Thursday, May 29, 2008

Adat


As-sunnah adalah imam, adat adalah makmum

Oleh : Yussamir Yusof
Dengkil
4.02 pagi / 30 mei 2008
www.yussamir.com



“Biar mati anak , jangan mati adat.”

Pepatah melayu diatas seringkali dianggap tidak masuk akal dan dipandang serong oleh anak-anak muda sekarang. Malah terdengar dari celah-celah bicara manusia yang bergelar pejuang sunnah,menempelak pepatah melayu ini. Hujahnya, masakan adat mahu diperjuangkan sehingga membiarkan anak mati. Kalau anak mati siapa yang mahu menyambung adat. Itu hujah mereka. Jika difikirkan dan diteliti sekilas pandang, ada logik dan rasionalnya.

Tetapi bila saya membelek tulisan-tulisan lama Pak Sako dalam buku pepatah- petitih. Saya diracuni sebuah pemikiran yang songsang dalam memahami isi kandungan sesebuah pepatah melayu. Dalam memahami pepatah melayu, harus ada displin dan ilmu yang harus diisi. Seperti menelaah ilmu hadith, seseorang itu perlu memahami dan pelajari syarah hadith tersebut. Selain itu memahami wurud hadith, dan penilaian dari segi matan dan sanadnya juga harus dipelajari.

Begitu jugalah perihalnya memahami pepatah melayu yang dikarang nenek-moyang kita dahulu. Kita perlu memahaminya berdasarkan tempat dan masa pepatah itu dikarang. Tidak boleh memahaminya, ditempat dan masa kita berada sekarang. Pemahaman itu akan berbeza, dan pasti salah faham memahami maksud sesebuah pepatah itu akan berlaku.




Berbalik kepada pepatah di atas. Jika diperhatikan sedalam-dalamnya dan memahami isi kandungannya secara total. Kita akan dapati, bahawa perkataan adat yang diletak itu bermaksud lebih dari maksud adat yang kita fahami sekarang. Zaman dahulu, adat itu diertikan dengan makna yang lebih agung iaitu, agama. Perkataan adat difahami di zaman dahulu sebagai agama, dan bila dikaji semula bahawa agama yang diperkatakan itu adalah agama Islam. Oleh sebab itu, untuk mengatakan bahawa pepatah melayu mempunyai unsur kurafat ataupun tidak rasional, kita harus memikirkannya berulang kali.

Budaya meninggalkan adat dibelakang agama tanpa menilai dengan neraca Quran dan Sunnah, ia adalah satu kehinaan. Sedangkan Islam datang tidak pernah menghapuskan adat-adat yang tidak menyalahi syarak. Malahan masih lagi adat-adat bangsa jahiliah yang dipakai sehingga kini, antaranya ialah adat menghormati tetamu. Bukan sekadar itu, adat orang-orang ansar yang suka pada nyanyian dan gendang-gendang tidak pernah dihalang oleh Rasulullah. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Bukhari, Muslim dan Ahmad bin Hanbal, yang bermaksud:

“Aisyah pernah mengahwinkan seorang wanita dengan seorang laki-laki Ansar. Ketika itu Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya “Wahai Aisyah, tidak adakah kalian mempunyai hiburan (nyanyian) sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan (nyanyian).”


Kita sebagai generasi yang ‘tahu’ harus menjadi jambatan antara generasi lama ke generasi yang akan datang. Kitalah yang bakal menghidupan kembali kehidupan yang berteraskan as-sunnah, tanpa sesekali meninggalkan adat-adat yang tidak bercanggah dengan syarak. Ingatlah, bahawa adat juga termasuk dalam displin untuk mengeluarkan sesuautu hukum dalam agama. Jadi, usahlah menjadi penghalang kepada perkembangan adat yang benar dan hak. Usahlah menjadi virus-virus kepada penghinaan adat-adat yang telah diwarisi sejak zaman dahulu lagi. Usahlah menjadi pengkhianat bangsa dengan alasan menjunjung as-sunnah, tanpa menilai dan meniliti adat secara saksama. Berjalanlah dengan petunjuk Quran dan Sunnah, tanpa sesekali melupakan adat yang menjadi identiti sesuatu bangsa di dunia.

Akhir kata, As-sunnah menjadi imam, adat menjadi makmum..

WaAllahualam..

1 comment:

  1. Assalamualaikum.
    "Hidup berantingkan adat yang berakarkan agama, baru subur pohon kehidupan."

    Banyak juga terdengar kata-kata manusia yang mendakwa mereka ahli agama tetapi menentang kesemua adat secara membuta tuli tanpa usul periksa. Mungkin mereka mahu berhati-hati dalam mengamalkan agama (beragama) tetapi terkadang tersilap caturan dan menuduh kesemua adat itu bertentangan dengan agama. Jika itu bertentangan dengan agama secara terang-terangan, maka wajib untuk kita hindarkan. Manusia dicipta daripada pelbagai kaum, keturunan, bahasa, warna kulit, etc. adalah untuk kita berkenal-kenalan dan mengembangluaskan agama Islam. Kepelbagaian bangsa melahirkan pelbagai adat/budaya tanpa menolak batasan syariat.
    Syariat is a border, when ever sesuatu adat melepasinya, itu telah terang dan nyata perlu ditolak tetapi selagi mana adat itu 'within the range', maka tidak ada sebab untuk ditentang. Mungkin kerana sikap manusia itu sukar menilai dengan acuan agama tetapi lebih selesa menggunakan emosi sebagai neraca, menjadikan adat dipandang sepi biarpun tanpa sedar, adat itu adalah wasilah untuk menyampaikan agama.
    Wallahualam.

    ReplyDelete