Thursday, February 12, 2009

MANA LEBIH BAIK MENIPU ATAU DITIPU


Sama ada kita kaki menipu atau selalu ditipu, kedua-duanya tidak baik untuk manusia yang mempunyai harga diri. Dua perkataan yang bunyi lebih kurang sama. Tetapi yang jelas, kedua-duanya mempunyai makna yang tersendiri. Menipu bermaksud, mengenakan tipu daya. Manakala ditipu pula ialah, diperdaya oleh orang lain. Kenapa harus menipu? Atau kenapa harus diberi peluang kepada orang lain untuk membenarkan mereka menipu diri kita?





KAK PAH TERTIPU

"Sudah dikecek,
dikecong pula."

Peribahasa di atas bermaksud, kena tipu lebih dari sekali. Amat malang bagi manusia yang tidak menjadikan kesilapan masa lalu sebagai panduan pada masa mendatang. Lebih malang apabila menyalahkan takdir di atas kesilapan diri sendiri akibat ditipu oleh orang lain. Menyalahkan takdir seperti juga menyalahkan Allah. Takdir itu tidak akan berlaku sekirannya, kita mengambil iktibar di atas perkara lepas. John Santayana pernah berkata, “Celakalah manusia yang mengulangi kesilapan yang pernah sejarah ceritakan.”

Kenyataan John Santayana ini disebenarnya telah disuarakan sendiri oleh Nabi Muhammad pada 1500 tahun lalu. Kata baginda, “Orang yang beriman tidak akan kena sengat dua kali dalam satu lubang" (Sahih Muslim). Apakah segnifikannya hadith di atas terhadap diri manusia? Hadith tersebut mengajar manusia bahawa kehidupan seseorang muslim yang mukmin, seharusnya terhindar dari melakukan kesilapan yang sama lebih dari sekali. Kerana ia melambangkan kebodohan dan kecuaian. Sedangkan Islam membawa panji kebijaksanaan dan keberhatian yang membawa kepada kebaikan kepada semua makhluk.

“Orang yang bijak itu nampak lebih besar walaupun umurnya masih muda, Manakala orang yang jahil itu nampak kecil walaupun umurnya sudah tua.”


Ayat di atas bukanlah hadith atau dalil-dalil yang dapat menghujahkan hukum. Ia cumalah sebuah ungkapan syair yang saya petik dari ribuan syair berbahasa Arab. Syair ini menggambarkan bahawa kebijaksaan itu tidak datang pada yang tua atau muda. Ia bergantung kepada manusia itu sendiri. Sama ada mahu menjadi Bijak atau Jahil. Beruntunglah mereka yang bijak dan mukmin, kerana mereka tidak akan menipu dan tertipu.


SAYA GURAU SAHAJA

“Siapakap senohong, Gelama ikan Duri, Bercakap bohong, lama-lama mencuri.”

Bohong atau menipu adalah dua perkataan yang sama maknanya. Orang-orang Melayu dahulu, sangat kreatif dalam membina peribahasa. Ungkapannya indah, halus bunyinya dan mendalam isinya. Bohong atau menipu, membawa impak besar kepada diri yang menipu dan juga orang sekelilingnya. Kerana menipu bukan sahaja membawa impak negatif diri penipu, tetapi kadangkala memberi kesan kepada masyarakat. Menipu dalam apa jua, adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam.

Sehinggakan Rasulullah menegaskan bahawa menipu untuk sekadar bergurau juga tidak dibenarkan dalam Islam. Sepertimana yang dikatakan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith, “Celakalah orang yang berbicara, padahal dia menipu, untuk sekadar membuat orang-orang tertawa, celakalah dia, kemudian celakalah dia." (Hadith ini Sahih dalam Bulughul Maram oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqolani)

Moga kita tidak termasuk dikalangan orang yang menipu dan tertipu. Kerana orang yang bergantung harap kepada Allah, dan sentiasa berusaha untuk menjadi Muslim yang mukmin, pasti tidak akan menipu atau tertipu. Artikel ini diharapkan dapat memberi teguran dan peringatan untuk kita bersama, termasuklah kepada diri penulis. Kepada Allah segalanya dikembalikan..

2 comments:

  1. salam...

    Artikel saudara ni sungguh menarik,minta izian saya letak di blog saya yer,dan saya letakkan sekali krdit blog saudara

    ReplyDelete
  2. apa y patut buat kalu kita suadah insaf dengan penipuan yang kita telah lakukan?saya hendak confess kepada orang tersebut tapi sangat malu dan sangat payah tindakan ni=(

    ReplyDelete