INFAQ
Oleh:Yussamir Yusof
http://www.yussamir.com
Fitrahnya manusia mempunyai pelbagai keperluan hidup,seperti tempat tinggal,pakaian,makan minum,berkeluarga dan pelbagai lagi.Untuk mendapatkan semua itu,mereka yang jahil atau sebaliknya pasti berusaha untuk memenuhi segala keperluan tersebut.Dengan akal yang dikurniakan oleh Allah Taala,manusia mampu berfikir bagaiman hendak berteduh dari panas dan hujan,mencari makanan untuk mengatasi kelaparan, dan mencari pasangan hidup bagi memenuhi naluri kemanusiaannya.Manusia mampu bekerja keras untuk mencari wang dan harta kekayaan.
Disamping itu,manusia juga mampu memikirkan bagaimana hendak meningkatkan pengeluaran mereka, melipatgandakan hasil pertanian dan pelbagai lagi.Sebab itu kita dapati Rasullullah memberikan kebebesan kepada Umatnya menguruskan kehidupan bagaimana hendak meningkatkan kualiti bagi mencapai hasil yang lebih lumayan.Sebagaimana Sabda Nabi yang bermaksud: “Anda lebih tahu(bagaimana memperbaiki) urusan dunia anda.”(Sahih)
Saranan itu telah mendorong ke arah pembangunan Teknologi canggih dan sains, yang sentiasa menghasilkan penemuan baru dalam mempertingkatkan kehidupan manusia.Justeru,apa yang tidak dapat difikirkan oleh manusia adalah, bagaimana ia hendak menggunakan harta kekayaan atau membelanjakan wang ringgit untuk tujuan keredhaan Allah.Lantaran itu,Islam telah menggariskan dan menganjurkan beberapa jalan agar manusia dapat membelanjakannya.Antara jalan yang dianjurkan ialah,menginfaqkan(bersedekah) harta dan wang ringgit yang dimiliki ke jalan Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”(At-taubah:41)
Firman Allah lagi:
“…dan menafkahkan sebahagian rezki yang Kami anugerahkan kepada mereka.”
(Al-baqarah:3)
Nafkahkanlah
Dari kedua-dua ayat ini dengan jelas menghendaki agar sebahagian dari harta kekayaan yang Allah kurniakan itu dinafkahkan.Dinafkahkan untuk keperluan diri,keluarga,untuk kebajikan jiran-jiran dan kepada mereka yang memerlukan..
Oleh sebab itu,harta milik seseorang itu tidak mempunyai nilai di sisi Allah,kecuali setelah ianya dibelanjakan atau diinfaqkan ke arah yang diredhai-Nya.Sememangnya antara tujuan harta itu dikurnia oleh Allah adalah untuk menjadi alat bagi mencapai keredhaan-Nya.
Seseorang yang menginfaqkan hartannya untuk tujuan yang mulia,adalah suatu cara untuk mereka untuk mensyukuri nikmat Allah.Setiap kali mereka berbuat demikian,Allah akan menggantikannya dan menambah pula dengan yang lain,sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."(Ibrahim:7)
Allah Ta’ala menambahi nikmat kepada hamba-Nya sama ada dengan bertambahnya rezeki dunia atau nikmat kerana bertambahnya pahala, sehingga melayakkan seseorang itu mencapai keredhaan Allah dan mendapat Syurga di akhirat kelak.
Akhir kata,Infaqlah harta agar ia menjadi bekal di alam barzakh dan seterusnya menjadi penolong di akhirat kelak.Kerana hanya tiga sahaja bekalan yang bakal dibawa simati ke alam barzakh,iatu;doa anak yang soleh,ilmu yang dimanfaatkan dan harta yang disedekahkan.
WaAllahualam…..
No comments:
Post a Comment