Cinta adalah Fitrah Manusia
Artikel ini ditulis sahabat saya
#Artikel ini disiarkan bagi memenuhi pemintaan pembaca yang 'bernama' TETAMU.
Moga ada manfaatnya.
Mencintai seseorang atau jatuh hati terhadap lawan jenis merupakan perkara fitrah kerana Allah Ta’ala menciptakan manusia di dalam keadaan demikian sebagaimana firman-Nya,
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu : wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik” (QS. Ali Imran : 14)
Di dalam sebuah hadits shahih diceritakan kisah seseorang wanita yang bernama Barirah yang mana suaminya yang bernama Mughits selalu mengikutinya dari belakang setelah mereka bercerai, maka Rasulullah ShallallaHu ‘alaiHi wa sallam berkata kepada Abbas,
“Wahai Abbas, tidakkah engkau takjub terhadap cintanya Mughits kepada Barirah dan kebencian Barirah kepada Mughits ?” (HR. al Bukhari).
Imam Ibnul Qayyim rahimahullah kemudian menjelaskan dalam Mukhtashar Raudhatul Muhibbin (hal. 82) bahawa Rasulullah ShallallaHu ‘alayHi wa sallam tidak melarang tumbuhnya cinta Mughits yang membara di dalam keadaan seperti itu. Ini kerana, cinta merupakan sesuatu yang tidak boleh dibendung dan ia bukan merupakan inisiatif diri sendiri.
Seorang lelaki berkata kepada Umar bin Khaththab radhiyallaHu ‘anHu, “Wahai Amirul Mukminin, aku telah melihat seorang wanita lalu aku pun sangat cinta kepadanya”. Lalu Umar radhiyallaHu ‘anHu berkata, “Itu adalah sesuatu yang tidak mungkin untuk dibendung” (Mukhtashar Raudhatul Muhibbin hal. 81)
Penangan CINTA
Namun demikian cinta ini dapat menjadi bumerang bagi para pelakunya jika disertai dengan hawa nafsunya atau juga akibat godaan syaithan yang memang selalu ingin mengelincirkan manusia, sehingga pelakunya melakukan amal-amal yang buruk bergelumangan dengan dosa seperti zina dan lainnya.
Kerana cintanya dia menjadi hamba
Padahal sebelumnya dia raja
Allah Ta’ala berfirman:
“Kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat Allah, lalu dia diikuti oleh syaithan, maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat”
(QS. Al A’raf : 175)
Dan tidak dapat dinafikan orang-orang yang mabuk cinta akan selalu merindukan orang-orang yang dicintainya. Seorang pemuda akan selalu merindui gadis yang dicintainya begitu pula si gadis akan selalu merindui pemuda yang dia dambakan.
Si pencinta mengadukan kerinduannya
Andaikata aku bisa menanggung kesendirian ini
Ada semua kenikmatan cinta di dalam hati
Yang tiada pernah dirasakan sesiapa
Maka dari itu Allah Ta’ala telah menciptakan ubat penyembuh akibat penyakit cinta yang berpotensi melanggar syariat yang telah Allah Ta’ala tetapkan dan memudahkan cara untuk mendapatkan ubat tersebut.
Barangsiapa yang berubat dengan sesuatu yang telah dilarang oleh Allah Ta’ala secara syariat, sekalipun dia mampu untuk melakukannya maka dia telah melakukan kesalahan di dalam proses pengubatan. Dia seperti orang yang hendak mengubati suatu penyakit dengan penyakit yang lebih berbahaya.
Dan ubat itu adalah pernikahan. Dari Ibnu Abbas radhiyallaHu ‘anHu, Rasulullah ShallallaHu ‘alayHi wa sallam bersabda,
لم نر ((ير)) للمتحابين مثل النكاح
yang ertinya “Tidak ada yang boleh dilihat (lebih indah) oleh orang-orang yang saling mencintai seperti halnya pernikahan” (HR. Ibnu Majah no. 1847 dan al Hakim dalam al Mustadrak 2/147, dishahihkan oleh al Hakim dan disepakati oleh adz Dzahabi. Al Bushiri dalam Mishbah az Zujajah 2/94 mengatakan bahwa isnad hadits ini shahih dan para perawinya tsiqat. Al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Ibn Majah, hadith-1497)
Imam Ibnul Qayyim rahimahullah membuat syair yang cukup indah berkaitan dengan permasalahan ini (Mukhtashar Raudhatul Muhibbin hal. 54):
Engkau penuhi keinginan hatimu yang bergelora
Dengan bersama kekasihmu, bila dia rela
Jika engkau lakukan itu dalam kehalalan, berbahagialah
Engkau dapatkan kasih sayang dan kerelaan
Jika engkau lakukan itu dalam keharaman
Sungguh itu adzab, yang menghinakan dan yang menyengsarakan
Ahli ilmu dan dari kalangan lainnya telah sepakat bahawa ubat daripada penyakit cinta ini adalah menyatunya dua ruh dan badan yang saling berdekatan. Dari Jabir radhiyallaHu ‘anHu bahawasannya Rasulullah ShallallaHu ‘alayHi wa sallam pernah melihat seorang wanita maka kemudian dia mendatangi isterinya Zainab, lalu bersabda:
“Jika salah seorang kalian melihat wanita lalu tertarik kepadanya, maka hendaklah dia mendatangi isterinya, kerana yang demikian itu boleh menolak apa yang bergejolak di dalam dirinya” (HR. Imam Muslim)
Isma’il bin ‘Ayyasy menceritakan dari Syurahbil bin Muslim dari Abu Muslim al Khaulani rahimahullah, bahawasannya dia berkata:
“Wahai seluruh penduduk Khaulan, nikahkanlah pemuda-pemudi kalian dan hamba-hamba kalian kerena gejolak yang berkobar adalah masalah yang serius. Maka buatlah persiapan untuk urusan itu dan ketahuilah bahawa tidak ada penolakan bagi sesiapa yang meminta izin untuk menikah” (Mukhtashar Raudhatul Muhibbin hal. 126)
Semoga Allah Ta’ala memudahkan para pemuda dan pemudi Islam yang saling mencintai dan merindui untuk mengambil jalan yang telah disyariatkan oleh agama dan semoga mereka dapat memperoleh buah dari ketaatan yang mereka kerjakan.
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberi rezeki dari arah yang tiada yang disangka-sangkanya” (QS. Ath Thalaq : 2-3)
Sumber rujukan:
Mukhtashar Raudhatul Muhibbin li al Imam Ibn Qayyim al Jauziyyah, Abu Shuhaib al Karami, Pustaka Arafah, Solo, Cetakan Pertama, Juli 2005.
Semoga Bermanfaat
Salam tuan rumah. Salam singgah dan membalas lawatan Yus ke blog kak ila. Wah,indah benar pengertian CINTA itu, ya? Tahniah, berjaya memberi kak ila sedikit ilham untuk novel seterusnya.
ReplyDelete