Oleh: Yussamir Yusof
N.Sembilan
11.39 malam/ 8 Ogos 2008
Suatu ketika dahulu, saya ‘berbincang’ hebat dengan beberapa orang lepasan Universiti Islam di timur tengah berkenaan dengan kenajisan bulu kucing. Isu yang ditimbulkan ialah, sah atau tidak solat yang didirikan jika ada bulu-bulu kucing yang terlekat di pakaian orang yang bersolat. Saya bertekad dan bertegas, bahawa solat masih sah walaupun ada helaian-helaian bulu kucing masih melekat di pakaian orang yang bersolat. Namun pandangan saya yang berdasarkan hadith yang sahih dan pandangan para ulama di tolak mentah-mentah.
Apa yang menghairankan saya, mereka menolak hadith yang dibawa dengan membawa fatwa Imam Syafie. Hujah mereka mudah, Imam Syafie atau lebih mudah untuk difahami iaitu mazhab Syafie mengatakan bahawa apa-apa yang putus dari binatang maka najis. Maka dalam isu ini, bulu kucing yang terlekat tersebut adalah najis, dan solat orang tersebut adalah tidak sah. Saya memohon dalil dari mereka, namun tidak dapat didatangkan dengan jelas dan tepat.
Saya katakan bahawa saya menghormati al-Imam Syafie r.a, dan saya sendiri bermazhab Syafie. Tetapi apabila sesuatu perkara ada dalil yang jelas diputuskan, maka apa sahaja pandangan harus ditolak. Saya berpandangan, bahawa Imam Syafie terlepas pandang atau tidak sampai kepadanya hadith tersebut. Tetapi malangnya, mereka menuduh saya sebagai seorang yang menolak para ulama’ seperti Mujtahid mutlak al-Imam Syafie.
Wahai saudaraku, Saidina Abu Bakr as-Siddiq seorang sahabat, dan insan yang dijanjikan masuk ke syurga juga pernah ada hadith yang beliau tidak riwayatkan, inikan pula al-Imam Syafie yang telah jauh zamannya dari Rasulullah. Peristiwa ini dengan jelas dicatatkan dalam perbincangan para fuqaha’ berkenaan dengan ketidaktahuan Saidina Abu Bakr tentang pembahagian harta 1/6 harta pusaka untuk nenek. Sehinggalah seorang sahabat lagi menjelaskan kepada beliau tentang hal ini, iaitu Muhammad bin Maslamah yang tahu tentang pembahagian ini daripada hadith yang diriwayatkannya.
Ibnu Taimiyah mengulas peristiwa ini dengan memuatkannya didalam Raf’ul malag ana a’imatul a’lam, “Kalaulah orang yang sehebat Saidina Abu Bakr ada hadith yang terlepas daripadanya, tidak mustahillah bagi orang alim yang lain ada hadith yang mereka tidak tahu.”
Hal ini langsung tidak menjatuhkan darjat Imam Syafie sebagai ulama besar malahan, ia adalah satu kelangsungan beliau sebagai seorang insan yang serba kekurangan, tidak seperti Nabi yang maksum. Perkara ini terjadi disebabkan masih ada hadith-hadith belum dijumpai dan proses pencarian hadith masih lagi dilakukan oleh para ulama. Zaman itu dikenali dengan zaman pengembaraan mencari hadith. Ketika zaman Imam Syafie,dan Imam Abu Hanifah kitab-kitab hadith seperti Sahih Bukhari, Muslim dan kitab-kitab sunan masih belum wujud.
Atas dasar inilah, seorang ulama besar iaitu Muhammad Hassan as-Syaibani ketika melihat Muwatta’ Imam Malik, beliau berkata, “Jikalau sahabatku Abu Hanifah dan Muhammad bin Yusuf melihat kitab Muwatta’ tentu mereka berdua menarik pandangan mereka sepertimana aku tarik.”
Khilaf katanya
Selepas tidak dapat membawakan dalil yang jelas dari Quran ataupun hadith, mereka mengatakan bahawa perkara ini adalah khilaf. Kata mereka, sesuatu yang khilaf boleh diambil mana yang disukai atau diguna-pakai. Kalau begitu kata saya, daging anjing pun boleh dimakan? Kerana daging anjing ini juga khilaf, dalam mazhab Imam Malik, memakan daging anjing dibenarkan. Selepas ini jika ada orang memakan satay anjing ataupun burger anjing, maka kita tidak boleh melarang, kerana ini adalah khilaf. Adakah perkara ini boleh diterima? Hanya atas dasar khilaf?
Mendepani perkara ini, saya suka menukilkan kata-kata dari Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam Kaifa Nata’malu ma’ as-Sunnah Nabawiah. Kata beliau, “Memastikan kedudukan nas-nas hadith yang bertentangan(antara yang menyebabkan berlakunya khilaf) dengan nas yang lebih kuat daripadanya sama ada dengan nas al-Quran ataupun hadith-hadith lain. Caranya ialah, dengan mengemukan sebanyak mungkin dalil as-Sunnah atau mentsabitkan ia dengan lebih sahih atau lebih menepati al-Usul dan lebih sesuai dengan hikmah(tujuan) tasyri’ atau lebih menepati objektif syariat yang umum dan menyeluruh.”
Melalui kaedah yang dibawa oleh al-Imam Yusuf al-Qardhawi, dapatlah kita fahami bahawa apabila berlakunya khilaf kita perlu kembali kepada dalil yang jelas dan lebih mendekati kepada kebenaran. Lebih-lebih lagi isu bulu kucing ini, mengambil pandangan yang membenarkan dan mensahkan solat adalah sesuatu yang lebih dekat kepada kebenaran dan lebih jelas kerana disokong oleh sebuah hadith yang sahih.
“Diriwayatkan dari Abu Qatadah, di mana RasuluLlah s.a.w bersabda, ” Kucing itu tidak najis, ia termasuk haiwan yang berkeliling dalam lingkunganmu.” (HR yang berlima. Kata Tirmudzi:hadith ini hasan lagi sahih. Juga dinyatakan sahih oleh al-Bukhari)
Masakan sesuatu binatang yang sentiasa berada disekeliling kita, kita dapat mengelak dari terkena dengan putusan-putusan bulunya. Dengan jelas hadith ini memberitahu bahawa kucing itu tidak najis. Bagi mengelakkan salah faham, perlu dijelaskan bahawa najis dan haram adalah dua perkara yang berbeza. Kucing tidak najis tetapi haram untuk dimakan.
Tambahan lagi, menurut Prof Dr Wahbah Zuhaily didalam kitabnya yang terkenal al-Fiqh al-Islami wa adillatuh beliau berkata, “bahawa terdapat pandangan yang menyebut bahawa jika bulu tersebut tidak lebih dari dua, maka ia dimaafkan. Namun demikian, jumhur ulama berpendapat bahawa bulu kucing tidak najis, malah jika ia jatuh kedalam air sekalipun, maka air tersebut masih boleh diminum, sebagaimana Rasulullah melakukan wudhuk pada takungan air yang telah diminum oleh kucing, dan A'isyah juga makan makanan yang telah diusik oleh kucing.Kesemua ini menjadi dalil kesucian kucing.
Ketidaknajisan bulu kucing disokong lagi dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Fatwa tersebut boleh dibaca di link ini: JAKIM
*cara untuk membaca fatwa tersebut:
1-tekan link tersebut.
2- masuk ke bahagian taharah.
3- tekan ctrl+f
4- isikan di ruangan find tersebut dengan 'bulu kucing'
5- anda akan dapat membaca fatwa tersebut.
6- selamat beramal..
Dahulukan Quran dan Sunnah
Direkodkan bahawa Nabi s.a.w berkata, “Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas daripadaku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku, dan Sunnah para Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah kamu dengannya dan gigitlah ianya dengan garham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap yang diada-adakan itu bida’ah dan setiap bida’ah itu sesat.” (HR Abu Daud, dan Tirmidzi mengatakannya hadith ini hassan sahih, Ibnu Majah, al-Darimi. Al-Hakim dalam al-Mustadraknya mengatakan hadith ini sahih)
Kita sama-sama mengetahui bahawa sesuatu perkara yang diputuskan dalam Islam haruslah diambil dari Quran dan Sunnah. Apa sahaja datangnya dari Quran dan Sunnah kita tidak boleh membantah mahupun menolak, kita hanya diajar untuk berkata “kami dengar dan kami taat.” Walaupun sesuatu pandangan itu datangnya dari Ulama besar atau dari kitab Muktabar, tetapi jika ada pandangan yang lebih kuat berdasarkan Quran dan Sunnah yang sahih, maka pandangan itulah yang harus diikuti.
Perkara ini juga diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 1, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Justeru itu, al-Imam Sayuti ada menyebut dalam kitabnya Miftah al-Jannah fi Ihtijaj bi al-Sunnah, “ketahuilah, semoga Allah merahmati kamu. Barangsiapa yang membantah hadith Nabi s.a.w, sama ada perkataan ataupun perbuatan baginda dengan syarat-syaratnya yang diketahui dalam ilmu Usul, sebagai hujah maka dia telah menjadi kafir. Dia terkeluar dari daerah Islam dan dihimpunkan bersama Yahudi dan Kristian atau bersama sesiapa yang Allah mahu daripada puak-puak kafir.”
WaAllahualam...
something that good to know.
ReplyDeletethanks yus..
(sebab kat rumah memang bela kucing, hehe~)
My pleasure..
ReplyDeleteDulu ada kucing kat rumah,skang dah takde...
Ada mmber beritahu, ada satu hadith yang lagi best tentang isu ini, dan akan menguatkan lagi hujah. Tapi saya belum berjumpa lagi dengan hadith tersebut, nanti saya usahakan..
Salam.. persoalan ni sgt menarik. Tapi sy nak tanye satu lg persoalan juga mengenai kucing. Anak kucing yg menyusu seekor anjing betina. Apakah hukum yang jatuh keatas kucing2 itu dan zuriat mereka nanti?
ReplyDelete