Saturday, December 1, 2007

Kembara Ke Dunia Keemasan Ilmu Hadis



Ustaz Azlan

Kembara Ke Dunia Keemasan Ilmu Hadis
Melalui Manhaj Salaf(Mutaqadimin)

Oleh:Yussamir yusof
Cyberjaya
1 December 2007

#Artikel ini ditulis berdasarkan apa yang saya perolehi dari pembelajaran secara talaqi dengan Ustaz Azlan di Darul Fuqaha’ pagi tadi(saya pergi bersama dua orang lagi sahabat saya).Tidak semua dapat saya catatkan kerana MP3 yang digunakan untuk merakam tidak dapat didengari.(kesian,sebab takde software act).Saya catatkan apa yang saya ingat dan apa yang pernah saya dapat melalui penulisan-penulisan Ustaz Azlan.


Berkenalan dengan Manhaj/Cara Ulama Mutaqadimin dalam ilmu hadis memberi kesan yang cukup mendalam kepada saya.Salah faham dan ketidak-adilan saya terhadap mereka sebelum ini, menjadi pengajaran dan mematangkan saya terhadap ilmu hadis.Saya berterima kasih kepada Ustaz Azlan[1], yang banyak mengajar dan mendedahkan saya tentang hal ini melalui tulisan-tulisan beliau di Al-Ahkam.Tulisan-tulisan beliau berkenaan dengan Manhaj Ulama Hadis Mutaqadimun sewajarnya di teliti dan dihadam oleh mereka yang mempelajari dan mengkaji ilmu hadis.

Alhamdulilah hari ini saya berpeluang untuk belajar secara terus dengan beliau di Darul Fuqaha’.Tajuk yang dibentangkan oleh beliau adalah “menghormati kajian hadis Salaf(Mutaqadimin)”.Antara isi kandungan pembentangan yang cukup menarik minat saya ialah, tentang ‘salah faham terhadap Ulama Hadis Mutaqadimin.’

Sebelum kita pergi jauh dalam membahaskan salah faham ini,moleklah kalau saya terangkan serba ringkas maksud Manhaj Mutaqadimin.Manhaj al-mutaqaddimin adalah manhaj(jalan/cara) dan hasil kajian pakar-pakar hadith yang menjadi rujukan pada zaman kegemilangan periwayatan hadith.Zamannya pula bermula daripada zaman sahabat dan berkembang dengan lebih khusus pada kurun kedua dan ketiga Hijrah.Sebahagian Ulama hadist menghadkan tempoh zaman Mutaqadimin kepada akhir 300 Hijrah.Pandangan ini berteraskan kepada Sabda Nabi Muhammad:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

“Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku,kemudian kurun seterusnya,kemudian kurun seterusnya.(kurun=100 tahun)”[2]

Walaubagaimanapun,penghadan tempoh atau zaman ini hanyalah sebagai pemudah cara bagi menentukan tempoh zaman itu,dan bukannya pendapat yang tepat.

Alhamdulilah,setelah kita mengenali serba ringkas tentang apa itu Manhaj Mutaqadimin dan tempoh zaman Mutaqadimin,kita beralih pula kepada perbincangan tentang “Salah faham terhadap Ulama Hadith Mutaqadimin.”(selepas ini saya akan gunakan ‘SALAF’ bagi menggantikan perkataan Mutaqadimin)



Salah faham

penulis bersama Dr Abdullah Yassin di Konvesyen sunnah tahun lepas

Salah faham utama yang merebak di kalangan pencinta ilmu-ilmu hadith ialah,memandang rendah terhadap kajian Ulama Salaf.Salah faham ini berlaku apabila sebahagian daripada pencinta hadith ini beranggapan bahawa tidak semua hadith sampai kepada Ulama Salaf dan masih bertaburan.Mereka beranggapan bahawa zaman kini lebih mantap oleh kerana kitab-kitab yang ditulis oleh Ulama Mutaakhirin sudah terkumpul,berbeza dengan zaman Salaf dimana kitab-kitab hadis belum terkumpul lagi.

Pemahaman ini tidaklah tepat untuk dinyatakan terhadap ulama’ Salaf dan menjadi satu penghinaan terhadap usaha gigih mereka dalam mengumpulkan hadith-hadith Nabi.Al-Imam Baihaqi iaitu pengumpul dan penyusun Kitab Sunan Kubra pernah mengatakan :
“Semua hadith-hadith telah dapat dikumpul.”

Selain daripada itu, Ibn Rajab al-Hanbali (795H) juga berkata di dalam bukunya Syarh Ilal al-Tirmidzi: ‘Kalaulah tidak kerana buku-buku yang telah ditulis terdahulu dalam ilmu ini, pasti ia tidak akan diketahui lagi pada hari ini’.

Al-Iraqi juga pernah menyatakan bahawa terdapat 4 ribu penulis hadis dalam kampungnya,ini belum lagi di kawasan-kawasan lain.Berdasarkan kenyataan-kenyataan ini,maka pemahaman atau anggapan bahawa pada zaman Salaf belum lagi terkumpul hadith-hadith kepada mereka adalah pendapat yang tertolak.

Oleh sebab itu kita dapati Ibn Hajar yang merupakan antara ulama terkenal di kalangan al-Mutaakhirin pernah menyebut bahawa, kita perlu ‘taqlid’ kepada hasil kajian dan pendapat ulama Salaf seperti yang beliau sebutkan di dalam bukunya al-Nukat ‘Ala Ibn al-Solah. Pernyataan ‘taqlid’ juga disebut oleh seorang lagi imam al-Mutaakhirin iaitu al-Sakhawi dalam Fath al-Mugith.Pendapat ini secara tidak langsung menyangkal pemahaman bahawa zaman Mutaakhirin adalah zaman terbaik dalam pengkajian ilmu hadith. Benar seperti kata salah seorang tokoh hadith di kurun keempat Hijrah, Ibn Hibban al-Busti (354H) yang telah menulis kata-kata indah di dalam bukunya al-Majruhin 'Kalaulah tidak kerana mereka, pasti hadith akan hilang dan lenyap. Kalaulah tidak kerana mereka, pasti ahli kesesatan dan hawa nafsu akan bermaharajalela dan pasti ahli bid’ah dan kejahilan akan berkuasa’.



Penulis bersama dengan Ustaz Maszlee


Salah faham seterusnya adalah, beranggapan bahawa Muhadithin Salaf sama tarafnya dengan Muhadithin Mutaakhirin.Ada juga yang bertindak keterlaluan dengan beranggapan bahawa Muhadithin Mutaakhirin lebih hebat dari Muhadithin salaf,sehinggakan menolak mentah-mentah kajian mereka.Anggapan dan sangkaan sebegini ini seharusnya dibuang jauh-jauh dari pemikiran kita.Masakan Muhadithin Mutaakhirin lebih hebat daripada Muhadithin zaman Salaf?Sebahagian daripada kita bermudah-mudah terhadap ketokohan Muhadithin ini dengan menyamakan di antara Imam Ahmad Ibn Hanbal (241H) dengan al-Hakim (405H), Yahya Ibn Ma’in dengan al-Khatib al-Baghdadi (463), Ali Ibn al-Madini (234H) dengan al-Nawawi (676H), Abu Daud (275H) dengan al-Zahabi (748H) dan lain-lain lagi.

Benar,bahawa kesemua nama-nama yang disebut ini adalah tokoh ulama-ulama hadith,namun untuk menyamakan kedudukan mereka dalam bidang ini maka ia sama sekali satu kerendahan akal fikiran. Sesiapa yang mengkaji dan meneliti riwayat hidup Muhadithin Salaf seperti Bukhari,Ali Madini,Ahmad,Abu Daud pasti akan melihat jurang perbezaan yang amat ketara antara mereka dengan Muhadithin Mutaakhirin. Bagi mereka yang ingin tahu hakikat sebenar perkara ini, lihatlah apa yang ditulis oleh al-Hakim dalam bukunya Ma’rifat Ulum al-Hadith dan al-Zahabi dalam bukunya al-Muqizoh. Kita dapati mereka berdua telah menyusun dan menghuraikan apa yang telah dilakukan oleh imam-imam terdahulu sehinggakan al-Zahabi sendiri menyebut di dalam buku al-Muqizoh bahawa menilai kesahihan hadith dan kedhaifannya pada zaman beliau adalah ‘sangat susah’ atau lafaz arab yang beliau gunakan ialah ‘asir jiddan’.

Dan renungkanlah juga kisah Ulama-ulama Salaf ini dalam buku-buku seperti pendahuluan al-Jarh wa al-Ta’dil karya Ibnu Abi Hatim dan buku al-Rihlah Fi Tolab al-Hadith karya al-Khatib al-Baghdadi (463H).Pasti kita akan menangis dan terharu dengan pengorbanan dan usaha gigih mereka dalam mencari hadith dan mengumpulkannya.

Selain daripada itu,Kajian ulama Salaf adalah lebih hebat, lebih sempurna, lebih menyeluruh dan lebih lengkap berbanding ulama selepas mereka sehinggalah kepada ulama masa kini. Adalah tidak wajar sekiranya kita hanya mengakui mereka adalah tokoh atau pakar sedangkan kita menyamakan sahaja manhaj dan hasil kajian mereka dengan muhaddith terkemudian atau dengan muhaddith moden masa kini. Sedangkan mereka adalah ulama yang berinteraksi dengan periwayat hadith terkemuka secara langsung, manakala ulama hadith selepas mereka hanyalah berinteraksi dengan buku-buku dan hasil kajian ulama terdahulu.Fikir-fikirkanlah....

Cukuplah sekadar dua salah faham yang saya rasakan perlu diutarakan atau diperbincangkan di sini.Tujuan diperbincangkan salah faham ini ialah,mendedahkan kerendahan akal fikiran kita terhadap Ulama Salaf.Betapa kita telah menyombongkan diri serta membutakan akal fikiran dalam memahami dan mendalami Manhaj mereka.Sungguh sayang kalau kita mensia-siakan hasil kajian mereka hanya atas dasar-dasar yang kita sendiri tidak fahami dan dalami.


Bukanlah saya menolak seratus peratus kajian dan method yang dilakukan oleh Ulama Mutaakhirin, hanya disebabkan saya belajar dengan Ustaz Azlan.Tetapi saya mahu membawa pemikiran kita dan kesedian kita untuk meneliti dan mengkaji kajian ulama hadis Mutaqadimin berbanding dengan kajian Ulama Mutaakhirin,malahan ulama hadis masa kini.Kenapa saya katakan begitu,kerana mereka hidup di zaman awal hadis. Asas-asas kajian yang mereka lakukan telah diwarisi oleh ulama-ulama hadith zaman berzaman sehinggalah kepada kurun kedua dan ketiga Hijrah yang digelar zaman keemasan atau kegemilangan periwayatan hadith.

Di zaman mereka juga muncul masalah-masalah baru yang memberi kesan terhadap kajian kesahihan dan kedhaifan hadith. Maka mereka telah menanganinya dengan penuh ketelitian berdasarkan kaedah yang telah diwarisi daripada generasi sebelumnya. Hadith-hadith sahih telah diwarisi oleh para sahabat dan dipelihara dengan amat teliti. Seterusnya ia diwariskan kepada ulama zaman berzaman selepas mereka dengan ketelitian yang sama tanpa berkurang atau bertambah.


Bersama dengan SS Mohd Asri Zainal Abidin,mufti perlis


Dr. Nasir Fahd, salah seorang pengkaji hadith masa kini daripada Arab Saudi pernah meringkaskan sifat pengkaji hadith yang digelar al-Mutaqaddimun dalam bukunya ‘Manhaj al-Mutaqaddimin Fi al-Tadlis’ dengan menyatakan bahawa mereka adalah golongan awal yang telah memelihara sunnah, merantau ke seluruh tempat di mana wujudnya sunnah, menapis hadith antara sahih dan dhaif, membuat penilaian terhadap para periwayat, mengkaji kecacatan atau kesilapan pada riwayat-riwayat, mengarang buku-buku bermanfaat sehinggalah kesemuanya diwariskan kepada umat sepanjang zaman”.

Saya mengakhiri penulisan ini dengan menyeru kepada semua pencinta-pencinta ilmu hadith, agar kembali meneliti dan mengutamakan kajian Ulama hadith Mutaqadimin dalam semua hal yang berkaitan dengan ilmu hadis.

Sesungguhnya kita terhutang budi dengan mereka. Sedar atau tidak, kita sebenarnya tidak mengenali mereka dan tidak menghargai jasa mereka. Sebahagian kita yang menuntut ilmu hadith lebih mengagungkan ulama moden masa kini sedangkan apalah ilmu yang ada pada ulama moden tanpa ilmu yang telah dikumpulkan dan disusun oleh ulama zaman silam? Marilah kita mengenali mereka kembali terutama ulama di zaman keemasan periwayatan dan kajian hadith iaitu sekitar kurun kedua dan ketiga Hijrah. Marilah kita hargai jasa mereka dan contohi kajian mereka. Itulah kajian terbaik, terhebat dan paling tepat berdasarkan mereka adalah pewaris kajian terdahulu.


[1] Ust Azlan Abd Aziz.

Azlan Bin Abd. Aziz berasal dari Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal sehingga menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang Bahasa Arab di Universiti Al Bayt, Jordan sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Arab.
Semasa berada di Jordan, beliau mula mengenali secara lebih mendalam tentang ilmu pengkajian hadis Nabi SAW. Beliau sempat belajar sama ada secara formal atau tidak formal daripada ulama-ulama Jordan termasuklah ahli hadis terkemuka pada masa ini iaitu Syeikh Syuaib al Arnaouth. Sejak itu tersemat di dalam hati beliau keazaman untuk membantu menyebarkan ilmu dan maklumat tentang hadis Nabi SAW agar dapat dikongsi oleh masyarakat umum.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau melanjutkan pengajian untuk mendapat Diploma Perguruan daripada Maktab Perguruan Islam, Bangi. Sekarang beliau bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Razak, Cheras sambil menyambung pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam jurusan Bahasa Arab.


Syeikh Syuib Al-Arnouth
Syuaib al Arnaouth yang berasal dari Albania, membesar di Syria dan sekarang masih hidup dan menetap di Jordan. Beliau merupakan seorang pengkaji hadis yang dianggap sebagai pewaris generasi al Albani. Beliau telah lama berpengalaman mengkaji hadis-hadis di dalam buku-buku yang beliau telah semak. Di antara buku yang telah disemak oleh beliau ialah Syarhu al Sunnah oleh al Baghawi, Sahih Ibn Hibban. Syarh Musykil al Athar oleh al Thohawi (321H), Siyar A�lam al Nubala� oleh al Zahabi (748H) dan banyak lagi. Namun hasil karya beliau yang paling terkenal ialah kajiannya terhadap al Musnad karya Ahmad bin Hanbal. Beliau mengetuai sekumpulan pengkaji hadis lain melakukan semakan terhadap setiap hadis buku al Musnad (jumlahnya lebih kurang 28,000 hadis) dan menjelaskan samada hadis itu sahih atau tidak. Inilah kali pertama buku al Musnad ini habis disemak kerana Ahmad Syakir yang telah mula menyemaknya tidak sempat untuk menghabiskannya. Syuaib al Arnaouth telah melihat segala kajian yang sempat dibuat oleh Ahmad Syakir lalu menyempurnakannya dan melakukan pembetulan di tempat yang sepatutnya sehinggalah buku itu siap. Buku al Musnad telah dicetak dalam 50 jilid oleh Muassasah al Risalah. Beliau sekarang mengetuai unit penyelidikan bagi syarikat Muassasah al Risalah atau Risalah Publishers. Pada tahun 2004, syarikat ini telah pun menerbitkan buku Sunan al Daraquthni sebanyak 6 jilid dan disemak hadis-hadis di dalamnya oleh beliau serta pengkaji-pengkaji lain. Di antara buku yang menceritakan secara khusus tentang beliau dan cara pemikiran serta kajian beliau ialah buku al Muhaddith, Syuaib al Arnaouth yang dikarang oleh Ibrahim al Kufaji dan diterbitkan oleh Dar al Basyir, Jordan.

[2] HR Muslim

1 comment:

  1. pelik,siapakah sebenarnya yang saudara maksudkan merendahkan-rendahkan ulama salaf zaman dahulu yang memang terkenal sebagai pengumpul hadis turun-temurun sampai kepada Nabi Muhammad SAW?bukankah ulama zaman ini pun merujuk kepada kitab-kitab yang ditulis ulama pada zaman tersebut?saya tidak fahamlah maksud saudara?

    ReplyDelete