Musafir Institusi Usrah ke Universiti Teknologi Petronas
Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya,17 Februari 2008
Sekembali ke MMU
Masjid terapung Universiti Teknologi Petronas (UTP), seakan-akan menyambut kedatangan delegasi Institusi Usrah MMU.Limpahan cahaya dari lampu-lampu di sekeliling masjid dan senyuman ahli Rakan Masjid UTP pada jam 2.40 pagi,membuatkan saya dan rombongan lupa seketika kepenatan.Kehangatan persaudaraan atas nama Islam,memberi ikatan yang cukup hebat di antara dua pihak yang tidak pernah sama sekali bersua-muka.
Selepas subuh dan bersarapan,saya dan delegasi IU MMU dibawa melawat sekitar UTP.Kecanggihan perpustakaan UTP ataupun dikenali dengan nama IRC (Information Resource Centre), serta keluasannya Chancellor Hall membuatkan saya kaget seketika.Betapa kita mewah dengan semua ini,namun adakah kita bersyukur dengan limpahan kemewahan dan kecanggihan ini?Saya muhasabah diri kerdil ini.
Semasa saya berada di Universiti Andalas,Indonesia,kemewahan dan kecanggihan seperti yang ada di Universiti Malaysia, tidak pernah ditawarkan di sana.Namun kita kalah dengan mereka dari segi,semangat dan kegigihan mereka dalam menuntut ilmu.Kita tidak setanding mereka,mereka ada jati diri,mereka menyimpan cita-cita dan kekuatan Soekarno,Bung Hatta dan Abuya Hamka.Itu yang membezakan kita, kita masih terleka dengan kemewahan ini!
Sewaktu saya dan delegasi Appex ke yayasan,Abang Dollah iaitu salah seorang Badan eksekutif Mahasiswa di Universiti Andalas,Indonesia menyatakan:
“jangan jadikan kemiskinan dan kemunduran tempat belajar,sebagai alasan untuk kita tidak berjaya dalam pelajaran.Kerana pelajaranlah kita boleh merubah nasib kita,terutama nasib bangsa indonesia!”
Terpapar semangat dan cita-cita dari ayat ini.Cita-cita dan harapan yang bukan sekadar impian tetapi harapan yang penuh dengan kegigihan dan cita-cita yang membara.Saya sangat mengkagumi figur ini!
Muzakarah dan pendekatan
Perbincangan dua hala di antara Rakan Masjid UTP dan Institusi Usrah MMU dijalankan di Dewan Kuliah 1.Banyak topik yang disentuh dalam perbincangan selama 2 jam setengah tersebut.Saya,Fakhru (presiden IU),Izuan(Setiausaha,IU),NorSyafawati(Bendahari,IU),Zulfadhli (Setiausaha,RM UTP),Amir Fadhli (Pengerusi Rakan Masjid(RM),dan Asnadila (Naib Pengerusi,RM) diletakkan dalam satu kumpulan Majlis Tertinggi.Selama perbincangan ini berjalan,antara topik yang disentuh ialah;Kesamaan dan perbezaan Tanzim,uslub da’wah,Fikrah,dan hala tuju.
Banyak-banyak topik yang disentuh,saya lebih tertarik dengan topik uslub da’wah ataupun pendekatan da’wah.Dalam topik ini,terdapat jurang yang besar antara Rakan Masjid dengan Institusi Usrah.Jurang yang diperkatakan ialah,cara pendekatan yang dilaksanakan itu sendiri.Di MMU,pendekatan yang dilaksanakan oleh IU kepada mahasiswa adalah ringan dan santai.Berbeza dengan RM,di mana pendekatan ‘keras’ dan ‘lembut’ diadun secara bersama untuk mendekati para mahasiswa.Perbezaan pendekatan ini,membawa kami bersama berfikir dan mematangkan konsep da’wah didalam organisasi masing-masing.Resolusinya,mendalami watak dan sikap mad’u itu sendiri adalah penting sebelum mendekatkan diri kepada mereka.Sesuai dengan sikap dan watak pelajar MMU yang kurang kesedaran Islam,maka pendekatan ringan dan santai adalah formula X yang sesuai diterapkan.Begitu pula dengan RM,mereka mempunyai formula dan cara yang berbeza.Pendekatan mengadun formula ‘keras’ dan ‘lembut’ sesuai dengan iklim di sana,yang rata-ratanya sudah ada asas islam yang diperolehi di sekolah-sekolah berasrama penuh.
Kefahaman dan kematangan RM dan IU dalam konteks Uslub da’wah,membawa ingatan saya kepada sebuah Firman Allah:
“Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam buku “manhaj dakwah Yusuf al-Qardhawi harmoni antara kelembutan dan ketegasan” pernah menjelaskan tentang hal pendekatan ini.Kata beliau:
Da’wah perlulah disampaikan pada setiap kaum sesuai dengan kemampuan dan level mereka.Serta dengan cara yang sesuai dengan mereka,dengan bahasa yang mampu dicerna oleh otak mereka.Janganlah seorang dai’ berbicara pada orang yang diajak ke dalam da’wah dengan bahasa yang sebenarnya bukan bahasa mereka.Seperti mana yang dikatakan oleh Saidina Ali, “berbicaralah pada manusia sesuai dengan apa yang mereka ketahui,dan tinggalkanlah apa yang mereka ingkari.Adakah kalian menginginkan mereka mendustakan Allah dan Rasul-Nya?”[1]
Kerjasama –antara idealistik dan realistik
Gabungan antara dua organisasi adalah suatu kekuatan yang harus diguna-pakai.Apabila berkerjasama,pelbagai perkara dapat diatasi dan diusahakan bersama.IU membentangkan beberapa kerjasama jangka panjang yang dirasakan mampu dilaksanakan.Antaranya adalah Konvensyen Kebangsaan Remaja/Mahasiswa Islam (NICE) . Tujuannya ialah,membentuk sebuah gagasan Mahasiswa islam,yang akan membincangkan pelbagai isu dan masalah dan diakhiri dengan solusi bersama.Memang benar banyak gagasan ataupun gabungan mahasiswa islam wujud di Malaysia,namun kewajaran dan relevennya sudah mulai berkurangan ditelan peredaran masa.Oleh itu,sebuah reformasi harus dilakukan agar perjuangan ini tidak hanya berada diatas kertas,tetapi gagah berada di dalam medan perjuangan.
Selain dari NICE,majalah inSight yang bakal diterbitkan di bawah IU Cyberjaya Kampus juga mendambakan kerjasama dari RM.Namun begitu,IU bersedia memberi masa kepada RM untuk memberi respon terhadap usaha menerbitkan majalah ini.Majalah ini berkonsepkan santai dan informasi berorentasikan Islamik.Uniknya,majalah ini diedarkan secara percuma dan diletakkan tabung disebelah majalah ini.Tabung ini berfungsi untuk mereka yang ingin membayar secara ikhlas bagi senaskah majalah.Duit-duit yang disumbangkan akan digunakan sepenuhnya untuk majalah inSight.Dari segi kos kertas,print dan sebagainya akan digunakan secara maksimum dari duit-duit sumbangan dan tajaan dari pihak-pihak yang tertentu.InsyAllah,pada masa hadapan kumpulan redaksi majalah inSight akan memperluaskan edarannya.Alhamdulilah,sidang redaksi inSight bertuah mendapat keizinan daripada Ustaz Hasrizal untuk menyiarkan artikel-artikel beliau didalam majalah inSight.
Terima kasih daun keladi
Saya mewakili Institusi usrah kampus Cyberjaya,mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada pihak Rakan Masjid UTP ,kerana sudi menerima dan melayan kami sebagai tetamu di sana.Jasa dan budi kalian hanya Allah mampu membalasnya.Kita bertemu kerana Allah,berpisah kita juga semata-mata kerana Allah.Perjuangan yang sama diatas bahu kita,perjuangan yang dibawa jangan sesekali dilepaskan begitu sahaja,kerana Allah sudah memilih kita.Sentiasalah memberi,kerana hidup akan merasai betapa indahnya erti hidup pada memberi.
#Shah,izuan,penulis,dan khalid di dewan canselor
“Kerana memberi kita merasai”
#Minggu hadapan pula,saya akan ke ESSET untuk mengikuti seminar Stock Trading anjuran UKM.Kepada pembaca paradigma,cerpen Mencari cinta Shab thurab terpaksa diberhentikan seketika,maafkan saya.Saya sedang sibuk dengan pelbagai aktiviti dan ‘kerja sekolah’.
[1] Hadith direkodkan Bukhari dalam kitab Al-Ilm.Hadith ini Mauquf sampai kepada Saidina Ali,rujuk Fathul
No comments:
Post a Comment