Takrif dan Jumlah Sahabat Nabi Muhammad SAW
Oleh : Yussamir Yusof aljohori
25 Ogos 2007 : 2:47 pagi
Perjuangan Nabi Muhammad SAW sentiasa disokong dan didokong para sahabat baginda yang mulia.Tidak boleh tidak,kita sebagai umat Islam perlu mengakui tentang pengorbanan dan kehebatan para sahabat baginda dalam meninggikan Kalimah Tauhid pada sebelum dan selepas kewafatan Nabi.Para sahabat adalah insan yang istimewa di mana mereka dididik secara terus daripada Nabi Muhammad SAW dan sentiasa berada disisi Nabi sama ada ketika senang atau susah.Para sahabat sanggup berkorban apa sahaja,berkorban harta,meninggalkan keluarga untuk berjihad,dan pelbagai lagi.Dan pengorbanan mereka itu terus diperlihatkan walaupun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Sahabat menurut bahasa di dalam kalimah الصحابة (assihabah) ataupun الصحابة (assahabah) imbuhan dari الصحبة (As-suhbah).Ahli bahasa yang terkenal iaitu Al-Fairuzabadi[1] menerangkan: Sahabat memberi maksud berkawan atau mengajaknya untuk bersama dan berserta dengannnya sebagai teman.Selain itu Al-Qadhi Abu Bakar A-Baqilani[2] menakrifkannya: Tidak menjadi perselisihan di kalangan ahli bahasa dalam menjelaskan bahawa kalimah sahabat adalah imbuhan dari الصحبة (as-suhbah) yang tidak menjurus kepada bentuk persahabatan yang khusus malah ia mencakupi kepada bentuk yang sedikit ataupun banyak.Apabila diletakkan nama berkawan ia tidak tertakluk kepada sedikit ataupun banyaknya rakan tersebut.[3].
Namun kalau kita melihat pula takrif di sisi Muhadisin ia terdapat beberapa kelainan dalam menakrifkannya makna sahabat ini.Antara ulama hadis yang memberi takrif ini adalah Imam Bukhari secara ringkas:
من صحب النبى صلى الله عليه وسلم أو رآه من المسلمين فهو من أصحابه
Sesiapa yang bersahabat dengan Nabi SAW ataupun melihatnya dari kalangan muslim,maka dia adalah di kalangan para sahabat Baginda.[4].
Selain itu ada sesetengah ulama menetapkan seseorang itu layak menjadi sahabat Nabi dengan kadar lamanya mereka bersama dengan Nabi serta sering menghadiri majlis ilmu Baginda.Namun ada sebilangan para ulama mengatakan bahawa mereka yang hanya bertemu serta melihat Baginda sekadar sebentar atau cuma sesaat pun sudah dikira sebagai sahabat Nabi.Ini disandarkan kepada kata-kata Ibnu Hanbal(iaini Ahmad bin Hanbal) yang telah diriwayatkan oleh Al-Khatib dengan sanadnya kepada Abdus bin Malik al-Atthar bahawa beliau berkata :Aku mendengar Ibnu Hanbal menerangkan mengenai para sahahat Nabi yang terdiri dari kalangan Ahlu Badar ,beliau berkata :
ثم افضل الناس بعد هؤلاء اصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم القن الذى بعث فيهم كل من صحبه سنة أو شهر أو يوما أو ساعة أو رآه من أصحابه له من الصحبةعلى قدر ما صحبه وكانت سابقة معه ونظر اليه
Sebaik-baik manusia adalah ahlu badar dari kalangan para sahabat Nabi adalah mereka yang hidup di kurun itu dan merasai zaman risalah.Setiap dari mereka yang berdampingan dengan Baginda sama ada setahun,sebulan,sehari atau sesaat atau sekadar melihatnya sahaja,maka mereka tergolong dari kalangan sahabatnya.Mereka berhak mendapat hak persahabatan sekadar perdampingan mereka bersama Baginda,mendengar perkataannya dan melihat kearahnya.
Manakala Ali Ibn Al-Madini menejelaskan pengertian sahabat sebagai :
من صحب النبى صلى الله عليه وسلم أو رآه ولو ساعة من نهار فهو من اصحاب النبى صلى الله عليه وسلم
Sesiapa yang sering berdampingan dengan Nabi,melihatnya sekalipun sekadar satu saat pada suatu hari,maka dia tergolong dari kalangan sahabat Nabi SAW.
Berdasarkan beberapa takrif yang dibawa maka bolehlah dapat disimpulkan adalah :
من لاقى رسول الله صلى الله عليه وسلم ملاقاة عرفية في حال الحياة حال كونه مسلما ومؤمنا به
Mereka yang bertemu dengan RasullAllah SAW dengan pertemuan yang wajar sewaktu baginda masih hidup dalam keadaan Islam dan beriman dengannya.[5].
Kalau kita lihat rumusan ini terdapat perkataan “dalam keadaan Islam dan beriman dengannya”.Ini disebabkan gelaran sahabat itu terlucut serta merta apabila mereka tidak mempercayai risalah kenabian dan apabila mereka tidak beriman setelah nabi wafat.Selain itu,mereka yang sudah beriman tetapi tidak pernah atau tidak sempat mememui baginda tidaklah layak digelar sebagai sahabat.Seperti mana Raja Najasyi[6].
Ini bertepatan dengan rumusan yang dibawa oleh Ibnu Hajar As-qolani :
الصحابي من لقي النبى صلى الله عليه وسلم مؤمنا به ومات على الاسلام
Sahabat ialah mereka yang sempat bertemu dengan Nabi SAW,beriman dengan Baginda dan mati dalam keadaan Muslim.[7]
Ibnu hajar menegaskan persoalan iaitu mati mesti dalam keadaan beriman adalah kerana terdapat sesetengah sahabat yang pernah bertemu dan beriman dengan Nabi kembali murtad dan mati dalam keadaan kufur.Perkara ini berlaku pada Abdullah bin Khatal yang melarikan diri ke kota Makkah uintuk meminta perlindungan kaum Quraisy setelah murtad dari Islam.Akhirnya beliau dihukum bunuh oleh Nabi Muhammad.
Akan tetapi jika para sahabat yang murtad kemudian kembali semula kepada agama Islam maka ia tetap mendapat hak sebagai sahabat Nabi.Sama ada ketika adanya Nabi ataupun setelah kewafatan Nabi.Ulama Hadis secara jumhur tidak membantah persahabatan mereka dan periwayatan mereka sebagaimana termuat dalam kitab-kitab hadis.
Bilangan para sahabat adalah amat ramai dan mereka meriwayatkan maklumat yang banyak kepada kita semua.Kerana mereka kita Alhamdulilah dapat mengamalkan Islam dengan lengkap tanpa ada apa-apa yang tertinggal daripadanya.
Kaab bin Malik ra iaitu salah seorang sahabat besar Nabi pernah menyebut :
والمسلمون مع رسول الله صلى الله عليه وسلم كثير
Kaum muslimin bersama Rasullah SAW terlalu ramai(semasa menyertai peperangan Tabuk).[8].
Al-Hafiz Al-Iraqi[9] berpendapat bahawa jumlah para sahabat tidak boleh dibataskan dengan jumlah tertentu,kerana jumlah para sahabat terlalu ramai dan tidak ada satu riwayat pun yang menentukan jumlah sahabat.Beliau berkata:
Tidak boleh dibataskan pada jumlah angka tersebut sahaja.Bagaimana boleh timbul sesetengah pihak yang berpendapat begitu dan menuliskannya didalam kitab mereka.Sedangkan masih ramai lagi para sahabat Nabi SAW yang bertebaran di segenap ceruk
Oleh itu jumlah sebenar para sahabat tidak dapat ditentukan kerana tidak ada satu sumber sahih yang merekodkannya.Dan yang penting kita menghargai jasa mereka kerana sanggup berkorban masa dan tenaga dalam mengumpulkan maklumat dan kemudian menyampaikanya sehingga tidak ada satu pun yang tertinggal daripada Nabi Muhammad SAW.
Artikel kali ini saya hanya menerangkan siapa itu sahabat dan jumlah para sahabat,insyAllah pada artikel yang lain mungkin saya akan meneruskannya dengan beberapa point yang menarik.Dan saya harap pendedahan mengenai sahabat ini dapat menambahkan cinta dan penghargaan kita pada mereka yang sangat dekat dengan Nabi Muhammad SAW.
Nabi Muhammad SAW sangat mencintai para sahabatnya sehinggakan beliau bersabda :
لا تسبّوا اصحابي لعن الله من سبّ اصحابي
Janganlah kamu mencela sahabatku,Allah akan melaknat sesiapa yang mencela para sahabatku.[10].
Oleh itu,kita berkewajipan menjaga nama para sahabat Nabi dari dicela dan diputar belitkan oleh golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab.Antara golongan yang jelas dan nyata dalam hal cela-mencela para sahabat ini adalah golongan Syiah Rafidah.Dan kita berharap golongan ini dilaknat oleh Allah SWT seperti mana hadis Nabi diatas.
InsyaAllah artikel ini akan bersambung..............
[1] Al-Fairuzabadi-Kamus al-Muhith
[2] Al-Qadhi Abu Bakar A-Baqilani – Muhammad bin At-Taiyib bin Muhammad bin Jaafar(338-403H).Beliau adalah seorang pakar dalam menginstibatkan hokum dan pintar menjawa persoalan yang ditujukannya secara sepontan.Antara karya beliau adalah kitab DAqaia al-kalam.Al-Zahabi-Suyar A’lam An-nubala(muasasah Risalah Beirut 1414H).
[3] Khatib al-Baghdadi – alkifayah
[4] Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqolani – Fathul baari.Jil 7,ms 5
[5] Fathur Rahman – Ikhtisar Mustahalul hadis.
[6] Raja Najasyi adalah seorang pemerintah Habsyah yang memeluk Islam dan menerima muhajirin pertama di
[7] Al-hafiz Ibn Hajar – Nukhbat al-Fikar (dar ihya,
[8] Sahih.Dikeluarkan oleh Bukhari didalam sahihnya.
[9] Al-Hafis Al-Iraqi adalah Muhadis yang berasal dari Iraq dan membesar di Kaherah.
[10] Sahih : Dinukul oleh Haitami dalam kitabnya Majma Azzawaid.Beliau berkata bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Thabari di dalam Majmu Al-Ausath dan para perawinya adalah perawi yang sahih kecuali Ali bin Sahl kerana dia adalah perawi yang tsiqah(terpecaya).
No comments:
Post a Comment