Thursday, May 29, 2008

Adat


As-sunnah adalah imam, adat adalah makmum

Oleh : Yussamir Yusof
Dengkil
4.02 pagi / 30 mei 2008
www.yussamir.com



“Biar mati anak , jangan mati adat.”

Pepatah melayu diatas seringkali dianggap tidak masuk akal dan dipandang serong oleh anak-anak muda sekarang. Malah terdengar dari celah-celah bicara manusia yang bergelar pejuang sunnah,menempelak pepatah melayu ini. Hujahnya, masakan adat mahu diperjuangkan sehingga membiarkan anak mati. Kalau anak mati siapa yang mahu menyambung adat. Itu hujah mereka. Jika difikirkan dan diteliti sekilas pandang, ada logik dan rasionalnya.

Tetapi bila saya membelek tulisan-tulisan lama Pak Sako dalam buku pepatah- petitih. Saya diracuni sebuah pemikiran yang songsang dalam memahami isi kandungan sesebuah pepatah melayu. Dalam memahami pepatah melayu, harus ada displin dan ilmu yang harus diisi. Seperti menelaah ilmu hadith, seseorang itu perlu memahami dan pelajari syarah hadith tersebut. Selain itu memahami wurud hadith, dan penilaian dari segi matan dan sanadnya juga harus dipelajari.

Begitu jugalah perihalnya memahami pepatah melayu yang dikarang nenek-moyang kita dahulu. Kita perlu memahaminya berdasarkan tempat dan masa pepatah itu dikarang. Tidak boleh memahaminya, ditempat dan masa kita berada sekarang. Pemahaman itu akan berbeza, dan pasti salah faham memahami maksud sesebuah pepatah itu akan berlaku.




Berbalik kepada pepatah di atas. Jika diperhatikan sedalam-dalamnya dan memahami isi kandungannya secara total. Kita akan dapati, bahawa perkataan adat yang diletak itu bermaksud lebih dari maksud adat yang kita fahami sekarang. Zaman dahulu, adat itu diertikan dengan makna yang lebih agung iaitu, agama. Perkataan adat difahami di zaman dahulu sebagai agama, dan bila dikaji semula bahawa agama yang diperkatakan itu adalah agama Islam. Oleh sebab itu, untuk mengatakan bahawa pepatah melayu mempunyai unsur kurafat ataupun tidak rasional, kita harus memikirkannya berulang kali.

Budaya meninggalkan adat dibelakang agama tanpa menilai dengan neraca Quran dan Sunnah, ia adalah satu kehinaan. Sedangkan Islam datang tidak pernah menghapuskan adat-adat yang tidak menyalahi syarak. Malahan masih lagi adat-adat bangsa jahiliah yang dipakai sehingga kini, antaranya ialah adat menghormati tetamu. Bukan sekadar itu, adat orang-orang ansar yang suka pada nyanyian dan gendang-gendang tidak pernah dihalang oleh Rasulullah. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Bukhari, Muslim dan Ahmad bin Hanbal, yang bermaksud:

“Aisyah pernah mengahwinkan seorang wanita dengan seorang laki-laki Ansar. Ketika itu Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya “Wahai Aisyah, tidak adakah kalian mempunyai hiburan (nyanyian) sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan (nyanyian).”


Kita sebagai generasi yang ‘tahu’ harus menjadi jambatan antara generasi lama ke generasi yang akan datang. Kitalah yang bakal menghidupan kembali kehidupan yang berteraskan as-sunnah, tanpa sesekali meninggalkan adat-adat yang tidak bercanggah dengan syarak. Ingatlah, bahawa adat juga termasuk dalam displin untuk mengeluarkan sesuautu hukum dalam agama. Jadi, usahlah menjadi penghalang kepada perkembangan adat yang benar dan hak. Usahlah menjadi virus-virus kepada penghinaan adat-adat yang telah diwarisi sejak zaman dahulu lagi. Usahlah menjadi pengkhianat bangsa dengan alasan menjunjung as-sunnah, tanpa menilai dan meniliti adat secara saksama. Berjalanlah dengan petunjuk Quran dan Sunnah, tanpa sesekali melupakan adat yang menjadi identiti sesuatu bangsa di dunia.

Akhir kata, As-sunnah menjadi imam, adat menjadi makmum..

WaAllahualam..

Friday, May 23, 2008

Sebuah cerita


Sebuah persahabatan sebuah ikatan

Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
3.11 petang/Jumaat



Bintang malam katakan padanya
Aku ingin melukis sinarmu di hatinya
Embun pagi sampaikan padanya
Biar ku dekap erat waktu dingin membelenggunya

Tahukah engkau wahai langit aku ingin bertemu
membelai wajahnya
Kan ku pasang hiasan di angkasa yang terindah
Hanya untuk dirinya

Lagu rindu ini ku ciptakan
Hanya untuk bidadari hatiku tercinta walau hanya nada sederhana ijinkanku ungkap segenap rasa dan kerinduan



Lirik lagu di atas iaitu lagu rindu nyanyian Kerispatih, benar-benar menggugah perasaan saya. Seperti ada sesuatu yang masih belum saya lengkapkan. Atau saya sebenarnya merindui seseorang, sama ada sahabat lama, keluarga atau sesiapa sahaja yang layak untuk saya merinduinya.

Peperiksaan pada semester ini Alhamdulilah saya duduki dengan jaya. Walau ada beberapa soalan yang sukar untuk dijawab, namun tetap syukur saya panjatkan. Setelaah berusaha sedaya upaya, apa yang boleh kita lakukan kini adalah menyerahkan segalanya kepada Allah. Pada semester depan saya tidak akan lagi bersama dengan roomate saya yang sedia ada sekarang. Terasa begitu cepat masa berlalu, selama kami berkawan perasaan bersaudara terpaut dan terikat dengan kuat. Sahabat saya, Edry Faizal akan meninggalkan saya dan rakan-rakan lain, kerana beliau sudah berjaya menamatkan pengajian beliau.



Siapa Edry Faizal Eddy Yusof?


Beliau adalah timbalan saya dalam Institusi Usrah, seorang sahabat,seorang abang, dan seorang guru kepada saya. Saya mengenali beliau pada tahun pertama saya memasuki MMU. Seorang yang zaman lampaunya seakan-akan seperti zaman lampau saya, kami mula mengenali dengan lebih rapat. Ketika itu beliau tidak satu bilik dengan saya lagi. Biliknya yang terletak di tingkat bawah, memudahkan saya untuk ke bilik beliau setiap kali saya melewati biliknya. Mempunyai pandangan dan daya pemikiran yang begitu kritikal dan seseorang yang berpegang teguh dengan pendirian. Itu yang boleh saya katakan pada beliau. Saya mengkagumi beliau dalam memahami agama, saya mengkagumi beliau dalam membela agama! Beliau juga mengubah beberapa pegangan saya dalam sesuatu hal agama. Kesukaan kami iaitu membaca dan mengumpul buku dikongsi bersama-sama. Apa yang saya ada kadang-kadang dia tiada, dan apa yang dia ada kadang-kadang saya tiada. Seseorang yang suka membotakkan kepala, dan mahir dalam bidang perbandigan agama terutama yang berkaitan dengan chinese believe.

Hanya seorang sahabat yang jujur dalam persahabatan akan mengenali erti persahabatan. Saya akan terus mengingati beliau sebagai seorang sahabat dan seorang abang. Walaupun selepas ini, kami tidak akan terus bersama sama ada dalam Institusi Usrah dan lain-lain. Saya mengharapkan persahabatan ini akan terus kekal dan mekar menjadi sebuah ikatan yang bertemu kerana Allah, dan berpisah juga kerana Allah. Kami juga kini sedang berkerjasama dalam menulis sebuah buku, dan doakan kami dapat menyiapkan dengan segera.

Weh Edry! Aku doakan kau grad tahun ini, kahwin pun tahun ini, dan terus berjaya mendidik masyarakat dengan pengetahuan yang kau ada sekarang!


Mohd Fakhrurazi Mohd Yusoff?

#razak memakai baju belang disebelah saya


Roomate kedua saya ini, adalah seorang sahabat, seorang abang dan seorang ketua saya dalam Institusi usrah. Beliau saya kenali pada tahun pertama juga, namun ketika itu hubungan kami biasa-biasa sahaja. Hubungan itu terus rapat setelah kami mula sering ke Percint 9 untuk makan bersama-sama setiap malam.Hehehe... Kekerapan kami pergi bersama-sama ke sana dengan rakan-rakan yang lain, terus merapatkan hubungan kami.

Ifwan, Naim, Shah, Khalid yang seringkali bersama-sama ke Mamak Stall, menjadikan hubugan antara kami semakin rapat.-Siapa kata ke Mamak Stall hanya mengenyangkan perut di kala malam sedang lapar? Ia juga dapat mengeratkan silaturahim!-

Kami tidak memanggil beliau dengan nama Fakhrurazi, tetapi dengan sebuah kuniyah iaitu Razak. Hal ini telah diriwayatkan oleh Ifwan, melalui sanad yang mutawatir, bahawa kuniyah ini telah diberikan kepadanya oleh Saudara Ifwan..Hehehehe...

Razak apa yang saya kenali, adalah seorang yang cukup penyabar dan bertolak ansur. Seorang ketua yang diplomasi dan seorang yang tahu mengawal keadaan. Semester depan beliau juga tidak akan bersama dengan saya. Namun, beliau tetap akan menjadi ketua saya pada semester depan, kerana saya dan beliau masih diamanahkan dengan jawatan yang sama! Moga hubungan kita terus kekal dan mekar bagi megembang-luaskan agama Allah di bumi Cyberjaya. InsyAllah..


Itulah serba sedikit tentang dua sahabat saya. Owh lupa nak beritahu, semalam saya di’dajal’ kan oleh kedua-dua orang ini.Hahahaha... Saya dikelentong! Hanya kami sahaja yang tahu!


Entri yang akan datang, akan banyak lagi saya akan kongsikan bersama pembaca paradigma! Saya akan ke Singapura pada 2 jun ini, jadi sebelum ke sana saya akan memanfaatkan masa saya dengan kerja-kerja yang bertangguh.

  • Sambung tulis buku.
  • Membaca 5 buah buku yang sedang menunggu untuk dibaca.
  • Menulis artikel.
  • Menulis proposal perniagaaan.
  • Menulis proposal program motivasi untuk sekolah lama saya.
  • Mengkaji , apa,bagaimana, siapa dan lain-lain yang berkaitan dengan dokumentari.
  • Mencari maklumat tentang kominiti Islam di Singapura.

Sunday, May 18, 2008

Pedas


Clan agama yang claim hebat!

Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
2.52 pagi
www.yussamir.com



Perhatian: Maaf artikel kali ini pedas untuk ditelan!

Kekecewaan saya terhadap 'clan orang-orang agama yang tidak beragama' (selepas ini disebut (COOAYTB) ) dikongsi bersama, dengan rakan-rakan yang ‘bukan orang agama tetapi beragama’ dan juga ustaz-ustaz popular di tanah air. Kadang-kadang kami berbincang sesama-sendiri berkenaan dengan sikap dangkal sesetengah COOAYTB ini. 'COOAYTB ini yang disebutkan, terarah kepada mereka yang mengambil jurusan agama di Universiti-universiti Islam; khususnya di salah sebuah Universiti tertua di timur tengah.

Sikap tidak mahu berbincang dan hanya mendabik dada hanya dia yang tahu, dan orang-orang yang tidak ‘sekufu’ dengan mereka tidak boleh bersuara tentang agama. Menjadi barah dalam 'COOAYTB.


Bersama SS Maza dua tahun lepas


“sudahlah ambil pengajian Akaun, bukan bindang Pengkhususan islamik. Anta tak boleh ini. Eh! Ini imam Syafie tak kata pun. La hadith sahih, tapi Imam Syafie tak kata pun macam itu... Eh itu hadith walaupun sahih, tetapi dah kitab Minhajul Abidin kata macam ini, so kenalah ikut kata ulama ini.!......”

Ayat di atas seringkali bermain-main di bibir dalam 'COOAYTB. Sedarkah mereka, bahawa kebanyakkan mereka yang takhsis dalam bidang-bidang selain agama, dahulunya sudah ditarbiah di institusi agama juga! Ada yang hafiz, ada yang sudah mengkhatamkan Hadith Bukhari serta syarahnya, ada yang sudah khatam kitab feqh syafie dan lain-lain. Cumanya mereka selepas itu, cuba beralih kepada ilmu yang lain, dan seterusnya dikhususkan ke dalam bidang tersebut. Kemudian bila clan bukan agama ini mengutarakan pandangan mereka bersertakan hujah yang kukuh. COOAYTB ini berteriak dan bertempik seperti orang gila!

Lihat sahaja mursyid-mursyid Ikhwan muslimin.Mereka kebanyakkan bukan agamawan,misalnya Ustaz Fathy Yakan seorang jurutera, Syaikh Sayyid Qutb yang berkelulusan sastera dan bekas Nazir sekolah di Mesir telah menghasilkan Tafsir Fi Dzilal. Syaikh Mustafa Masyhur seorang ahli Kaji Cuaca, Syaikh Hasan al-Hudhaibi seorang peguam dan Imam Albani seorang pembaiki jam. Lihatlah latar belakang mereka!


Suka melabel

Bersama ayahanda DR Abdullah Yasin dua tahun lepas


Tambahan itu,COOAYTB ini juga suka benar melabel orang yang tidak selari dengan mereka, dengan gelaran-gelaran yang kadang-kala mereka sendiri tidak tahu dan fahami apa yang digelarkannya itu. Kata Allah, “dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman.” (al-hujrat: 11-12)

Selain daripada itu, sikap bersangka buruk dan tidak bersikap adil dalam menilai juga, menjadi barah dalam COOAYTB. Sehinggakan sanggup mengelirukan orang lain semata-mata mahu menang dalam berbicara. Ibadah dan mua’malah juga sukar dibezakan, walaupun meng’claim’ diri mereka bersentuh lutut dan bertemu muka dengan ulama-ulama besar!

Kata Allah, “Dan janganlah kamu tertarik kerana kebencian suatu kaum sehingga kamu tidak berlaku adil,Maka berlaku adillah kerana keadillan itu lebih dekat lepada takwa…” (al-maidah:5)


Akhlah dan mahu menang!

Perkara ini menjadi satu masalah yang besar kepada COOAYTB. Saya ulangi lagi, clan agama ini terarah kepada mereka yang tidak tahu agama. Sedangkan mereka belajar agama! Bagi mereka yang benar-benar faham dan menyelusuri agama dengan kebenaran bukan untuk TUNJUK PANDAI, maka itulah yang dicari-cari. Bagai permata di laut dalam, semakin dalam semakin tertutup agar terlindung dari celaan. Saya berterima kasih kepada clan agama yang benar-benar beragama ini. Tidak sukar untuk melihat clan agama beragama ini di Malaysia. Toleh sahaja ke saifulislam.com, zaharuddin.net, ustaz emran, albakistani dan lain-lain lagi. Pemikiran yang dinamik, boleh berbincang dan bertukar-tukar pandangan, tidak taksub, lemah-lembut, berAKHLAK dan menepati piawaian sirim agaknya!

Saya tertarik dengan kata-kata yang ditulis oleh Ustaz hasrizal dalam blognya.

“Saya boleh bertolak ansur dengan kekhilafan dalam hal-hal feqh, tetapi tidak dalam Akhlak.”


Bersama Ustaz hasrizal dan Edry


Keinginan mahu menang dan tidak mahu menerima kesalahan juga, menjadi asset ‘bangsat’ (meminjam kata-kata faisal musa) dalam COOAYTB. Mengapa ada hasrat begitu! Kerana mahu menang dan tidak mahu orang lain nampak kelemahan kita, maka kita berbuat sesuatu di luar ilmu yang kita pelajari.

Nauzubillah...

“Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Saya menjamin satu rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar, satu rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan penipuan sekalipun bergurau dan satu rumah di tempat tertinggi dalam syurga bagi orang yang baik akhlaknya.” (HR Abu Daud, dinilai sahih dalam Sahih Sunan Abu Daud)


Bersama Ustaz Maszlee Malek dua tahun lepas

Akhir kata, usahlah kita menunjuk pandai, tetapi sama-samalah memandaikan orang lain! Kerana menunjuk pandai akan menarik sifat riak dan menzalimi orang lain. Manakala memandaikan pasti akan memandaikan semula diri kita dan menjadi orang yang disayangi. WaAllahualam...

Tahniah


Selamat pengantin baru

Oleh: Yussamir Yusof
Negeri sembilan
17 Mei 2008
4.42 petang



“Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan atasmu serta mengumpulkan kamu berdua (pengantin laki-laki dan perempuan) dalam kebaikan.” (HR. Penyusun-penyusun kitab Sunan, kecuali An-Nasai dan lihat Shahih At-Tirmidzi 1/316)


Seminggu sebelum 17 Mei Aiman menghubungi saya.

“Jang, apo cito? Den kek Ghombau ni. Den cuti sampai bulan 7 ni. Ekau turun tak umah Azia sabtu ni? Dak-dak ini ramai turun ni ha.[1]” Saya sekadar tersenyum, nama Azia itu membangkinkan kembali kenangan saya semasa zaman ‘muda-muda’ dulu.

“Den tak pasti lai la. Den tak cuti laie time tu, den ado satu lai paper hari khamih dopan. Lagipun, sogan la den nak poi. Ekau cam tak tau yo, kisah den ngan dio.[2]” Aiman berdekah. Ah! Terkena saya dengan dia. Lepas berborak beberapa ketika dan saya sekadar menjanjikan ucapan InsyAllah; sama ada pergi atau tidak. Kami menamatkan perbualan.


Saya duduk di belakang aiman yang berbaju kuning

Cintailah orang yang kamu kasihi sekadarnya sahaja, kerana boleh jadi di suatu saat nanti ia akan menjadi orang yang kamu benci. Bencilah orang yang tidak kamu sukai sekadarnya sahaja, kerana boleh jadi di suatu saat nanti ia akan menjadi orang yang kamu cintai. (Sunan at-Tirmizi - no: 2065. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami' as-Saghir - no: 178)



Alhamdulilah, cinta yang dicambah dulu kini tidak membuahkan kebencian terhadap dia. Hubungan sebagai kawan tetap masih berjalan seperti dulu. Tahniah dan selamat pengantin baru Nor Aziati Binti Bohari dan Suami tercinta. Sebelum balik dari majlis petang tadi, sempat sahaja kawan saya mengusik, “Hai bang paneh sampai berpoluh-poluh! Azia sojuk je..Hahaha....” Terkena saya sekali lagi.



“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).” (An-nur : 26)



Semoga berbahagia bersama suami tercinta. Kenangan dulu sememangnya mendewasakan dan membentuk diri sebagai Muslim, yang lebih tahu,mampu dan mahu mendambakan diri demi Agama. Moga Allah terus memberi jalan dan petunjuk kepada saya agar lebih memahami agama-Nya. Amin....







[1] Bang apa cerita? Aku dekat Rembau ini, cuti sampai bulan 7. Engkau pergi tak rumah Azia sabtu ini? Kawan-kawan yang lain datang.

[2] Aku tak pasti lagi, aku tak cuti lagi ini. Ada satu lagi peperiksaan pada khamis depan. Lagipun aku seganlah nak pergi, engkau macam tak tahu saja kisah aku dengan dia.

Wednesday, May 14, 2008

Biblioholisme

Photobucket

Biblioholisme sebuah kecanduan

Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
14 Mei 2008
www.yussamir.com



Hari ini adalah hari yang mengemuruhkan diri, kerana langit terus guruh menyambut keresahan diri. Semua itu saya telah coretkan dalam sebuah kertas yang dimayakan di tetasan. Kali ini buah hati saya ini; Paradigma. Meminta-minta untuk diisi dengan sesuatu, agar terus bercambah segar dan berdiri teguh menjadi wasilah intelektual. Mungkin tulisan kali ini tidak akan meleret-leret sehingga gundah untuk dibaca secara santai. Saya sekadar nak berkongsi tentang penyakit biblioholisme, iaitu sebuah penyakit yang membuatkan manusia kecanduan. Ah, demi Tuhan aku ketahuan.


Kecanduan itu bukan kecanduan jelek tetapi kecanduan murni, dan sesuatu tuntutan untuk menjadi intelektual. Biblioholisme itu adalah penyakit yang membawa kepada kecanduan luar biasa terhadap buku dan dunianya yang berkecenderungan berlebihan kalau tidak pun ekstrem dalam membeli,membaca, menyimpan, dan mengkagumi buku. Manakala para pencintanya disebut sebagai Biblioholist.[1]


Penyakit ini seharusnya disebar luas , dan seharusnya diciptakan virus untuk dijagkitkan pada masyarakat Malaysia,khususnya pada mahasiswa Negara bekas jajahan ‘Mat Salleh’ ini.Ah! Demi Tuhan aku ketahuan. Bukan semua yang bisa dijangkiti, sebab telah disuntik vaksin imunisasi yang dikenali umum iaitu Malas. Mujur ada juga yang tidak kebal dengan vaksin, ataupun ada yang tidak merelakan diri dari disuntik vaksin imunisasi itu. Ah! Demi Tuhan aku ketahuan.

Saya gembira ada juga beberapa teman yang sudah kecanduan dengan penyakit ini. Malah tidak segan silu untuk mendedahkan kecanduan itu di blog masing-masing. Saran saya, coretkan serba sedikit isi yang dilahap itu di kertas maya, agar ia menjadi pemangkin kepada orang-orang yang menatap itu untuk turut serta dalam kecanduan itu. Ah! Demi Tuhan aku ketahuan.


Saya sudah ketagih untuk membaca Sejarah Bangsa Israil dalam Bible dan Al-Quran sebuah penelitian Islamic Archeology oleh Dr Louay Fatoohi dan Prof Shetha Al-Dargazelli, Ibnu Taimiyah Versus Para Filosof sebuah polemik Logik oleh Dr Zainun Kamal, Fatwa antara ketelitian dan pencerobohan oleh al-Imam Yusuf al-Qardhawi, The Long NightMare ; My 17 years as political prisoners oleh Said Zahari, dan The Freelance Journalist ; how to survive and succeed oleh Christoper Dobson. Semua ini akan dihadam dan dilahap-lahan semasa cuti semester. Tunggu ya!..


Owh ya terlupa...

Saya harus menatap lagi dua kitab tebal , bagi penerus kesedian menjawab soalan peperiksaan pada Jumaat ini. Corporate Finance harus dilahap semahu-mahunya, agar tidak ada sisa-sisa yang tertinggal nanti di belakang. Ya memang benar, Demi Tuhan aku ketahuan....


PS: Aku sedih untuk mencoretkan sesuatu tentang Nakbah. Aku sekadar meletakkan link, bacalah dan hayatilah..Hati aku berdarah dan remuk! Palestin, kau pasti akan bebas!

Nakbah

Mari paparkan gambar ini

“Israeli shouldn’t celebrate independence until peace is achieved”






[1] Shaharom Tm Sulaiman : Mengenal dunia pencinta buku

Tuesday, May 13, 2008

Siri penerangan

Siapa Ahbash?

Alhamdulilah..

Pagi jam 4.09 semasa tengah memerah otak untuk memahami Subjek taxation. Saya sekadar ingin melihat-lihat apa yang terbaru di laman Al-Ahkam. Kemudian saya terlihat sebuah tajuk “hadiah abu syuaib kepada abu syafiq”.

Hati saya tertanya-tanya, hadiah apa yang abang K-A bagi pada Abu Syafiq. Bila di buka, ia berkisar tentang persoalan yang diajukan oleh Abang K-A pada Syeikh Dr Wahbah Zuhaili. Memang hebat! Ia berkisar tentang Kesesatan Ahbash. Saya sebenarnya tidak melayan sangat tentang Ahbash ini, cumanya saya memahami tentang fikrah dan kesesatan kumpulan ini. Namun untuk membahaskannya dan menulis tentangnya tidak tergerak di hati pula. Sebab sudah ramai, sahabat-sahabat di luar sana menulis dan membahaskannya dengan hujah dan dalil-dalil yang mantap. Jadi saya fikir usahlah saya menambahnya.

Hayati klip yang tidak sampai beberapa minit ini..Terima kasih Abu Syuib!




Saturday, May 10, 2008

cerita-ceriti



Bermula sebuah peperiksaan

Perjumpaan terakhir usrah biro Akademik untuk sessi 2007-2008.
Ketua biro Akademik Shah dan penolongnya Mina, masing-masing akan memegang portfolio yang berlainan pada sessi 2008-2009. Moga kalian akan dapat menyumbang sesuatu yang lebih besar pada sessi akan datang, bertepatan dengan tugas kerja yang lebih mencabar yang mendatang. Terima kasih kerana menjemput saya ke perjumpaan itu. Bak kata Shah, “VIP jemputan” la katakan. (tapi kena bayor gak...hehehe). Tapi apa-apa pun, tahniah dengan apa yang telah Biro Akademik sumbangkan kepada Institusi Usrah kampus Cyberjaya.


P/S: ada budak tu kata dia lagi tinggi dari saya. Tapi yang nyata dia lebih rendah dari saya..hahahaha...Sory ye ixuan..eh tercakap pulak nama dia..hahahaha.. peace bro!


pergh!!


.makan jangan tak makan.





Kepada pengunjung PARADIGMA saya akan menduduki peperiksaan pada hari esok bersamaan dengan 11 Mei 2008. Doakan saya sukses!!


Jadual peperiksaan:

11 Mei 2008 / 9 pagi – Marketing

12 Mei 2008 / 2.30 petang – Auditing

14 Mei 2008 / 9 pagi – Taxation

16 Mei 2008 / 9 pagi – Corporate Finance

22 Mei 2008 / 9 pagi – Managing accounting 2

Tuesday, May 6, 2008

Artikel khas


Pintu taubat itu luas

Oleh : Yussamir Yusof

6.19 pagi/subuh
Cyberjaya
7 May 2008

*Artikel khas di minggu peperiksaan


“Saya sudah buat banyak dosa! Saya tak tahu macam mana saya boleh kembali ke pangkal jalan. Bolehkah Allah ampunkan dosa saya? Saya sedih sangat-sangat. Tolonglah saya ustaz!” Luah seorang penghantar e-mail di ruangan inbox saya.


Saya mengakui bahawa, manusia itu memang lemah dan mudah melakukan kesilapan. Teapi saya menafikan tentang TIDAK TAHU bagaimana mahu ke pangkal jalan, dan adakah Allah akan mengampunkan. Islam adalah agama yang sentiasa memberi khabar gembira kepada penganutnya. Islam adalah sebuah agama yang seringkali memberi jalan dan petunjuk kepda penganutnya. Jalan dan petunjuk untuk mendapat kebahagian dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Melakukan kesilapan yang mengundang dosa, adalah perkara yang memang akan dilakukan oleh manusia. Kecuali insan terpilih iaitu Nabi Muhammad saw yang disucikan Allah dari sebarang dosa. Bagi mereka yang melakukan dosa, Taubat adalah cara bagaimana untuk kembali mendapat keredhaan dan rahmat Allah. Tidak perlukan pembelian kertas indulgence, atau sebarang ritual yang merosakkan fizikal mahupun mental. Cuma menghadap kepada-Nya, kemudian melakukan taubat kepada-Nya, Tuhan yang maha pengasih dan penyayang.


“Taubat ialah kembali taat kepada Allah s.w.t dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta memohon keampunan dari Allah.”


Kata Allah dalam surah Al-taubat,ayat 118,
"Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”



Berulang kali bertaubat

Memang benar manusia itu sering lupa dengan apa yang dilakukan. Dan tidak tidak hairanlah jika, manusia akan mengulang perlakuan yang dilakukan dahulu. Allah itu maha mengetahui dan bijaksana. Disebabkan kelemahan dan kedhaifan manusia yang pasti akan melakukan kemaksiatan kepada-Nya. Maka Allah sendiri telah berjanji,bahawa Dia akan sentiasa mengampunkan hambanya walaupun dosa itu dilakukan berkali-kali,dengan jalan bertaubat.


Janji Allah ini telah disampaikan melalui, mulut mulia Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

“Hadis riwayat Abu Hurairah ra, dia berkata: Dari Nabi saw tentang yang beliau riwayatkan dari Tuhannya, beliau bersabda: Seorang hamba melakukan satu perbuatan dosa lalu berdoa: "Ya Allah, ampunilah dosaku". Allah Taala berfirman: Hamba-Ku telah berbuat dosa dan dia mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dosa atau akan menghukum karena dosa itu. Kemudian orang itu mengulangi perbuatan dosa, lalu berdoa lagi: Wahai Tuhan-ku, ampunilah dosaku. Allah Taala berfirman: Hamba-Ku telah berbuat dosa dan dia mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dosa atau menyeksa kerana dosa itu. Kemudian orang itu melakukan dosa lagi, lalu berdoa: Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku. Allah Taala berfirman: Hamba-Ku telah berbuat dosa dan dia mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dosa atau menghukum kerana dosa itu serta berbuatlah sesukamu, kerana Aku benar-benar telah mengampunimu. Abdul A'la berkata: Aku tidak mengetahui apakah Allah berfirman "berbuatlah sesukamu" pada yang ketiga kali atau keempat kali.” (hadith Qudsi direkodkan Imam Muslim)

Janji yang disampaikan ini, seharusnya menjadi motivasi kepada umat Islam. Agar umat Islam tidak cepat berputus asa mengharapkan keampunan dari Allah. Dosa sebesar manapun, yakinlah bahawa Allah maha pengampun dan maha penyayang. Pokoknya adalah Taubat. Jika ada keinsafan diri dan kemudian melakukan taubat kepada-Nya maka itu sudah memadai bagi mensucikan diri segala dosa yang pernah dilakukan.


Taubatnya si pembunuh

Jika dosa seorang pembunuh yang telah membunuh berpuluh-puluh orang pernah diampunkan oleh Allah inikan pula dosa yang pernah kita lakukan.Kisah pegampunan dosa terhadap pembunuh ini, dikhabarkan oleh Rasulullah melalui sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim.

Maksudnya:

"Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., bahawasanya Nabi SAW bersabda: Zaman dahulu ada seorang pembunuh yang telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, "Siapa ulama yang paling alim di negeri ini?" maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta). Lalu di datangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Kemudian dia bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? jawab Rahib: "Tidak!" maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah pembunuhannya seratus orang.

Kemudian dia bertanya pula penduduk; "siapa ulama di negeri ini?" maka ditunjukkan orang kepadanya seorang ulama yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh seratus orang. kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, "Ya, selalu terbuka! Pintu taubat selamanya tidak pernah tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat bagi kamu? pergilah kamu ke negeri begini begini, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri kamu, kerana negeri kamu telah rosak." Maka pergilah orang itu ke negeri yang ditunjuk ulama.

Setengah perjalanan tiba-tiba orang itu meninggal. Maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat 'Azab. Kata malaikat rahmat, "orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah Ta'ala" Kata malaikat Azab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun." Tiba-tiba datang seorang malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang ditujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat."


Menurut ulama hadith, selain daripada mengkhabarkan tentang taubatnya seorang pembunuh yang diterima oleh Allah. Hadith ini juga membawa tunjuk ajar, bahawa mereka yang melakukan dosa itu haruslah berhijrah. Berhijrah dari konteks berubah dari berkawan dengan kawan yang tidak senonoh kepada kawan-kawan yang di hatinya penuh ingatan kepada Allah. Jika seseorang itu berada di kawasan yang sememangnya bangkit anasir-anasir kotor, maka berhijrahlah ke tempat yang lebih selamat dan mudah untuk kita mendekati Allah ta’ala.

Bukan setakat mengampunkan dosa, malahan Allah juga telah berjanji akan mengantikan kejahatan yang dilakukan dahulu itu dengan kebajikan.

Kata Allah dalam surah al-Furqan ayat 70:

"kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


Sedar tidak sedar, sebenarnya Allah menjanjikan banyak kebaikan dan kebajikan kepada mereka yang bertaubat. Maka tidak syak lagi bahawa, jalan keluar ke pintu kebaikan terbuka luas untuk mereka yang sedang bergelumang dalam dosa maksiat. Jangan berputus- asa ke atas keampunan dan rahmat Allah. Ingatlah, bahawa Allah sentiasa menyanyangi dan bersama orang-orang yang ingin mendekati-Nya.

Saya akhiri dengan sebuah doa,

Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Travelog


jom baca TRAVELOG saya di

TETASAN

Monday, May 5, 2008

Berniaga

*ketahui hak anda sebagai pengguna.IPR bersama saya!

Urusniaga pertama

Oleh : Yussamir Yusof
Cyberjaya
5.5.2008
1.25 pagi.



Belajar daripada kesilapan dan bersikap tenang, adalah 2 perkara yang saya dan sahabat saya belajar pada hari ini.

Peluang untuk bersemuka dan berurus-niaga dengan client pada hari ini. Memberi satu pengalaman baru dan menarik bagi saya dan sahabat saya. Berhadapan dengan client yang demanding serta tergocoh-gocoh, antara pengalaman yang bakal mendewasakan dan mematangkan cara kami berurusniaga.

Alhamdulilah, segala urusan pada hari ini dapat berjalan dengan lancar. Segala agreement dapat disempurnakan bagi pihak A dan B, yang menandatangani agreement bernilai 1.5 juta. Kami beruntung kerana perniagaan yang baru kami tubuhkan ini iaitu, BIGZONE Solution (Training and Consultancy) mendapat kepercayaan menguruskan agreement yang bernilai jutaan ringgit.Terima kasih kami ucapkan kepada syarikat A kerana memberi kepercayaan, dan individu B yang memberi dokongan.

Selepas ini kami akan terus menapak ke hadapan,memberi perkhidmatan terbaik untuk gmasyarakat berkenaan dengan Intelectual Property Right (IPR). Doakan saya!

Selepas pulang dari berjumpa dengan pelanggan. Saya terus ke perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran, bersedia menghadapi peperiksaan yang bakal menjelma.

Saya tidak dapat menulis sesuatu untuk pembaca paradigma,sehinggalah selesai peperiksaan saya pada pertengahan Mei. Oh ya! 2 Jun ini saya akan ke Singapura. Ke Singapura mencari Mak cik Limah. Hehehe.. Ataupun mencari wanita bernama Salwa!


Akhir kata,

Bukan senang nak jadi senang,dan bukan susah nak jadi susah.