Thursday, April 30, 2009

CORETAN DARI PULAU TUBA


Alhamdulilah,
Sekarang ini saya berada di SMK Langkawi Pulau tuba. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 10 jam, sangat memenatkan kami semua. Dari Cyberjaya kami terus menuju ke Jeti Kuala Perlis. Berehat sebentar untuk solat Subuh dan sarapan, kemudian bertolak menaiki feri terus ke Langkawi.

Tiba di Langkawi lagi sekali kami meneruskan perjalanan menaiki bot laju ntuk ke Pulau Tuba. Cuaca yang panas dan bahang, mengiringi kami sepanjang perjalanan. Tapi hati yang penuh dengan erti hidup pada memberi tidak pernah mengendahkannya.

Hari ini adalah hari kedua kami di Pulau Tuba bersama dengan anak-anak pulau yang sangat berdidikasi. Cita-cita mereka menggunung tinggi, harapan mereka pula menjulang ke langit. Biar sesusah mana hidup di pulau ini, mereka tidak pernah berhenti untuk bermimpi! Kami di sini berusaha untuk merealisasikan mimpi-mimpi mereka, InsyaAllah.

Cukuplah sekadar coretan ringkas. Saya mahu sarapan, insyaAllah saya akan kemaskini dari semasa ke semasa.

salam,
Yussamir Yusof
Pulau Tuba, Langkawi.

"Jangan berhenti untuk bermimpi"

______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

Wednesday, April 29, 2009

PAUL VERSI QURAN DAN BIBLE SATU PERSOALAN



Saya mendapat email dari seseorang, saya tidak pasti adakah beliau beragama Kristian atau Islam. Saya paparkan persoalan beliau dan jawapan yang saya berikan. Jika ada sebarang kesilapan atau penambahan sila tuliskan di bahagian komen atau emailkan kepada saya.

Salam kepada saudara! saya telah membaca artikel saudara mengenai Paulus di website saudara. ianya sangat menarik cuma saya tidak bersetuju dengannya. disini saya sekadar memaparkan pendapat saya. tidak bermaksud apa-apa.


Selepas membaca artikel saudara itu, saya tidak bersetuju atas sebab-sebab di bawah:

1. kemungkinan besar saudara tidak membaca ayat alkitab yang saudara paparkan , cuma saudara mungkin menulisnya berdasarkan pendapat orang lain contohnya Dr Ahmed Deedat.

Jawapan saya: Saya mempunyai Bible berbahasa english, dan bible berbahasa Indonesia. Saya mengoreksinya secara tuntas melalui bible dan buku-buku yang ditulis sendiri oleh orang-orang Kristian. Seperkara, mengapa anda memanggilya alkitab, sedangkan Bible bukanlah alkitab kalau mahu dterjemahkan. Bible kalau mahu diterjemahkan harus dipanggil “himpunan buku-buku”.


2.jika saudara membacanya, mungkin saudara hanya membaca sepintas lalu atau membaca 2 atau 3 ayat sahaja.

Jawapan saya: bagi sesiapa yang mahu mengkaji Kristian, perkara pertama yang harus dikaji adalah 4 gospel utama atau dikenali dengan nama synoptic. Segala puji bagi Allah, saya sudah membacanya!

3.jika saudara membacanya, saya percaya saudara tidak melihat konteksnya.

Jawapan saya: Adakah konteks yang dilihat saya sama konteks yang dilihat saudara? Sedangkan pengamal Kristian sendiri berbeza-beza dalam meniliai dan mengupas bible dalam pelbagai konteks. Malahan ada yang terus menolak bible dan semua tahu bahawa Bible ada dua versi (protestan dan katolik). Mana satu yang betul, 66 atau 73? Saudara yang harus fikirkan.


4. semua tuduhan saudara terhadap Paulus hanya tekaan semata-mata. ini pula penyelidikan saya mengenai paulus menurut sumber Alquran dan sumber Islamic yang boleh dipercayai. Paulus menurut Alquran: (yaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan keduanya; kemudian Kami kuatkan dengan (utusan) yang KETIGA, maka ketiga utusan itu berkata:" Sesungguhnya kami adalah orang-orang diutus kepadamu ". Yasin (36) : 14.

Menurut Abdul-Fida Ismail Ibn Kathir (yang telah diberi kuasa untuk memberi TAFSIR/ komentari) memberi komen ayat diatas seperti berikut: (When We sent to them two Messengers, they denied them both;) means, they hastened to disbelieve in them. (ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan keduanya; ) beerti, mereka menolak mereka dengan serta-merta (so We reinforced them with a third,) means, `We supported and strengthened them with a third Messenger.

' Ibn Jurayj narrated from Wahb bin Sulayman, from Shu`ayb Al-Jaba'i, "The names of the first two Messengers were Sham`un and Yuhanna, and the name of the third was Bulus, and the city was Antioch (Antakiyah). (kemudian Kami kuatkan dengan (utusan) yang KETIGA) beerti ' Kami menyokong dan menguatkan mereka dengan utusan yang KETIGA.Ibn jurayj menjelaskan daripada Wahb bin sulaiman,daripada Shu'ayb Al-Jaba'i, "dua utusan yang pertama bernama Sham'un dan Yuhanna, dan yang KETIGA adalah Bulus, dan kota itu adalah Antioch (Antakiyah) (and they said) means, to the people of that city, ( ketiga utusan itu berkata) beerti, kepada orang di kota itu (Verily, we have been sent to you as Messengers.)

Meaning, `from your Lord Who created you and Who commands you to worship Him Alone with no partners or associates.' This was the view of Abu Al-`Aliyah. Qatadah bin Di`amah claimed that they were messengers of the Messiah, peace be upon him, sent to the people of Antioch." (Sesungguhnya kami adalah orang-orang diutus kepadamu ) beerti, 'daripada Tuhan, Dia mencipta kamu dan Dia yang memerintahkan kamu untuk menyembah Dia Yang Satu dengan tiada pasangan dan sekutu.'

Ini adalah pandangan Abu Al-Aliyah, Qatadah bin Di'amah menyatakan bahawa mereka adalah utusan dari Mesias (Isa SAW). diutus kepada orang-orang Antiok. Reference: http://www.facebook.com/l.php?u=http://www.tafsir.com%2Fdefault.asp%3Fsid%3D36%26tid%3D43384

(Terjemahan bahasa dan huruf besar saya punya.) Lihat, bahawa 3 utusan ini dinamakan dalam bentuk arabik. yang pertama adalah Sham'un iaitu Simon petrus dan seterusnya, Yuhanna iaitu Yohanes. Tumpuan Kita adalah utusan yang ketiga yang dipanggil Bulus.

Menurut website Behind The Name, Bulus bermaksud Paul! (Paulus): BULUS Gender: Masculine Usage: Arabic Arabic form of PAUL (Ref: http://www.facebook.com/l.php?u=http://www.behindthename.com%2Fname%2Fbulus.

Adakah ini "Paul/Paulus yang lain"? Dengan hanya menafikan bahawa ini bukan lah Paulus dalam Alkitab, bukanlah jawapan yang menyakinkan bila mereka tidak memberi penjelasan indentiti " Paulus yang lain". ----Akal budi akan mengungkapkan kepada seseorang dengan hati nurani yang jelas, bahawa Paulus disini sudah tentu dan tidak bukan Paulus yang sama yang disebut dalam Alkitab, memandangkan hanya merekalah utusan yang terlibat diawal penyebaran injil bersama-sama dengan Simon Petrus dan Yohanes.

Sumber Islamic yang boleh dipercayai menyokong kenyataan ini. Contohnya, dalam Qisas Al-Anbiya ditulis oleh ahli muslim Thalabii di pp. 389-390 menyatakan: "Among the apostles and those disciples around them whom Jesus sent out, there were Peter and his companion Paul" " diantara para rasul dan murid-murid itu, yang dikirim Yesus, disitu Petrus dan temannya Paulus" Sumber Islamic yang lain datangnya dari Ibn Ishaq, terkenal sebagai penulis riwayat Muhammad, terdapat dalam tulisannya, Sirat Rasullah (Life of the Prophet): "Those whom Jesus son of Mary sent, both disciples and those who came after them, in the land were: Peter the disciple AND PAUL WITH HIM, (PAUL BELONGED TO THE FOLLOWERS AND WAS NOT A DISCIPLE) to Rome. Andrew and Matthew to the land of the cannibals; Thomas to the land of Babel, which is in the land of the east; Philip to Carthage and Africa; John to Ephesus the city of the young men of the cave; James to Jerusalem which is Aelia the city of the sanctuary; Bartholomew to Arabia which is the land of Hijaz; Simon to the land of Berbers; Judah who was not one of the disciples was put in place of Judas." (p. 653) "mereka yang dikirim Yesus Anak Miriam, murid-murid dan mereka yang datang selepas mereka, di tanah itu adalah; Petrus murid itu DAN PAULUS BERSAMA DENGAN DIA,(PAULUS ADALAH DIANTARA PENGIKUT DAN BUKAN MURID) ke Roma, Andreas dan Matius ke tanah Kanibal; Thomas ke tanah Babel, iaitu di tanah Timur; Filipus ke Carthage dan Afrika; Yohanes ke Efesus kota muda-mudi orang gua; Yakobus ke Jerusalem iaitu di Aelia kota sanctuary; Bartolomeus ke Arabia iaitu ke tanah Hijaz; Simon ke tanah Berbers; Judas bukan murid dipilih untuk menggantikan Judas Iskariot" (p.653) Terpulang kepada kita untuk mempercayainya. Allah memberi kepada kita kapasiti untuk memilih mana yang betul dan mana yang salah. Terdapat dua masalah disini. Pertama, tuduhan mereka terhadap Paulus hanyalah tekaan semata-mata. Kedua, menunjukkan bahawa muslim moden anti-Paulus (saya percaya bukan semua anti-Paulus contohnya muslim Al-Hanif) nyata menentang moyang mereka. mereka bertentangan antara satu sama lain. tejemahan dan huruf besar saya punya.semua salah saya punya. semua yang benar Allah punya



Jawapan: Saya sudah menilai penjelasan saudara berdasarkan kitab tafsir Ibnu Katsir. Pertama, jika benar apa yang saudara katakan, maka ini penjelasan saya. Kenyataan saudara sebenarnya telah memberitahu kepada semua orang bahawa Paul dalam versi al-Quran dan versi Bible adalah dua orang yang berbeza. Andaian: Baik begini, Islam menerima Paulus yang diceritakann dan ditafsirkan dalam quran, tetapi Islam tidak menerima Paul versi Bible yang kesemua ajarannya menyalahi Jesus.

Atas dasar ini, pertentangan inti pengajaran Paul versi Bible dan inti pati dakwah yang dibawa oleh Paul versi al-quran menunjukkan sangat jelas kepada mereka yang waras bahawa kedua-dua orang in bukanlah orang yang sama.
Tambahan itu, tidak mustahil dua orang yang berlainan mempunyai nama yang sama. Sedangkan nama Jesus sendiri banyak digunakan semasa zaman baginda .

Di dalam New Illustrated Bible Dictionary muka surat 658 menjelaskan ada 5 orang yang bernama Jesus ketika zaman baginda Jesus al-Masih (lihat Math 27:16-17, Luke 3:29, Act 7:45 dan Heb 4:8, Col 4:11).
Saya juga mempercayai bahawa Paul yang disebutkan oleh Quran ini adalah muslim dan salah seorang pengikut Jesus. Tetapi saya menafikan bahawa Paul versi Bible adalah pengikut Jesus, kerana beliau tidak pernah berjumpa dengan Jesus.

Tambahan, cerita yang merekodkan beliau berjumpa dengan Vision of Jesus pun sudah ada tiga versi cerita yang berlainan dan saling bertentangan. Jadi bagaimana mahu katakan Paul versi bible sama dengan Paul versi al-Quran? Lihat Act 22:9 Vs Act 9:7, Corh 2:9 Vs Isaiah 64:4, dan Act 22:10 Vs Act 22:11-15.


Kesimpulannya
, Paul versi al-Quran tidak sama dengan Paul versi Bible. Jika saudara sudah percaya kepada Paul versi al-Quran, saudara harus beriman dengan al-Quran dan mengikuti ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah jawapan ringkas saya yang ditulis agak tergesa-gesa kerana malam ini saya akan bertolak ke Langkawi. Saya ada program di sana bersama dengan pelajar-pelajar MMU. Jika saudara tidak keberatan saya mahu meletakkan hal ini di blog saya agar semua orang dapat memberikan pandangan mereka. Dan jika ada sebarang persoalan lagi, saya mengalu-alukan saudara untuk menghantar email kepada saya lagi. Sekian.

_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

Friday, April 24, 2009

ALLAH LEBIH MENGETAHUI


“Kenapa pula saya perlu bayar, sedangkan benda ini bukan salah saya.”

“Jangan banyak cerita, bayar saja kompaun ini.” Pekerja KTMB tersebut menunjukkan buku kompaunnya kepada saya.

“Kalau saya bayar, menunjukkan saya bersalah!” Titik. Saya tidak mahu bayar walau sesen pun kepada pihak KTMB. Semua ini gara-gara pekerja KTMB yang menjual tiket di stesyen Putra. Saya minta tiket ke Serdang, selepas membayar tiket yang berharga Rm3.10 saya terus berlalu menuju ke tempat menunggu. Keadaan petang itu sangat sibuk, kepadatan penumpang di dalam komuter juga meresahkan dan merimaskan. Tidak terfikir di kepala saya untuk menyemak tiket tersebut sama ada betul atau tidak.

Lebih kurang 9.10 malam komuter yang saya naiki tiba di stesyen Serdang. Seorang pekerja KTMB bersedia di hadapan pagar stesyen untuk mengambil tiket-tiket dari penumpang. Belum sampai 5 minit melepasi pagar stesyen Serdang, saya dipanggil dengan kasar. Seolah-olah saya melakukan kesalahan besar.

“Ada apa?” Saya bertanya, walaupun dalam hati sangat sakit hati dipanggil seolah-olah saya melakukan jenayah besar!

“Ini tiket engkau bukan ke Serdang tapi ke Rawang.”

“Ha!” Saya terkejut.

Setengah jam saya berada di bilik KTMB. Berdiri di depan pegawai yang sedang berborak di telefon, tanpa di pelawa untuk duduk yang kebetulan ada sebuah kerusi di situ. Pekerja yang ‘menangkap’ saya tadi memaksa saya untuk membuat pembayaran sebanyak Rm30 sebagai denda. Saya tetap berdegil, sebab kalau saya bayar ini bermakna saya mengaku yang saya membuat kesalahan tersebut, sedangkan saya tidak lakukan!

Pekerja tadi mengugut saya untuk dibawa ke balai polis. Dia kononnya mahu menggertak saya dengan mencari-cari nombor telefon polis bantuan.

“Abang kalau nak bawa saya ke balai sekarang pun tidak mengapa.” Dia mengangguk-anggukkan kepala, tidak tahu apa yang dia anggukkan kepala. Sudahlah tidak berbudi-bahasa, mahu menggertak saya dengan cara tersebut.

“Bapa saya pegawai polis yang diseganilah di Johor Bahru, nak takut apa!” Nak sahaja saya cakap begitu, nasib baiklah bapa saya sudah pencen!


PROVE BY EVIDENCE
Tidak berapa lama selepas penat menunggu dan berdiri di pejabat tersebut. Seorang pegawai di situ berjumpa dengan saya. Pada mulanya saya masih lagi berdegil, tetapi disebabkan budi bahasa pegawai tersebut yang cukup lunak dan pekerti. Saya mula mengkendurkan pendirian saya, lagi pula bukti sudah tertera di tiket tersebut. Walaupun saya benar sekalipun, jika dibawa ke muka pengadilan saya tetap bersalah kerana cuai untuk memastikan tiket yang saya beli.

Teringat saya kisah tentang Saidina Ali yang ketika itu sebagai Amirul Mukminin, beliau kalah dalam pengadilan mahkamah dalam menuntut hak baju besinya yang dicuri oleh seorang Yahudi. Walaupun Hakim Syuraikh tahu bahawa Saidina Ali tidak mungkin berdusta, tetapi disebabkan bukti yang ada, manakalah saksi pula hanyalah seorang iaitu anaknya - ada kemungkinan anak khalifah akan memihak kepada bapanya- maka kes tersebut dimenangi orang yang mencuri baju besi Saidina Ali. Ini membuktikan Islam mementingkan bukti yang jelas bukan sekadar kenyataan walaupun kenyataan tersebut datangnya dari seorang yang adil atau berjawatan tinggi.

Teringat kisah itu, saya mengalah. Tetapi mengalah saya tidak bererti saya mengaku saya melakukan kesalahan tersebut. Sebelum keluar dari pejabat tersebut, saya sempat menegur perbuatan pekerja tersebut yang bersikap kurang ajar dan tidak berbudi bahasa.

BERBUDI BAHASA-LAH
“Abang perlu belajar macam mana nak berbudi bahasa dengan pegawai abang ini. Hati keras boleh lembut bang kalau kita cakap baik-baik. Bukan nak keras-keras saja.” Kemudian pekerja tersebut menyalami saya, terukir senyuman dibibirnya. Saya menjangkakan sebuah hamburan kata-kata kesat, tetapi ternyata keikhlasan saya menegur dapat diterima dengan baik.

Masyarakat Malaysia penuh dengan budi bahasa dan sopan-santun terutama bangsa Melayu. Kenapa mahu ketepikan perkara mulia itu dalam kehidupan yang semakin mencabar sekarang? Kita perlukan itu untuk memujuk hati-hati manusia yang berpendirian. Kita perlukan budi bahasa untuk mengajar erti hidup bermasyarakat. Kita hidup dalam kota mahupun di kampung-kampung bukan sendirian, kita hidup persis sebuah keluarga yang besar. Islam mengajar kita untuk bercakap dengan baik dan mengajar kita untuk menjadi seorang muslim yang berakhlak.

Akhlak mencerminkan keimanan seseorang, kerana ia hasil dari keimanannya. Orang yang tidak beriman, tidak akan terpamer akhlaknya. Berhubung dengan hal inilah Rasulullah saw menyatakan, “Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan.” (Hadis riwayat Ad-Dailami).

Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlak (Husnul Khuluq). Apabila ditanya tentang apa itu kejahatan, baginda menjawab: Akhlak yang buruk (Su'ul Khuluq). Akhlak mulia yang dimiliki oleh seseorang hamba merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan di hari kiamat nanti. Oleh itu sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Rasulullah saw berkata, “Tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Moga kita sama-sama menjaga akhlak dan sentiasa menambah-baik akhlak yang sedia ada. Walaupun seharian saya berasa ‘depress’ selepas kejadian tersebut, saya bersyukur kerana ini memberikan saya pengajaran dan saya mengharapkan ada hikmah di sebalik semua yang Allah tentukan ini. Tidak ada perkara yang sia-sia Allah ciptakan di muka bumi ini, kepercayaan itu terus tersemat di hati saya. Saya mendoakan agar ada perkara yang lebih baik akan mendatang selepas ini. Kekurang RM30 tersebut, moga Allah kurniakan yang lebih baik daripada itu.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui .” [al-Baqarah 2:216]

Friday, April 17, 2009

KENANGAN KEMBALI MENGGAMIT


-teka mana saya.-


Ini lah saya pada tahun-tahun pertama saya bersama dengan rakan-rakan dari Institusi Usrah. Kenangan ini akan terus tersemat dalam ingatan. Sebuah ikatan yang takkan putus sampai bila-bila. Terima kasih kerana kebersamaan kita, sedikit sebanyak mengajar kita erti kehidupan bersahabat dan erti hidup berkeluarga dalam sebuah persatuan.





Terima kasih pada Tekong sebab tag gambar paling atas itu di facebook. Kalau tidak , hilanglah segala bukti kenangan itu..hehehe...Teringat masa mula-mula masuk MMU, terutama bila aktif dengan Institusi Usrah. Sampai-lah pencen dari jawatan sebagai Timbalan Presiden 1..huhu

Terima kasih semua..

Thursday, April 16, 2009

SEBUAH MAINAN HATI


Cuaca politik semakin tidak menentu, persis menangisi keresahan dan kerunsingan jiwa. Soal liwat atau tidak persis mentertawakanku tentang soal cinta dan perasaan. Gundah gulana Si Isteri melihat Si Suami terbaring sejuk di jeriji besi, persis memperkatakan kepadaku bahawa aku belum cukup kuat membelah badai di lautan seribu keresahan. Keresahan yang berputik dari ketidaktentuan hujung dan pangkalnya sebuah perhubungan.

Kalau Franklin Roosevelt dan Joseph Stalin pernah duduk semuka bersetuju menubuhkan gagasan sebuah dunia tanpa kolonialisme, maka hati dan perasaan juga harus duduk semuka untuk berdiam seketika menunggu sebuah jawapan pasti. Tapi hati dan perasaan masih bergelojak, meminta sebuah kepastian yang serasa sukar.

Nama-nama tokoh dalam dunia Falsafah terus berputar-putar. Leibniz, Bergson, Alexander dan Whitehead dari aliran minoriti Falsafah yang berjaya memecahkan kebuntuan Dualisme Descarte sentiasa membuatkanku cemburu. Mereka berjaya memecahkan kebuntuan yang mengelilingi diri mereka yang kemudian berjaya menyambung kembali aliran kesatuan Falsafah Klasik Yunani yang dipelopori oleh Aristotle. Tetapi aku masih dalam kebuntuan. Kebuntuan yang tidak tahu bagaimana untuk memecahkannya.

Nilai-nilai kritis yang dikuasai oleh ahli-ahli Falsafah ini sekali lagi membuatkanku rasa kerdil. Kehebatan minda dan kritikalnya mereka berfikir membuatkanku terasa tidak krititkal dalam menilai dan menimbang-tara sesebuah keputusan yang aku lakukan. Tapi aku sedar, dalam menilai dan menimbang-tara sebuah cinta amat sukar. Kerana cinta itu hadirnya tidak diundang, perginya tidak dirasa. Namun sebuah cinta pasti terukir indah jika Sang pengukir berjaya memahat sedalam mungkin benih-benih cinta. Benih yang tumbuh dari dua hati yang suci dan dari dua hati yang sentiasa mendambakan cinta demi cinta-Nya.

Cinta itu juga adalah falsafah. Kerana soal benar atau salah ia terletak betapa relatifnya kita. Ia subjektif yang memungkinkan kebenaran pelbagai jawapan, dan sama sekali menolak nilai objektif. Hitam dan putih, cantik dan hodoh, pandai dan bodoh semuanya subjektif. Ia dinilai melalui sudut pandang dan mata yang memandang.

Hati terus melayang, melayang tinggi menggapai awan yang nun jauh di sana. Resah hati terus-menerus menikam kalbu, gundah jiwa terus mengcekam. Tapi hati sedar yang cinta dan kasih tetap untuknya, walau perlu menunggu lama. Kerana cinta itu hadir dari-Nya, bukan datang dari langit tapi datang dari hati.

Wednesday, April 15, 2009

CERPEN TERSIAR


Alhamdulilah, segala puji bagi Allah.
Sebelum ke Setiawangsa untuk menolong di Islamic Information and Service (IIS) bersama rakan-rakan Friendly Comparetive Religion yang lain, saya sempat menyelak majalah I yang dibeli sahabat saya. Sebuah cerpen saya tersiar di majalah tersebut, cerpen yang bertajuk “Sebuah Perjuangan”.

Sebelum ini tulisan saya tersiar di Majalah Milenia yang bertajuk “Hadith Mauduk di bibir para penyanyi”, dan saya berharap tulisan-tulisan saya mendapat tempat di majalah selepas ini lagi. Sesungguhnya perkara ini membuatkan semangat saya bertambah-tambah untuk berdakwah melalui pena. Moga Allah membantu dan memudahkan segala urusan.

Dapatkan Majalah I bulan ini.

Tuesday, April 14, 2009

SEBUAH HARGA SIMPATI

“Terima kasih, terima kasih.” Berulang kali 6 orang warga Sri Lanka itu mengucapkan terima kasih kepada saya. Perasaan simpati saya terhadap mereka menguasai diri saya. Perasaan lega dan syukur juga saya panjatkan. Kalau tidak disebabkan saya mendapat aduan bahawa ada orang luar sedang tidur di surau, pasti saya membiarkan mereka melepaskan lelah semalam di situ. Tetapi keadaan memaksa saya, simpati itu saya letakkan tepi dahulu dan tanggungjawab di dahulukan.

“Ada berapa orang dalam surau itu?” Pekik suara pengawal yang bertugas malam itu dicorong telefon bimbit saya. Memekakkan telinga, tetapi memang itu perangai dia. Saya membalas lembut, malas mahu melayan kerenah orang-orang tua yang tidak beradab. “Ada 6 orang, semuanya bukan pelajar.” Selepas memberikan maklumat secara detail saya mematikan telefon. Saya dikhendaki menunggu mereka dan membuat tangkapan secara bersama. Aduh! Saya tidak mahu terlibat, tetapi terpaksa.

Selepas mengejutkan mereka, saya dan dua orang lagi pengawal mengiring mereka turun ke bawah dan terus ke van. Pada mulanya mereka teragak-agak untuk masuk ke dalam van, tetapi tidak beberapa lama, seorang daripada mereka menyuruh rakan-rakan yang lain akur. Saya kagumi sikap mereka, yang tidak melawan dan tidak banyak cakap. Mereka akur, mungkin mereka sedar yang perbuatan mereka ini adalah satu kesalahan yang besar.

Sampai sahaja di pejabat pengawal saya cuba berborak dengan mereka. Apa yang dijelaskan kepada saya, kontrak mereka bersama dengan majikan di sini sudah ditamatkan. Rumah sewa mereka pula perlu dikosongkan kerana tuan rumah mahu menyewakan kepada orang lain.

“Ini malam saja kami semua mahu tidur. Itu tadak lama, esok pagi kami keluar. Itu tadak buat kacau punya.” Seorang daripada mereka mengadu pada saya, saya sekadar mengangguk.

“Jangan hantar sama polis la incik.” Seorang lagi mengharapkan simpati dari saya. Gusar dibuatnya saya, pengawal tadi sedang menelefon pegawai atasannya di dalam bilik.

“Kamu semua Muslim?”

“Saya dan dia sahaja Muslim, yang semua itu bukan.” Lelaki pertama yang berborak dengan saya tadi bersuara sambil menunjukkan kawannya yang Muslim.

“Kamu semua tunggu dulu, saya mahu cakap dengan itu orang.” Tidak sanggup saya melihat mereka untuk dibawa ke balai polis. Mereka ada permit, cumanya mereka tersilap dengan memasuki kawasan hostel tanpa kebenaran.

“Kami semua cari makan saja incik. Tadak kacau itu orang.” Ah, memang benar-benar simpati menyelubungi seluruh jiwa saya.

Bulan 12 ini saya mahu berkelana ke negara orang berseorangan. Bagaimana jika kejadian ini tertimpa pada diri saya? Adakah dengan menolong melepaskan kesusahan saudara seakidah saya ini, dapat memberikan kebaikan pada saya pada masa-masa akan datang? Secara tidak langsung ingatan saya membawa kepada sebuah hadith yang pernah saya baca di kitab Bulughul maram:



''Barangsiapa melepaskan kesusahan seorang muslim dari kesusahan dunia, Allah SWT akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat; barangsiapa memudahkan seorang yang mendapat kesusahan, Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat; dan barangsiapa menutupi (aib) seorang Muslim, Allah SWT akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat; dan Allah SWT akan menolong hamba-Nya selama ia menolong saudaranya.'' (Hadis direkodkan Imam Muslim)

Setelah berbincang dengan pegawai yang ada dalam pejabat tersebut. Saya memberanikan diri menggunakan jawatan saya untuk bertanggungjawab terhadap mereka, dengan melepaskan mereka. Alhamdulilah, pegawai-pegawai yang berurusan dengan saya sangat memahami. Mereka turut bersimpati dengan pekerja-pekerja Sri Lanka tersebut. Menurut mereka, mereka memang berniat untuk melepaskan pekerja-pekerja tersebut atas budi-bicara dan simpati kemanusian. Syukur saya panjatkan.

Malam itu jam 4 pagi, saya dihantar pulang ke hostel oleh pihak pengawal. Perasaan saya berbaur, antara gembira dan terharu. Terharu apabila mereka tidak habis-habis mengucapkan terima kasih kepada saya, dan gembira kerana saya dapat melepaskan kesusahan saudara saya. Mungkin itu yang membezakan kita sebagai Muslim dengan orang-orang bukan Islam. Kita diikat dengan ikatan persaudaraan atas akidah yang sama. Mungkin akan ada orang yang mempersoalkan tindakan saya, tetapi insaflah, apabila anda berada di kedudukan saya ketika itu. Pasti anda juga akan membuat perkara yang sama.

“Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang hamba (dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.'' (Hadis Muttafaqun'alaih.)

Moga Allah mempermudahkan urusan saya selepas ini....

____________________________________________________________________________

PENGUMUMAN

1-InterfaithTalk : Modern Life Vs. Religion
Date : April,15th 2009 (Wednesday)
Time : 8.00 pm onwards
Venue : XR 1001

2- Friendly Comparetive Religion Intensive Course 2 day.
Date: April, 18&19th April (Saturday and Sunday)
Time : 8.00 am- 5pm
Venue : Islamic Information and Service Foundation (IIS) Setiawangsa.
Fees: Student RM100, Non-Student Rm120.

Monday, April 6, 2009

ISLAMIC LEADERSHIP PROGRAM

Assalamualaikum,

When non Muslims ask questions about Islam, how would you answer them? Many of us feel inadequate and scared to talk about Islam with our friends or to discuss about it with the non-Muslims. With the Islamic Leadership Program, we hope to help you to become confident with your faith as a Muslim, to train you on how you can overcome these problems and gain some perspective on doing Dakwah.

Islamic Leadership Program

Date: 11th and 12th April 2009
Venue: MMU Lecture Room (to be announced)
Time: 8.00 am to 6.00 pm

Speakers & Topics:
1. Dr Hasmadi - Dakwah in theory and practical (Psychology)
2. Mr. Abdul Aziz - Dealing with people during Dakwah
3. Sister Lana - Knowledge for doing Dakwah
4. Sister Rose Lainy - Dakwah presentation skills


Interested? Send your contact details (name, ID, phone and email) to:

Sisters: Norain Shari naskinsakura@ gmail.com @ 019 3659503
Brothers: Mohammed Hamza Mohammed Shafeek mshafeek117@yahoo.com/ 0193659187
Mohammed Fouz Mohammed Nafees mnafeez@yahoo. com at YM
Muhammad Naim Mukhtar jaja_best_gile at y!

Also lots free books & Quran for participants!
Please forward this to your friends, and hope to see you there!

Wassalam.

Friday, April 3, 2009

AGAMA DAN SIASAH DIPISAH ATAU DIAPIT?


“Agama dan politik tidak boleh dibawa bersama, agama adalah agama dan politik adalah politik dua-dua tidak sama. Orang agama hanya duduk di masjid, biar orang yang macam kami ini sahaja yang menerajui Negara. Kamu semua mana tahu apa kami buat. Dalam Quran tiada cerita pasal Politik.” Mungkin ini antara kata-kata yang pernah kita dengar atau pernah kita terdengar daripada ‘Tokoh’ politik Malaysia.

Keluhan demi keluhan dapat saya dengari disekeliling saya apabila suara-suara ini berkemundang dalam pelbagai medium. Saya tidak tahu mana silapnya kita semua dalam memahami konsep politik dan agama, adakah kita memang tidak pernah diajar mengenai agama sejak dari bangku sekolah? Tidak mungkin.

Adakah kita terlalu sensetif atau prokatif apabila membincangkan isu ini secara umum? Sehinggakan pelbagai peraturan dan sekatan dilakukan bagi menyekat pencambahan ilmu dalam bidang politik di kalangan para pelajar khususnya Mahasiswa. Jika begitu apa yang boleh dibincangkan, setelah pintu untuk memahami secara ilmiah konsep politik ditutup rapat-rapat. Selain itu, dengan mengenakan syarat bahawa perbincangan tentag politik boleh dibahaskan, tetapi hanya berputar pada skop yang kecil dan yang ‘baik-baik’ saja, maka adakah itu dipanggil wacana ilmiah? Sedangkan kita tahu dunia politik ada pelbagai ragam dan recam.

Berbalik kepada isu di atas iaitu adakah agama dan politik ini dibataskan, saya mahu mengajak para pembaca untuk berfikir sejenak tentang perkara ini. Adakah agama tidak ada tempat dalam politik dan politik itu hanya untuk orang-orang yang bukan beragama?

Saya tidak pasti adakah persoalan ini releven untuk ditanya ataupun tidak. Tetapi pada hemat saya, pemikiran atau ideologi untuk memisahkan politik dengan agama adalah sesuatu yang pelik dan jumud. Hanya mereka yang tidak beragama sahaja memisahkan dua pentas ini dari kehidupan. Sejarah membuktikan bahawa pemisahan ini adalah inisiatif daripada golongan anti-gereja. Kekecewaan mereka terhadap penguasa gereja yang hanya bertumpu dan berkisar kepada urusan keagamaan sehinggakan melupakan kemajuan dari segi politik dan pembanggunan membawa kepada pemberontakkan.

Setelah beratas tahun peristiwa itu berlaku, ia mula mengulang kembali dalam abad-abad yang moden ini. Pemisahan antara politk dan agama amat ketara. Ulama’ yang muktabar pandangan-pandangan mereka terhadap siasah tidak pernah diambil peduli. Tidak seperti semasa zaman kegemilangan Islam, Ulama’ dan Umara’ memainkan peranan yang besar dalam pembentukkan negara yang aman dan maju. Metod Siasah (politik) Islam mula dianggap tidak sesuai untuk zaman moden yang mencabar ini. Mereka menoleh kebelakang mencari metod-metod lama yang ditinggalkan Machiveli, Marxism dan lain-lain bagi perjalanan politik mereka.

Negara-negara Islam mula mengikut corak politik kotor dan ‘tidak peduli’ tanpa berlandaskan tuntutan agama sudah mula kelihatan. Parti-parti yang di dalamnya terdapat Muslim, bercakaran sesama sendiri kerana perbezaan yang kecil. Persamaan dalam sudut akidah mula diketepikan, dan nasihat-nasihat yang baik dari pihak lawan ditinggalkan kerana takut. Takut dengan bayang-bayang sendiri.

Jika kita boleh duduk semeja dan berbincang semeja dengan orang yang bukan seakidah, tetapi kenapa kita tidak boleh duduk semeja untuk membincangkan kebaikan bersama di kalangan seakidah? Itulah yang terjadi apabila agama dan politik dipisahkan sejauh selat Tebrau. Mana mungkin negara diberkati Allah.

Zikir dan fikirlah, demi anak bangsa kita pada masa hadapan.
“Jika amanat disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya”. Ada yang bertanya “bagaimana menyia-nyiakannya? Baginda menjawab, “Jika urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya”.(Bukhari)

Thursday, April 2, 2009

SELAMAT TINGGAL PAKLAH


Setelah mendapat tahu bahawa Dato Seri Najib akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6 esok pagi, saya tidak tahu untuk beraksi bagaimana; Gembira? Kecewa? Atau Sedih?

Saya masih termangu, saya tidak tahu adakah ini akan menjadi sejarah yang baik atau buruk bagi Malaysia. Saya juga tidak tahu bagaimana pula generasi yang akan datang menilai dan melihat tokoh ini (layakkah dipanggil tokoh?). Apa pun saya sebagai seorang Mahrain yang pada waktu ini hanya boleh menonton dari jauh, mengucapkan selamat menjalankan tugas sebagai pelayan rakyat! Bukan pemeras rakyat!



Sehingga sekarang saya masih menunggu kelahiran seorang tokoh dan pemimpin yang bercirikan kepimpinan Umar ibnu Aziz. Kerana saya tahu, aras pengukur bagi manusia hanya sehingga ke tahap itu, tidak lebih dari itu. Kerana Rasulullah dan Khalifah ar-Rasyidin yang empat adalah legasi yang sangat hebat! Mungkin corak boleh diikuti, tetapi menjadi seperti mereka tidak akan sesekali. Moga generasi saya, ataupun generasi selepas saya akan mewujudkan figura itu.

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ke-5 Malaysia mula mengira-ngira masa untuk melangkah keluar dari Sri Perdana. Bohong jika kita kata beliau tidak berbuat apa-apa untuk negara Malaysia. Mana yang baik dan kejayaan pernah beliau lakukan, kita harus akui dan memberikan penghargaan ke atas kejayaan tersebut. Benar, di bawah pemerintahan beliau ekonomi Malaysia dan pembanggunan Malaysia jauh dari apa yang kita harapkan. Bukan salah beliau seorang, banyak faktor. Antara faktornya, beliau dikelilingi pembantu-pembantu yang tidak ada kredibiliti dan penuh dengan korupsi.

Payah dan memang payah. Bila ketua baik, dan boleh menerima pandangan, para pembantu pula buat hal. Bila para pembantu baik, ketua pula keras kepala dan tidak mahu dengar pandangan orang bawah. Dunia politik semuanya boleh dan jadi!

Saya salah seorang dari 27 juta rakyat Malaysia mengucapkan selamat berpencen dan semoga Pak Lah dan keluarga sihat dan selamat sejahtera. Jasamu akan dikenang! Dalam sejarah, perlantikan Perdana Menteri diselebungi dengan jenayah yang belum diselesaikan. Moga Allah terus melindungi negara Malaysia dari perkara yang tidak baik. Sejarah ini akan menjadi bahan gelak dan kritikan generasi yang akan datang. Saya pasti!