pembentang kertas kerja pada Konvensyen kali ini adalah Ustaz Fathul Bari (BA Hons. Hadith & Pengajian Islam, Madinah, dan MA Usuluddin (Hadith), Jordan). Banyak perkara yang disentuh beliau berkenaan dengan tajuk yang dibawa iaitu ASWJ: Hubungan Sesama Mereka dan Hubungan Dengan Masyarakat. Namun saya tidak berniat untuk menulis kembali untaian-untaian yang diucapkan oleh beliau di dalam artikel kali ini.

Cumanya saya mahu menyentuh sebuah perkara yang sangat diambil berat oleh beliau, iaitu AKIDAH. Kata beliau, pembentukan mukmin bukanlah bermula dengan membetulkan cara ibadah, tetapi ia bermula dengan pemahaman akidah yang sebenar. Tanpa akidah yang sahih, mana mungkin seseorang itu akan betul dan benar cara pengibatannya kepada Allah. Itu sebab, ketika Rasulullah menghantar Mu’az ke Yaman, baginda menyuruh beliau agar perkara utama yang perlu dilakukan ialah menyeru kepada tauhid kepada Ahlu Kitab, (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.6937).

Peranan Aqidah dalam kehidupan manusia sangatlah penting, dengan aqidahlah manusia akan terbimbing dan dipandu oleh pertunjuk ilahi. Tujuan Aqidah ialah supaya hamba mengenal dan mengetahui akan perihal pencipta dengan cara yang benar dan mengesakan-Nya dengan kaedah yang betul. Bahkan selama 13 tahun dakwah Rasulullah s.a.w di Makkah hanya menekankan aspek aqidah, tauhid dan akhlak semata-mata untuk melahirkan generasi rabbani yang terdidik dengan aqidah suci (lihat Sofiurahman Mubarakfuri, dalam Rahiq Mahktum’m/s 72).

Tiada lagi jalan lain untuk memahami akidah melainkan berpandukan kepada Al-Quran dan hadith yang sahih. Oleh yang demikian para ulama’ bersepakat mengatakan sumber Aqidah Islam ialah Al-Quran dan Sunnah sahihah semata-mata dan diberhentikan setakat itu tanpa memperpanjangkan sesuatu hal yang tiada dalil. Kerana itu ia dinamakan perkara tauqifiyah iaitu berasal dari perkataan “tauqif” dari “ waqaf” yang bermaksud berhenti (lihat dalam lisanul Arab m/s 380 Jilid 9). Dengan itu, setiap perkara yang tidak disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah maka ianya tidaklah menjadi rujukan dan sumber kepada Aqidah bahkan ditolak sebagai hujah dan menjadi dasar atau prinsip dalam ilmu aqidah (Ustaz Emran)


AYAHANDA DR ABDULLAH YASSIN
Antara panel forum petang itu, dan semestinya saya menungu-nunggu untuk mengambil mutiara ilmu daripada beliau. Kesederhanaan dan ketinggian ilmu beliau terserlah apabila beliau menjelaskan bahawa perbezaan manhaj yang terjadi dikalangan Salaf dan Khalaf seharusnya tidak menjadi halangan untuk umat Islam dari kelompok Ahlu Sunnah Wal Jamaah untuk bersatu dan berada pada titik persamaan.

Dengan menyebutkan sebuah hadith yang sahih tentang perbezaan pemahaman yang berlaku antara Ai’syah dan Ibnu Abbas tentang sama ada Rasulullah melihat Allah atau tidak, beliau menghubung-kaitkan dimana perbezaan tersebut (yang bersangkut paut dengan akidah) masih lagi menjadikan kedua-dua sahabat Rasulullah itu berada dalam sebuah perhubungan yang harmoni. Masing-masing menghormati perbezaan itu, selagi ia di dalam kerangka Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Selain daripada itu, beliau juga menasihati para shabab (remaja/Mahasiswa) dan para pendokong Sunnah tidak terlalu keras dalam hal-hal yang bersangkut-paut dengan perkara khilaf. Selain menempelak mereka yang menolak al-Imam Yusuf al-Qardhawi, beliau mengatakan bahawa pendekatan dakwah dan cara Dr Yusuf al-Qardhawi adalah sesuai dengan keadaan semasa dan fitrah manusia. Beliau sendiri mengaplikasikan dan banyak membaca karya al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam meningkatkan keberkesanan beliau untuk mendekati masyarakat dalam misi berdakwah. Kepakaran dan kefasihan beliau dalam bidang al-Quran dan tafsir juga terserlah apabila beliau mendefinisikan orang-orang yang diberi nikmat dalam surah al-Fatihah itu dengan definisi mereka yang mengikuti manhaj Salafusoleh.

Alhamdulilah, saya sempat bertemu beliau dan meminta beliau untuk mendoakan saya. Moga selepas ini pemusatan pengajian saya tidak lagi terlalu fokus kepada bidang hadith, tetapi dapat beranjak kepada pengajian tafsir bersama Ayahanda Dr Abdullah Yassin. Insya Allah.



MOGA INILAH JALAN YANG SEBENAR
Saya sentiasa berdoa, agar inilah jalan yang sebenar harus saya lalui selepas banyak fasa saya telah lalui. Mungkin benar kata sahabat saya, bahawa perjuangan dakwah Sunnah di MMU mula disedari dengan banyaknya tribulasi dan sekatan-sekatan yang dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan perjuangan menegakkan kembali Quran dan Sunnah di Malaysia khususnya di MMU. Moga perjuangan ini tidak futur di pertengahan jalan, dan tidak lelah dimakan masa. Kerana perjuangan mengembalikan masyarakat agar berpegang kepada Quran dan Sunnah dengan apa yang difahami oleh para sahabat, tabien dan tabiut tabien adalah jalan yang telah ditunjuk oleh rasulullah sendiri. Moga kita terus ke hadapan dan terus menghadapi semua ini.

Seeru ala barakatillah...............

No comments:

Post a Comment