Saturday, March 21, 2009

NERACA MANUSIA ADA NILAINYA

Saya suka memerhatikan manusia yang berada disekitar saya. Ada yang sedang tergesa-gesa, ada yang tenang sahaja, dan ada juga yang sedang marah-marah. Masing-masing ada cara dan kehidupan yang tersendiri. Kadang-kadang saya seperti mahu bertanya dan mahu bersama-sama memahami kehidupan mereka. Tapi saya sedar, kehidupan saya dan mereka semuanya berlainan. Berada ditengah orang ramai sangat mengasyikkan saya, sebab banyak ragam dan perangai yang dapat saya lihat.

Semalam saya bersiar-siar di Putrajaya, berhajat mahu melihat balon panas terbang di angkasa raya. Sebelum itu, Jam 10 pagi saya sudah bertolak menunggu sahabat saya yang datang dari Shah Alam. Semasa menunggu di Putrajaya Sentral, saya berlegar-legar di ruangan depan kaunter ERL. Mata saya terus meliar memerhati manusia. Manusia itu unik, dan penuh dengan keistimewaan, saya suka mempelajari manusia. Walaupun seringkali saya sukar memahami manusia, dan manusia lain sukar untuk mengerti diri saya.

Bas Nadi Putra bernombor 300 meluncur laju. Gegar-gegar kecil dan deruman enjin tidak menjejaskan perbualan kami. Bercerita tentang kisah-kisah lama semasa di sekolah menengah, sememangnya mengembalikan nostalgia kami. Ramai rakan-rakan sudah berumah-tangga, yang sudah dua anak pun dah ada. Cerita-cerita lama membuatkan kami memuhasabah diri pada masa sekarang, manakala cerita rakan-rakan membuat rindu dan hubungan kami menjadi padat kembali. Saya memohon maaf kepada rakan-rakan yang berkecil hati disebabkan saya tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan mereka. Bukan tidak mahu, tetapi kekangan masa, wang dan beberapa masalah, membuatkan saya tidak dapat memenuhi jemputan tersebut.

Sangat ramai! Itu yang boleh saya gambarkan keadaan di kawasan Monumen alaf 21. Bazar-bazar yang menjual pelbagai juadah makanan, baju-baju dan pelbagai lagi memainkan peranan besar dalam menarik pengungjung ke situ. Belon panas yang saya dan sahabat mahu lihat, tidak kelihatan lagi. Rupa-rupanya jam 5.30 baru balon-balon itu akan di’terbangkan’. Kami berpusing-pusing, melihat manusia. Ya manusia lagi, saya suka memerhati begitu juga dngan sahabat saya. Kita boleh belajar dari ragam manusia, kita boleh menafsir mengikut nerasa ciptaan kita sendiri. Saya suka belajar dari manusia yang saya tidak kenal, kerana ragam dan perjalanan mereka adalah jujur. Tidak dibuat-buat atau dicipta untuk memperlihatkan betapa baiknya mereka. Saya tidak suka begitu, kerana itu adalah hipokrasi!

Manusia di situ bagi saya semuanya jujur dengan diri saya. Kerana mereka tidak kenal saya, malahan mereka tidak sedar bahawa mereka sedang diperhatikan oleh saya. Gerak mereka, ragam mereka, dan tutur mereka dipersembahkan secara jujur pada neraca saya. Senyum mereka saya tafsirkan bahawa mereka sedang gembira, dan kemuraman mereka saya tafsirkan sebuah ketidakpuashatian sedang berlaku. Ya, bagi saya semuanya itu adalah sebuah KEJUJURAN. Kejujuran mereka itu lebih bererti buat saya, berbanding mereka yang saya kenal dan berada dekat dengan saya.

“My Name is Pauline.” Seorang wanita menegur kami. Saya membalas teguran dengan senyuman, begitu juga dengan rakan saya. Wanita itu berasal dari Mexico, baru 3 bulan berada di Malaysia mengikuti suaminya yang berkerja sebagai ahli Muzik di Petronas. Betapa jujur dan ramahnya beliau berborak dengan kami. Semacam sudah lama kenal, dan kami pun tidak kekok untuk berbual dengan beliau. Pauline dapat berbahasa Inggeris dengan lancar, dan mempunyai kemahiran bertutur yang baik, sememangnya membenarkan bahaawa beliau memang bekas seorang peguam. Perbualan kami berlangsung sehingga sampai di Alamanda. Sunguh, beliau antara manusia jujur yang saya temui semalam. Moga Allah memberi hidayah kepadamu, dan memberi keselamatan kepada manusia jujur seperti Pauline. Ya, saya menafsir mengikut neraca saya!

Sebenarnya jujur atau tidak, bergantung bagaimana kita menganggap dan bersangka dengan manusia. Kita ada neraca dalam diri sendiri, gunakanlah neraca itu untuk menilai dan menafsir manusia dengan adil dan saksama. Walaupun kadang-kadang neraca kita tidak sebaik mana, tetapi jika kita sendiri jujur dan jujur terhadap orang lain, pasti neraca itu akan berfungsi dengan baik. Neraca itu sendiri datangnya dari keimanan kita terhadap ajaran Allah yang disampaikan melalui Muhammad. Jika keimanan kita benar-benar berdasarkan AlQuran dan Sunnah yang sahih, pasti neraca kita akan seimbang dan dapat menilai dengan baik.

NERACA ITU ADA DALAM DIRI KITA.

2 comments:

  1. i like this article..all about neraca..

    ReplyDelete
  2. Pertimbangan akal,ilmu, hati dan perasaan.....neraca~~~~

    ReplyDelete