Thursday, February 28, 2008

Cerita cinta


Bicara Tuhan melalui Ayat-ayat cinta

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
28 Februari 2008
www.yussamir.com



Bila menonton Filem Ayat-ayat cinta (jangan ditanya dimana saya menontonnya..:D ),sebuah Filem yang diadaptasi dari novel islamik karangan Habiburahman as-Syirazi,saya tersungkur dengan keangkuhan sendiri.Seakan Allah sendiri berbicara dengan saya melalui filem ini.Bicara-Nya tentang keangkuhan dan ketidakikhlasan saya dalam mencari Tuhan dan cinta. Mencari Tuhan bukanlah semudah kata yang dituturkan,mencari-Nya adalah dengan mencari keagungan-Nya.Mencari keagungan-Nya harus didasari dengan keimanan yang kukuh pada Kalamnya, dan juga petunjuk dari pesuruh-Nya.Keimanan itu dicapai melalui keikhlasan yang telus datang dari hati untuk menyembahnya;tuhan yang Esa dan Maha Agung.Saban hari kita takbir dan ruku’ tanpa ada sekelumit perasaan tawaduk dan khusyuk pada-Nya,kerana kita sendiri tidak ikhlas menyembah Tuhan yang telah memberi kita nyawa dan kehidupan.Kita menyembah-Nya dengan hati yang kosong,kita menyembahnya kerana sekadar mengikut tuntutan agama.Perasaan cinta,sayang dan ikhlas semata-mata kerana Allah langsung tidak tercuit di hati kita.


Cinta dan manusia

Manusia mana yang boleh lari dengan perasaan cinta dan dicintai.Namun sedar atau tidak,cinta bagaimana yang kita dambakan.Cinta sang lelaki kepada sang wanita,bukanlah semudah luahan perasaan dan ikatan.Tetapi cinta yang benar adalah sebuah cinta yang disandarkan atas keizinan Allah.Seringkali kita melupakan Allah dalam mencari cinta,kerana kita angkuh dan acapkali mengatakan bahawa jodoh itu perlu dicari sendiri oleh kita.Tetapi kita terlupa bahawa jodoh yang dicari itu perlu disandarkan kepada pertolongan Allah.Pernahkah kita sujud istikharah kepada Allah di malam hari mencari petunjuk cinta dan jodoh kita.Tanyakan pada diri kita,tanyakan terus-terus tanpa henti.Kerana penulis sendiri telah tersedar dalam perkara ini,penulis angkuh dengan semua ini.Mungkin peristiwa 26 Februari telah menyedarkan penulis,bahawa Allah lah tempat segala-galanya.Istikharah bukan setakat sujud dan sembah pada-Nya.


[Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amru ra. bahawa baginda Rasulullah SAW pernah bersabda: الالدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة. Maksudnya: “Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia itu ialah wanita solehah”. (Hadith ini adalah hadith sahih riwayat Muslim No. 1467 dan Nasaie, Ibn Majah dan Ibn Hibban serta lain-lain).]


Istikharah

Tapi istikharah adalah tempat pengaduan dan luahan secara total pada Sang Maha Kuasa.Bukan setelah kita suka pada seseorang itu,baru kita mahu istikharah.Kerana kadang-kadang,cinta yang telah meresap dalam jiwa itu,akan terus mempengaruhi keputusan kita dalam memilih pasangan itu.Jadi,keputusan itu bukan datangnya dari Allah,tapi dari hati yang telah dirasuk perasaan cinta itu.Oleh itu,haruslah kita pusatkan tumpuan kepada Allah ketika tunduk sujud pada-Nya dalam istikharah.Mungkin ramai yang katakan ini hanya sebuah retorik bahasa dan teori,tapi sedarlah bahawa kuasa manusia itu terbatas.Hanya Allah sahaja tempat pencarian dan pengaduan kita dalam segala hal,terutama bagi insan yang terkapai-kapai mencari cinta.

Saya tertarik dengan kata-kata sahabat saya merangkap roomate dan presiden IU yang pernah dia katakan pada seorang sahabat saya.Katanya, “kalau kau cop dia pun,kau boleh buat apa?Kau tiada ikatan yang sah,tak boleh nak keluar berdua-dua,tak boleh nak pegang-pegang dan lain-lain lah.Sebab kau tidak ada ikatan yang sah!So,bila kau dah bersedia kau terus masuk meminang dan terus kahwin.Tak perlu lagi nak cop-cop.”


Solusinya

Solusinya,sebuah ikatan itu bukanlah sebuah hubungan yang main-main dan tiada arah tuju.Sebuah hubungan haruslah diakhiri dengan sebuah ikatan yang sah dengan nama perkahwinan.Untuk mencari pasangan haruslah mencari dengan pertolongan, dan sandaran kepada yang Esa.Bukan semudah kata, “Dia jodoh aku,aku nak kahwin dengan dia.” Tapi ucaplah, “InsyAllah dengan izin Allah,setelah berusaha dan istikharah sepenuhnya kepada Allah,pasti wanita itu menjadi isteriku.”

[“Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)” (Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).]


Artikel ini tulus untuk semua pembaca,dan menjadi peringatan yang terakhir dan keramat untuk penulis sendiri.Hubungan itu bukanlah sesuatu yang boleh diperlakukan dengan main-main,kerana pengakhiran hubungan yang menanti adalah ikatan perkahwinan yang membawa hingga ke akhirat.WaAllahualam...




Artikel yang disaran untuk dibaca:

Mengikat Pertunangan Dalam Kesederhanaan

Muslim Rumahtangga dan Keluarga - Siri I (Pra Perkahwinan)

Muslim Rumahtangga dan Keluarga - Siri II (Di Ambang Perkahwinan)

Tuesday, February 26, 2008

motivasi



Memotivasikan diri Yussamir

Oleh:Yussamir Yusof
27 Februari 2008



P/S:Sebelum itu,saya mohon maaf kepada para pembaca paradigma,kerana artikel kali ini akan menyentuh kisah hidup saya.Maaf,kerana saya juga insan biasa yang perlu meluahkan perasaan.

26 Februari 2008 sempena hari lahirku,pelbagai peristiwa berlaku.Mungkin ini adalah ujian Allah pada diriku.Tabahkan hatimu Yussamir Yusof.

Dalam tawa dan senyumanku,terselit perasaan sedih,dan kekecewaan.Pada tarikh itu juga aku mengalami sakit perut yang teramat,dan sehingga sekarang belum baik.Seluruh badan lemah dan hanya tangan dan minda sahaja yang layak berfikir dan bergerak di papan kekunci laptop ini.Terima kasih kepada semua yang memberi diri ini hadiah (terutama baju Bum) dan doa,semua itu hanya dapat dibalas dengan ucapan terima kasih.



Diri ini penuh dengan kesedihan dan kekecewaan,namun diri ini akan menutupinya dengan tawa dan senyuman.Kerana Yussamir insan yang tabah, dan sentiasa menganggap semua perkara berlaku adalah ketentuan Allah. Chayok Yussamir,perjalanan masih jauh.Jadikan hari lahir kau pada tahun-tahun akan datang penuh dengan kegembiraan dan kesyukuran.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."(2:286)

jutawan



Jom jadi jutawan Muslim

Oleh:Yussamir Yusof
26 Februari 2008
www.yussamir.com




“Price please”

“News please”

“Sell,don’t buy”

“Buy low,sell High”


Semua ini berkemundang di dewan kuliah 1 Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia.Masing-masing berkerja keras untuk membuat keputusan dan mengkaji, prospek saham syarikat mana yang harus dibeli atau dijual.Ada yang berkerut-kerut dahi mengira jumlah wang yang berbaki,dan ada juga yang berlari sana sini kerana mahu menghantar borang jual atau beli saham kepada remaisser.

Tidak beberapa lama,sebuah kumpulan menjerit dengan kuat, “Yahoo!Saham yang kita beli naik...”. Setengah kumpulan lain pula ada yang menjerit kekesalan kerana tersilap beli saham.

Keadaan di atas persis di Bursa,namun sayangnya ia bukanlah pemain-pemain saham yang sebenar di dunia nyata.Semua pemain-pemain pada malam itu adalah peserta Seminar Financial Investment Challenge.Seminar itu berlangsung selama dua hari berturut-turut,yang membariskan beberapa Universiti di Malaysia.Antaranya Multimedia Universiti,Universiti Malaya,Universiti Sains Malaysia,dan lain-lain.

Sebelum para peserta bertanding sesama sendiri,para peserta di sediakan dengan pelbagai teori dan perbincangan bersama dengan penceramah pada pagi dan petang hari.Seminar ini bukan hanya fokus kepada pengajaran bagaimana mahu bermain saham,malahan ia juga memberi beberapa penerangan tentang personaliti seorang ahli korporat dan ilmu insurans. Bagi peserta yang datang dari Jurusan perakaunan dan Kewangan,ceramah insurans dan perancangan kewangan membuatkan ngantuk dan terlena di meja seminar.Penulis juga terlena seketika.


Jangan terperangkap

Sessi petang membariskan beberapa penceramah yang berkaliber dalam dunia perbankan.Antaran En.Mazlan dari Unit penyiasat Khas Bank Negara,seorang yang mahir dalam dunia penyelidikan kewangan.Apa yang menarik dalam sessi ini,para peserta banyak bertanya dan sentiasa berlaku soal-jawab dengan penceramah.Isu Forex antara isu yang disentuh dan dibincangkan.Menurut En.Mazlan,Forex yang dijalankan secara individu tanpa melalui bank-bank yang diiktiraf oleh Bank Negara adalah tidak sah.Oleh itu sesiapa yang menjalankannya tanpa melalui bank akan dikenakan penalty.Semua peserta semacam tidak berpuas hati,dan penulis juga tertanya mengapa begitu.Sebab apa yang penulis tahu,ramai profesional yang menjalankan perlaburan jenis Forex ini,dan sehinggakan ada sesetengah pensyarah yang terlibat.Kenyataan yang dibuat bahagian Unit penyiasat Khas Bank Negara ini,sudah jelas dan diharapkan semua yang terlibat dapat menghentikan urus niaga ini.

Tambahan:En Mazlan juga menyentuh isu Jai Network,dan terbukti memang seleweng.


Jadi jutawan melalui pelaburan

Laburlah dalam mana-mana institusi kewangan dan prospek yang dirasakan bagus untuk keuntungan.Tidak ramai mahasiswa pada masa kini terdedah dengan dunia pelaburan,mereka tidak produktif dalam merancang kewangan dan masa depan mereka.Itu adalah fokus utama dibincangkan pada sessi ini.Salah seorang penceramah pada petang itu,memberitahu bahawa beliau telah mula bermain saham ketika berumur 18 tahun.Dan semasa bergelar mahasiswa beliau pernah berjaya mengaut keuntungan 100k ,dan jurusan ekonomi yang diambil memberi kelebihan kepada beliau untuk terus aktif dalam dunia pelaburan.Kini beliau berjaya sebagai seorang pelabur dan memiliki syarikat perundingan pelaburan,dengan nama TA Investment.


Jom jadi jutawan

Saya sudah merancang untuk menjadi jutawan pada umur 30 tahun.Saya juga sudah merancang untuk menggunakan kekayaan saya itu untuk pembanggunan ummah.Kalau Syeid Mukhtar al-Bukhari boleh membina Universiti sendiri,saya juga akan pastikan sebuah universiti menggunakan nama saya; Universiti Islam Antarabangsa Yussamir!


Bermimpi dahulu,kemudian laksanakan mimpi-mimpi itu dengan perancangan yang rapi dan bersungguh-sungguh.Albert Einstein sendiri menyatakan bahawa “imagination is more important than knowledge”. Kuasa ‘angan mat jenin’ adalah satu kuasa yang dapat merubah nasib ummah dan negara.Tanpa angan-angan,pasti kereta yang dapat menyelam ke dasar laut tidak akan dapat kita cipta sekarang ini.Kesimpulannya,berangan dari sekarang,kemudian tuliskan angan-angan itu dikertas,kemudian laksanakan apa yang patut untuk mencapai dan menggapai angan-angan itu.Ayuh!Jadi jutawan mudah.


Rancangan saya

  • Selepas tamat ijazah,saya mahu menyambung pengajian untuk mengambil ACCA sambil berkerja.(syarat untuk lulus dalam ACCA selain daripada peperiksaan,saya harus ada pengalaman bekerja selama 3 tahun),kemudian Master dan PHD (nak dapat Phd masa umur 30)
  • Mahu hasilkan 2 buah buku setiap tahun.
  • Perniagaan barangan outdoor yang dirancang bersama dua orang lagi rakan saya,diharapkan dapat berjalan dengan lancar dan seterusnya dikembangkan kepada beberapa portfolio lain.
  • Mahu beli kereta dengan wang sendiri pada tahun 2009.
  • Mahu aktif dalam dunia pelaburan-mahu buka akaun dengan bank negara.
  • Mahu kahwin,dan semasa umur 30 sudah ada seorang anak,rumah dan kereta idaman saya iaitu BMW.Dan bergelar jutawan !
  • Dan banyak lagi,itu serba sedikit tentang perancangan saya.

Saya sudah merancang,anda bila lagi??Jom jadi jutawan Muslim.

Monday, February 25, 2008

Bezday


Selamat hari lahir

Terima kasih Allah kerana masih memberi aku nyawa,terima kasih Muhammad saw kerana pengorbananmu aku merasa nikmat Islam.Tanpa ku sedari hari ini adalah tarikh aku dilahirkan di dunia yang fana ini.Terima kasih kepada Ibu dan ayahku,kerana tanpamu aku takkan dapat merasa erti kehidupan.Paradigma mengucapkan selamat hari lahir kepada Yussamir Yusof, tuan rumah kepada Paradigma.Semoga panjang umur dan sentiasa dirahmati,diberkati dan disayangi oleh Allah.

p/s:Terima kasih kepada keluargaku, mentorku,dan sahabat-sahabatku yang wish my birthday.Tidak dilupakan kepada Bon dan Aina yang berada di Mesir,kerana wish walaupun jauh nun di sana...

Friday, February 22, 2008

Perasaan


Hargai insan di sisi anda

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
23 February 2008
1.51 pagi
Selepas telefon




Bagaimanakah perasaan anda semua,apabila kita mengambil berat diri seseorang kemudian dia tidak menghargai kita?

Ha!Jangan terlalu awal meneka-neka,bak kata kawan saya “assumption is the mother of disaster”. Kerana meneka-neka dan bersangka-sangka tentang diri,dan juga perasaan orang lain pada kita,maka ia akan menimbulkan rasa tidak selesa pada diri kita.Sikap percaya, hargai, hormati,dan mengambil berat perlu diadun bersama.Buangkan perasaan yang boleh mengugat hati dan perasaan kita pada seseorang.Misalnya suami dan isteri,apabila tidak ada sifat percaya, hargai, hormati, tolak ansur, dan mengambil berat dalam diri si suami dan isteri,maka sebuah perkahwinan itu akan hancur berkecai.Begitu jugalah kepada semua pasangan,dan hal ini boleh diaplikasikan untuk semua aspek.


Fikirkan perasaan

Apa perasaan ayah dan ibu kita apabila melihat anaknya balik rumah pada lewat malam?Misalnya jam 2 pagi.Si anak mengetuk pintu berkali-kali,semata-mata mahu mengejutkan orang di dalam rumah untuk bukakan pintu untuknya.Si ayah yang esoknya perlu bangun awal untuk pergi kerja,terpaksa bangun dengan perasaan yang membara.Setelah dibuka pintu,anaknya terus masuk ke rumah tanpa ada sepatah pun perkataan terima kasih atau sifat hargai dipamerkan.

Lihatlah peristiwa diatas,apakah reaksi anda bila hal ini berlaku pada anda?

Jika balik lewat malam atau keluar hingga larut malam kerana ada sebab yang munasabah tidak mengapa.Contohnya,ada mesyuarat program luar negara di Universiti,program rakan sebaya bersama masyarakat dan sebagainya yang releven.Jika hal tersebut,maka ia tidak menjadi masalah,yang menjadi masalah jika keluar untuk berfoya-foya.Memang benar,keluar dengan kawan-kawan yang berjantina sama,namun pernah kita kadang-kadang fikirkan perasaan orang yang sentiasa mengambil berat tentang kita.Pernahkah kita ambil tahu perasaan mereka pada kita?Marah ke,suka ke,meluat ke, semua itu tidak pernah kita nak ambil tahu dan menghargai keikhlasannya dengan mengambil berat pasal kita.Bila ada orang yang berada disisi kita bersikap mengambil berat dan tegur kita ,maka kita dengan selamba akan kata “ala,takkan nak kongkong aku!. “Sibuk betullah dia ini.”


Menghargai insan di sisi

Orang yang sentiasa mengambil berat tentang kita,tidak menginginkan dirinya dipuja dan dipuji.Tapi cukuplah sekadar menghargai dan menghormati dirinya seada yang mungkin.Berilah dia peluang untuk menasihati kita dan menegur kita,kerana apa yang ditegur dan dinasihatkan bukan untuk dia,tetapi semata-mata untuk kebaikan kita.

Hargailah insan yang sentiasa disisi kita,sebab tidak mustahil dia akan pergi tinggalkan kita pada bila-bila masa sahaja.Pergi takkan kembali lagi.Gunakanlah masa yang ada,untuk mengerti,memahami dan menghargai dirinya.Sepertimana dia menghargai dan menghormati kita,maka begitu jugalah sikap kita pada mereka.

Seseorang yang berusaha untuk memahami diri seseorang lebih berhak dihargai, daripada kita yang langsung tidak cuba memahami.Bukan senang untuk orang menghargai diri kita,maka cubalah untuk hargai diri orang yang sentiasa menghargai diri kita, persis menghargai mutiara di dasar laut.


Benarkan cemburu

Saya tertarik dengan sebuah peristiwa dalam novel ayat-ayat cinta.Dalam cerita tersebut,Aisyah iaitu isteri kepada Fahri menangis teresak-esak apabila Fahri menyarungkan cincin kepada Maria iaitu isteri keduanya.Kemudian Fahri bertanya kepada Aisyah,kenapa dia menangis sedangkan dia sendiri merelakan perkahwinan itu.Maka jawapannya adalah cemburu!

Cemburu yang terbit dari hati adalah satu perkara yang lumrah dan memang sengaja Allah kurniakan.Tanpa cemburu,suami akan menjadi dayus,tanpa cemburu isteri akan menjadi jalang.Tanpa cemburu,maka kehidupan akan jadi hambar.Namun,cemburu itu masih dalam wilayah yang dikawal.Cemburu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa ada sebarang kawalan,ia perlu dijaga dan digunakan untuk perkara-perkara yang berhak digunakan.

Kerana cemburu,muncul dan sampai kepada kita hadith tentang Aisyah cemburu.Kerana cemburu juga,ada hadith bagaimana Nabi SAW menyelesaikannya dikalangan para isterinya.Cemburu itu suci,namun perlulah dijaga agar tidak tersasar dari landasan.


Jagalah sesama kita

Ingatan diatas semua,ditujukan untuk saya dan semua pembaca.Kerana,kebanyakkan kita terlupa dengan semua ini.Kita tidak pernah mahu memikirkan hal ini,kerana kita mengangap apa yang kita lakukan adalah betul segala-galanya.Kita sentiasa lupa dengan perasaan,kita sentiasa lupa dengan perhubungan yang ikhlas,kita juga sentiasa lupa perkataan HARGAI dalam setiap perhubungan.Oleh sebab itu,artikel ini di’ukir’ sedemikian rupa,untuk sama-sama kita fikirkan dan renung-renungkan.Moga ada manfaat yang diperolehi dari artikel ini,dan kita perlu jaga sesama kita!

Tuesday, February 19, 2008

Pilihanraya



Pilihanraya,satu cita-cita dan harapan

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
20 Februari 2008



Malam tadi saya bermimpi bertemu dengan al-Imam Yusuf al-Qardhawi.Beliau menunjukkan saya sebuah buku,saya mendekati beliau untuk melihat buku itu secara dekat.Setelah saya amati,buku yang ditunjukkan beliau itu adalah Feqh Daulah,buku karangan beliau berkaitan dengan Negara.Tidak beberapa lama kemudian,saya tersedar jam menunjukkan 4.50 pagi.

Setelah terjaga,saya mencari buku tersebut.Alhamdulilah,buku tersebut ada dalam simpanan saya.Saya menyelak dari satu muka surat ke muka surat yang seterusnya.Kemudian saya tersenyum sendirian.

“Patutlah,kan sekarang tengah demam pilihanraya.”

Feqh Daulah adalah sebuah buku yang seharusnya dimiliki oleh semua orang.Dalam buku ini,al-Imam Yusuf al-Qardhari banyak menyentuh berkaitan dengan pelbagai isu yang berkaitan dengan Negara.Termasuklah dalam konteks demokrasi,pemilihan pemimpin,keplbagaian parti dalam negara Islam,penggabungan dengan parti bukan islam dan lain-lain lagi.

Buku ini sudah 1 tahun saya beli,namun sehingga sekarang saya belum sempat menghabiskannya.Tetapi,disebabkan mimpi dan demam pilihanraya ini,membuatkan saya bersemangat untuk membaca dan menilai pandangan tokoh besar ini berkaitan dengan Negara.


Nasihat kepada para pemimpin dan rakyat



Pilihan raya bakal dilangsungkan,para pemimpin dalam setiap parti sedang sibuk menyediakan persiapan untuk bertanding dalam pilihanraya ini.Tidak dilupakan juga rakyat yang sedang berkira-kira dan mencongak-congak,siapakah yang layak untuk ‘dipangkah’. Dalam kita ghairah dan bersemangat untuk bertanding dan memangkah,seharusnya kita meneliti dan mengimbau kembali apakah peranan dan tangungjawab yang harus ada para pemimpin dan orang yang dipimpin.Menjadi pemimpin dan orang yang dipimpin,masing-masing mempunyai peranan dan tangungjawab yang tersendiri yang seharusnya diketahui.

Peranan dan tangungjawab untuk pemimpin dan orang yang dipimpin,telah Allah sebutkan dalam al-Quran,surah al-Nisa’ ayat 59 dan 59.Kata Allah:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat(58). Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu(59).”

Menurut Yusuf al-Qardhawi,ayat pertama (ayat ke 58) itu ditujukan kepada para pemerintah,agar sentiasa amanah dan menetapkan hukum Allah secara adil. Menyia-nyiakan amanah yang diberi oleh rakyat dan tidak bersikap adil merupakan satu bala dan mendatangkan kemurkaan Allah.Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan imam Bukhari,baginda Rasulullah saw pernah mengatakan bahawa, “Jika amanah disia-siakan,maka tunggulah kehnacurannya.” Setelah mendengar kata-kata ini,ada sahabat yang bertanya, “bagaimana menyia-nyiakannya?”.Kemudian baginda menjawab, “Jika urusan diserahkan kepada orang yang tidak layak,maka tunggulah saat kehancurannya.”

Manakalah ayat yang kedua (ayat ke 59) ditujukan khas kepada rakyat yang mukmin,bahawa mereka harus taat kepada “Ulil Amri” (para pemerintah).Namun begitu,ketaatan itu mempunyai syarat dan kondisi yang tertentu. Ketaatan terhadap para pemerintah haruslah berlaku apabila para pemerintah itu sendiri taat kepada Allah dan Rasul.


Tiada tempat bagimu

Rakyat seharusnya sedar,bahawa Islam tidak mengiktiraf pemimpin yang tidak komitment terhadap Islam.Pemimpin yang tidak mendahulukan Allah dan Rasul dalam setiap keputusan dan tindakan,haruslah ditolak dan tidak ada kewajiban kepada kita untuk memilihnya sebagai pemimpin. Bagi saya kenyataan al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam hal ini patut ditengahkan dalam artikel kali ini.Al-Imam dengan lantang dan serius mengatakan bahawa :

“HARAM berbaih kepada pemimpin yang tidak komitmen terhadap Islam.Bai’ah yang membebaskan dari dosa adalah bai’ah kepada pemimpin yang berpegang dengan apa yang diturunkan oleh Allah.Jika tidak ada,maka semua orang muslim berdosa hingga ada penerapan hukum Islam dalam negara.Orang Islam tidak terkecuali dari dosa ini sehinggalah mereka melakukan dua perkara ini:

  1. Mengingkari pemimpin yang tidak berpegang kepada hukum Allah.Pengingkaran ini hanyalah layak dilakukan ketika tidak ada kemampuan lagi untuk menentang.
  2. Usaha secara berterusan membangkitkan kehidupan Islam yang lurus menurut landasan Allah dan Rasul.Usaha ini haruslah dilakukan secara berjamaah kerana orang mukmin dengan seorang mukmin adalah seperti sebuah banggunan yang kukuh.

Yang pasti orang-orang yang dipilih menjadi pemimpi haruslah,orang yang kuat dan dipercayai,berpengatahuan agama dan sentiasa memikirkan rakyatnya.Seperti mana Abu Bakar

as-sidiq berkata, “Andaikata ada tali unta yang hilang dariku,tentu aku akan mendapat hukumannya di dalam kitab Allah.”


Daulah Islamiah

Daulah dalam bahasa Melayu diertikan sebagai sebuah kerajaan.Sebuah kerajaan yang berpaksikan kepada Allah dan Rasul seharusnya menjadi titik tolak dalam pemilihan kita pada pilihan raya akan datang.Memang benar,tidak ada Nas yang menegaskan akan kewajiban mendirikan Negara yang berteraskan Islam.Namun,tabiat risalah Islam itu sendiri telah mewajibkan adanya daulah atau kerajaan bagi Islam.Ini semuanya bertujuan agar kita dapat mengembangkan akidah, syiar, ajaran, pemahaman, akhlak, keutamaan, tradisi, dan syariat-syariatnya.

Selain daripada dapat mengembangkan akidah Islamiah yang jitu,kerajaan yang mampu membangunkan pemikiran dari pelbagai aspek sama ada dari undang-undang, ekonomi yang mampan, pendidikan yang berterusan, politik yang kualiti, kemajuan teknologi yang kehadapan, dan lain-lain lagi harus dilaksanakan dan diterapkan secara optimal dalam kerajaan Islam.Namun begitu,tanggungjawab sebuah kerajaan Islam yang paling utama adalah,mendidik umat atau rakyatnya berdasarkan ajaran dan prinsip-prinsip Islam.Tambahan dengan mencipta iklim yang bercuaca Islamik,akidah yang islamik, pemikiran-pemikiran yang hebat berteraskan Islamik, semua ini dapat menjadi pengangan ataupun acuan bagi sebuah negara yang berjalan diatas sebuah petunjuk Sang Maha Kuasa.

Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqadimah pernah menyatakan bahawa, “Menjadi keharusan kepada semua orang untuk menjalankan tugas sesuai dengan padangan syariat,demi untuk kemaslahatan ukhrawi dan duniawi.Kerana semua keadaan dunia di sisi Pembuat syariat harus kembali kepada kemaslahatan ukhrawi. Jadi pada hakikatnya ini merupakan perwakilan atas nama pemegang syariat untuk menjaga agama dan dunia.”

Kerajaan Islam ataupun Daulah Islamiyah adalah sebuah cita-cita yang agung.Rab’i bin Amir pernah menjelaskan apa itu Daulah Islamiyah dihadapan seorang pemimpin Parsi iaitu Rustum.Kata beliau kepada Rustum, “Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan terhadap manusia kepada penyembahan kepada Allah semata-mata,dari kesimpitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman berbagai agama kepada keadilan Islam.”


Pilihan raya dan hukumnya


Pilihanraya adalah satu ketetapan Syariat,dan menjadi satu kesalahan jika seseorang yang layak dan berkemampuan tidak melaksanakan tanggungjawab untuk pergi mengundi.Menurut al-Imam Yusuf al-Qardhawi,Islam melihat pilihanraya ini adalah satu bentuk penyaksian yang diberikan kepada para pencalon pilihanraya.Maka setiap pengundi haruslah memenuhi syarat-syarat yang harus dimiliki oleh seorang saksi,iaitu adil dan diredhai perilakunya. Al-Imam membawakan firman Allah yang bermaksud:

“Dan saksikanlah dengan dua orang saksi yang adil diantara kalian.” (surah at-talaq :2)

Menurut beliau lagi,pengundi yang memberikan undinya kepada calon yang tidak layak untuk dipilih,bererti dia telah melakukan dosa besar.Kerana perbuatan tersebut sama seperti memberi penyaksian yang palsu.Sesiapa yang mengundi calon berdasarkan hubungan persaudaraan atau berasal dari satu daerah yang sama atau untuk mendapatkan kepentingan peribadi sedangkan mereka tidak layak,bererti mereka telah menyalahi perintah Allah.

“Dan hendaklah kalian tegakkan keadilan itu kerana Allah.”
(Surah at-Talaq :2)

Sehubungan itu,sesiapa yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya dalam pilihanraya,sehingga menyebabkan calon yang seharusnya terpilih kalah dan suara majoriti jatuh ketangan calon yang tidak layak,maka dia telah melanggar perintah Allah untuk memberikan kesaksian pada saat dia diperlukan untuk memberikan kesaksiannya.

“Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil.” (al-Baqarah :282)

“Dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah :283)


Akhir sekali,saya menyeru kepada para pengundi pilihanraya yang akan datang ini,tunaikanlah tanggungjawab anda dan undilah mereka yang layak dan tinggalkanlah calon yang tidak layak.Gunakanlah pemikiran yang waras,jauhilah emosi dan perasaan.Kepada para calon pilihanraya,jauhilah rasuah ,jauhilah fitnah dan tuduhan, jauhilah pengunaan kata-kata kesat dalam kempen, laksanakanlah tangungjawab berdasarkan landasan syariatullah dan sunnatullah, pentingkan rakyat dan bukan pentingkan diri sendiri,dan akhir sekali MARILAH KITA LAKSANAKAN TANGUNGJAWAB MASING-MASING DALAM PILIHANRAYA AKAN DATANG INI.


#Artikel yang disarankan untuk dibaca oleh para pembaca paradigma.

1. Pulangkan amanah kepada ahlinya – Ustaz Hasrizal

2. Pandangan UZAR – Ustaz Zaharuddin

Kembara IPT




Ukhwah itu indah,maka peliharalah ia sebaik mungkin

Oleh:Yussamir Yusof

















TAMAT-

Monday, February 18, 2008

luahan perasaan


“Saya sibuk”-alasan yang benar atau bohong

oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya,19 februari 2008
3.25 pagi


Berulang kali penulis katakan,yang penulis bukan saja-saja tidak mahu menyertai program-program yang dianjurkan oleh ‘mereka’.Namun ‘mereka’ tetap berdegil,memaksa dengan pelbagai pujukan dan rayuan.Bukan mahu tunjuk lagak atau keras kepala,tetapi penulis mempunyai agenda dan tanggungjawab yang lain,dan tidak boleh tidak, penulis terpaksa mengatakan TIDAK!


Selain daripada sibuk dengan program-program yang dianjurkan oleh Institusi Usrah,penulis juga terikat dengan beberapa pekerjaan rutin.Antaranya,menyiapkan dua buah buku,assigment, juru hebah di radio MMU,tutorial yang bertimbun-timbun,editor majalah inSight(yang bakal diedarkan dibawah kelolaan Biro Promosi dan publisiti IU ) dan tugas sebagai seorang pemimpin di Institusi Usrah. Bukan mahu memberi alasan atau menunjukkan penulis sahaja yang sibuk,namun kadang-kadang ‘mereka’ ini tidak faham dengan keadaan penulis.Penulis tidak mahu menjadi seperti yang digambarkan oleh pepatah melayu iaitu, “yang dikejar tidak dapat,yang dikendong berciciran.”


Penulis sendiri kadang-kadang berasa hairan dengan ‘mereka’ ini.Tidakkah mereka ada hati perut dan belas kasihan kepada penulis?Sehinggakan menlontarkan pelbagai tuduhan dek sebab penulis tidak mahu menyertai program ‘mereka’.Janganlah asyik mahu fikirkan ‘perut’ sendiri sehinggakan melupakan ‘perut’ orang lain yang perlu juga diisi! Maaflah,penulis bukan mahu menuding pada sesiapa,tapi ini hanya sekadar satu nasihat dan renungan.Agar kita semua pandai untuk berfikir dan sentiasa memikirkan hak orang lain juga.


Untuk menyenangkan hati pihak ‘mereka’ ini,penulis rasa eloklah penulis nyatakan aktiviti dan program yang bakal penulis pikul pada semester ini.


(1) -23-24 Februari 2008 : Seminar stok trading di ESSET.

(2) -1 Mac 2008 : Program amal di Rumah penyayang Raudah.

(3) -19 April 2008 : Mukhayam,gabungan IU Cyber dan IU Melaka

(4) -26 April 2008 : IU Dinner-Director

(5) -Bulan Mei 2008 : Program Friend of Future

(6) -6-12 Jun 2008 : Research di China.-Assistent Director

(7) -Bulan 8 : Tarikh akhir penghantaran manuskrip buku.


Diharapkan ‘mereka’ dapat memahami keadaan penulis.Sekian....



#Terkilan sebab tidak dapat menyambut hari lahir insan teristimewa.
Kadangkala memahami itu perlu melampaui had yang ditetapkan,agar hubungan berterusan.Walaupun sekelumit kekecewaan akan terpalit di lubuk hati...tidak mengapa,i’m understanding person.

Sunday, February 17, 2008

Musafir



Musafir Institusi Usrah ke Universiti Teknologi Petronas

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya,17 Februari 2008
Sekembali ke MMU



Masjid terapung Universiti Teknologi Petronas (UTP), seakan-akan menyambut kedatangan delegasi Institusi Usrah MMU.Limpahan cahaya dari lampu-lampu di sekeliling masjid dan senyuman ahli Rakan Masjid UTP pada jam 2.40 pagi,membuatkan saya dan rombongan lupa seketika kepenatan.Kehangatan persaudaraan atas nama Islam,memberi ikatan yang cukup hebat di antara dua pihak yang tidak pernah sama sekali bersua-muka.Setelah diberikan sedikit taklimat ringkas dari Akhi Syafik (lajnah perhubungan ,rakan masjid),kami semua terus menuju ke penginapan masing-masing.Selepas subuh ada banyak aktiviti yang bakal dilakukan,dan pasti tidur ini akan nyenyak.


Selepas subuh dan bersarapan,saya dan delegasi IU MMU dibawa melawat sekitar UTP.Kecanggihan perpustakaan UTP ataupun dikenali dengan nama IRC (Information Resource Centre), serta keluasannya Chancellor Hall membuatkan saya kaget seketika.Betapa kita mewah dengan semua ini,namun adakah kita bersyukur dengan limpahan kemewahan dan kecanggihan ini?Saya muhasabah diri kerdil ini.



Keluasan dan kecanggihan IRC


Semasa saya berada di Universiti Andalas,Indonesia,kemewahan dan kecanggihan seperti yang ada di Universiti Malaysia, tidak pernah ditawarkan di sana.Namun kita kalah dengan mereka dari segi,semangat dan kegigihan mereka dalam menuntut ilmu.Kita tidak setanding mereka,mereka ada jati diri,mereka menyimpan cita-cita dan kekuatan Soekarno,Bung Hatta dan Abuya Hamka.Itu yang membezakan kita, kita masih terleka dengan kemewahan ini!


Sewaktu saya dan delegasi Appex ke yayasan,Abang Dollah iaitu salah seorang Badan eksekutif Mahasiswa di Universiti Andalas,Indonesia menyatakan:

“jangan jadikan kemiskinan dan kemunduran tempat belajar,sebagai alasan untuk kita tidak berjaya dalam pelajaran.Kerana pelajaranlah kita boleh merubah nasib kita,terutama nasib bangsa indonesia!”

Terpapar semangat dan cita-cita dari ayat ini.Cita-cita dan harapan yang bukan sekadar impian tetapi harapan yang penuh dengan kegigihan dan cita-cita yang membara.Saya sangat mengkagumi figur ini!



Muzakarah dan pendekatan

Perbincangan dua hala di antara Rakan Masjid UTP dan Institusi Usrah MMU dijalankan di Dewan Kuliah 1.Banyak topik yang disentuh dalam perbincangan selama 2 jam setengah tersebut.Saya,Fakhru (presiden IU),Izuan(Setiausaha,IU),NorSyafawati(Bendahari,IU),Zulfadhli (Setiausaha,RM UTP),Amir Fadhli (Pengerusi Rakan Masjid(RM),dan Asnadila (Naib Pengerusi,RM) diletakkan dalam satu kumpulan Majlis Tertinggi.Selama perbincangan ini berjalan,antara topik yang disentuh ialah;Kesamaan dan perbezaan Tanzim,uslub da’wah,Fikrah,dan hala tuju.


Banyak-banyak topik yang disentuh,saya lebih tertarik dengan topik uslub da’wah ataupun pendekatan da’wah.Dalam topik ini,terdapat jurang yang besar antara Rakan Masjid dengan Institusi Usrah.Jurang yang diperkatakan ialah,cara pendekatan yang dilaksanakan itu sendiri.Di MMU,pendekatan yang dilaksanakan oleh IU kepada mahasiswa adalah ringan dan santai.Berbeza dengan RM,di mana pendekatan ‘keras’ dan ‘lembut’ diadun secara bersama untuk mendekati para mahasiswa.Perbezaan pendekatan ini,membawa kami bersama berfikir dan mematangkan konsep da’wah didalam organisasi masing-masing.Resolusinya,mendalami watak dan sikap mad’u itu sendiri adalah penting sebelum mendekatkan diri kepada mereka.Sesuai dengan sikap dan watak pelajar MMU yang kurang kesedaran Islam,maka pendekatan ringan dan santai adalah formula X yang sesuai diterapkan.Begitu pula dengan RM,mereka mempunyai formula dan cara yang berbeza.Pendekatan mengadun formula ‘keras’ dan ‘lembut’ sesuai dengan iklim di sana,yang rata-ratanya sudah ada asas islam yang diperolehi di sekolah-sekolah berasrama penuh.


Pendekatan yang berbeza,tetapi tujuan yang sama


Kefahaman dan kematangan RM dan IU dalam konteks Uslub da’wah,membawa ingatan saya kepada sebuah Firman Allah:

“Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”


Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam buku “manhaj dakwah Yusuf al-Qardhawi harmoni antara kelembutan dan ketegasan” pernah menjelaskan tentang hal pendekatan ini.Kata beliau:

Da’wah perlulah disampaikan pada setiap kaum sesuai dengan kemampuan dan level mereka.Serta dengan cara yang sesuai dengan mereka,dengan bahasa yang mampu dicerna oleh otak mereka.Janganlah seorang dai’ berbicara pada orang yang diajak ke dalam da’wah dengan bahasa yang sebenarnya bukan bahasa mereka.Seperti mana yang dikatakan oleh Saidina Ali, “berbicaralah pada manusia sesuai dengan apa yang mereka ketahui,dan tinggalkanlah apa yang mereka ingkari.Adakah kalian menginginkan mereka mendustakan Allah dan Rasul-Nya?”[1]



Kerjasama –antara idealistik dan realistik

Gabungan antara dua organisasi adalah suatu kekuatan yang harus diguna-pakai.Apabila berkerjasama,pelbagai perkara dapat diatasi dan diusahakan bersama.IU membentangkan beberapa kerjasama jangka panjang yang dirasakan mampu dilaksanakan.Antaranya adalah Konvensyen Kebangsaan Remaja/Mahasiswa Islam (NICE) . Tujuannya ialah,membentuk sebuah gagasan Mahasiswa islam,yang akan membincangkan pelbagai isu dan masalah dan diakhiri dengan solusi bersama.Memang benar banyak gagasan ataupun gabungan mahasiswa islam wujud di Malaysia,namun kewajaran dan relevennya sudah mulai berkurangan ditelan peredaran masa.Oleh itu,sebuah reformasi harus dilakukan agar perjuangan ini tidak hanya berada diatas kertas,tetapi gagah berada di dalam medan perjuangan.



Selain dari NICE,majalah inSight yang bakal diterbitkan di bawah IU Cyberjaya Kampus juga mendambakan kerjasama dari RM.Namun begitu,IU bersedia memberi masa kepada RM untuk memberi respon terhadap usaha menerbitkan majalah ini.Majalah ini berkonsepkan santai dan informasi berorentasikan Islamik.Uniknya,majalah ini diedarkan secara percuma dan diletakkan tabung disebelah majalah ini.Tabung ini berfungsi untuk mereka yang ingin membayar secara ikhlas bagi senaskah majalah.Duit-duit yang disumbangkan akan digunakan sepenuhnya untuk majalah inSight.Dari segi kos kertas,print dan sebagainya akan digunakan secara maksimum dari duit-duit sumbangan dan tajaan dari pihak-pihak yang tertentu.InsyAllah,pada masa hadapan kumpulan redaksi majalah inSight akan memperluaskan edarannya.Alhamdulilah,sidang redaksi inSight bertuah mendapat keizinan daripada Ustaz Hasrizal untuk menyiarkan artikel-artikel beliau didalam majalah inSight.



Terima kasih daun keladi

Saya mewakili Institusi usrah kampus Cyberjaya,mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada pihak Rakan Masjid UTP ,kerana sudi menerima dan melayan kami sebagai tetamu di sana.Jasa dan budi kalian hanya Allah mampu membalasnya.Kita bertemu kerana Allah,berpisah kita juga semata-mata kerana Allah.Perjuangan yang sama diatas bahu kita,perjuangan yang dibawa jangan sesekali dilepaskan begitu sahaja,kerana Allah sudah memilih kita.Sentiasalah memberi,kerana hidup akan merasai betapa indahnya erti hidup pada memberi.


#Shah,izuan,penulis,dan khalid di dewan canselor


“Kerana memberi kita merasai”



#Minggu hadapan pula,saya akan ke ESSET untuk mengikuti seminar Stock Trading anjuran UKM.Kepada pembaca paradigma,cerpen Mencari cinta Shab thurab terpaksa diberhentikan seketika,maafkan saya.Saya sedang sibuk dengan pelbagai aktiviti dan ‘kerja sekolah’.







[1] Hadith direkodkan Bukhari dalam kitab Al-Ilm.Hadith ini Mauquf sampai kepada Saidina Ali,rujuk Fathul bari untuk penjelasan yang lebih lanjut.

Monday, February 11, 2008

akhlak


Di mana akhlak kita?

Oleh:Yussamir Yusof
11 Februari 2008



Memerangi kekufuran,kekesatan dan kejahilan adalah perkara yang sangat dititikberatkan oleh Islam.Sehinggakan Nabi Muhammad sendiri menyatakan adalah satu tanggungjawab mengubah kemungkaran.

“Barang siapa di antaramu melihat kemungkaran, hendaklah ia merubahnya (mencegahnya) dengan tangannya (kekuasaannya) ; jika ia tak sanggup, maka dengan lidahnya (menasihatinya) ; dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya (merasa tidak senang dan tidak setuju) , dan demikian itu adalah selemah-lemah iman"



Dalam konteks amar ma’ruf nahi munkar,memang kita pakar.Hadith diatas sudah dihafal sejak berkecimpung dalam dunia dakwah dan islah.Sehubungan itu,kita juga tidak pernah meninggalkan hadith-hadith Rasulullah dalam semua ucapan kita.Kita juga sering melakukan perkara-perkara sunnah,dan memerangi perkara-perkara bidaah.Kita juga mengaku yang akidah kita yang tulen,dan kita juga sering berbalah atas nama khilaf.Kalau ada orang lain berselisih dengan kita,kita suruh mereka bawakan dalil.Jika dalil kita lebih kuat,maka kita biarkan perbezaan itu sepi dibawa terus oleh angin-angin malam.



Kalau ada juga yang menentang kita,maka kita juga menentang mereka.Kalau mereka gunakan kekerasan,kita juga lakukan hal yang sama.Kalau mereka lontarkan kata-kata kesat,maka kita membalasnya dengan kata-kata yang lebih kesat.Semuanya diletakkan atas nama perjuangan dalam menegakkan kebenaran dan meruntuhkan kebatilan.Faktanya benar,iaitu meruntuhkan kebatilan. Namun, kita sering meninggalkan perkataan akhlak di belakang perkataan amar ma’ruf nahi munkar.



Sejak akhir-akhir ini,trend membina blog atas nama memerangi kebejatan dan kesesatan yang disalurkan melalui internet,semakin berkembang.Syabas diucapkan!

Sedar atau tidak,blog-blog yang dibina atas dasar memerangi kebejatan ini,telah bertukar menjadi ruangan keji-mengkeji,ruang pembelajaran kata-kata kesat,ruangan pembelajaran menfitnah,senang kata ruangan pembelajaran menjadi seperti orang yang kita perangi.Sama sahaja,tidak ada beza dengan orang yang kita kata sesat itu.Bak kata kumpulan ahli fikir,iaitu 2x5 !



Kenapalah kita melupakan akhlak,sedangkan akhlak itu adalah faktor utama Rasulullah diturunkan,iaitu menyempurnakan akhlak manusia.Tanyalah pada diri kita,adakah kita masih ingat akan pesanan Sang Maha Kuasa ini:

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”(Surah An-Nahl:125)



Berbantah dengan cara baik,bukan berbantah dengan cara mereka.Jangan terikut-ikut dengan budaya mereka yang ingin kita perangi,tetapi gunakanlah jalan Sunnah.Kalau kita sering mengaku kita ini adalah pembela sunnah,maka ambillah keseluruhan jalan hidup kita dengan Sunnah.Bukan sekadar ambil mana yang mahu, dan meninggalkan mana yang tidak disukai.Dibawah ini hanyalah sebuah blog yang sempat dimasuk dan sekalung ‘tahniah’ diucapkan.Kerana keluhuran dan ketaatan mereka pada akidah yang sahih,telah tersasar mengikuti jalan insan yang mereka sendiri perangi.



Usahlah terikut-ikut dengan akhlak mereka ini:



Fikir-fikirkanlah,dan muhasabahlah diri kita.Tanya diri kita,adakah kita benar-benar pejuang dan pembela sunnah,dan ingin memerangi kesesatan? Jika beginilah akhlak kita,maka lupakanlah sahaja.......macam budak-budak!



Akhir kata, “Kerana sesungguhnya generasi kami telah diajar dan ditarbiyah bahawa kita boleh khilaf dalam masalah FIQH tetapi tidak di dalam AKHLAQ.”(Ustaz Hasrizal Abdul Jamil).Terima kasih Abu Saif kerana banyak mengubah dan membetulkan akhlakku.