Thursday, September 13, 2007

MADRASAH RAMADHAN


MADRASAH RAMADHAN

Oleh:Yussamir Aljohori
14/09/07

Ramai yang mengadu pada saya kenapa saya tidak sekerap dulu menulis di blog,kalau dulu setiap hari pasti ada cerita baru yang saya paparkan tetapi sekarang 3 hari atau 4 hari baru ada artikel baru menyusul.Saya bingung,kerana dahulu bila saya menulis dengan kerap,ada pembaca yang mengadu kerana tak sempat untuk menghabiskan pembacaan yang semalam kerana setiap hari artikel diblog saya akan bertukar baru.Kini saya mendapat respon sebaliknya pula,dan ia memang memeningkan kepala.Hehehe..

Saya suka untuk membawa kembali cerita yang sahabat saya tulis di blognya berkenaan dengan kita memang tidak boleh untuk memuaskan setiap kehendak manusia.Ada sahaja yang tidak perkenan dekat hati masing-masing,bukannya tidak elok malahan ia adalah perkara yang sangat membawa manfaat kepada manusia.

Allah memang maha Mengetahui.Bayangkan lah kalau semua manusia mempunyai minat yang sama,perasaan yang sama,bentuk yang sama dan semuanya sama maka hidup kita tidak akan mengembang.Sehinggakan agama itu sendiri mengiktiraf kepelbagaian dalam segala hal, cuma yang mutlak kita sebagai muslim adalah akidah.Akidah muslim semuanya sama,iaitu mentauhidkan Allah dan mengakui bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.

Mazhab berbeza kerana Imam Mazhab berbeza method dan kaedah dalam berijtihad,tetapi mereka berpegang pada perkara pokok yang sama iaitu Quran dan Sunnah diatas landasan kefahaman pada sahabat,tabie’ dan tabien.Berbeza dalam mengistinbatkan hokum,berbeza ilmu dalam bidang hadis,berbeza tempat,berbeza uruf dan pelbagai lagi.Kerana berbezalah kita dapat kepelbagaian ilmu dan kepelbagaian manfaat yang datangnya kerana berbeza dan kerana berbeza itu kita dapat sedikit sebanyak memenuhi kehendak manusia.

Kini kita sudah memasuki bulan yang cukup mulia disisi kita iaitu Bulan Ramadhan Al-Mubarak.Saya suka untuk menjoloki bulan ini dengan nama Madrasah Ramadhan(sekolah ramadhan),kenap ya saya jolokinya dengan nama sedemikian?

Kita pasti maklum bahawa sekolah adalah tempat mendidik manusia,membimbing dan memberi manfaat kepada manusia.Begitulah juga dengan Bulan Ramadhan,ia adalah bulan yang mendidik manusia bukan hanya mendidik dari segi ketahanan badan tetapi ia juga mendidik rohani.Menahan diri dari makan dan minum,memangkin diri untuk amalkan kebaikan dan meninggalkan perkara yang buruk yang acapkali kita lakukan.

Secara fitrah,manusia yang sejahat mana pun pasti akan terjaga dari lena maksiat,dan cuba untuk menyesuaikan diri dengan atmosfera Madrasah ini.Memang benar yang jahat tidak boleh terus menjadi baik,tetapi langkah awal kearah kebaikan lagi mulia daripada langsung tidak ingin mencuba untuk melangkah kedalam garisan kebaikan.sesungguhnya Allah mencintai mereka yang bertaubat,dan Allah sendiri memberi jaminan untuk mengampuni dosa-dosa hambanya yang bertaubat.Mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini,maka sama-samalah kita berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan/kemaksiatan.Bagi mereka yang ingin bertaubat,masa inilah yang paling sesuai.

Dalam satu hadis yang cukup masyhur Nabi Muhammad SAW bersabda:

" Barang sesiapa yang yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan
mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu”[1]

Dan Allah berfirman:

“Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya sendiri, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”[2]

Jelas dan terang dengan apa yang Nabi Muhammad SAW sebutkan diatas,dengan puasa dengan bersungguh dan ikhlas kerana Allah maka dosa-dosa yang lalu Allah akan ampunkan.Bertaubat kemudian berpuasa,insyAllah dengan janji Nabi diatas dosa-dosa yang lalu yang pernah kita lakukan pasti Allah ampunkan.Rebutlah peluang ini dengan segera,jangan abaikan janji-janji Allah.Allah tidak akan lupa dengan janji-janjinya kerana Dia sendiri sudah mengatakan didalam Quran: yang bermaksud “Dan tiadalah Tuhan-Mu itu lupa”[3].

Janji Syurga lepada mereka yang berpuasa dengan keimanan.Pasti ada yang berasa kalut dan jengkel dengan perkara diatas.Masakan saya tahu bahawa sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dijanjikan syurga?Saya bukan bercakap atas dasar nafsu dan dusta tapi ia didasari dengan dalil iaitu saya memetik Sabda Nabi yang bermaksud:

“Wahai Rasulullah! Tunjukkan kepadaku, amalan yang boleh membawaku kepada syurga,Nabi bersabda :"Ke atasmu puasa, tidak ada amalan yang sama dengannya "[4]

" Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan
berpuasa di bulan ramadhan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syuga "[5]

Maka bergembiralah kita,kerana kita dijanjikan Syurga oleh Allah.[6] Dan peluang ini bukan selalu kita perolehi.Bolehkah anda memaastikan bulan Ramadhan pada tahun hadapan anda masih lagi hidup?Cerita pasal hidup dan mati ini,pada hari ini bersamaan dengan 13/09/07 satu ramadhan seorang pelajar MMU meninggal dunia dan dia juga merangkap Vice president UPG MMU Cyberjaya Campus.Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan beliau,moga dia ditempatkan dengan orang-orang yang disayangi oleh Allah.Amin…HIdup dan mati kita semuanya ditangan-Nya maka bersiap sedialah dari Sekarang untuk menghadapinya agar kita mudah menghadapi hari tersebut dengan tenang.

Erm,sekali menulis tak perasan pula dah panjang saya tulis.Hehehe..Saya harap artikel kali ini dapat memberi manfaat kepada anda semua.Kepada yang ingin bertaubat silakan,kepada mereka yang ingin meningkatkan pahala maka digalakkan,dan kepada mereka yang idamkan syurga maka waktu inilah anda perlu bersungguh-sungguh untuk dapatkannya dari Pemiliknya.Mari sama-sama kita memasuki Madrasah Ramadhan ini dengan semangat yang jitu dan penuh dengan keghairahan cinta pada Ramadhan,inysAllah segala amalan kita akan mendapat gamjaran yang setimpal dari-Nya.


Akhir sekali saya memetik dari kata-kata yang diucapkan oleh Syeikh Abdullah bin Jaarullah bin Ibrahim Al-Jarullah[7] :

“Manfaatkan dan pergunakan masa hidup anda, kesihatan dan masa muda anda dengan amal kebaikan sebelum maut datang menj emput. Bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat dalam setiap waktu dari segala dosa dan perbuatan terlarang. Jagalah fardhu-fardhu Allah dan perintah-perintah-Nya serta jauhilah apa-apa yang diharamkan dan dilarang-Nya, baik pada bulan Ramadhan mahupun pada bulan lainnya.

Jangan sampai anda menunda-nunda taubat, lain anda pun mati dalam keadaan maksiat sebelum sempat bertaubat, kerana anda tidak tahu apakah anda dapat menjumpai lagi bulan Ramadhan mendatang atau tidak?

Semoga Allah melimpahkan taufik-Nya kepada kita semua untuk amal yang dicintai dan diridhai-Nya. Shalawat dan salam semoga juga dilimpahkan Allah kepada Nabi kita Muhammad, segenap keluarga dan para sahabatnya.”


[1] Sahih Bukhari dan Muslim

[2] Surah An-Nisa :10

[3] Surah Maryam 19:64)

[4] Sahih Sunan An-Nasai

[5] Sahih Riwayat Bukhari

[6] kerana setiap perkataan Nabi adalah datangnya dari Allah,Oleh itu saya katakan Allah janjikan walaupun itu datangnya dari Sabda Nabi.Ini bertepatan dengan Firman Allah yang bermaksud: “Dan dia tidak akan mengatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama) menurut kemahuan dan pandapatnya sendiri.Segala apa yang diperkatakan oleh dia adalah wahyu yang diwahyukan oleh Allah kepadanya.”.(Surah An-Najm)

[7] Risalah Ramadhan oleh Syeikh Abdullah bin Jaarullah bin Ibrahim Al-Jarullah.Dialeh bahasa dari bahasa Arab ke Bahasa Malaysia.Jika terdapat kesalahan penterjemahan diharap dapat diberitahu saya dengan kadar segera.

No comments:

Post a Comment