Sunday, November 4, 2007

Bolehkah JIN merasuk??


Bolehkah JIN merasuk??

Oleh:Yussamir Yusof Aljohori
22 Syawal 1428

Dirasuk atau histeria seakan sinonim dengan golongan pelajar yang duduk di asrama.Selama 5 tahun saya berada di asrama ketika dahulu tidak pernah terlepas dari mendengar hal ini.Ia seakan perkara wajib dan menjadi peristiwa tahunan di sekolah saya.Selalunya ‘penyakit’ ini dijakiti oleh pelajar wanita,dan jarang sekali saya melihat pelajar lelaki terlibat.Selama hal ini berlaku di sekolah saya ramai yang bercakap-cakap sama ada benar atau tidak manusia boleh dirasuk.Setengahnya mempercayai , setengah tidak mempercayainya dan mengaitkan ia dengan masalah tekanan.

Dalam masalah percaya atau tidak percaya ini,saya cenderung untuk berada ditengah-tengah kepercayaan .Tidak terlalu obses dengan hal jin dan tidak terlalu meremehkannya.

Sesuai sebagai muslim,bersederhana dalam semua hal.Bertepatan dengan apa yang dikatakan Allah dalam surah Al-Furqan:67:

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُواْ لَمۡ يُسۡرِفُواْ وَلَمۡ يَقۡتُرُواْ وَڪَانَ بَيۡنَ ذَٲلِكَ قَوَامً۬ا

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Berdasarkan kepada Kitab Terjemahan Al-Quran Deparment Indonesia,Perkara Ghaib ialah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh pancaindera.Mempercayai perkara yang ghaib adalah salah satu ciri orang yang beriman.Allah telah menjelaskannya dalam surah Al-Baqarah:

ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ

(yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat, dan menafkahkan sebahagian rezki yang Kami anugerahkan kepada mereka

Perkara-perkara ghaib itu termasuklah jin,malaikat,azab kubur dan sebagainya.Menjadi kewajiban Umat Islam untuk mempercayai akan hal-hal yang ghaib.Namun begitu,ia mestilah sejajar dengan apa yang dikatakan oleh Allah dan Rasul.

Atas dasar inilah,saya cuba menyingkap sama ada benar atau tidak pendapat yang mengatakan bahawa jin boleh masuk kedalam badan manusia(merasuk).Kajian ini akan mendahulukan hujah-hujah yang datangnya dari Al-Quran dan Hadis yang sahih,kemudian barulah saya akan menaqalkan beberapa pandangan dari para Ulama.

Saya membahagikan perkara ini kepada beberapa bahagian,agar pembaca mudah memahaminya dan seterusnya membuat pengkajian sendiri selepas ini.Pembahagian ini akan dimulakan dengan pengenalan tentang kewujudan jin,kebenaran tentang rasukan,boleh atau tidak melihat jin dan akhir sekali pendirian muslim tentang jin.

Bahagian pertama:Penganalan tentang jin.

Jin adalah makhluk yang diciptakan Allah sebelum manusia.Selain diciptakan awal oleh Allah,jin juga diciptakan berbeza daripada manusia iaitu melalui api..Hal ini diterangkan Allah dalam surah Al-Hijr:26-27:

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن صَلۡصَـٰلٍ۬ مِّنۡ حَمَإٍ۬ مَّسۡنُونٍ۬ وَٱلۡجَآنَّ خَلَقۡنَـٰهُ مِن قَبۡلُ مِن نَّارِ ٱلسَّمُومِ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.

Perkara ini juga pernah dikatakan Nabi Muhammad dalam satu hadis yang bermaksud:

Malaikat diciptakan dari cahaya,Jin diciptakan dari nyalaan api,dan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kalian.[1]

Selain diciptakan lebih awal dan daripada api,bangsa jin juga terbahagi kepada yang Kafir dan Muslim.Hal ini sama sahaja dengan bangsa Manusia yang diciptakan Allah.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Al-Jin ayat 14-15:

وَأَنَّا مِنَّا ٱلۡمُسۡلِمُونَ وَمِنَّا ٱلۡقَـٰسِطُونَ‌ۖ فَمَنۡ أَسۡلَمَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ تَحَرَّوۡاْ رَشَدً۬ا وَأَمَّا ٱلۡقَـٰسِطُونَ فَكَانُواْ لِجَهَنَّمَ حَطَبً۬

Dan sesungguhnya di antara kami ada (Jin) taat dan ada pula (Jin) yang menyimpang dari kebenaran. Barangsiapa yang yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun (jin-jin) yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka Jahannam.[2]

Seperti manusia,bangsa jin juga akan diberi ganjaran Syurga atau neraka.Semuanya berdasarkan amalan yang dilakukan oleh mereka.Jika segala perintah Allah dilakukan dengan sempurna dan meninggalkan segala tegahan maka ganjaran Syurga pasti diperolehi.Hal ini bersesuaian dengan apa yang telah dijanjikan Allah dalam surah Al-Ahqaf ayat 18-19:

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ حَقَّ عَلَيۡهِمُ ٱلۡقَوۡلُ فِىٓ أُمَمٍ۬ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِهِم مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌ۖ إِنَّہُمۡ ڪَانُواْ خَـٰسِرِينَ وَلِڪُلٍّ۬ دَرَجَـٰتٌ۬ مِّمَّا عَمِلُواْ‌ۖ وَلِيُوَفِّيَہُمۡ أَعۡمَـٰلَهُمۡ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ

Mereka itulah orang-orang yang telah pasti ketetapan (azab) atas mereka bersama umat-umat yang telah berlalu sebelum mereka dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang merugi. Dan bagi masing-masing mereka derajat menurut apa yang telah mereka kerjakan dan agar Allah mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan-pekerjaan mereka sedang mereka tiada dirugikan.

Menurut Imam Ibnu Qoyim:Jumhur ulama telah menyatakan bahawa Jin Mukmin akan masuk Syurga,sebagaimana halnya yang kafir akan masuk ke Neraka.[3]Selain daripada Imam Ibnu Qoyim,ramai lagi ulama yang mengatakan hal sedemikian.Antaranya Ibnu Kathir dalam tafsir Al-Quran Al-Azhim,Muhammad Rashid Ridha’ dalam Al-manar,dan Sayid Qutb dalam Fi Zilalil Quran.Malahan para Jin yang mukmin juga Allah telah menyediakan Bidadari untuk mereka.Imam Qurthubi ketika menafsirkan Ayat ke 56 surah Ar-Rahman yang bermaksud:

فِيہِنَّ قَـٰصِرَٲتُ ٱلطَّرۡفِ لَمۡ يَطۡمِثۡہُنَّ إِنسٌ۬ قَبۡلَهُمۡ وَلَا جَآنٌّ۬

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.

Kata Imam Qurthubi:Dalam ayat ini(iaitu ayat diatas) ini terdapat petunjuk yang menyatakan bahawa Jin sebagaimananya manusia juga mati lalu masuk ke Syurga.Untuk mereka disediakan Jin-jin perempuan(Bidadari-bidadari dari bangsa Jin).

Bahagian dua:Kebenaran tentang rasukan.

Hakikat kerasukan ini terdapat dua pendapat yang popular dikalangan ahli Ilmu.Kedua-dua pendapat ini didasari dengan hujah Quran dan Hadis.

Pendapat pertama:iaitu golongan yang mempercayai .

Mereka yang mempercayai bahawa manusia boleh dirasuk(jin memasuki badan manusia) ialah dengan bersandarkan kepada satu Firman Allah:

ٱلَّذِينَ يَأۡڪُلُونَ ٱلرِّبَوٰاْ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِى يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّ

Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila(surah Al-baqarah:275)

Selain bersandar kepada Ayat di atas, mereka yang mempercayai akan hal ini juga membawakan satu cerita di mana Imam Ibnu Taimiyah pernah mengubati orang yang dirasuk.Menurut cerita tersebut,Jin yang merasuk manusia itu berbicara dengan Ibnu Taimiyah dengan mengatakan beliau(jin) akan keluar dari tubuh manusia itu kerana kemulian Ibnu Taimiyah.Kemudian Ibnu Taimiyah mengatakan kepada Jin tersebut “Keluarlah dari tubuh ini semata-mata kerana Allah,bukan kerana aku”.[4]

Dalam hal ini,anak murid Ibnu Taimiyah iaitu Ibnu Qoyim mengatakan[5]: Syeikh kami(Ibnu Taimiyah),ketika mengubati pesakit yang dirasuk,beliau akan membaca ayat :

أفحسبتم انما خلقناكم عبثا وأنكم الينا لا ترجعون

Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?(Surah Al-Mukminun:115)

Berdasarkan kenyataan Ibnu Qoyim diatas menunjukkan bahawa manusia pernah dirasuk,dan boleh dirasuk.Pandangannya selari dengan pandangan mereka yang mempercayai manusia boleh dirasuk.

Pendapat kedua:iaitu golongan yang tidak mempercayai

Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi iaitu salah seorang Ulama besar ketika ini[6] menyanggahi akan hal Jin boleh merasuk manusia.Saya naqalkan kembali kata-kata beliau yang terdapat dalam buku Biografi beliau yang bertajuk “perjalanan hidupku”:

“Jika tidak mendatangi para dukun,wanita yang dirasuk jin akan dibawa kepada Syeikh-syeikh tertentu agar diberikan jampi-jampi[7] yang dianggap dapat mengusir jin yang merasukinya.Biasanya mereka menganggap bahawa yang merasuki wanita adalah jin lelaki,dan yang merasuki kaum lelaki adalah jin wanita.Syeikh Muhammad Ghazali[8] adalah orang yang menolak keras kepercayaan tersebut.Pada suatu hari beliau didatangi seorang lelaki yang mengadu kepada beliau bahawa dia dirasuki makhluk lain.Lantas beliau bertanya “Makhluk apa yang merasukimu?”.Lelaki itu menjawab “Saya dirasuki Jin”.Syeikh Ghazali menjawab “kenapa anda tidak dapat merasuki jin padahal anda memiliki badan yang tegap dan sasa?Dan kenapa jin tidak mahu merasuk orang-orang Eropah dan Amerika.[9]

Kami[10] sendiri sangat hairan mengapa mereka berkeyakinan bahawa Allah memberi kemampuan kepada Jin untuk merasuki jiwa-raga manusia,mempengaruhinya,dan berbicara dengan menggunakan lidahnya sehingga manusia tunduk kepadanya?kalau hal ini benar,maka dimanakah letaknya kemulian manusia yang telah Allah jelaskan dalam Quran:

وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِىٓ ءَادَمَ

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam(surah Al-Isra’:70)

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفه

Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.
(surah Al-baqarah:30)

Apabila orang yang berkeyakinan bahawa jin benar-benar dapat merasuki dan menguasai manusia dengan berhujahkan Firman Allah yang menggambarkan keadaan orang yang suka memakan riba:

ٱلَّذِينَ يَأۡڪُلُونَ ٱلرِّبَوٰاْ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِى يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّ

Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila(surah Al-baqarah:275)

Jika ayat tersebut ditafsir dengan penafsiran akal dan sumber yang jelas maka makna Al-Mass pada ayat diatas tidak akan sama dengan penafsiran orang yang meyakini bahawa jin mampu mempengaruhi dan menguasai manusia.Penafsiran yang tepat untuk ayat di atas adalah penafsiran yang sesuai dengan perkataan Nabi Ayub ketika berdoa kepada Allah, :

وَٱذۡكُرۡ عَبۡدَنَآ أَيُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُ ۥۤ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ بِنُصۡبٍ۬ وَعَذَابٍ

“Sesungguhnya aku digoda Syaitan yang sangat berat dan menyiksa”(Surah Sod:41)

Yang dimaksudkan dengan Al-Mass ialah salah satu bentuk bisikan dan pujukan syaitan dalam menyesatkan manusia.Jin bahkan syaitan tidak memiliki kemampuan apa pun terhadap manusia kecuali hanya menggoda untuk menyesatkan mereka.Hal ini pada hari kiamat nanti akan diakui oleh para pemimpin syaitan,:

وَقَالَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لَمَّا قُضِىَ ٱلۡأَمۡرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَڪُمۡ وَعۡدَ ٱلۡحَقِّ وَوَعَدتُّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُڪُمۡ‌ۖ وَمَا كَانَ لِىَ عَلَيۡكُم مِّن سُلۡطَـٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوۡتُكُمۡ فَٱسۡتَجَبۡتُمۡ لِى

Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekedar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku”(surah Ibrahim:22)”

Begitulah hujah yang dibentangkan oleh kedua-dua pendapat ketika menjelaskan perihal rasuk ini.Namun begitu,tidaklah saya mengatakan bahawa Qardhawi betul dan Ibnu Taimiyah tidak betul atau sebaliknya.Tujuan pembentangan kedua-dua pendapat ini disediakan bagi mengimbangi kepercayaan manusia tentang hal ini.Bagi mereka yang cenderung percaya,mereka tidak boleh menyalahkan mereka yang tidak percaya.Begitulah sebaliknya, bagi mereka yang tidak percaya tidak boleh menyalahkan mereka yang mempercayainya.Kedua-dua pendapat ini benar kerana didasari dengan dalil dari Quran dan Sunnah,oleh itu berlapang dadalah dalam hal ini.

Pandangan saya secara peribadi,saya lebih cenderung kepada pendapat pertama iaitu mempercayai bahawa kerasukan boleh berlaku.Namun saya menghormati pandangan kedua dan berlapang dada.(Oleh itu tidak benar bagi mereka yang menuduh saya taksub kepada Syeikh Yusuf Al-Qardhawi.Walaupun banyak pandangan dan manhajnya saya gunakan tetapi tidak nyata mengatakan saya taksub buta padanya.Masakan saya boleh taksub kepadanya sedangkan beliau sendiri melarang untuk taksub kepadanya.Dan beliau sendiri menangis apabila anak muridnya memanggilnya Imam.Beliau mengatakan bahawa beliau tidak layak digelar imam kerana beliau masih belajar dan akan terus belajar.)

Bahagian ketiga:Kemampuan melihat Jin.

Dalam bahagian ini juga terdapat dua pendapat yang terpilih,iaitu:

Pendapat pertama:Boleh melihat jin
Pendapat kedua:Tidak boleh lihat jin.

Perbezaan kedua-dua pendapat ini hanyalah di sebabkan penafsiran yang berbeza terhadapat ayat ke 27 dari surah Al-Araf:

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفۡتِنَنَّڪُم ُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ كَمَآ أَخۡرَجَ أَبَوَيۡكُم مِّنَ ٱلۡجَنَّةِ يَنزِعُ عَنۡہُمَا لِبَاسَہُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوۡءَٲتِہِمَآ‌ۗ إِنَّهُ ۥ يَرَٮٰكُمۡ هُوَ وَقَبِيلُهُ ۥ مِنۡ حَيۡثُ لَا تَرَوۡنَہُمۡ إِنَّا جَعَلۡنَا ٱلشَّيَـٰطِينَ أَوۡلِيَآءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya 'auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpim bagi orang-orang yang tidak beriman.

Pendapat pertama:

Imam Qurtubi berkata:sebahagian ulama berpendapat bahawa ayat Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka telah jelas bahawa jin tidak boleh dilihat.Namun begitu,sebahagian lagi ulama mengatakan boleh,sebab jika Allah menghendaki memperlihatkan mereka,maka Dia menampakkan tubuh mereka sehingga terlihat.
Selain itu,Albaihaqi meriwayatkan dalam Manaqib Syafie dengan sanad dari Rabi’,katanya: “Saya mendengar As-Syafie berkata “Barangsiapa mendakwa dirinya melihat jin,maka kami menganggap syahadahnya telah terbatal,kecuali jika dia seorang Nabi”
[11].Hujah ini juga disokong oleh Ibn Hazm Az-Zhahiri.[12]

Pendapat kedua:

Imam Syaukani mengatakan bahawa manusia boleh melihat jin.Menurut beliau,ayat di atas tidak ada isyarat yang mengatakan bahawa kita tidak boleh melihat jin.Pengertian ayat di atas adalah JIN melihat kita dari tempat yang kita tidak boleh melihatnya,namun tidak bererti kita tidak boleh melihatnya untuk selamanya.[13]Maksud yang ingin disampaikan oleh Imam As-Syaukani ini boleh dicontohkan seperti ini:

Ketika anda sedang membelek-belek barangan kemas dalam sebuah kedai emas, ada orang lain sedang memerhatikan anda melalui CCTV.Tetapi anda tidak dapat melihat mereka,mereka boleh melihat anda.Sesungguhnya,para pengawal yang menjaga CCTV itu melihat anda dari arah yang anda tidak dapat melihatnya.Namun yang nyata,jika anda berada di tempat kawalan CCTV itu,pasti anda akan dapat melihat pengawal tersebut.Begitulah maksud yang ingin diterangkan oleh Asyaukani.

Disamping itu,Imam Ibnu Hajar As-Qalani mensyarahkan kata-kata Imam As-Syafie (yang terdapat seperti di atas) dengan berkata:Apa yang dikatakan oleh As-Syafie itu terhadap mereka yang mengaku melihat jin dalam bentuk sebagaimana mereka diciptakan.Sedangkan orang-orang yang mengatakan telah melihat jin sesudah mereka mengalami perkembangan dalam bentuk haiwan,misalnya ular.Maka hal itu tidak mengapa,sebab berbagai riwayat telah mengatakan tentang perubahan-perubahan bentuk mereka.

Kedua-dua pendapat di atas adalah benar,maka seperti apa yang saya katakan sebelum ini,berlapanglah dada dalam menilai kedua-dua pendapat ini.Terpulang kepada anda sama ada mahu memilih pendapat pertama atau kedua,saya hanya memberikan anda pilihan.Kedua-duanya berdasarkan hujah yang adil dan ijtihad Ulama yang mujtahid.

Bahagian ke empat:Pendirian Muslim berkenaan dengan Jin.

Pendirian Muslim berkenaan dengan perkara-perkara Ghaib adalah muktamad iaitu wajib mempercayainya.Perkara-perkara ghaib itu termasuklah mempercayai bahawa Jin itu adalah makhluk Allah yang ghaib,namun untuk mempercayai bahawa ia boleh merasuk itu terpulang kepada Individu itu sendiri.Kalau para pembaca melihat hasil kajian[14] saya di atas,sengaja saya memberikan jawapan yang berbeza.Semua ini dilakukan,agar para pembaca dapat membentuk sifat menghormati dan saling menghargai pandangan orang lain.Selain itu,ia juga dapat meningkatkan sifat ingin tahu dan membebaskan diri dari budaya taklid yang membabi buta. Sama ada mahu percaya atau tidak,perbezaan pendapat yang saya utarakan diatas semuanya benar.

Bersikap menghormati pandangan yang berbeza dan saling menghargai adalah salah satu sifat yang baik dalam menjadi Umat yang mantap.Saya memetik kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz: “Saya tidak merasa lega jika para sahabat Rasullullah tidak berbeza pendapat.Sebab jika mereka sepakat dalam satu pendapat maka jika ada yang berbeza dengan pendapat mereka,jelaslah orang itu sesat.Sedangkan jika mereka berbeza[15] pendapat,maka seseorang mungkin mengambil pendapat yang satu lagi dan yang lain mengambil pendapat yang lain lagi.Maka akan menjadi lapanglah urusan agama ini.[16]

Akhir kata, penulisan ini adalah hasil kajian dan pemahaman saya, dan sebagai manusia, saya tetap melakukan kesilapan. Jika terdapat pemahaman yang silap, maka tegurlah kesilapan itu.Bak kata Imam Syafie “ Jika pemahamanku silap, aku menariknya semula semasa hidupku atau sesudah matiku”.WaAllah Alam.


[1] Hadis ini telah dicantumkan oleh Imam Muslim dalam Jami’ Sahihnya.Riwayat Aisyah.

[2] Terjemahan dari Tafsir Quran Al-Karim oleh Prof Dr H Mahmud Yunus.

[3] Hadiy Al-Arwah ila biladil Afrah

[4] Namun saya tidak pasti sama ada hal itu benar atau tidak,kerana saya tidak mempunyai sumber rujukannya.

[5] Zaadul Maad,Imam Ibnu Qoyim

[6] Kedudukannya sebagai Ulama dan Imam yang tepercaya telah diperakui oleh majority Ulama dunia Islam.Cukuplah saya bawakan dua pendapat dari dua ulama yang disegani dunia Islam;

1. Imam al Muhaddits Muhammad Nashiruddin al Albany-ahli hadis terkemuka abad 20 berkata, "Saya diminta (al Qaradhawi) untuk meneliti riwayat hadis serta menjelaskan kesahihan dan ke dha'ifan hadis yang terdapat dalam bukunya (Halal wal Haram). Hal itu menunjukkan ia memiliki akhlak yang mulia dan pribadi yang baik. Saya mengetahui semua secara langsung. Setiap dia bertemu saya dalam satu kesempatan, ia akan selalu menanyakan kepada saya tentang hadis atau masalah fiqh. Dia melakukan itu agar ia mengetahui pendapat saya mengenai masalah itu dan ia dapat mengambil manfaat dari pendapat saya tersebut. Itu semua menunjukkan kerendahan hatinya yang sangat tinggi serta kesopanan dan adab yang tiada tara. Semoga Allah SWT mendatangkan manfaat dengan keberadaannya."

2. Syaikh Muhammad alGhazaly- dai dan ulama besar asal Mesir yang pernah menjadi guru al Qaradhawy sekaligus tokoh Ikhwanul Muslimin berkata: "Al Qaradhawi adalah salah seorang Imam kaum muslimin zaman ini yang mampu menggabungkan fiqh antara akal dengan atsar." Ketika ditanya lagi tentang al Qaradhawy, ia menjawab, "Saya gurunya, tetapi ia ustadku. Syaikh dulu pernah menjadi muridku, tetapi kini ia telah menjadi guruku."

Walaubagaimanapun beliau tidak lari dari melakukan kesilapan.Beliau bukan Ma’sum,namun cukuplah akan kebenaran yang beliau bawa sehinggakan kesalahan yang pernah beliau lakukan akan tertutup dengan kebenarannya.Walhal,jika dia tahu akan kesalahan itu,beliau akan cepat-cepat perbetulkan dan menerima segala teguran terhadapnya.

[7] Maksud jampi-jampi disini adalah jampi-jampi yang tidak mengikuti syariat dan terdapat kesyirikan didalamnya..Jampi-jampi yang selari dengan syara’ adalah dibolehkan,sepertimana Hadis yang diriwayatkan Muslim: Kami menggunakan jampi-jampi pada zaman jahiliah, lalu kami tanyakan, Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu mengenai hal itu?' Beliau menjawab, 'Tunjukkanlah kepadaku jampi-jampimu itu. Tidak mengapa menggunakan jampi-jampi, asalkan tidak mengandungi kesyirikan.'(Syarah ini daripada pemahaman saya)

[8] Syaikh Muhammad alGhazaly- dai dan ulama besar asal Mesir yang pernah menjadi guru al Qaradhawy.

[9] Pendapat berkenaan orang Eropah tidak pernah dirasuk ini,dengan rendah dirinya saya merasakan tidak tepat.Kisah benar berkenaan seorang wanita pernah dirasuk di Eropah iaitu Anneliese Michel menjadikan hal ini berrtentangan.Ini menunjukkan juga bahawa orang Eropah (Wanita ini berasal dari German) juga pernah dirasuk.Hal ini saya nyatakan dengan rasa rendah dirinya,siapalah saya dibandingkan dengan Syeikh Muhammad Ghazali.

[10] (penggunaan kata ganti nama Kami untuk saya digunakan dalam buku ini.Untuk maklumat lanjut mengapa Yusuf Al-Qaradhawi menggunakannya sila rujuk dalam bukunya ‘perjalanan hidupku jilid 1)

[11] Fathul baari,oleh Imam Ibnu hajar al-Asqolani

[12] Muhammad Ibnu Hazm Az-Zahiri,Al-Fishal fi al-Milal wa An-Nihal

[13] Tafsir Fathul Qodir,bab Al-Halabi

[14] Dengan rendah diri,kajian saya ini masih dalam lingkungan keterbatasan.Teguran dan saranan daripada para pembaca amatlah dialu-alukan.Keterbatasan ini disebabkan Ilmu dan juga sumber-sumber rujukan.Sesiapa yang mempunyai bahan kajian yang lebih rajih,dipersilakan untuk bertukar-tukar fikiran dengan saya.Sekian.

[15] Diingatkan bahawa dalam bab Akidah tidak berlaku hal berbeza pendapat.Maka yang diutarakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz ini adalah selain daripada perkara Akidah.

[16] Manhaj Dakwah Yusuf Al-Qardhawi,Harnoni antara kelembutan dan ketegasan.

No comments:

Post a Comment