TIDAK BOLEH MAKMUM MENDAHULUI IMAM
KETIKA SOLAT DENGAN SENGAJA
Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
http://www.yussamir.com
Solat berjamaah adalah lebih utama berbanding solat bersendirian.Allah telah menjanjikan pahala bagi mereka yang solat secara berjamaah sebanyak 27 kali ganda daripada solat bersendirian.[1]
Namun begitu, ada satu perkara perlu kita perhatikan,iaitu jangan mendahului Imam ketika solat (yang dimaksudkan mendahului di sini ialah Makmum melakukan perbuatan mengangkat takbir,ruku’,sujud, salam dan lain dalam solat lebih awal daripada Imam) Perbuatan ini dilarang di dalam Islam dan mendapat ancaman keras dari Nabi Muhammad SAW.Sepertimana yang diperkatakan Nabi SAW yang bermaksud:
“Apakah orang yang mengangkat kepalanya sebelum Imam tidak berasa takut,bahawa Allah akan mengubah kepalanya menjadi Keldai?”[2]
Muhammad Soleh Al-Munajid berkata:Tidak benar perbuatan sebahagian orang yang mencampur adukan antara perbuatan mendahului dan melambatkan dari mengikuti Imam.Ketahuilah bahawa para Fuqaha telah menjelaskan bahawa perbuatan yang terbaik dalam hal ini ialah:Para makmum sewajarnya bergerak ketika Imam selesai bertakbir.Misalnya begini,apabila Imam mengucapkan ALLAHU AKBAR ,selesainya sahaja huruf ‘R’ disebut maka para makmum barulah boleh bergerak.Dengan syarat tidak boleh mendahului atau terlambat,dengan melakukan cara sedemikian barulah masalah ini dapat diselesaikan.[3]
“Sesungguhnya mereka(para sahabat) solat di belakang Nabi,maka bila baginda selesai mengangkat kepalanya dari ruku’,saya tidak melihat seorang pun yang membungkukkan pungungnya sehingga Nabi meletakkan keningnya di tanah(tempat sujud),kemudian barulah sahabat di belakang baginda sujud”[4]
Dikhabarkan juga,ketika Nabi SAW telah tua dan pergerakkannya mula lambat,baginda menasihati dan mengingatkan orang-orang yang solat dibelakangnya dengan Sabda yang bermaksud:
“Hai Manusia(para sahabat),sesungguhnya aku sudah lanjut usia(tua),maka janganlah kamu sekalian mendahuluiku dalam ruku’ dan sujud”[5]
Kedua-dua hadis di atas yang menunjukkan larangan mendahului Imam telah menjadi sumber Hukum bagi para Fuqaha untuk melarang para Makmum mendahului imam.Para Makmum wajib menekankan tata-tertib ini dalam solat,agar solat kita sempurna dan dterima oleh Allah Ta’ala.
Sebenarnya perbuatan ini berlaku di sebabkan sikap Makmum yang tergesa-gesa dan tidak tenang. Sepatutnya,apabila seseorang menuju tempat solat haruslah tenang dan tidak tergesa-gesa.Bertenang-tenang itu dari Allah dan tergesa-gesa itu dari Syaitan. Hal ini bertepatan dengan Sabda Nabi yang bermaksud:
“Tenang dan berhati-hati adalah (nikmat) dari Allah,dan tergesa-gesa adalah dari Syaitan”[6]
InsyAllah,dengan adanya sikap tenang dan tidak tergesa-gesa, solat kita akan lebih sempurna dan lebih bermakna.Akhir kata,penulis berharap selepas ini kita lebih peka dan tertib dalam melakukan solat secara berjamaah.
WaAllahualam….
[1] .(Maksud hadith dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma, riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan).
[2] HR Muslim
[3] (Muhrimat Istihan Biha An-Nas Yajibu Hizru Minha-dengan sedikit suntingan bahasa,kerana komentar ini dijelaskan dalam bahasa arab)
[4] HR Muslim
[5] HR Al-Baihaqi.Dinilai Hassan dalam Irwa’ Al-Qhalil)
[6] HR Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra.Dinilai Sahih dalam As-Silsilah As-Sahihah
No comments:
Post a Comment