Wednesday, November 14, 2007

Bersaudara bukan bermusuh


Bersaudara bukan bermusuh

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
14 November 2007

Memutuskan hubungan di kalangan Muslim adalah satu perkara yang tidak patut dilakukan oleh Umat Islam.Ramai yang melakukan hal sedemikian tanpa ada sebab-sebab yang syari’,dan kadang-kala hanya melibatkan hal yang remeh-temeh.Ini semua disebabkan tertipu dengan muslihat dan usaha-usaha Syaitan untuk memecah-belahkan perpaduan Umat Islam.

Tidak bertegur-sapa bertahun-tahun adalah perkara biasa,dan sehinggakan ada yang sanggup untuk bersumpah tidak akan bertegur atau bercakap dengan saudara yang dimarahinya itu.Sikap ini amatlah memalukan dan tidak berlandaskan aturan yang telah ditetapkan Islam.Perkara ini boleh menjadikan punca kepada perpecahan dan ketidaksatuan umat Islam.Oleh sebab itu Islam mengecam dengan sekeras-kerasnya akan perbuatan ini.Ia bertepatan dengan Sabda Nabi yang bermaksud:

“Seorang Muslim tidak boleh untuk tidak bertegur saudaranya lebih dari tiga hari.Maka barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya lebih dari tiga hari dan mati dalam keadaan demikian,nescaya dia pasti masuk neraka”(HR Abu Daud,Sahih Al-Jami’)


Dikukuhkan lagi dengan sabda Nabi yang telah diriwayatkan oleh Abu Khirosi Al-Aslami :

“Barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun,maka dia seolah-olah telah menumpahkan darahnya”(HR Bukhari,dalam adabul-Mufrad,dinilai sahih dalam Sahih Al-Jami’)


Dua hadis diatas adalah amaran yang keras dari Nabi,dan menjadi kemurkaan Nabi apabila ada di kalangan umatnya melakukan hal sedemikian.Kemurkaan Nabi adalah kemurkaan Allah,kerana apa yang diperkatakan oleh Nabi adalah datangnya dari Allah Ta’ala.Sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud:

“Dan dia tidak akan mengatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama) menurut kemahuan dan pandapatnya sendiri.Segala apa yang diperkatakan oleh dia adalah wahyu yang diwahyukan oleh Allah kepadanya.”(An-Najm:3-4)


Dan barangsiapa yang menderhakai apa yang telah diperkatan oleh Nabi,bermaksud juga telah menderhakai Allah.Sesiapa yang menderhakai Allah bererti telah sesat dari jalan kebenaran.Firman Allah yang bermaksud:

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.


Selain daripada mendapat kemurkaan daripada Allah,mereka yang memutuskan tali persaudaraan juga sukar mendapat keampunan daripada Allah.Selari dengan Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud:

“Amalan manusia di bawa dua kali dalam seminggu,iaitu pada hari Isnin dan Khamis.Diampuni bagi setiap hamba yang Mu’min,kecuali hamba yang mempunyai permusuhan dengan saudara muslimnya yang lain.Maka dikatakan : “Tinggalkan atau kebelakangkan dua orang ini sehingga kedua-dua mereka kembali berbaik”.(HR Muslim)

[Maksudnya,mereka tidak diampunkan oleh Allah,sehinggalah mereka bermaafan antara satu sama lain-penulis]



JOM BERMAAF-MAAFAN

Sesiapa yang ingin bertaubat dari kesalahan ini,perlulah bermaafan antara satu sama lain,dan lupakan persengkataan yang lalu.Cukuplah sekadar bersalaman.Namun, jika salah seorang telah memohon maaf dan seorang lagi tidak mahu memaafkannya,maka orang yang mahu berbaik-baik itu telah lepas dari tanggungjawabnya.Dan berdosalah ke atas orang yang tidak mahu berbaik-baik itu.

Walaubagaimanapun,terdapat ruang didalam syara’ untuk memutuskan hubungan antara Muslim.Hal ini dibolehkan apabila seseorang itu meninggalkan solat atau terus menerus melakukan perbuatan yang tidak selari dengan ajaran Islam.Perbuatan ini dilakukan bagi mengembalikan seseorang itu kepada kebenaran dan menyedarkannya tentang kesalahan yang telah dilakukan.Namun begitu,jika tindakan memutuskan hubungan tersebut tidak berguna dan membuatkan seseorang itu terus berpaling dari Islam,maka HARAM melakukan hal sedemikian.Sebabnya,kebaikan yang dituju oleh Syara’ tidak tercapai,bahkan menambah kerosakan.Oleh itu,tindakan yang terbaik adalah berbuat baik kepadanya sambil terus memberi nasihat dan mengingatkannya.(Muhammad Bin Soleh Al-Munajid-dalam Muhrimat Istihan Biha An-Nas Yajibu Hizru Minha)

Komentar Muhammad Soleh Al-Munajid ini bersandarkan kepada peristiwa dimana Nabi tidak menegur Ka’ab Bin Malik dan kedua sahabatnya yang tidak turut serta dalam perang Tabuk.Ini disebabkan baginda melihat ada kebaikan untuk berbuat demikian terhadap mereka berdua yang juga Sahabat kepada baginda.Namun hal ini berlaku sebaliknya terhadap Abdullah Bin Ubay Bin Salul serta kaum munafik yang lain,kerana Nabi merasakan itu lebih baik.(Maksud Nabi ini,jika Nabi memulaukan mereka,hal ini akan menjadi pemberontakan dan menjadikan mereka terus dalam kemunafikan.Oleh itu,Nabi membuat keputusan untuk berbuat baik kepada mereka dan terus menerus menasihati mereka.)

Akhir sekali,penulis berharap kita sesama Umat Islam dapat menghindarkan perbuatan memutuskan hubungan ini.Seterusnya dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan kesatuan diantara kita.Sabda Nabi “Tidak sempurna Iman seseorang sehingga mereka mencintai saudaranya sepertimana mereka mencintai dirinya sendiri”(Sahih)

WaAllahualam..

No comments:

Post a Comment