Wednesday, February 25, 2009

SEBUAH WARKAH FEBRUARI

Terima kasih dan terima kasih. Itu sahaja ucapan yang dapat saya ungkapkan. Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang mendoakan kebaikan dan kesejahteraan ke atas diri saya. Tiada balasan yang sebaiknya, kecuali dari Allah yang maha pemurah dan penyayang.

Panggilan pertama saya yang saya perolehi adalah dari Kakak kesayangan saya. Kerana terlalu excited katanya, dia telefon saya sangat awal kira-kira jam 9 malam. Terima kasih Kak Ina! Kemudian kakak kedua saya, seterusnya barulah abang-abang saya dan ibu-bapa saya.

Ibu saya menangis, menangis sebab dia mimpikan saya. “Tidak perlu difikirkan mainan mimpi itu.” Pujuk saya. Ibu mana yang tidak sayang pada anaknya, lagipula anak bongsunya. Saya faham bagaimana perasaan beliau. Ayah saya macam biasa, ungkapan Selamat hari lahir nya yang pendek tetapi amat berharga buat saya. Terima kasih sebab memahami diri anakmu ini. Terima kasih selama 22 tahun, ayah dan ibu masih setia dan bersedia melayanku. Hanya doa yang dapatku titipkan. Sebuah pengharapan dan keinginanku, aku panjatkan pada Allah agar sentiasa memberikan kesihatan dan umur yang panjang kepada kedua ibu-bapaku.

Hadiah? Saya dapat sebuah hadiah istimewa dari Allah. Kalau dulu saya sekadar melihat beliau dari jauh, dan mendengar setiap kata-kata beliau dari jauh. Kini semuanya saya dapat lihat, dengar dan rasa dari dekat. Terima kasih Allah kerana pertemukan saya dengan Brother Engku Fauzi. Seorang Tokoh dan Pakar perbandingan Agama Islam-Kristian yang dihormati dikalangan pengkaji Kristian di Malaysia. Saya dapat belajar terus daripada beliau. Dapat nasihat terus dari beliau dan dapat semangat untuk mengkaji Kristian terus juga daripada beliau. InsyaAllah, bulan 3 ini saya akan ke rumah beliau. Untuk mendalami lagi kajian saya terhadap agama Kristian.

Akhir sekali, saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua. Moga umur yang semakin meningkat ini, meningkatkan iman dan ketaqwaan saya kepada Allah. Saya sudah mencapai satu dari cita-cita yang saya selalu doa kepada Allah. Saya berharap cita-cita kedua saya pada tahun ini dapat dicapai juga, iaitu menjadi Kristalog yang berwibawa. Amiennn....


Friday, February 20, 2009

ILMU YANG DIPINGGIRKAN OLEH PENDAKWAH


Ilmu Perbandingan Agama, Comparative Religion, Muqaranah al-adyan, ketiga ini mewakili makna yang sama, iaitu pengetahuan tentang perbezaan agama. Sebut sahaja nama-nama besar dalam ilmu ini, Syeikh Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik, Brother Shahkirit, Brother Amin Yaacob dan YM Engku. Pasti semua orang akan terbayang tentang betapa petahnya mereka berhujah, terutama dalam perbandingan Agama Islam dan Kristian.

Tetapi kita sebenarnya terlupa atau tidak mengetahui, bahawa sebelum tokoh-tokoh di atas wujud di muka bumi ini, sudah ada ulama besar yang hebat dalam ilmu perbandingan agama . Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, Hujatul Islam Abu Hamid al-Ghazali, Imam Ibnu Qoyim al-Jauziah, dan Maulana Syeikh Koiranvi hanyalah sebilangan tokoh ulama zaman lampau yang gigih dab konsisten dalam ilmu ini.

Misalnya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya yang bertajuk Al-Jawab al-Sahih Li-Man Baddala Din al-Masih. Sebuah kitab yang berisi 1000 halaman ini dikarang oleh beliau sebagai tindak-balas menjawab pertuduhan yang dilemparkan oleh Paul of Antiouch (seorang Bishop Kota Sida) dalam sebuah risalah 24 halaman. Bukan setakat sebuah kitab, Ulama besar yang sering dilanda fitnah dan tuduhan-tuduhan liar ini, telah mengusahakan 5 buah kitab lagi bagi menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh penganut Kristian semasa zamannya.

Hal ini telah dikemukan oleh salah seorang anak murid beliau iaitu, Abdul Hadi(rujuk F.Michel S.J Thomas, A Muslim Theologian’s Response To Christianity: Seperti yang dikemukakan oleh Muhammed Amin Yaacob), “Ibnu Taimiyah telah menulis kitab ini bagi menjawab ‘Assaf al-Nasrani iaitu seorang paderi Kristian yang dituduh menghina keperibadian Rasulullah. Kitab-kitab tersebut ialah : Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim Mukhalafat Ashab al-Jahim, Jawab Fi ihtijaj al-Jahmiyah wa al-Nasara bil Kalima, ar-Risalah al-Quhrusiyah: Khitab li-Sirjwas Malik Quhrus, Qawaid al-Kanais, Takhjil ahl –Injil wa- Nahj al-Sahih fi al-Raad ‘ala Man Baddala Din ‘Isa ibn Maryam al-Masih.


ILMU PERBANDINGAN AGAMA ADALAH SUNNAH

Allah berkata dalam surah Yunus ayat 94, “Maka jika kamu (Muhammad) berada dalam keragu-raguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu. Sesungguhnya telah datang kebenaran kepadamu dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu temasuk orang-orang yang ragu-ragu.”

Menurut Syeikh Muhammad Izzat al-Tahtawi seorang pakar perbandingan agama negara Syria dalam kitab al-Mizan Fi Muqaranah al-Adyan cetakan Darul Salam Syria, beliau berkata ayat di atas adalah dalil ataupun bukti bahawa ilmu perbandingan agama termasuk dalam ilmu-ilmu Islam. Ayat di atas secara jelas menyatakan kebenaran serta keunggulan Islam apabila dibandingkan dengan keseluruhan agama yang wujud di dunia, khususnya kepada Ahlu Kitab.(Seperti yang dikemukakan oleh Muhammad Amin Yaacob)

Usaha untuk membandingkan satu agama dengan agama lain, sebenarnya telah dilakukan sejak zaman para Sahabat lagi. Perkara ini dibuktikan dalam sebuah riwayat dimana Saidina Umar al-Khatab berjumpa dengan orang Yahudi yang sedang mempelajari Taurat. Kemudian beliau berkata, “Sesungguhnya aku datang hanyalah untuk membandingkan kitab Allah yang satu ini dengan yang lainnya". (Riwayat ini dari Abu Syaikh al-isbahani, dan dia berkata: Abu Yahya al-Razi menceritakan kepada kami, Sahl bin Uthman menceritakan kepada kami, Ali bin Mashar menceritakan kepada kami, dari Abu Daud dari al-Sya’bi. Sanad ini direkodkan oleh Imam Ibnu Qoyim dalam kitab Hidayatul Hayafari fi Ajwibatil Yahud wa Nasara).



SEJARAH DIALOG ISLAM-KRISTIAN

Dialog antara Islam dan Kristian sudah sekian lama wujud. Bukan kerana Islam membenci dan ingin bermusuh dengan Kristian. Tetapi disebabkan dekatnya akidah mereka dengan akidah umat Islam. Penganut Kristian mempercayai Jesus Crist, manakala dalam Islam mempercayai bahawa Jesus itu adalah Nabi Isa yang kita hormat dan cintai. Penganut Kristian mempercayai Jesus adalah anak kepada Maria tanpa bapa dan boleh bercakap ketika masih bayi. Islam juga beriman dengan kepercayaan tersebut. Perkara ini disebutkan dalam Quran surah al-Imran ayat 45-47, Allah berkata,

“ (Ingatlah), ketika Malaikat berkata: "Hai Maryam, seungguhnya Allah menggembirakan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimat (yang datang) daripada-Nya, namanya Al Masih Isa putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan termasuk orang-orang yang didekatkan (kepada Allah), dan dia berbicara dengan manusia dalam buaian dan ketika sudah dewasa dan dia adalah termasuk orang-orang yang saleh." Maryam berkata: "Ya Tuhanku, betapa mungkin aku mempunyai anak, padahal aku belum pernah disentuh oleh seorang laki-lakipun." Allah berfirman (dengan perantaraan Jibril):"Demikianlah Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Apabila Allah berkehendak menetapkan sesuatu, maka Allah hanya cukup berkata kepadanya:"Jadilah", lalu jadilah dia.”

Kebersamaan dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan kepercayaan antara Kristian dan Islam, sebenarnya adalah satu keuntungan untuk para pendakwah Islam. Sehinggakan Allah sendiri menggalakkan umat Islam mencari persamaan dengan Ahlu Kitab, sepertimana yang Allah katakan dalam surah al-Imran ayat 64, Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah."
Sejarah membuktikan bahawa dialog antara Islam dan Kristian telah dimulakan sendiri oleh Baginda s.a.w dengan sekelompok perwakilan Kristian dari kawasan Najran. Perwakilan ini diketuai oleh Abdul al-Masih serta Abu Haritshah bin Al-Qomah, Bishop Najran. Dialog ini dipetik dari kitab al-Mizan fi Muqaranah al-Adyan.

Selepas Rasulullah wafat, dialog-dialog antara Islam dan Kristian terus berkembang. Antaranya sebuah dialog yang terkenal antara seorang sahabat Rasulullah yang bernama Amru bin Al-‘As pada 9 Mei 639 Masihi dengan seorang ketua Gereja Ya’qubiyah. (Newman, N.A, The Early Christian-Muslim Dialogue (Interdisciplinary Biblical Research, Hartfield, Pennsylvania, USA. Seperti yang dikemukakan oleh Muhammed Amin Yaacob). Dialog tersebut berlangsung dengan beberapa soalan yang dikemukan oleh Amru bin Al-‘As kepada ketua Gereja tersebut. Antara persoalan yang ditanya ialah:

1. Ada berapa versi Bible pada penganut Kristian?
2. Mengapa wujud perbezaan konsep akidah di kalangan penganut Kristian?
3. Siapakah Al-Masih pada pandangan penganut Kristian. Adakah dia Tuhan ataupun tidak?
4. Apabila al-Masih yang diyakini penganut Kristian sebagai Tuhan berada dalam kandungan ibunya Mariam, siapakah yang mentadbir serta mengawasi langit dan bumi?


APAKAH USAHA KITA?


Di mana usaha kita? Adakah kita sekadar berbangga dan meletakkan tanggungjawab itu ke atas bahu tokoh-tokoh di atas? Buangkanlah alasan-alasan tidak cukup ilmu, tidak cukup masa, dan tidak cukup duit untuk terjun ke lapangan dakwah ini. Syeikh Ahmad Deedat menjadi tokoh besar dalam ilmu ini bermula dengan mengkaji kitab Izharul Haq, dan beliau dengan berani mula berdialog dengan paderi dan orang-orang Kristian.

(Penulis (berbaju palestin) bersama Rahmat (pengkaji Kristianiti), Edry (pengkaji Budha), Brother Abdul Aziz (pakar perbandingan agama), dan Naim)

Apabila Yusuf Estes bertanya kepada para peserta dalam sebuah seminar tentang apakah dalil yang sesuai untuk kita keluar berdakwah walaupun tahu sedikit? Brother Shahkirit menjawab, Balighul walau Ayah (Sampaikan walau sepotoh ayat: hadith ini sahih dalam Bukhari). Bukan memandai-mandai, tetapi sampaikan apa yang kita tahu. Dan untuk tahu, kita haruslah keluar mencari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan dakwah kepada orang bukan Islam.


Hendak seribu Daya, Tak Hendak seribu Dalih,

Banyak tempat dan pusat dakwah Islam menjalankan aktiviti untuk sesiapa yang berhasrat untuk menjadi pendakwah. Baru-baru ini, PERKIM USJ-Subang Jaya menganjurkan kursus perbandingan Agama serta cara-cara berdakwah secara berkhikmah. Kursus ini akan bermula pada 15, 22,29 Mac dan 5 April bertempat di PERKIM USJ-Subang jaya.

selain daripada itu, Islamic Information and Service Foundation juga sering mengadakan kelas-kelas perbandingan agama secara mingguan dan juga Intensif. Kelas ini akan diketuai oleh Brother Shahkirit dan para Alumni FCR. Untuk kelas Intensif selama dua hari, akan diadakan pada 21 dan 22 Februari 2009 ini di IIS setiawangsa. Yuran untuk pelajar RM 100 dan bukan pelajar ialah RM 120. Untuk urusan pendaftaran boleh hubungi Sister Mariam 016 238 1104 atau datang terus ke IIS Setiawangsa.

Saya berharap usaha-usaha dengan membuka kelas-kelas seperti di atas menjadi jalan dan peluang kepada kita semua, untuk mendekatkan diri kepada Allah dan berbakti kepada-Nya. Moga persoalan di mana usaha kita selepas ini, dapat dijawab dengan kegiatan dakwah kita kepada orang bukan Islam.


Seeru ala barakatillah...

Friday, February 13, 2009

KAKI DAN TANGAN INI UNTUK PERJUANGAN

“Pintu sudah terbuka!” Teriak Asfan dari luar rumah kepada Asyfar. Asyfar masih ketakutan. Bunyi dentuman dari kereta kebal Israil, mengetarkan hatinya. Tetapi Asfan sahabatnya tidak langsung gentar dan tidak ada sekelumit perasaan gentar terpancar dari wajahnya. Asfan masih teriak-teriak kepada Asyfar. Ibunya dan adiknya sudah syahid bertemu Allah. Hanya dia terselamat kerana lewat pulang dari masjid subuh tadi. Dia tidak ada sesiapa untuk bergantung lagi. Asyfar keseorangan tanpa kaum keluarga. Tetapi setiap kali dia mengadu tentang nasib dirinya, Asfan bersuara tegas mengingatkannya, “Aku bukan sahaja sebagai sahabatmu, tetapi aku juga adalah saudaramu Asyfar.”

“Kita mahu kemana Asfan?” Asyfar menguatkan kaki melangkah keluar dari rumahnya yang sudah roboh separuh. Dia melangkah-langkah besar, mengelak batu-batu besar yang menghalang langkahnya. Asfan girang melihat kesediaan Asyfar untuk keluar dari rumah itu, setelah 4 hari dia berkurung kerana kematian ibu dan adiknya. “Lilitkan ini dikepalamu. Walaupun ia hanyalah sehelai kain yang bertulis kalimah LailahailaAllah. Tetapi sebenarnya ia melambangkan bahawa umat Islam bersatu bukan atas dasar bangsa atau negara. Tetapi umat Islam bersatu atas dasar akidah yang sama.” Asfan membantu Asyfar melilitkan kain hijau yang bertulisan putih itu di kepala sahabatnya. Taatkala itu, air mata Asyfar luruh membasahi pipinya.

“Demi Allah yang menganugerahkan diriku dengan tanah ini, akanku abdikan diri ini demi agamamu untuk membebaskan tanah ini dari kekejaman Israil.” Teriak Asyfar sambil dia menggeggam tanah-tanah yang bercampur darah para pejuang Palestin itu.

”Ayuh, kita ke rumah Pakcik Ismail.” Ajak Asfan. Asyfar dan Asfan segera meninggalkan tempat itu menuju ke markas Hamas yang diketuai oleh Ismail Rasistensi. Di situ sudah ada beribu anak muda sedang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ismail. Semuanya khusyuk mendengar ucapan dari Ketua Pemimpin Hamas tentang perjuangan dan adab-adab ketika berperang.

“Adakah perjuangan kita ini kerana kita marah terhadap Israil yang telah membunuh keluarga kita? Atau kita berjuang ini adalah kerana mahu menegakkan agama Islam dan melindungi keluarga kita? Kalau tujuan utamanya adalah untuk membalas dendam. Demi Allah, saya tidak akan membenarkan anda untuk berjuang bersama kami. Kalaulah dendam menjadi tujuan utama, tinggalkanlah perjuangan ini. Pergilah duduk di rumah kamu semula. Kami hanya memerlukan mereka yang ingin berjuang demi Agama. Kami hanya inginkan para pemuda yang beriman, bertaqwa kepada Allah untuk sampai kepada tujuan kemenangan. Demi Allah, jika saya hanya ada 100 orang pemuda yang beriman itupun sudah mencukupi, cukuplah Allah sebagai penolong kepada kami dan kami akan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Tetapi saya sedar, bahawa ramai lagi para pemuda dan rakyat Palestin yang sama-sama mahu berjuang bersama kami atas dasar iman. Kami percaya semua itu. Oleh itu, saya sebagai ketua pemimpin Hamas di Gaza, menasihatkan kepada semua. Jika kita bertempur dengan para tentera Zionis Israil, jagalah adab-adabmu. Jangan mencincang tubuh-tubuh mereka atau menembak berulang-ulang jika mereka sudah mati, jangan di bunuh kanak-kanak dan para wanita, jangan dibunuh para pendeta mereka, jangan dihancurkan rumah-rumah mereka, jangan dipotong pohon-pohon mereka, dan janganlah kamu biadap dengan rumah-rumah ibadah mereka. Ini bukan pesananku wahai para pejuang. Tetapi ini adalah pesanan yang diucapkan oleh junjungan besar kita, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.”


Suasana di kawasan itu riuh rendah dengan laungan takbir dan kata-kata semangat dari para pemuda yang ada di situ, selepas Ismail Rasistensi mengakhiri ucapannya. Masing-masing berjanji dan bersumpah atas nama Allah, bahawa mereka berjuang semata-mata kerana Allah. Kekuatan mereka bukan hanya bergantung kepada alat senjata semata-mata, tetapi ikatan persaudaraan dan keyakinan yang besar mereka terhadap Allah.

Selama 22 hari bertempur dengan para tentera penceroboh Israil, sebanyak 5000 para pejuang syahid bertemu Allah. Bandar Gaza yang yang panjangnya bersaiz 40 kilometer, dan panjang 12 atau 5 kilometer, langsung tidak dapat dikuasai oleh tentera penceroboh Israil. Serangan udara, laut dan darat yang dilakukan oleh Israil sepanjang 22 hari, menemukan kegagalan dan penyesalan. Memalukan, membazir dan memenatkan. Tidak ada satu pun objektif Israil tercapai dalam pencerobohan mereka kali ini. Malahan di kalangan mereka berlaku perpecahan dan tidak ada persepakatan.

Kerinduan Asfan dan Asyfar kepada syahid telah dimakbulkan oleh Allah. Senyuman terukir dibibir mereka, ketika dikafankan. Tidak ada kekerutan dan kerasahan tergambar dari wajah-wajah para pencinta syahid. Buah-buah Strawberi di pinggir pantai Gaza masak dengan ranum,begitu juga sayur-sayuran di situ segar dan kehijauan. Tanah Gaza tidak pernah kering dengan rezeki Allah. Tanah Gaza sentiasa mengeluarkan hasil tanaman untuk rakyatnya menikmati anugerah dari Allah. Mereka tunduk mengEsakan Allah. Mereka taat dalam mengikuti perintah Allah. Dahi-dahi mereka tidak pernah sesekali terlupa atau sengaja dilupakan untuk tunduk sujud kepada yang Esa. Hati-hati mereka tidak pernah sesekali lalai , dan hati-hati mereka sudah diikat dengan tali-tali Allah.

Walaupun Gaza sudah tidak sama seperti dahulu, tetapi mereka tidak pernah menyesal atau merungut. Malahan mereka sangat gembira tinggal di tanah air mereka. Walaupun banyak ruang untuk mereka keluar dan melarikan diri dari terlibat dengan peperangan ini. Kaki-kaki mereka tidak pernah berhasrat untuk keluar dari Palestin. Kerana mereka tahu, bahawa negara mereka adalah tanggungjawab mereka. “Demi Allah yang menciptakan langit dan bumi, tangan-tangan dan kaki-kaki ini akanku gunakan untuk berjuang demi membela akidah dan iman yang ada di dada ini.” Sayup-sayup suara Asfan yang pernah diteriakkan kedengaran di seluruh pelusuk Gaza. Umurnya baru 25 ketika Syahid, tetapi perjuangannya membawa erti untuk seluruh generasi Palestin yang akan datang.

Thursday, February 12, 2009

MANA LEBIH BAIK MENIPU ATAU DITIPU


Sama ada kita kaki menipu atau selalu ditipu, kedua-duanya tidak baik untuk manusia yang mempunyai harga diri. Dua perkataan yang bunyi lebih kurang sama. Tetapi yang jelas, kedua-duanya mempunyai makna yang tersendiri. Menipu bermaksud, mengenakan tipu daya. Manakala ditipu pula ialah, diperdaya oleh orang lain. Kenapa harus menipu? Atau kenapa harus diberi peluang kepada orang lain untuk membenarkan mereka menipu diri kita?





KAK PAH TERTIPU

"Sudah dikecek,
dikecong pula."

Peribahasa di atas bermaksud, kena tipu lebih dari sekali. Amat malang bagi manusia yang tidak menjadikan kesilapan masa lalu sebagai panduan pada masa mendatang. Lebih malang apabila menyalahkan takdir di atas kesilapan diri sendiri akibat ditipu oleh orang lain. Menyalahkan takdir seperti juga menyalahkan Allah. Takdir itu tidak akan berlaku sekirannya, kita mengambil iktibar di atas perkara lepas. John Santayana pernah berkata, “Celakalah manusia yang mengulangi kesilapan yang pernah sejarah ceritakan.”

Kenyataan John Santayana ini disebenarnya telah disuarakan sendiri oleh Nabi Muhammad pada 1500 tahun lalu. Kata baginda, “Orang yang beriman tidak akan kena sengat dua kali dalam satu lubang" (Sahih Muslim). Apakah segnifikannya hadith di atas terhadap diri manusia? Hadith tersebut mengajar manusia bahawa kehidupan seseorang muslim yang mukmin, seharusnya terhindar dari melakukan kesilapan yang sama lebih dari sekali. Kerana ia melambangkan kebodohan dan kecuaian. Sedangkan Islam membawa panji kebijaksanaan dan keberhatian yang membawa kepada kebaikan kepada semua makhluk.

“Orang yang bijak itu nampak lebih besar walaupun umurnya masih muda, Manakala orang yang jahil itu nampak kecil walaupun umurnya sudah tua.”


Ayat di atas bukanlah hadith atau dalil-dalil yang dapat menghujahkan hukum. Ia cumalah sebuah ungkapan syair yang saya petik dari ribuan syair berbahasa Arab. Syair ini menggambarkan bahawa kebijaksaan itu tidak datang pada yang tua atau muda. Ia bergantung kepada manusia itu sendiri. Sama ada mahu menjadi Bijak atau Jahil. Beruntunglah mereka yang bijak dan mukmin, kerana mereka tidak akan menipu dan tertipu.


SAYA GURAU SAHAJA

“Siapakap senohong, Gelama ikan Duri, Bercakap bohong, lama-lama mencuri.”

Bohong atau menipu adalah dua perkataan yang sama maknanya. Orang-orang Melayu dahulu, sangat kreatif dalam membina peribahasa. Ungkapannya indah, halus bunyinya dan mendalam isinya. Bohong atau menipu, membawa impak besar kepada diri yang menipu dan juga orang sekelilingnya. Kerana menipu bukan sahaja membawa impak negatif diri penipu, tetapi kadangkala memberi kesan kepada masyarakat. Menipu dalam apa jua, adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam.

Sehinggakan Rasulullah menegaskan bahawa menipu untuk sekadar bergurau juga tidak dibenarkan dalam Islam. Sepertimana yang dikatakan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith, “Celakalah orang yang berbicara, padahal dia menipu, untuk sekadar membuat orang-orang tertawa, celakalah dia, kemudian celakalah dia." (Hadith ini Sahih dalam Bulughul Maram oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqolani)

Moga kita tidak termasuk dikalangan orang yang menipu dan tertipu. Kerana orang yang bergantung harap kepada Allah, dan sentiasa berusaha untuk menjadi Muslim yang mukmin, pasti tidak akan menipu atau tertipu. Artikel ini diharapkan dapat memberi teguran dan peringatan untuk kita bersama, termasuklah kepada diri penulis. Kepada Allah segalanya dikembalikan..

Monday, February 9, 2009

Mencari cinta Shab Turab episod 8


Pelbagai soalan terus-menerus mengusutkan kepalanya. Buku-buku yang dibaca telah mencakupi pelbagai aspek, termasuklah mengkaji pelbagai agama untuk dianuti. Tetapi kenapa hanya agama Islam sahaja yang terus mencabar dan merobek-robek kepercayaannya bahawa tiada Tuhan dalam dunia ini.

Buku-buku orientalis karangan Goldziher, Gustaf Lobon, Hamilton Gibb, Bernard Lewis dan Montgomery Wat tersusun rapi di atas meja Julia. Tetapi buku-buku itu tidak dapat memberi jawapan kepadanya. Malahan lebih menjengkelkan apabila buku-buku tersebut banyak melakukan penipuan fakta dan penyelewangan terhadap Islam.

Orientalis sejak 10 Masihi lalu sudah lama mendendami Islam. Semuanya gara-gara kekalahan di dalam perang salib, yang membawa ramai raja-raja Kristian menganut agama Islam. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh golongan Orientalis ini, termasuklah membuka pelbagai pusat pengajian dan perguruan tinggi di pelbagai tempat di negara-negara Eropah.

Kerja yang diberikan oleh Dr. susan shannon masih lagi tidak dapat disiapkan Julia. Buku a handful basics to Autodesk 3dsMAX yang baru dibeli sebentar tadi masih belum diusik. Kerjanya kali ini memerlukan dia merujuk kepada buku tersebut. Tetapi kepalanya kusut, dia masih memikirkan tentang Islam. Kenapa dia terlalu tertarik untuk mengkaji Islam. Sedangkan sejak kecil dia sudah menganuti agama Kristian. Semasa kecil, dia sudah diajar bahawa Jesus akan datang menyelamatkannya. Jadi kenapa harus dia mencari agama lain selain dari Kristian.

Oragan masih nyenyak tidur. Bunyi dengkurannya membuatkan Julia rimas. Dia segera menutup buku 3dsMAX, kemudian dia menyarung baju sejuknya. Angin sejuk bersuhu 5 darjah celcius, menyapa kuat kemuka Julia. Cepat-cepat dia keluar dari biliknya dan menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh dari rumah sewanya. Jalan di sekitar bandar Adeleide lengang. Biasanya selepas jam 5 petang pada hari-hari biasa, jalan di sekitar Norwood kosong. Julia memandu perlahan sambil memandang kawasan sekitar rumahnya. Dulu dia tidak biasa dengan kawasan tersebut, tetapi sekarang Adelaide adalah negara keduanya, terutama Norwood.

Sudah 4 tahun dia berada di Adelaide menyambung pengajian dalam bidang Arkitek di Universiti Adelaide. Kalau dulu dia keseorangan di sini, tetapi kini sudah ramai warga United Kingdom melanjutkan pengajian di Australia. Menurut The Advertiser , iaitu salah sebuah akhbat popular di Australia menyatakan Selatan Australia dijangkakan akan mempunyai 30,000 pelajar dari luar negara pada akhir tahun 2008. Dan jumlah ini merupakan angka terbesar dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain dalam Australia. Jadi tidak hairanlah, kalau kelihatan ramai muka orang-orang Asian dan Timur tengah di sekitar Norwood dan kawasan-kawasan lain di Adelaide. Julia ketawa sendirian. Dia masih ingat bagaimana pertama kali dia menjejakan kaki di Adelaide. Wajahnya sunggul, dia hanya melongo apabila diberi penerangan oleh Petter. Semuanya baru bagi dia. Kawan baru, rumah baru, kawasan persekitran yang baru, cuaca baru, dan serba-serbinya baru.

Ketika sampai di Monumen WW I, galipoli yang tidak berapa jauh dari Norwood, Julia memperlahankan kenderaan. Matanya liar ke sana-sini mencari sesuatu, kemudian dia tersenyum sendirian sambil melihat sebuah tandas di situ. Julia terkenang semasa mula-mula sampai di Adelaide, dia tidak tahu bagaimana mahu memasuki tandas tersebut. Terlalu kompleks, selama 10 minit dia mencuba untuk masuk tapi tidak berhasil. Akhirnya ada seorang warga Australia membantunya dengan hanya menekan satu butang di situ.

Setelah ditekan pintu tandas itu terbuka persis pintu lif. Masuk sahaja ke dalam tandas, kedengaran muzik memenuhi ruang menjadi halwa telinga. Terasa kagum dan pelik menyelinap di hati Julia. Sama ada gila atau terlalu unik warga Australia, bisik Julia.


Pin..pin...

Bunyi hon dari kerete belakang, mematikan lamunannya. Cepat-cepat Julia menghidupkan enjin keretanya, kemudian berlalu pergi. Walaupun warga Australia terkenal dengan kesopanannya di jalan raya, tapi awas jangan sesekali berhenti di tempat-tempat yag tidak sepatutnya berhenti. Sesekali bas Metroadelaide, pengangkutan awam utama di Adelaide memotong kereta Julia. Beberapa anak-anak kecil di dalam bas melambai-lambai ke arah Julia. Julia tersenyum pahit ke arah mereka. Perasaannya masih dibelenggu, dia seakan-akan terkurung di balik jeriji yang tidak dikunci.

“Baik aku ketemu Islam Haneef di Masjid Gilbert, mungkin dia dapat membantu aku merungkai segala persoalan yang berkusut di kepalaku ini.” Julia memujuk hatinya, agar fikiran dan tubuh badannya juga dapat mengikut gerak hati.

Masjid Gilbert sunyi, warna kulit masjid itu kusam dan kaku. Masjid tertua di Adelaide itu, semakin lama semakin tidak dapat menampung kebanjiran orang ramai untuk bersolat di dalamnya. Julia melangkah masuk ke dalam masjid, dia sudah biasa ke situ untuk bertemu dengan Islam Haneef. Tidak jauh dari pintu utama kelihatan sahabatnya terbongkok-bongkok sedang mengemas al-quran.

“Islam!” Panggil Julia separa menjerit. Islam memalingkan kepalanya, kemudian meletakkan jari telunjuk ke mulut, memberi isyarat kepada Julia supaya jangan bising. Julia masih tersenyum, kemudian cepat-cepat mendapatkan Islam dan memeluknya.

“Aku rindu padamu,” Kata Julia.

“Aku juga begitu.” Islam memeluk erat-erat batang tubuh Julia yang sedikit berisi itu.

“Ada urusan apa kau datang ke sini Julia? Tidak pernah kau datang melawatku pada waktu-waktu begini.” Islam memimpin tangan Julia ke dalam bilik pejabatnya di tingkat atas.

“Aku bingung Islam. Kusut aku memikirkan tentang agamamu.”

“Kusut yang bagaimana? Islam adalah solusi kepada kehidupan, bukan membawa kekusutan kepada penganutnya.”

“Kau mahu minum apa?”

“Air teh sahaja.”

Islam memanaskan air. Dia mengambil seuncang teh, kemudian merendamnya ke dalam sebuah teko. Uncang teh yang digunakan tadi dia buang dengan cermat ke dalam tong sampah yang berada di sebelahnya.

“Berapa sudu gula?” Soal Islam pada Julia.

“Dua.”

Bunyi hentakan sudu dengan teko semasa membancuh teh memecahkan kesunyian malam itu. Perlahan-lahan Islam menggaul gula dengan teh, sehingga sebati dengan air teh yang kekuningan itu.

“Kau percaya tuhan?” Tangan-tangan Islam terhenti. Bunyi-bunyian sudu berhentakan dengan teko hilang dibawa angin. Islam memandang ke arah Julia, matanya bertemu dengan mata Julia. Dia seakan-akan melihat ada sesuatu yang besar sedang melanda jiwa Julia.

Julia mengulangi: “Kau percaya atau tidak?” Air mata Julia mengalir laju, dia seolah-olah anak kecil yang sedang meminta jawapan dari sang ibu, tetapi si ibu tidak dapat menjawab persoalan itu. Suaranya bergetar kuat, dadanya berombak laju.

“Tuhan itu sangat dekat dengan kita Julia,” Islam menyeka air mata yang mengalir panas di pipi Julia. “Malah, Dia sangat menyintai kita dan sangat memahami diri kita.”

“Kau mahu tahu apa tuhan aku cakap tentang diriNya?” Soal Islam pada Julia. Julia mengangguk perlahan, “Aku mahu tahu.”

Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setanding dengan Dia." Sebutit-butir surah al-Ikhlas di baca Islam, kemudian menterjemahkan kepada Julia. Ayat suci itu menjadi petunjuk kepada manusia, bahawa Tuhan sudah lama berbicara dengan manusia. Tuhan berbicara dengan kalamnya, hanya manusia yang sedar dan tidak sombong dapat memahami bicara tersebut.

“Siapakah yang menciptakan perkataan yang kau baca tadi Islam?”

“Tuhan aku, iaitu Allah.”


“Julia!”
“Ya, kenapa kau jerit-jerit padaku. Aku belum pekak lagi.” Julia tidak berpuas hati bila diperlakukan begitu.

“Aku sudah memanggil namamu sebanyak 5 kali. Bukan aku sengaja mahu menjerit namamu. Maaf.” Ada sedikit kesal di hati Islam kerana menjerit sebegitu.

“Oh, ya ke? Maaf, aku tidak perasan. Aku berkhayal tadi. Teringat sewaktu aku mula-mula mempersoalkan tentang tuhan padamu dahulu.” Julia menghadiahkan senyuman kepada Islam. Giginya putih, bibirnya merah bak bunga ros yang sedang menguntum di pagi hari. Rekah-rekah bibirnya, langsung tidak mencacatkan kecantikan yang ada pada Julia.

“Ah, ada-ada saja kau ini. Kau mahu ikut aku ke perpustakaan atau tidak? Aku mahu membuat tutorial yang diberi Dr. Stanley semalam.”

“Erm, aku pun mahu buat sedikit ulangkaji subjek digital media II. Bahan rujukan pun banyak di sana. Aku ikut kau.”

Angin-angin pagi di Norwood semakin kencang. Daun-daun pohon yang terjulur ke dalam terangguk-angguk riang. Daun tingap berkeriuk tidak menentu. Kenderaan yang dinaiki Islam dan Julia, meluncur laju membelah angin sejuk yang sedang memeluk Norwood.


_____________________________________________________________

Apa terjadi kepada Yusuf? Siapakah lelaki yang berserban hitam itu? Dan adakah Julia sudah benar-benar beragama Islam? Atau masih ada keraguan di hatinya? Ikuti sambungan ke 9 pada artikel yang akan datang. Insya Allah....


Friday, February 6, 2009

Mencari cinta Shab Turab episod 7


“Apa mazhab kamu?” Ustaz Ismail menyoal Yusuf. Petang selepas tamat kuliah, Yusuf terus ke pejabat Ustaz Ismail bagi menyambung sessi soal-jawab yang lepas. Ustaz Ruhollah turut berada di situ.

Yusuf menarik perlahan-lahan nafasnya sehingga dalam, dia memandang satu-satu muka didepannya. “Saya mengikuti al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w.” Ustaz Ismail terhenti menulis sesuatu di sehelai kertas, kemudian mengangkat mukanya dan memandang Yusuf. “Sangat menarik!” Jawab Ustaz Ismail, Ustaz ruhollah terpinga-pinga mengapa Ustaz Ismail berkata menarik.

“Seorang Muslim wajib mengikut Mazhab. Dan sesiapa yang tidak ada mazhab maka ia adalah Syaitan!” Bentak Ustaz Ruhollah. Terkejut Yusuf, begitu juga Ustaz Ismail.

“Kalau begitu, saya nak tanya Ustaz apa Mazhab Saidina Abu Bakar dan para khalifah yang lain?” Yusuf menyoal kembali Ustaz Ruhollah. Ustaz Ismail sekadar memerhati.

“Ah! Kau harus mengikuti salah satu mazhab yang ada sekarang.”

“Kalau begitu, antara 4 mazhab yang ustaz katakan itu, manakah yang paling benar?”

“Err...” Ustaz Ruhollah tidak dapat menjawab. Lidahnya kelu.

“Segala puji bagi Allah. Perkara yang wajib bagi manusia ialah taat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta para ulul Amri. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surah an-Nisa ayat 59, “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu.”

Boleh saya menyambung ustaz?” Soal Yusuf pada Ustaz Ismail.

“Teruskan, saya suka mendengarnya.” Ujar Ustaz Ismail, terukir senyuman dari beliau.

“Ayat yang saya baca tadi membicarakan tentang kewajiban mentaati Ulil Amri, yang dijadikan oleh Allah sebagai menifistasi dari ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah juga berkata dalam surah .......” Yusuf tidak sempat untuk menyambung bicaranya, pintu pejabat Ustaz Ismail diketuk keras. Seorang lelaki berserban hitam melangkah laju memasuki ke ruangan pejabat. Dia mendengus keras, Ustaz Ismail bangun dan mempersilakan lelaki itu duduk ditempatnya.

#####################################


“Dr, kenapa banyak didalam hadith yang saya baca boleh dikatakan banyak meletakkan wanita di darjat yang rendah.” Soal Julia kepada Dr Hamzah Khalil profesor Teologi dan Islamic Studies semasa di dewan makan.

Dr Hamzah berkerut mendengar soalan dari pelajar di depannya ini. Sudah acap kali Julia bertemu dengan Dr Hamzah dan kebanyakkannya semua soalan yang diajukan sangat mencabar. Tapi tidak pernah sekali pun Dr Hamzah menghampakan Julia dalam setiap soalan yang ditanya.

“Ya ke?” Soal Dr Hamzah selamba.

“Dr saya tidak main-main, setakat ini saya sudah menjumpai 3 hadith yang merendahkan martabat wanita.” Suara Julia sedikit keras mempertahankan apa yang di perolehi melalui pembacaannya.

“Kamu membaca hadith Rasulullah untuk mencari kesalahan atau ingin mencari kebenaran?”

“Saya mencari kedua-duanya, saya yakin jika hadith ini benar-benar datang dari Nabi Muhammad, pasti tidak ada kesalahan di dalamnya. Dan jika tidak ada kesalahan, maka telah terbukti bahawa keseluruhannya adalah benar.” Julia tidak mengalah. Tersenyum Dr Hamzah mendengar jawapan balas dari pelajarnya itu.

“Baiklah, sebutkan hadith yang kamu rasa ia merendahkan martabat wanita.” Ujar Dr Hamzah.

Suasana di dewan makan yang hingar-bingar tidak diendahkan oleh Julia, yang penting dia dapat memuaskan hatinya. Kawan-kawannya yang lain sudah lama pulang selepas kelas Christianity believe yang diadakan setiap minggu oleh Brother Johson, Cuma dia sahaja belum pulang. Julia mengeluarkan sehelai kertas yang tercatat di atasnya tulisan arab dan juga terjemahan.

Kemudian Julia membaca terjemahan hadith tersebut perlahan-lahan dan berhati-hati, takut-takut dia tersalah baca. “Nabi Muhammad s.a.w berkata, “Berhati-hatilah kamu dari bersendirian dengan wanita, demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang lelaki yang bersendirian (bersembunyian) dengan wanita malainkan dimasuki oleh syaitan antara keduanya. Dan, seorang yang bergeseran dengan babi yang berlumuran dengan tanha atau itu lebih baik daripada bersentuhan bahu dengan bahu wanita yang tidak halal baginya.”(Hadith ini dikeluarkan oleh al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir, dan dinukil oleh al-Haitami dalam Majma al-Zawaid. Dan telah berkata al-Haitami riwayat Tabrani ini didalamnya terdapat Ali bin Yazid al-Alhani, dia sangat dhaif tetapi hadith ini terdapat syawahid (penguat).)


Dr Hamzah menutup mata, seakan-akan sedang menghayati setiap bait-bait hadith tersebut yang dibaca oleh Julia. Kemudian dia menulis sesuatu di atas kertas.

“Begitulah maksud hadith tersebut yang saya jumpa ketika membaca buku di perpustakaan semalam. Apa yang saya tidak puas hati, Rasulullah menyamakan wanita sama tarafnya dengan babi. Dr lihat perenggan ini, seorang yang bergeseran dengan babi yang berlumuran dengan tanah atau itu lebih baik daripada bersentuhan bahu dengan bahu wanita yang tidak halal baginya.”

Dr Hamzah membuka matanya, kemudian memandang tepat ke arah mata Julia, kemudian senyum. Julia serba salah dipandang sebegitu oleh Dr Hamzah. Dia melarikan anak matanya.

“Hadith itu tidak ada sebarang masalah dan cumanya kamu tidak faham maknanya secara keseluruhan, ujar Dr Hamzah menyambung bicara. Dalam bidang hadith, terdapat satu isitilah iaitu ‘Targhib dan Tarhib’ yang bermaksud peringatan dan ancaman. Hadith tersebut disampaikan oleh Nabi Muhammad sebagai peringatan dan ancaman kepada sesiapa yang berdua-duaan tanpa ada ikatan yang sah, iaitu perkahwinan. Perkataan bersentuhan bahu dengan bahu wanita sampai akhir itu, adalah bahasa kiasan yang menunjukkan bahawa kes ini bukanlah sekadar berdua-duaan tetapi lebih daripada itu lagi, yang melibatkan sentuhan,meraba-raba dan lain-lain. Perkara ini sangat dilarang dalam Islam, sepertimana yang dikatakan oleh Allah dalam surah al-isra’ ayat ke 32”, Julia dengan segera membuka sebuah Quran terjemahan yang sentiasa dia bawa kemana-mana.

“Boleh kamu bacakan apa yang disebut oleh Allah dalam ayat tersebut.” Arah Dr Hamzah pada Julia. Julia mengangguk tanda setuju, dan dengan segera dia membaca terjemahan ayat tersebut. “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”

“Baik, terima kasih Julia. Ayat yang kamu baca tadi bukan sekadar Allah melarang perbuatan zina, tetapi mendekatinya pun sudah tidak boleh. Inikan pula perbuatan sentuh-menyentuh, meraba-raba dan yang sewaktu dengannya.”

“Pebuatan-perbuatan yang mendekati zina adalah perkara yang keji , dan inilah yang diumpakan atau dikiaskan oleh Nabi Muhammad sebagai lebih baik bersentuhan dengan babi dari bersentuhan dengan wanita.” Tambah Dr Hamzah lagi.

“Oh begitu ke?” Julia puas mendengar penjelasan dari Dr Hamzah.

“Bukan hanya Rasulullah tidak pernah merendahkan martabat wanita, malahan Rasulullah sering memuji para wanita. Antaranya ialah sebuah hadith Ahmad, An-Nasai’ dan al-Hakim bahawa Rasulullah berkata, “Digemari aku kepada dunia kalian ialah wanita dan wangi-wangian, dan dijadikan solat penyejuk kepada mataku.”

“Terima kasih Dr kerana seringkali memberi peluang dan menjawab pelbagai pertanyaan saya yang pelik-pelik. Esok boleh kita bertemu lagi untuk membincangkan hadith-hadith yang seterusnya?” Pinta Julia.

“Baiklah, tapi bukan di sini. Bila-bila masa kalau kamu mahu bertanya lagi, sila buat temu-janji dan kita akan berbincang di perpustakaan. Saya pun mahu pulang ini, insya Allah kita akan berjumpa lagi.” Dr Hamzah bangun dan menggalas begnya. Dia terus berlalu pergi, meninggalkan Julia dengan perasaan yang sangat puas. Julai memerhatikan Dr Hamzah hingga hilang dari matanya...

“Terima kasih Dr.” Ujar Julia perlahan.


Sambungan episod 8 akan di siarkan tidak berapa lama lagi.
Kepada para pembaca yang baru pertama kali mengikuti novel berepisod Mencari Cinta Shab Turab ini. Saya sarankan membacanya dari mula:

Episod 1

Episod 2
Episod 3
Episod 4
Episod 5
Episod 6


Thursday, February 5, 2009

KUASA DAN HARTA


"Lompat si katak lompat, lompatlah tinggi-tinggi, hingga sampai ke cucur atap.”

Saya tidak tahu, adakah lagu di atas sesuai untuk dinyanyikan dalam keadaan yang sedang mendesak di Perak kini. Saya juga tidak tahu, adakah keinginan yang meluap-luap untuk menakluki sebuah negeri dengan pelbagai cara juga, adalah sesuai dilakukan saat ini. Kalau dulu manusia di ajar untuk jangan terlalu obses dengan kekuasaan. Tetapi kini, kita semua diajar, bahawa teori Machiavelli wajib untuk diaplikasikan dalam dunia politik Malaysia. Atau saya sendiri tersilap menafsir didalam kabut yang sedang melanda?

Ingin menjaga kebajikan rakyat atau sekadar mahu berkuasa atau menunjuk kuasa itu tujuannya? Saya tidak pasti, apakah tujuan sebenar yang tersirat disebalik hati-hati mereka. Kalau kerana kebajikan rakyat, kenapa begitu rakus ingin berkuasa tanpa melihat apa yang rakyat khendaki? Jika mahu berkuasa, terang-terang sudah dapat dilihat dengan mata kasar. Saya pasti orang buta pun sudah dapat menganggak apa yang sedang berlaku dalam kebisingan yang sedang berlaku sekarang. KUASA DAN HARTA adalah dua perkara menjadi idaman dan hala tuju. Walaupun seboleh mungkin ia ingin dinafikan.

Saya sudah pasti apa yang akan dilakukan oleh Saidina Umar al-Khatab ataupun cucundanya Umar ibnu Aziz, jika perkara ini berlaku semasa pemerintahannya! Tapi dalam tampok pemerintahan sekarang, saya sekadar menangisi bangsa saya sedang melatah di tempat sendiri. Saya dan semua merindui pemerintahan Khalifah-khalifah Rasulullah, termasuk Umar ibnu Aziz. Bila lagi ia akan berlaku?

Tuesday, February 3, 2009

DIARI ISLAM ADA AGENDA SYIAH

BAHAYA:DAKWAH SYIAH MENYELINAP DALAM DIARI ISLAM 2009
‘SUNGGUH LICIK DAN TELITI’
23 Januari 2009 12.47 malam, Negeri Sembilan

Diari bukan sekadar seharusnya menjadi tempat ‘mengingat’ ataupun tempat meluahkan perasaan. Diari sebenarnya berfungsi lebih daripada itu. Disebabkan itu, pihak yang tidak bertanggungjawab tanpa segan-sila meluaskan propaganda songsang dalam diari-diari cetakan mereka. Baru-baru ini saya membeli sebuah diari Islam 2009 di Seremban. Ketika di rumah semasa saya sedang menulis dan membelek-belek diari tersebut, saya agak terkejut apabila membaca satu penjelasan berkenaan dengan al-Fatihah sebagai Umul Kitab. Bukan terkejut tentang al-fatihah sebagai umul kitab, tetapi terkejut dalam penerangan-penerangan disitu yang terdapat unsur Syiah yang cuba diserapkan. Sangat jelas, penyebaran Akidah Syiah Imam Dua Belas ditulis dan dicoretkan di dalam diari itu secara senyap dan licik.


DUA BELAS IMAM
Sesiapa yang memiliki diari Islam tersebut, cuba lihat di bahagian nama-nama Imam sebanyak 12 yang ditulis di situ. Bermula dengan Imam Ali bin Abi Thalib sehingga Imam Abu Qasim Muhammad bin al-Hassan yang dikenali sebagai Imam Mahdi di kalangan Syiah.

1 ‘Ali bin Abi Talib r.a. (23 sebelum Hijrah-40H). Mereka memangilnya sebagai ‘al-Murtada.
2 Al-Hasan bin ‘Ali r.ahuma. (2H-50H). Mereka menggelarnya al-Mujtaba.
3 Al-Husain bin ‘Ali r.ahuma (3H-61H). Mereka menggelarnya al-Syahid atau juga Sayyid al-Syuhada (penghulu para syuhada.
4 ‘Ali Zain al-‘Abidin bin al-Husain (38H-95H). Dipanggil al-Sajjad.
5 Muhammad bin ‘Ali (57H-114H). Dipanggil al-Baqir.
6 Ja’far bin Muhammad (83H-148H). Dipanggil al-Sadiq..
7 Musa bin Ja’far (128H-183H). Dipanggil al-Kazim.
8 ‘Ali bin Musa (148H-203H). Dipanggil al-Rida.
9 Muhammad bin ‘Ali (195H-220H). Dipanggil al-Jawwad.
10 ‘Ali bin Muhammad (212H-254H). Dipanggil al-Hadi. .
11 Al-Hasan bin ‘Ali, (332H-360H). Dipanggil al-‘Askari..
12 Muhammad ibn al-Hasan48 (256H- ) Mereka menganggapnya sebagai alMahdi atau mereka mereka memanggil juga al-Mahdi al-Qaim bi al-Hujjah. Dia sebenarnya meninggal semasa kecil ketika berumur 5 tahun pada tahun 261H, namun mereka menganggap hilang bersembunyi dan akan muncul semula sebagai al-Mahdi yang dijanjikan.

Pasti ada menyoal saya kembali, apa guna dan apa faedahnya saya membongkar misi dakwah syiah yang terdapat dalam diari tersebut. Tetapi atas kesedaran dan tanggungjawab saya untuk menjelaskan apa yang saya dapat lihat dan perasan dalam diari tersebut. Saya merasakan perkara ini harus diceritakan dan diberitahu
.
Apa yang dapat saya katakan kepada anda semua, bahawa dakwah Syiah adalah sesuatu yang serius, BERBAHAYA dan perlu dipandang berat oleh semua pihak. “Tapi bukan semua Syiah sesat.” Ya Memang benar, bukan semua Syiah sesat dan artikel ini juga bukan bermotifkan untuk menyesatkan sesiapa. Tetapi sebagai satu alat untuk memberi kesedaran dan memberi peringatan tetang betapa liciknya dakwah syiah dalam kehidupan seharian kita.

Sebelum saya bercerita panjang mengapa kita menolak Syiah Rafidah atau Imam Dua Belas, dan bagaimana kita mahu membendung perkara ini dari menyelinap dalam bahan bacaan kita. Saya mahu memberikan sedikit penjelasan ringkas, siapa itu Syiah dan Syiah kategori mana yang kita tolak.

Gelaran Syiah lazimnya ditujukan kepada setiap orang yang setia (wala’) kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya radhiallahu ‘anhum, sehingga ia menjadi nama gelaran yang khusus bagi mereka. (al-Fairuzabadi – al-Qamus al-Muhith, ms. 735, seperti yang dikemukakan oleh Hafiz Firdaus dalam bukunya ‘Jawapan Ahlu Sunnah kepada Syiah Rafidhah dalam persoalan Khalifah’)

Namun begitu, Syiah yang benar-benar kita (Ahlu Sunnah Wal Jamaah) tolak ialah Syiah Rafidah. Iaitu golongan yang menolak kekhalifahan dan keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman. Mereka juga menolak para imam daripada keturunan Ahl al-Bait Rasulullah kerana mereka (para imam daripada keturunan Ahlu Bait) juga mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta mengutamakan mereka bertiga di atas ‘Ali bin Abi Thalib.


MENGAPA KITA MENOLAK SYIAH RAFIDHAH DAN IMAM DUA BELAS
Mengapa kita menolak Syiaf Rafidhah? Jawapannya, kerana Saidina Ali sendiri menolak mereka dan Nabi Muhammad juga telah mengingatkan kita tentang golongan ini. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Ahmad dari Saidina Ali bin Abi Thalib, “Akan muncul di umatku di akhir zaman nanti satu kaum yang bernama Rafidhah, mereka menolak Islam.”

Bukan itu sahaja, mereka sendiri telah mengaku bahawa mereka menolak untuk beriman kepada Allah dan Rasul. Sepertimana yang dikatakan sendiri oleh ulama mereka iaitu, Nikmatullahi al-Jazairi dalam bukunya al-Anwar Nukmaniyah, “Sesungguhnya kami tidak akan pernah sepakat dengan mereka (Ahlu Sunnah Wal Jamaah) tentang Allah, Nabi dan Imam. Disebabkan mereka mengatakan: “Tuhan kami adalah yang Nabinya Muhammad dan khalifah setelahnya Abu Bakar, dan kami Rafidhah tidak beriman pada tuhan itu dan Nabi yang tadi, kerana Rabb yang Nabinya Muhammad dan Khalifah setelahnya adalah Abu Bakar bukanlah tuhan kami.” (Dr Abdul Rahim Ballouchiy)

Jadi apa kaitan Syiah Rafidhah dengan Syiah Imam Dua Belas yang didakwahkan dalam diari Islam ini? Kaitannya ialah, kedua-dua jenis Syiah ini adalah sama, namun yang membezakannya hanyalah manhaj(jalan/metod) mereka. Syiah Rafidhah ialah nama yang berkaitan dengan manhaj terhadap para sahabat r.a, manakala Syiah Imam Dua Belas berkaitan dengan manhaj Politik (Hafiz Firdaus sepertimana yang beliau petik dari kajian Maulana Asri Muhammad Yusuf)

Berbalik kepada 12 nama yang disenaraikan dalam diari tersebut sebagai imam, dan juga membawakan hadith staqalain bagi menguatkan hujah mereka dalam diari ini. Hadith ini dapat dilihat didalam diari tersebut di bahagian atas tajuk ‘Penguasa yang menguasai hari Pembalasan’. Saya tidak menafikan bahawa hadith tersebut sahih dan benar. Tetapi penjelasan yang dibuat oleh penyunting diari ini, sangat jelas mempunyai agenda Syiah. Hadith yang dinyatakan itu ialah,

"Ketahuilah wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah manusia. Aku merasakan bahawa utusan Tuhan-Ku (Malaikat Maut) akan datang dan aku akan memenuhinya. Aku tinggalkan kepada kalian al-Tsaqalain (dua perkara yang penting): Yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur’an), di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Maka berpegang teguhlah dengan Kitab Allah. (Perawi – Zaid bin Arqam – menjelaskan bahawa Rasulullah menekankan kepada berpegang dengan Kitab Allah. Kemudian Rasulullah menyambung): (Yang kedua ialah) Dan Ahl al-Baitku, aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahl al-Baitku. Aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahl al-Baitku. Aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahl al-Baitku." --- Sila rujuk penjelasan yang telah dibuat oleh saudara Hafiz Firdaus berkenaan dengan hadith ini di PENJELASAN

Ahlu Sunnah Wal Jamaah tidak pernah menafikan kewujudan dua belas insan mulia tersebut. Tetapi yang membuatkan Ahlu Sunnah berhati-hati ialah, apabila mereka memaksumkan 12 (sepatutnya 11, saya akan terangkan kemudian) imam tersebut, dan membuat Dua Belas insan tersebut sebagai teori Ahlu Bait mereka. Ali bin Husain bin Ali iaitu cucu Saidina Ali serta keturunannya dengan tegas menolak pengiktirafan Imam oleh golongan Syiah. Ali bin Husain dan keturunannya beritikad bahawa sistem Khalifah bercirikan warisan, maksum, dan penentu syariat agama tidak pernah ditetapkan oleh Allah dan Rasul. Disamping itu, mereka menjelaskan bahawa Saidina Umar, Abu Bakar dan Uthman adalah Khalifah yang sah, dan mereka bertiga memiliki keutamaan dan kemuliaan melebihi semua orang manakala mereka, (Ali bin Husain dan keturunannya) hanyalah manusia biasa. (Hafiz Firdaus Jawapan Ahlu Sunnah kepada Syiah Rafidhah dalam persoalan Khalifah)


TEORI IMAM DUA BELAS
Benar-benar wujudkaH Imam Dua Belas ini? Jawapannya tidak wujud. Kerana teori Imam Dua Belas ini hanyalah dicipta oleh kelompok Syiah sendiri. Insan-insan yang yang diletak oleh golongan Syiah ini wujud dan mereka adalah insan yang mulia. Tetapi teori Imamiyah yang mereka cipta itu hanyalah imaginasi mereka sendiri. Perkara ini dinyatakan sendirI oleh mereka dalam satu ‘hadith’ (hadith ini tidak pernah ada dalam kitab-kitab hadith Ahlu Sunnah Wal Jamaah) yang diriwayatkan dari Al-Kulaini dalam Al-Kaafi (2/18) dari Zurarah dari Abu Ja’far, dia berkata: “Islam dibangun di atas lima perkara:… shalat, zakat, haji, shaum dan wilayah (imamah)…” Zurarah berkata: “Aku katakan, mana yang paling utama?” Dia berkata: “Yang paling utama adalah wilayah.” (Rujuk Badzlul Majhud, 1/174).

Mereka memasukkan Saidina Ali, Hassan dan Husin sebagai penguat kepada teori mereka. Sedangkan selepas kewafatan Hassan bin Ali menurut sumber mereka sendiri bahawa syiah itu sendiri telah berpecah kepada 14 hingga 20 kumpulan (Rujuk Kajian Moojan Momen dalam bukunya ‘An Introduction to Shi’i Islam: Sumber sekunder Hafiz Firdaus). Kalau benar sekalipun, keturunan Ali bin Husain telah terhenti sehingga kepada Hassan bin Ali bin Muhammad bin Ja’afar al-Askari. Ini disebabkan Al-askari tidak mempunyai anak.

Kerana terdesak untuk melengkapkan teori Imam Dua Belas. Golongan Syiah ini telah membuat satu teori tambahan dengan mewujudkan seorang lagi imam yang dikenali sebagai Imam Mahdi dengan meminjam iktikad Ahlu Sunnah Wal Jamaah terhadap Imam Mahdi untuk melengkap Dua Belas Imam. Selain itu, untuk menambahkan lagi keunikan teori ini, mereka mengatakan bahawa Imam Mahdi ini ghaib dan akan muncul satu hari nanti.

Teori Imam Dua Belas ini diperkuatkan lagi dengan memaksumkan kesemua mereka dari sebarang dosa dan mengetahui perkara-perkara ghaib, persis seperti Nabi Muhammad s.a.w. Hal ini dapat dilihat melalui ungkapan Al-Khumaini (Khomeini), “Kami bangga bahawa para imam kami adalah para imam yang maksum, mulai Ali bin Abu Thalib hingga Penyelamat Umat manusia Al-Imam Al-Mahdi, sang penguasa zaman -baginya dan bagi nenek moyangnya beribu-ribu penghormatan dan salam- yang dengan kehendak Allah Yang Maha Kuasa, dia hidup (pada saat ini) seraya mengawasi perkara-perkara yang ada.” (Rujuk Al-Washiyyah Al-Ilahiyyah, hal. 5, dinukil dari Firaq Mu’ashirah, 1/192)

Dakwaan para Dua Belas Imam sama taraf dengan Nabi juga boleh dilihat dari ungkapan Muhammad Ridha al-Mudzaffar, “Kami (Syi‘ah) percaya bahawa al-Imamah, seperti kenabian, tidak dapat wujud kecuali dengan nas Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui lisan Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wasallam atau lisan Imam rahimahullah yang diangkat dengan nas apabila dia akan menyampaikan dengan nas imam yang bertugas sesudahnya. Hukum (sifatnya) ketika itu sama dengan kenabian tanpa perbezaan. Oleh kerana itu manusia tidak memiliki wewenang menyangkut siapa yang ditetapkan Allah sebagai pemberi petunjuk dan pembimbing bagi seluruh manusia, sebagaimana mereka (manusia) tidak mempunyai hak untuk menetapkan, mencalonkan atau memilihnya. (Rujuk Al-Aqaid Imamiyah yang dikemukakan oleh Hafiz Firdaus dalam kertas kerjanya ‘Bahaya Syiah kepada Umat Islam’)


APA TINDAKAN KITA SELEPAS MENGETAHUI?
Kita sudah mengenali tentang teori Imam Dua Belas ini. Dan seharusnya kita jelas bahawa senarai Imam yang terdapat dalam diari tersebut dan penggunaan hadith staqalain dalam diari tersebut, adalah dakwah Syiah yang sangat halus dan licik menyelinap dalam kehidupan Ahlu Sunnah Wal Jamaah. “Jadi, adakah kita perlu membuang diari tersebut?” Tidak! Tidak perlu kita membuangnya, kerana diari tersebut jika tidak ada senarai imam tersebut dan beberapa penjelasan syiah yang tidak berasas, diari tersebut sangat berguna untuk kita gunakan.

Cukuplah kita memahami perkara ini, dan sebar-sebarkan kepada rakan-rakan kita yang telah membelinya agar tidak terpengaruh dengan dakyah Syiah ini. “Jangan kerana nyamuk, kelambu dibakarnya” saya rasa pepatah itu sesuai untuk diari ini. Kita abaikan penjelasan syiah tersebut, dan gunakan diari tersebut seperti biasa. Moga kita sentiasa berhati-hati dalam setiap bahan bacaan yang kita baca dan beli. Ingatlah bahawa Syiah adalah sesuatu yang bahaya bagi Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Bagi pihak berwajib pula, haruslah menggunakan kuasa yang ada untuk membenteras aktiviti ini. Seharusnya Fatwa yang dikeluarkan oleh Jakim bahawa Syiah ini sesat, dijadikan panduan dan ‘lampu hijau’ untuk melakukan tindakan terhadap penerbit diari ini. Moga Allah memberi jalan dan petunjuk kepada pihak yang bertanggungjawab.


PENAFIAN ULAMA TERHADAP SYIAH RAFIDHAH
Asy-Syaikh Dr. Ibrahim Ar-Ruhaili di dalam kitabnya Al-Intishar Lish Shahbi Wal Aal (hal. 100-153) menukilkan banyak perkataan para ulama tentang mereka. Antaranya ialah:
1. Al-Imam ‘Amir Asy-Sya’bi berkata: “Aku tidak pernah melihat kaum yang lebih dungu dari Syi’ah.” (As-Sunnah, 2/549, karya Abdullah bin Al-Imam Ahmad)

2. Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri ketika ditanya tentang seorang yang mencela Abu Bakar dan Umar, beliau berkata: “Ia telah kafir kepada Allah.” Kemudian ditanya: “Apakah kita menyembahyangkan mereka (bila meninggal dunia)?” Beliau berkata: “Tidak, tiada kehormatan (baginya)….” (Siyar A’lamin Nubala, 7/253)

3. Al-Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku tidak melihat dia (orang yang mencela Abu Bakar, Umar, dan Aisyah) itu orang Islam.” (As-Sunnah, 1/493, karya Al-Khallal)

4. Al-Imam Al-Bukhari berkata: “Bagiku sama saja apakah aku solat di belakang Jahmi, dan Rafidhi atau di belakang Yahudi dan Nashara (yakni sama-sama tidak boleh). Mereka tidak boleh diberi salam, tidak dikunjungi ketika sakit, tidak dinikahkan, tidak dijadikan saksi, dan tidak dimakan sembelihan mereka.” (Khalqu Af’alil ‘Ibad, hal. 125)

5. Al-Imam Abu Zur’ah Ar-Razi berkata: “Jika engkau melihat orang yang mencela salah satu dari shahabat , maka ketahuilah bahwa dia seorang zindiq. Yang demikian itu karena Rasul bagi kita haq, dan Al Qur’an haq, dan sesungguhnya yang menyampaikan Al Qur’an dan As Sunnah adalah para sahabat . Sungguh mereka mencela para saksi kita (para shahabat) Rasulullah dengan tujuan untuk meniadakan Al Qur’an dan As Sunnah. Mereka (Rafidhah) lebih pantas untuk dicela dan mereka adalah zanadiqah.” (Al-Kifayah, hal. 49, karya Al-Khathib Al-Baghdadi)

Monday, February 2, 2009

SEKOLAH@MMU DALAM KENANGAN


KENANGAN TERINDAH SEKOLAH@MMU PAHANG

Semuanya berubah, yang tidak pernah jumpa semakin rapat, yang tidak pernah bertegur sudah bergurau senda, yang tidak pernah makan bersama sudah bersuap-suap. Itu antara perubahan yang berlaku mendadak di kalangan peserta Sekolah@MMU Pahang. Saya sendiri sangat teruja dan gembira dengan ramainya kawan baru saya dapat kenali.

Pada awalnya saya sedikit berasa tidak selesa, kerana rata-ratanya saya tidak kenal. Hanya sekerat sahaja yang saya kenali, itu pun kenalan lama. Tetapi, ketidakselesaan itu sedikit demi sedikit hilang semasa perjalanan menuju ke Pahang. Iffan, Skem, Sapit, Ida, Mimi, Ari, Din, Dib, AP, Faiz, Fendi dan ramai lagi, semuanya baru saya kenali dalam program ini. Saya gembira dapat berkenalan dengan mereka. Kami berkongsi cerita, berkongsi kegembiraan dan berkongsi tujuan dan usaha dalam program ini. Berkongsi pengetahuan IT dan sedikit untaian Motivasi kepada para pelajar Sekolah Menengah Sri Pekan, Pahang.

Banyak saya pelajari dari rakan-rakan baru saya, dan banyak juga pengajaran berguna dapat saya pedomani daripada mereka. “Don’t judge a book by its cover”, mungkin itu adalah pepatah sesuai untuk dituju kepada rakan-rakan baru saya itu. Mereka penuh dengan kreater yang unik dan pelbagai, mereka penuh dengan cita-cita, mereka penuh dengan lawak jenaka, mereka penuh dengan semangat memberi, dan mereka penuh dengan semangat persahabatan. Mungkin inilah kebaikan bila kita keluar dari kelompok dan ‘golongan’ kita. Kita dapat melihat kepelbagaian dan kita dapat menrengut sebanyak mungkin kebaikan dari luar kelompok kita. Tanyakan sahaja, berapa ramai ‘Pak Ustaz’ mahu bersama dengan ‘Kaki rock’, tanyakan! Kalau ada, itupun dalam stastitik yang sangat kecil.

Keluarlah, rasailah dan gaulilah dengan baik rakan-rakan diluar persekitaran kita yang sedia-ada. Kerana banyak kebaikan yang dapat kita rasai, dan beri. Lihatlah dengan pandangan yang luas, fikirlah dengan minda yang terbuka. Kita bukan berada di zon selamat lagi, kita perlu bersama-sama untuk berada dalam zon yang memerlukan pembaikan dan pembetulan.

Dengan memberi kita akan merasai! Terima kasih kepada sekretariat Sekolah@MMU kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertainya, walaupun di saat-saat akhir. Terima kasih kepada adik-adik fasi Sri Pekan, terutama Kumpulan 1. Adik Kama, Ayu, Adah, Rashid, Mirul, Fido, Yus, Nor,dan Naqiu, anda semua memang sangat best!

Kepada keluarga angkat saya di Kampung Salong, pengalaman bersama anda semua memang tidak dapat dilupakan. Pengalaman menaiki bot di Tasik Chini juga akan terus terakam di kotak minda saya. Betapa kecutnya saya semasa Pakcik Sampan memlap secara rakus, hehehe... Sangat mendebarkan walaupun semua di dalam bot tersebut bersorak ria sambil mengangkat tangan!

Moga pengalaman ini terus abadi dalam kenangan yang terindah.....

Untuk melihat gambar-gambar dan cerita-cerita yang seterusnya sila ke:
1-IDADEWI
2-INTAN