Wednesday, August 6, 2008

Standard-lah


Oleh:Yussamir Yusof
Negeri Sembilan
1.10 pagi



“Wah! Janji jam 4, tapi datang jam 3.30. Hebat.” Puji Rizal kepada Ijam sambil menunjukkan tanda bagas kepadanya. Ijam hanya tersengih, kemudian menyalami Rizal.

“Ala, standard-lah.” Ijam bersuara.

Biasa tak kita dengar dialog sebegini? Tak biasa?


Owh, yang biasa kita dengar ialah begini:

“Janji datang jam 4, tapi jam 5 baru kau muncul. Buang masa aku betullah kau ini!” Marah Rizal pada Ijam. Ijam hanya tersengih, kemudian menyalami Rizal.

“Ala, standard-lah.” Ijam bersuara.


Budaya standard-lah ini semakin lama semakin berleluasa di kalangan remaja kita. Budaya lewat tidak menepati masa merupakan gejala yang boleh mendatangkan impak negatif kepada produktiviti, selain memberi gambaran buruk kepada remaja.

Islam memandang berat isu masa ini, sehinggakan Allah meletakkan sebuah surah di dalam Quran dengan nama ‘Demi Masa’. Kata Allah, “Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.” (Al-Asr : 1-3)


Budaya standard-lah yang tidak menetapi masa, haruslah ditukar kepada budaya standard-lah yang menepati masa. Seharusnya definisi standard-lah yang kita gunakan dan fahami sekarang ini harus didefinisikan dengan definisi yang positif. Bila sahaja kita datang menepati masa, dan orang bertanya mengapa kita menepati masa. Maka jawapan yang harus keluar ialah, “standard-lah.”

Selain daripada itu, gelaja tidak menepati masa ini juga menggambarkan betapa kita tidak pandai menggunakan dan mengurus masa. Perkara ini berbeza dengan generasi para sahabat. Sejarah menceritakan bahawa mereka sangat menghargai masa, mereka tidak suka melewatkan masa, atau menangguhkan masa.


Keunggulan mereka menggunakan masa-masa mereka tergambar melalui ucapan ibnu mas’ud yang bermaksud, “Belum pernah saya menyesal, melainkan penyesalan saya di setiap hari apabila terbenamnya matahari. Semakin singkat umur saya ini, sedangkan saya takut jika amalam saya tidak bertambah”.

Setiap jam, setiap saat, dan setiap detik masa akan terus berlalu tanpa menoleh ke belakang. Sebagai remaja, menepati masa (menggunakan dan mengurus masa) adalah sesuatu yang dituntut agar menjadi insan yang cemerlang, sama ada di dunia dan di akhirat. Seorang penyair arab ada menyebutkan perihal masa melalui syairnya.

Kata beliau:

Kanak-kanak kian dewasa,

Orang tua akan ke pusara,

Pertukaran masa ke semasa,

Pagi bertukar malam dan seterusnya.

Malam mengensot tua,

Siang pula datang menjelma,

Setiap yang muda menjadi tua,

Akhirnya semua ke pusara juga.


Ingatlah masa akan terus berkisar. Malam silih berganti siang. Sepanjang masa dan waktu yang tersisa, seorang remaja Islam tidak harus membazir masa, tidak menepati masa, dan menangguhkan masa. Kerana setiap masa harus menjadi ibadah dan wadah untuk kita terus berfikir.

Kerana peredaran masa yang kita lalui ini ialah bahan kajian yang telah Allah sediakan. Hanya mereka yang berfikir akan merasainya.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang adalah merupakan bahan-bahan kajian bagi orang-orang yang berfikir.”

(surah al-Imran:190)

No comments:

Post a Comment