KHABAR BERKENAAN PELABURAN &
PERNIAGAAN JAI NETWORK
Sejak dari dahulu lagi saya telah memberitahu sesiapa yang bertanya kepada saya tentang Jai Network, bahawa aqad yang digunakan oleh Jai Network untuk peringkat pertamanya adalah Bai' at-Tawarruq. Aqad ini dianggap halal oleh kebanyakan ulama Malaysia dan Dunia. Ini juga jawapan yang saya beri kepada perniagaan kambing baru-baru ini. Namun apa yang saya sebutkan ini tidaklah terhenti di situ sahaja, tetapi beberapa syarat dan pembaikan perlu dibuat agar ianya boleh dianggap menepati hukum Syariah.
Nasihat & Syarat Yang Dilupakan
Saya menasihatkan semua individu yang ingin menyertainya untuk memastikan tertib tandatangan aqad mestilah tepat dan asset mestilah ada ukti ‘qabadh' atau ‘possession' telah berlaku samada secara hukmi atau hakiki.
Ini merupakan nasihat saya sekitar bulan Mac dan April 2007. Namun saya terus terang menyatakan saya amat meragui beberapa syarat (sebagaimana yang diberitahu di ketika itu) yang dikenakan seperti mewajibkan sesiapa yang ingin menyertai smart partnership ( jual beli secara tawarruq), mereka wajib menyertai smart moving juga (atau sebaliknya, maaf dah tidak berapa ingat).
Bagi saya membuat syarat seperti itu membawa kepada syubhah disebabkan pelannya. (pun dah lupa detail, tetapi di ketika buat keputusan tu, saya jelas.)
Silap Guna
Malangnya, ketika saya memberikan ceramah kewangan Islam di Universiti Multi Media Melaka, (jika tak silap pada 25 April 2007) saya diberitahu bahawa ramai individu yang menyertai Jai Network menggunakan hujjah saya sebagai hujjah sokongan untuk menghalalkan system mereka.
Maka dalam ceramah di Multi Media Universiti itu saya menyatakan rasa kesal dan tidak puas hati terhadap pihak yang menggunakan hujjah saya ‘out of context' dan mengambil separuh tapi meninggalkan separuh yang lain.
Benar, memang saya katakan aqadnya menggunakan cara Tawarruq yang diterima oleh kebanyakan ulama Islam, tetapi tidak benar saya mengatakan ‘whole package sistem perniagaan Jai Network' adalah halal menurut kajian saya. Jika orang lain kata halal, itu terpulang kepada mereka, tetapi bukan saya.
Hasrat Nak Tolong Peniaga Bumiputra
Saya memang tidak berhasrat pada mulanya untuk menghentam secara terbuka di web saya berkenaan kesilapan ini kerana saya fikir masih ada ruang untuk mereka perbaiki.
Saya juga harap agar mesej berkenaan kelemahan sistem dan pelan mereka dari sudut Shariah telah disampaikan kepada pihak pengurusan tertinggi Jai Network dan pihak pengurusan yang beragama Islam serta Bumiputra ini boleh mengambil langkah proaktif memantap dan memperbetulkan system mereka.
Selain itu, saya juga telah mencadangkan beberapa nama ilmuan Shariah kepada peserta Jai Network (yang menghubungi saya) agar pihak pengurusan Jai Network melantik penasihat Syariah rasmi bagi membuktikan komitmen mereka terhadap isu halal dan haram. Kemudiannya saya berlepas diri dari sebarang pertanyaan berkenaannya lagi.
Masalah Berganda
Kemudian bertarikh 18 Julai 2007, saya memuatkan amaran berkenaan Jai Network di web saya apabila mendapati nama syarikat ini tersenarai di senarai hitam suruhanjaya sekuriti Malaysia. RUJUK DI SINI
Akibatnya selepas itu, ramai peserta mereka yang menghentam saya. Hakikatnya sebarang skim, perniagaan atau pelaburan yang telah tersenarai hitam di SC, menjadikannya kurang ‘worth it' untuk dikaji dari sudut Shariah (di ketika itu) kerana priority mereka adalah mendapatkan lesen untuk aktiviti perniagaan itu dan seterusnya melepaskan diri dari senarai hitam.
Ini kerana, mempromosi sebarang skim bentuk pelaburan atau ‘perniagaan kutip wang' seperti ini dalam keadaan syarikatnya telah tersenarai hitam adalah satu tindakan yang boleh memudaratkan peserta dan syarikat sekaligus.
Di ketika itu, bagi saya ia boleh menjadi haram dari sudut Syariah akibat mudarat dan 'gharar' yang boleh dan bakal menimpa pesertanya. Islam mengharamkan 'gharar' atau ketidakatentuan (seperti pernigaan tanpa lesen jelas) dan mudarat (seperti nasib masa depan syarikat kerana telah disenaraihitam) bagi pelanggan.
Terkini
3 hari lepas (26 Nov 2007), setelah sekian lama saya tidak mendengar tentangnya. Saya membuka web PPIM dan mendapati rupanya terdapat perbincangan hangat tentangnya lantaran seorang individu utama Jai Network adalah juga salah seorang anggota pengurusan PPIM sedang diasak pelbagai soalan oleh para peserta Jai Network.
Nampaknya telah sahih, mudarat dan ketidaktentuan yang saya jangkakan. Bank Negara telah membekukan akaun mereka dan kini peserta mula merasa bahangnya.
Bagi info lanjut, saya sertakan jawapan individu yang terbabit dari PPIM berkenaan kes Jai Network sebagai jawapan kritikan pelbagai pihak kepadanya dan Jai Network.
Selamat membaca dan menilai.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
29 Nov 2007
No comments:
Post a Comment