Tuesday, March 31, 2009

BIBLIOHOLISM SEBUAH KECANDUAN YANG BAIK


BIBLIOHOLISM adalah kecanduan terhadap membeli, membaca dan memiliki buku. Kecanduan saya terhadap buku bertambah-tambah, apabila saya berjaya membeli buku secara online..heheh.. Saya baru cuba-cuba membeli buku secara online melalui syarikat antarabangsa. Sangat mengujakan (baru pertama kalilah gamaknya). Saya membeli 5 buah buku yang keseluruhannya berharga US$ 66.50, kira-kira RM199.50. Sangat berbaloi berbanding membeli buku-buku tersebut secara terus yang dua kali ganda mahalnya. Selepas ini saya akan terus shopping buku secara online lah gamaknya. Selamat membaca!



Buku-buku yang dibeli:
1. Bibliography of the Indonesian Revolution: Publications from 1942-1994 (Bibliographical Series (Koninklijk Instituut Voor Taal-, Land- En Volkenkunde (Netherlands)), 21.)

2. Simple Guide to Indonesia: Customs & Etiquette (Simple Guides Customs and Etiquette)

3. Lincoln's Melancholy: How Depression Challenged a President and Fueled His Greatness

4. Honor's Voice: The Transformation of Abraham Lincoln

5. Jakarta Street Atlas Second Edition


Terima kasih kepada pembeli artikel saya. Disebabkan beliau membeli 5 buah artikel saya pada tahun lepas, saya dapat menggunakan duit tersebut untuk membeli buku-buku di atas. Terima kasih kepada anda yang saya tidak kenali.

Sunday, March 29, 2009

CINTA KEPADA GURU


Saya baru menonton cerita Laskar Pelangi. Novelnya sudah lama saya hadam, tetapi tidak terasa sepertimana saya menonton filemnya. Sejak mula saya membaca novel tersebut, kepercayaan saya kepada kemuliaan seorang guru semakin bertambah. Tambah-tambah pula apabila menonton filem ini, kata-kata Pak Harfan kepada anak muridnya semakin bergetar kuat dalam diri saya. Kata beliau, “Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya.” Kegigihan Ibu Mus untuk mendidik anak-anak bangsanya sehinggakan menolak tawaran mengajar di sekolah yang bagus, benar-benar menambah kemuliaannya sebagai guru.

Cinta kepada ilmu memang akan membuatkan manusia terus bercita-cita. Wang bukan semuanya, tetapi wang ada alat untuk mencapai ilmu dan cita-cita. Moga di Malaysia ini, tidak ada lagi watak seperti Lintang yang cerdas, genius dan baik akhlaknya yang ketinggalan dalam mencapai cita-cita kerana kemiskinan. Saya sarankan guru dan semua manusia yang pernah bergelar pelajar untuk menonton filem ini. Si Guru akan lebih memahami apa tugas yang sedang mereka lakukan, dan si Murid akan lebih mencintai dan memuliakan gurunya.

SAYA SAYANG GURU-GURU SAYA

Thursday, March 26, 2009

JANGAN JADIKAN AGAMA SEPERTI KRISTIAN

JANGAN JADI SEPERTI MEREKA
Paul atau Saul the Tarsus seorang munafik yang berpura-pura menganut ajaran Isa a.s adalah manusia yang merosakkan ajaran Baginda Isa. Pada mulanya, para Hawariun iaitu sahabat Nabi Isa a.s (menurut Ibnu Abbas salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang didoakan akan kefakihan terhadap tafsir mengatakan bahawa jumlah Hawariun adalah sebanyak 12 orang) meragui keikhlasan Paul menganut ajaran Isa a.s, tetapi setelah melihat kesungguhan Paul dalam menyebarkan ajaran Isa, mereka mula berbaik dengan Paul.



Perkara ini dijelaskan dalam Bible di dalam Fasal Acts 9:27-30, yang menceritakan pada mulanya para Hawariun takut untuk mendekati Paul kerana sikap beliau yang pada mulanya sangat memusuhi pengikut Isa sehingga sanggup membunuh (Lihat Acts 9:1-2) , tapi akhirnya diterima setelah seorang dari pengikut Isa a.s iaitu Barnabas menyatakan bahawa Paul sudah insaf.

Diceritakan dalam Bible, setelah pulang dari Demascus (beliau menetap di Demascus selama 3 tahun : lihat Galatians 1:15-20) dan pulang ke Jerusalem, beliau bersungguh-sungguh menyebarkan ajaran Isa a.s yang sebenar kepada kaum Yahudi. Dalam masa yang sama Farisi iaitu pendeta-pendeta korup Yahudi berpura-pura menyerang beliau dan memusuhi beliau kerana menyebarkan ajaran Isa a.s. Kepura-puraan (bukti bahawa ada muslihat disebalik mengapa Paul menganut ajaran Isa dan Farisi berpura-pura memusuhi beliau lihat Acts 19:27-32, iaitu peluang Farisi boleh membunuh Paul tetapi mereka tidak melakukannya, Kerajaan Rom melindungi beliau, lihat Acts 24:24-26, dan banyak lagi) Farisi memusuhi Paul meningkatkan lagi kemasyhuran beliau dikalangan kaum Yahudi dan kepercayaan mereka terhadap beliau.

Setelah kepercayaan, dan kehormatan diberikan kepada Paul oleh pengikut ajaran Isa serta Hawariun, Paul mula mula menunjukkan siapa diri sebenar beliau. Ketika itu, beliau mula menyeleweng dari ajaran Isa a.s yang sebenar, dan menyeru kaum Yahudi yang mengikut ajaran Isa a.s yang sebenar ke jalan yang sesat. Paul mula mencipta dan membuat pembaharuan terhadap ajaran-ajaran Isa a.s. Beliau memasukkan ideologi serta kepercayaan Greek, Yunani dan pelbagai lagi kedalam ajarannya, dan menyampaikannya kepada pengikutnya.

Semua ajaran-ajaran beliau, mula bertentangan dengan ajaran Isa a.s. Antaranya membenarkan pengikutnya tidak bersunat (bertentangan dengan ajaran Isa Luke 2:21), boleh makan babi (bertentangan dengan ajaran Isa Deutronomy 14:8), menyebarkan ajaran Isa a.s kepada orang-orang bukan Yahudi (Gentile) (bertentangan dengan ajaran Isa Mathhew 10:5-6), serta mengangkat Isa a.s sebagai Tuhan (Sedangkan Isa kata baginda tidak ada kuasa John 5:30, John 20:29).

Walaubagaimanapun, beliau tidak dimusuhi dan diperlakukan apa-apa kerana apa? Kita kena ingat sebelum beliau menyeleweng beliau telah mendapatkan kepercayaan orang ramai, dihormati orang ramai serta beliau mempunyai ramai pengikut. Oleh sebab itu, orang ramai tidak lagi merujuk kepada ajaran Isa a.s yang sebenar, dan tidak lagi mendapatkan penjelasan dari para Hawariun Isa a.s. Sebab bagi mereka Paul adalah seorang Imam yang dipercayai, jadinya semua kata-katanya adalah benar, walaupun dibawakan kepada mereka bukti-bukti dari ajaran Isa a.s yang sebenar, mereka tetap menafikannya.

Manakala para Hawariun telah dimusuhi kerana cuba membetulkan akidah orang ramai yang mula tersasar. Mereka dibunuh, dan para pengikut ajaran Isa a.s yang sebenar mula bertebaran kerana menyelamatkan diri. Pergaduhan antara pengikut Paul dan para Hawariun juga berlaku, dan keputusannya para Hawariun kalah dan mereka mula mengasingkan diri. Akhirnya muncullah ajaran baru iaitu Kristian, dan Paul-lah yang mengetuai ajaran sesat ini dengan menggunakan Isa a.s sebagai simbol teologi baru mereka.

PERSOALANNYA APA?
Persoalan disini ialah mengapa saya menceritakan kisah Paul dan kisah bagaimana munculnya ajaran Kristian? Persoalan ini sahaja saya timbulkan, untuk mengetahui atau mengetuk hati-hati anda semua, tentang betapa kita Umat Islam sudah mula menampakkan ke arah untuk menjadi seperti kejadian di atas. Lihat sahaja, bagaimana kita memperlekehkan sebahagian Umat Islam yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah. “Asyik-asyik dalil, asyik-asyik dalil. Ustaz itu cakap betul, betullah.” Tidakkah kita perasan, bahawa ucapan tersebut persis sepertimana awalnya para penganut ajaran Isa a.s mula menyimpang dari ajaran Isa a.s yang sebenar. Kita mula melebihkan ucapan manusia dari Al-Quran dan Hadith Sahih.

Tidak usah jauh mencari contoh, lihat sahaja bagaimana dalam persoalan akidah kita mudah menerima pandangan ustaz-ustaz tanpa soal selidik. Apabila ditunjukkan kebenaran berdasarkan Al-Quran dan Sunnah yang Sahih, kita mempertikaikanya dan lebih selesa dengan pandanga ustaz-ustaz. Saya tidak kata ustaz tidak betul, tetapi kadang-kadang kita melebihkan ucapan manusia dari sumber agama kita iaitu Al-Quran dan Sunnah yang sahih.

Jangan biarkan kita juga menjadi seperti penganut ajaran Isa a.s yang menyimpang dari ajaran baginda. Moga Allah sentiasa memberi petunjuk kepada kita, dan moga tidak ada Paul dalam ajaran Islam kita pada hari ini. Kalau ada, cepat-cepat cantas dan perbetulkan orang seperti itu. Islam tidak misteri, Islam juga bukan agama fantasi dan magis. Islam agama fakta, Islam agama berteraskan bukti. Islam itu Al-Quran dan Sunnah yang sahih berdasarkan kefahaman para sahabat, tabien, dan tabiut tabien.

Seeru ala barakatillah....



Sunday, March 22, 2009

MENGAGUNGKAN PEMIKIRAN ITU TIADA SALAHNYA


Kenapa pula kita tidak boleh mengagungkan pemikiran? Saya menolak mana-mana prinsip yang menolak untuk mengagungkan pemikiran. Mengagungkan pemikiran menurut definasi saya ialah, mengagungkan pemikiran di atas prinsip Allah dan Rasul. Dalilnya, “Dan bahwasanya: orang yang kurang akal daripada kami selalu mengatakan (perkataan) yang melampaui batas terhadap Allah” (Surah al-Jin ayat 4). Selagimana kita menganggungkan pemikiran yang datangnya dari akal, tanpa melampaui prinsip Allah dan Rasul, selagi itu tidak ada batas untuk manusia berfikir dan mengagungkannya.

Dalam Quran Allah sering mempersoalkan manusia yang tidak menggunakan akal. Kenapa Allah mempersoalkannya? Kerana manusia tidak mengagungkan akal mereka dengan berfikir. Mereka sudah biasa atau selesa tanpa menggunakan akal seoptimum yang mungkin. Allah tidak menghalang manusia berfikir, Allah juga tidak menghalang manusia mengagungkan pemikiran kerana pemikiran yang datangnya dari akal adalah milik-Nya. Sekali kita mengagungkan pemikiran, dalam masa yang sama kita berterima kasih kepada-Nya.

Agak ganjil bagi saya apabila ada manusia masih lagi bersikap skeptikal apabila menolak istilah mengagungkan pemikiran. Ya benar, mereka membaca karya-karya agung pemikir Islam seperti Imam Ghazali yang terkenal dengan falsafah islaminya, Ibn Rusyd dan selainnya. Tetapi mengapa pemikiran orang yang membaca tetap mahu berada di zaman tokoh-tokoh tersebut? Itu yang membuatkan saya sedikit janggal dan pelik terhadap ‘pemikir-pemikir’ yang mengaku mereka sudah hadam karya-karya pemikir tersebut. Kita boleh membaca karya-karya agung tersebut, tetapi kita tidak boleh berada di zaman mereka. Zaman dan corak berfikir kita sudah lain, dan pengadaptasian terhadap zaman kini harus wujud.

Saya mengaku, saya masih kurang dan cetek dalam memahami definasi dan ungkapan falsafah serta lontaran-lontaran para pemikir. Tetapi bagi saya, itu lagi baik kerana saya membina lapangan pemikiran saya dari saya terus bertaqlid dengan pemikiran orang yang sudah tidak ada di dunia ini. Saya tetap dengan pengistilahan saya iaitu saya mengagungkan pemikiran di atas definasi saya sendiri. Saya membina lapangan pemikiran saya melalui bacaan, pemerhatian, dan diskusi bersama. Saya tidak mahu menyambung pemikiran orang lain, tetapi mahu membina rantaian pemikiran tersendiri. Itu yang benar-benar boleh dikatakan sebagai seorang pemikir.

Saya seorang Muslim, dan saya mencintai Allah dan Rasul dan salaful-soleh. Tetapi saya tetap berkata, bahawa Allah dan Rasul tidak melarang untuk saya mengagungkan pemikiran dan seterusnya mempergunakan akal sebaik mungkin. Itu sebab, saya katakan bahawa jika bukan kerana Agama, saya pasti sudah sesat dalam lembah liberal dan orientalis yang sasar. Cuma yang boleh saya katakan, saya seorang liberal dalam beragama atas prinsip al-Quran dan Sunnah yang difahami para sahabat, tabien dan tabiut tabien.

Saturday, March 21, 2009

NERACA MANUSIA ADA NILAINYA

Saya suka memerhatikan manusia yang berada disekitar saya. Ada yang sedang tergesa-gesa, ada yang tenang sahaja, dan ada juga yang sedang marah-marah. Masing-masing ada cara dan kehidupan yang tersendiri. Kadang-kadang saya seperti mahu bertanya dan mahu bersama-sama memahami kehidupan mereka. Tapi saya sedar, kehidupan saya dan mereka semuanya berlainan. Berada ditengah orang ramai sangat mengasyikkan saya, sebab banyak ragam dan perangai yang dapat saya lihat.

Semalam saya bersiar-siar di Putrajaya, berhajat mahu melihat balon panas terbang di angkasa raya. Sebelum itu, Jam 10 pagi saya sudah bertolak menunggu sahabat saya yang datang dari Shah Alam. Semasa menunggu di Putrajaya Sentral, saya berlegar-legar di ruangan depan kaunter ERL. Mata saya terus meliar memerhati manusia. Manusia itu unik, dan penuh dengan keistimewaan, saya suka mempelajari manusia. Walaupun seringkali saya sukar memahami manusia, dan manusia lain sukar untuk mengerti diri saya.

Bas Nadi Putra bernombor 300 meluncur laju. Gegar-gegar kecil dan deruman enjin tidak menjejaskan perbualan kami. Bercerita tentang kisah-kisah lama semasa di sekolah menengah, sememangnya mengembalikan nostalgia kami. Ramai rakan-rakan sudah berumah-tangga, yang sudah dua anak pun dah ada. Cerita-cerita lama membuatkan kami memuhasabah diri pada masa sekarang, manakala cerita rakan-rakan membuat rindu dan hubungan kami menjadi padat kembali. Saya memohon maaf kepada rakan-rakan yang berkecil hati disebabkan saya tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan mereka. Bukan tidak mahu, tetapi kekangan masa, wang dan beberapa masalah, membuatkan saya tidak dapat memenuhi jemputan tersebut.

Sangat ramai! Itu yang boleh saya gambarkan keadaan di kawasan Monumen alaf 21. Bazar-bazar yang menjual pelbagai juadah makanan, baju-baju dan pelbagai lagi memainkan peranan besar dalam menarik pengungjung ke situ. Belon panas yang saya dan sahabat mahu lihat, tidak kelihatan lagi. Rupa-rupanya jam 5.30 baru balon-balon itu akan di’terbangkan’. Kami berpusing-pusing, melihat manusia. Ya manusia lagi, saya suka memerhati begitu juga dngan sahabat saya. Kita boleh belajar dari ragam manusia, kita boleh menafsir mengikut nerasa ciptaan kita sendiri. Saya suka belajar dari manusia yang saya tidak kenal, kerana ragam dan perjalanan mereka adalah jujur. Tidak dibuat-buat atau dicipta untuk memperlihatkan betapa baiknya mereka. Saya tidak suka begitu, kerana itu adalah hipokrasi!

Manusia di situ bagi saya semuanya jujur dengan diri saya. Kerana mereka tidak kenal saya, malahan mereka tidak sedar bahawa mereka sedang diperhatikan oleh saya. Gerak mereka, ragam mereka, dan tutur mereka dipersembahkan secara jujur pada neraca saya. Senyum mereka saya tafsirkan bahawa mereka sedang gembira, dan kemuraman mereka saya tafsirkan sebuah ketidakpuashatian sedang berlaku. Ya, bagi saya semuanya itu adalah sebuah KEJUJURAN. Kejujuran mereka itu lebih bererti buat saya, berbanding mereka yang saya kenal dan berada dekat dengan saya.

“My Name is Pauline.” Seorang wanita menegur kami. Saya membalas teguran dengan senyuman, begitu juga dengan rakan saya. Wanita itu berasal dari Mexico, baru 3 bulan berada di Malaysia mengikuti suaminya yang berkerja sebagai ahli Muzik di Petronas. Betapa jujur dan ramahnya beliau berborak dengan kami. Semacam sudah lama kenal, dan kami pun tidak kekok untuk berbual dengan beliau. Pauline dapat berbahasa Inggeris dengan lancar, dan mempunyai kemahiran bertutur yang baik, sememangnya membenarkan bahaawa beliau memang bekas seorang peguam. Perbualan kami berlangsung sehingga sampai di Alamanda. Sunguh, beliau antara manusia jujur yang saya temui semalam. Moga Allah memberi hidayah kepadamu, dan memberi keselamatan kepada manusia jujur seperti Pauline. Ya, saya menafsir mengikut neraca saya!

Sebenarnya jujur atau tidak, bergantung bagaimana kita menganggap dan bersangka dengan manusia. Kita ada neraca dalam diri sendiri, gunakanlah neraca itu untuk menilai dan menafsir manusia dengan adil dan saksama. Walaupun kadang-kadang neraca kita tidak sebaik mana, tetapi jika kita sendiri jujur dan jujur terhadap orang lain, pasti neraca itu akan berfungsi dengan baik. Neraca itu sendiri datangnya dari keimanan kita terhadap ajaran Allah yang disampaikan melalui Muhammad. Jika keimanan kita benar-benar berdasarkan AlQuran dan Sunnah yang sahih, pasti neraca kita akan seimbang dan dapat menilai dengan baik.

NERACA ITU ADA DALAM DIRI KITA.

Wednesday, March 11, 2009

PUISI : KATA TUHAN



Oleh : Yussamir Yusof
Tajuk Puisi: Kata Tuhan



Kata Tuhan,

Kuatkanlah iman wahai manusia,

Tali Allah tali agama,

Hidayah Allah pastikan tiba,
Membawa barakah hingga ke Syurga.

Kata Tuhan,
Berpeganglah kamu pada agama,

Setialah kamu pada Rasul-Nya,

Janji Allah pastikan tiba,

Indah menanti bahtera di Syurga.


Kata Tuhan,

Usah manusia berbahagi-bahagi,

Bagaikan gusi tidak bergigi,
Jangan murka-Ku yang kau nanti,
Kelak nanti kau yang rugi.

Kata Tuhan,

Gunakan akal bila berbicara,

Bangkit bersuara dipersada dunia,

Ekonomi julang ke negara China,

Membawa makmur pada Negara.


Kata Tuhan,

Beruntunglah bagi mereka yang berusaha,
Berkasih sayanglah sesama saudara,
Biar sahaja musuh ternganga,

Kerna perpaduan teras padanya
.



*Pemenang tempat ketiga Pertandingan Puisi dan Essei sempenan Maulidurasul di Multimedia Universiti anjuran Institusi Usrah Cyberjaya.

Sunday, March 8, 2009

OREINTALIS DAN LIBERALIS SEBUAH PILIHAN

Kadang-kadang saya terfikir mahu menjadi seorang yang liberal dalam semua perkara. Tidak terbatas dengan agama dan adat. Tapi bila difikirkan kembali, agama memandu saya untuk tidak ke arah itu. Saya mencintai pemikiran-pemikiran para Orientalis dan Liberalis. Mereka sangat cekap dan kritikal dalam melontarkan idea-idea mereka. Pemikiran mereka tidak terbatas dan tidak terkekang. Mereka bebas, seperti burung yang terbang bebas di awangan.

Bila saya membaca dan memerhatikan sekeliling, sebenarnya manusia ini dalam kurungan minda ciptaan sendiri. Kita terkurung dalam satu konsep dan persepsi. Kita yang cipta persepsi itu, dan mereka yang bijak pula mengeksplotasi persepsi itu. Persepsi terbina di atas kebersamaan berfikir dan kebersamaan dalam menafsir. Para pemikir selalunya tidak termasuk dalam kelompok kongkongan persepsi ini. Mereka keluar dari kempompong pemikiran sempit sebegitu. Mereka memandang dengan minda dan persepsi yang berbeza. Oleh sebab itu, banyak idea-idea yang mereka lontarkan sentiasa mendapat tentangan. Kerana idea-idea yang lahir dari pemikiran kritis dan kritikal mereka berbeza, dan menyongsang arus dengan manusia sekeliling.

Kehidupan sosial para pemikir oreintalis dan Liberalis sangat unik dan flexi. Kenapa saya katakan begitu? Sebab mereka bergaul dan bermasyarakat dengan manusia. Mereka cuba mengenali dan memahami kehendak serta ideologi manusia yang berada di sekeliling mereka. Mana yang boleh mereka ekploitasi, mereka akan gunakan sebaik mungkin. Mana yang tidak, mereka salurkan ideologi mereka, agar mereka berpegangan dengan pegangan mereka. Kehidupan sosial mereka sangat berpengaruh dan berkarismatik. Itu yang mengkagumkan saya.

Mungkin apa yang saya lontarkan ada yang silap dan cacat, tetapi itulah pemerhatian yang saya dapat dalam memahami dan menilai karya-karya para Orientalis dan Liberalis.


CERITA PERIBADI
Di atas cerita tentang kekaguman saya dan keinginan awal saya terhadap para Oreintalis dan Liberalis. Tetapi di bawah pula cerita kehidupan saya yang tidak berkesudahan. Mungkin ada yang mahu membaca-terima kasih kerana membaca- manakala yang tidak mahu, sila bawa tetikus anda ke arah belah hujung kanan anda yang bertanda X. Tekan di situ dan akan berasa tenang selepas itu, insyaAllah.

Saya sedang kecewa dengan kempimpinan dalam sebuah organisasi. Nama ia biarlah menjadi rahsia pada saya. Saya juga sedang kecewa dengan seorang junior saya. Saya sedang kecewa perhubungan sosial saya. Saya juga sedang kecewa dengan prestasi dan fokus saya terhadap pelajaran. Kekecewaan ini saya tidak pasti sampai bila. Kehidupan kini sangat tidak terurus, seperti saya berada dalam sebuah kapal yang dilambung ombak.

Buku FAITH to FAITH tulisan Chawkat Moucarry sedang saya telaah. Banyak perkara tentang Christian dan Islam yang disentuh oleh beliau. Saya pula kini sedang memulakan kajian kembali dan penekunan kembali terhadap Kristianiti. Bukan mudah untuk menjadi Kristalog yang boleh berdialog dengan orang-orang Kristian, tetapi tidak mustahil.

Buku Benteng Islam Indonesia-Pemikiran dan perjuangan K.H Abdullah Wasian sudah 3 minggu saya hadam dengan baik. Buku yang sarat dengan kegigihan seorang Ulama dan Kristalog yang bernama Abdullah Wasian mengisi lembaran-lembaran buku tersebut. Ilmu dan metod dalam Ilmu Kristianiti beliau boleh saya katakan sama hebat atau lebih lagi dari Ahmad Deedat- sekadar pandangan saya-. Beliau masih hidup, dan masih meneruskan sisa-sisa kehidupannya dalam dakwah terhadap Kristian dan menjaga akidah umat Islam di Indonesia. Moga Allah memanjangkan umurnya. Ameen.

Akhir kata, hari ini saya berasa sangat kecewa. Tetapi Allah ada bersama saya dan sentiasa memberi kekuatan kepada saya. Terima kasih Allah.

Friday, March 6, 2009

HAPPY BIRTHDAY NABI

Happy Birthday Nabi.” Ucap orang ramai kepada Rasulullah dalam satu perarakkan menyambut hari kelahiran Rasulullah.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana perasaan Rasulullah ketika itu, jika ada pengikutnya mengucapkan ucapan di atas kepada baginda. Siapa kata kita tidak sayang dan cinta pada baginda. Tetapi adakah dengan cara berarak dan membazir duit dengan membeli pelbagai kelengkapan perarakan itu sudah terbukti kita menyayangi baginda. Realistik sedikit!


Sayang dan cinta kepada baginda Muhammad s.a.w bukan dengan berarak. Tetapi untuk membuktikan kita sayang dan cinta kepada baginda adalah dengan mengikuti setiap perkara yang baginda lakukan. Manakala setiap perkara yang baginda larang, kita jauhi sejauh yang mungkin. Itu baru kena caranya.

Kata Allah, “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Aali Imraan (3) : 31

Lagi kata Allah, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” al-Ahzaab (33) : 21

Untuk tahu dengan lebih lanjut sejarah Maulidur Rasul serta perbahasan para Ulama tentang sambutan Maulidur Rasul sila baca artikel di bawah:

1- Tarikh sebenar
2- Sejarah Maulid
3- Hukum perlaksanaan

BIARLAH BERADAB WAHAI BUDAK

“Biarlah beradab”. Kita boleh mengkritik jika apa yang kritik itu betul. Tetapi cara kita mengkritik itu juga harus ada caranya. Masyarakat Malaysia penuh dengan sopan-santun dan budi bicara. Masyarakat kita terkenal dengan budaya tersebut. Kita berbangga budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia yang sebegitu.

Kadang-kadang kita terlupa untuk memerhatikan tindak-tanduk kita. Kita suka sangat bercakap tanpa melihat adakah cara dan bahasa yang digunakan bersesuaian. Sejak kecil saya diajar apabila bercakap perlu lihat dengan siapa kita bercakap. Kalau orang tersebut orang dewasa, saya perlu berhati-hati menggunakan intonasi dan bahasa yang bersesuaian. Kalau sama umur dengan saya, caranya lain pula dan begitulah yang seterusnya.

Islam juga mengajar penganutnya untuk memerhatikan sekeliling sebelum berkata-kata. Jika bercakap dengan ibu-bapa ada caranya, begitu juga ika mahu menegur ibu-bapa ada kaedahnya.
“...maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff”, dan janganlah engkau menengking (dan/atau) menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” [al-Isra 17:23]


BERBUDI BAHASA

Kita perlu lihat bahawa kritik itu bukan atas dasar emosi. Kritikan itu harus di atas kewajaran dan kewarasan. Jika benar kita kritik atau menegur itu untuk kebaikan bersama, Alhamdulilah. Tetapi dalam masa yang sama kita harus tahu cara untuk mengutarakannya. Saya bagi satu analogi, “Seorang Ustaz sedang memberi ceramah di surau. Kemudian semasa sedang rancak memberi ceramah, beliau tersalah memetik ayat-ayat alQuran. Setelah habis ceramah kita berjumpa dengan beliau secara berdepan. – Alhamdulilah untuk langkah pertama sudah betul iaitu menegur bukan didepan orang ramai - Tetapi semasa kita menegur di depannya itu, kita menggunakan perkataan kasar dan beremosi. Maka langkah kedua itu kita sudah tersilap langkah dan disebabkan kejadian itu maka bertegang uratlah antara kita dengan ustaz tersebut.

Semuanya silap cara dan kaedah untuk menegur. Kita ada hak untuk menegur, tetapi kita tidak ada hak untuk menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai pada orang yang mahu kita tegur. Kita belajar dari kesilapan, tetapi ingat sekali buat silap selama-lamanya akan diingati orang lain. Bak kata pepatah, “luka boleh kita ubati, tetapi parutnya tetap ada.”


PUISI BERTAJUK “SEORANG BUDAK”

Seorang budak yang tidak tahu apa-apa mula bersuara.
Dia bersuara sebab dia rasa dia sudah bagus.
Kita perhatikan sahaja gelagatnya.
Sungguh menghairankan dan menggelikan hati.
Katanya dia sudah dapat beribu-ribu.
Katanya dia sudah banyak buat kerja dari orang lain.
Dia bangga dan meninggi diri berkata, “Akulah yang terbaik.”

Kadang-kadang dia mengadu dia sering sakit-sakit.
Kita kata, apa kaitan penyakit kau dengan perangai kau?
Sungguh biadap bila bersuara, sungguh rimas dibuat diri semuanya.
Engkau tidak pernah diundang, kau datang kami terima dengan tangan terbuka.

Ah, sungguh bisa suara-suaramu.
Tapi kita sedar, kau hanya seorang budak.
Hingus masih lagi melekat dan meleleh di sini-sana.
Kita tidak kuasa untuk melayan perasan dan perangai anehmu.
Sebab kita tahu, itulah yang membezakan kita yang berakal dengan engkau yang tidak.
Wahai akal, gunakannya sebaik mungkin.
Umurmu semakin lanjut dimamah usia.
Tetapi usahlah biarkan dirimu dilanjut pemikiran singkat.

Budak, kita sudah lama berkecimpung dalam dunia ini.
Kita yang membukanya, dan kita juga yang mengusahakannya.
Kita gembira tika itu bersama-sama dengan keluarga.
Tapi kini kau datang membuat onar dan memalit duri dalam keluarga .
Adakah hanya keangkuhan sahaja yang boleh kau kongsikan bersama?
Kita sebenarnya rungsing memikirkan engkau.
Engkau tidak pernah disukai orang.
Sebenarnya orang suka memperalat diri kau.
Engkau berasa hebat, tetapi sebenarnya kepala kau singkat.

Budak, kita cakap ini terus terang untuk kau sedar siapa diri kau.
Engkau benar-benar virus dalam diri keluarga .
Ah budak, kau sekarang bercanda pula.
Mahu bermain buih di atas ombak.
Kau menyuruh orang memilih engkau atau tidak.
Hahaha..aku bertambah geli hati melihatnya.

Ah, engkau memang suka untuk berbuat begitu.
Sebab kita tahu kepala engkau memang singkat.
Kita doa, agar keluarga ini terus hidup dan terus melaksanakan kerja-kerja yang ada.
Moga selamat semuanya...

(Puisi ini ditulis saya setahun yang lepas)


Saya akhiri artikel ini dengan sebuah kata-kata dari Yahya bin Mu’adz ((Taarikhul Baghdaad: 14/209)
, katanya “Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang dalam, daripada lidah seorang yang lemah-lembut.” Kerana bahasa memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia, oleh itu belajarlah untuk berbahasa dengan orang yang mengetahui dan juga dengan pengalaman. Moga kita sama-sama terus menggali budaya dan bahasa yang sesuai untuk kita tuturkan. Kerana BAHASA ITU ADALAH JIWA.



۞ Artikel ini untuk peringatan bersama.

Monday, March 2, 2009

DEBAR JALAN YACOOB LATIF

Bina kepercayaan dan hubungan adalah perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Fasilitator dalam program yang berbentuk motivasi. Bukan mudah, tetapi tidak mustahil. Sifirnya mudah, jika kita benar-benar ikhlas mahu memberi, sudah pasti jalan untuk memberi akan terbuka luas. Saya suka membaca buku-buku karya Dr HM Tuah yang banyak menceritakan tentang prinsip tarikan. Kata beliau, dalam badan setiap manusia ada arus-arus yang sedang bergerak dan aktif membina personaliti kita. Selain membina personaliti, arus-arus ini memainkan peranan yang besar dalam membina kasih sayang, rasa hormat, kepercayaan dan perkara positif yang dialirkan oleh arus alfa.

“ Abang selalu alirkan arus-arus positif daripada diri abang kepada kamu semua. Abang sentiasa fikirkan adik-adik semua, dan dalam masa yang sama menanam rasa sayang pada diri abang dan juga adik-adik semua. Itu namanya mengalirkan arus-arus positif yang akan menarik dan tertarik di antara satu sama lain.” Bunyinya seperti hanya teori atau retorika yang tidak berkesudahan. Tetapi selama saya mempraktikannya, ia sangat berhasil!

ADIK-ADIK YANG BIJAK
Semuanya PMR 8A dan 7A. Ya mereka pelajar Bijak. Masalah pertama yang saya bayangkan di kepala ialah, bukan mudah untuk mengawal dan membina motivasi dalam diri pelajar-pelajar yang bijak. Mereka ada ego yang tersendiri, ego sebagai pelajar terbaik dan terpilih. Tetapi dalam masa yang sama, mereka sebenarnya dahagakan perhatian dan tunjuk ajar daripada orang yang dewasa. Pada mulanya, mereka agak janggal dan sedikit malu-malu. Namun selepas beberapa aktiviti dilakukan dan kemesraan itu sudah berhasil. Kecoh dibuatnya kumpulan saya dengan Lana. Masing-masing mahu bercerita, sehinggakan tidak mahu bersurai kerana terlalu seronok dan asyik. Saya bersyukur, kerana usaha saya dan Lana untuk memastikan input-input dapat diberi kepada mereka berhasil.


HUBUNGAN TIDAK TERHENTI

Pastinya sesebuah hubungan tidak terhenti di satu-satu program sahaja. Hubungan itu harus diteruskan walau di mana sahaja. Atas perbincangan dengan mereka, saya dan Lana telah berjanji untuk berjumpa dengan mereka semua pada minggu hadapan ; InsyaAllah. Walaupun saya dan Lana sibuk sebagai mahasiswa dan juga aktif dengan persatuan. Tetapi bila diingatkan telatah dan kerenah mereka, kelitahan itu hilang begitu sahaja. Itulah penangan “Erti Hidup Pada Memberi, dengan Memberi Kita akan Merasai.”


Kepada adik-adik kami ; Husna, Adibah, Aqli, Naim, Ehsan, Nashitah, Lam, Amin, dan Zarif jangan lupa temujanji kita. Tak sabar nak jumpa!

TERIMA KASIH PADA SEMUA
Terima kasih kepada semua Komiti yang berkerja keras untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar. Terima kasih juga kepada partner saya, adik Lana :) kerana bersama-sama memastikan adik-adik SMSS bermotivasi. Kepada penganjur, jika ada lagi program sebegini, jangan lupa untuk menjemput saya lagi!