Saturday, August 16, 2008

Solat Sunat Gerhana Sunnah yang dilupakan




Oleh: Yussamir Yusof

Cyberjaya
16 Ogos 2008
www.yussamir.com




“Lihat!” Tunjuk Kassim kepada Razali ke arah langit. Kelihatan Gerhana Bulan di atas sana. Mereka berdua terkesima melihat kejadian tersebut.

“Mungkin sekarang ini ada orang yang meninggal atau ada kelahiran baru malam ini.” Razali bersuara, kepalanya masih mendongak ke arah langit.

Perbualan mereka malam itu didengari Salman yang sejak dari tadi memerhati gelagat dua orang sahabatnya itu. Salman menggelengkan kepala, seakan tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Razali tadi.

“Gerhana Bulan dan Matahari terjadi bukan disebabkan ada kematian atau kelahiran baru di dunia ini. Tetapi itu hanyalah sebuah tanda kekuasaan Allah yang diperlihatkan kepada hamba-hambanya.”


Mungkin dialog sebegini yang terjadi ketika hadith yang akan dinyatakan selepas ini dirakamkan. Peristiwa gerhana ini ada dirakamkan dalam sebuah hadith dari A’isyah dalam Sahih Bukhari, di mana ada segolongan manusia mengatakan bahawa kejadian gerhana ini disebabkan kematian Ibrahim Bin Muhammad s.a.w iaitu anak Rasulullah. Kemudian Rasulullah membantah kenyataan mereka.


“Dari hadits Abu Mas’ud Al Anshari berkata, “Terjadi gerhana matahari pada hari meninggalnya Ibrahim Bin Muhammad s.a.w, maka manusia mengatakan, "Terjadi gerhana matahari karana kematian Ibrahim". Maka Rasulullah Sholallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah, keduanya tidak disebabkan gerhana karana kematian atau kehidupan seseorang, jika kalian melihat yang demikian itu, maka bersegeralah untuk ingat kepada Allah dang mengerjakan Solat"[1]

Sebahagian ulama berpendapat bahawa gerhana yang berlaku semasa hadith ini dirakamkan adalah solat sunat gerhana pertama yang dilakukan oleh Rasulullah.



Bagaimana Gerhana boleh berlaku?


Gerhana berlaku kerana sifat pergerakan orbit bulan, bumi dan matahari yang memungkinkannya berlaku. Secara mudah, gerhana matahari terjadi kerana bulan melindungi cahaya matahari daripada sampai ke bumi. Gerhana bulan pula terjadi kerana bulan memasuki kawasan bayang-bayang bumi. Mengikut pergerakan dalam sistem bumi-bulan mengelilingi matahari, sebahagian daripada jasad bulan dan bumi yang disinari cahaya matahari akan mewujudkan zon bayangan masing-masing. Setiap kali berlaku oposisi (istiqbal) ketika bulan purnama, bulan akan berada pada arah yang sama dengan zon bayangan bumi.

Tetapi disebabkan satah bulan-bumi berbeza sebanyak lima darjah dengan satah ekliptik matahari, zon bayangan bumi ini tidak sentiasa bertepatan dengan kedudukan bulan. Sebaliknya bulan akan berada di sebelah atas atau bawah dari zon bayangan bumi. Apabila orbit bulan ketika oposisi berada hampir atau memasuki zon bayangan ini, gerhana bulan terjadi. Jenis gerhana bulan bergantung kepada kedudukan bulan berbanding kawasan bayangan bumi, sama ada daripada jenis gerhana bulan penuh, gerhana bulan separa atau gerhana warna saja.

Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia yang bertarikh 7 Ogos 2008, bahawa pada 17 Ogos 2008 bersamaan dengan hari Ahad ini, dikhabarkan bahawa akan berlaku gerhana bulan.


Di bawah ini petikan dari laman web kementerian tersebut:

KUALA LUMPUR, Aug 7 -- Astronomy enthusiasts in Malaysia will have the opportunity to witness a partial lunar eclipse on Aug 17. According to the National Space Agency (Angkasa) in a statement here, people in the peninsular could see the eclipse from 2.25am to 6.44am while those in Sabah and Sarawak from 2.25am to 5.10am.

The phenomenon could also be seen live at Angkasa's website, www.angkasa.gov.my/planetarium.

In conjunction with the eclipse, Angkasa would host a special programme at the National Planetarium from Aug 12 to 17.

Among the activities were a drawing contest, quiz and lecture.



Apakah pandangan Islam mengenai kejadian ini?

Islam melihat kejadian ini sebagai satu tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah yang diperlihatkan kepada manusia. Para ulama bersepakat bahawa disunatkan untuk mendirikan solat sunat yang dinamakan solat sunat Khusuf ataupun dengan nama lain solat sunat Gerhana.



Menurut Syeikh Muhammad bin Umar bin Salim Bazmul , Solat Gerhana Bulan merupakan sunnat mua'kkad. Disunatkan bagi orang muslim untuk mengerjakannya. Perkara ini disandarkan melalui sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam sahihnya yang bermaksud:

“Dari Aisyah dia bercerita bahwa pada zaman Rasulullah terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengerjakan solat bersama orang ramai. Maka baginda berdiri dan memanjangkan waktu berdiri, lalu beliau ruku’ dan memanjangkannya. Kemudian beliau berdiri dan memanjangkannya (berdiri yang kedua ini tidak selama berdiri pertama). Setelah itu, beliau ruku’ dan memanjangkan ruku’, ruku’nya pada kali ini lebih pendek dari ruku’ pertama. Seterusnya, baginda sujud dan memanjangkannya. Kemudian baginda mengerjakan pada rakaat kedua seperti apa yang baginda lakukan pada rakaat pertama. Setelah itu, baginda balik ketika matahari telah muncul. Lalu baginda memberikan khutbah kepada orang ramai. Baginda memanjatkan pujian dan sanjungan kepada Allah. Dan setelah itu, baginda bersabda:

"Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua (tanda) dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana karana kematian seseorang dan tidak juga karana kehidupan seseorang. Oleh karana itu, jika kalian melihat hal tersebut maka hendaklah kalian berdo'a kepada Allah, bertakbir, solat dan bersedekah". Setelah itu, beliau bersabda : "Wahai umat Muhammad, demi Allah, tidak ada seorang yang lebih cemburu dari Allah jika hambaNya, laki-laki atau perempuan berzina. Wahai umat Muhammad, seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, niscaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis"



Hikmah dan sebab Gerhana

Terdapat beberapa sebab dan hikmah mengapa Allah menciptakan kejadian ini. Antaranya yang dijelaskan oleh para Ulama ialah, Allah mahu menakut-nakutkan hambanya dan membuktikan bahawa Bulan dan Matahari tidak lebih dari kekuasaan-Nya. Abu Musa ada menyebut bahawa tanda-tanda ini ialah disebabkan Allah mahu menakutkan para hamba-Nya. Kata beliau, "Tanda-tanda yang Allah kirimkan ini bukanlah karena kematian atau kehidupan seseorang, tetapi Allah sedang manakut-nakutkan hamba-hamba-Nya dengannya, maka jika kalian melihat sesuatu yang demikian itu, bersegeralah untuk mengingat Allah, berdo’a dan meminta ampun kepada-Nya"[2].


Selain daripada menakutkan para hamba-Nya, menurut Imam Ibrahim al-Baijuri, antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluk yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah. Jika kedua-duanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka, nescaya akan menjaga dirinya daripada kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika?



Tata-cara solat Sunat Gerhana:

1. Tidak ada Azan atau Iqomat.

Hujahnya: Para ulama telah bersepakat untuk tidak mengumandangkan azan dan iqomah bagi solat gerhana[3]. Apa yang disunnahkan[4] ialah dengan bersuara kuat menyeru dengan seruan " Ash-Shalaatu Jaami'ah". Yang menjadi dalil bagi hal tersebut adalah apa yang ditegaskan dari Abdullah bin Amr ,dia berkata : "Ketika terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullahs.a.w diserukan : Innash Shalaata Jaami'ah" Diriwayatkan oleh Asy-Syaikhani.[5]


2. Jumlah Rakaat adalah dua.

Solat sunat ini dilakukan sebanyak dua rakaat. Ada dua kali sujud dan dua kali ruku’ pada setiap rakaat. Jadinya ada empat sujud dan empat ruku’ bagi solat sunar gerhana dua rakaat ini.

Cara: Semasa rakaat pertama selepas selesai membaca surah al-fatihah dan apa-apa surah dari Quran berdiri lama kejap sebelum ruku, kemudian barulah ruku. Bacaan semasa ruku macam biasa, semasa ruku ini juga perlu ruku dengan lama. Kemudian berdiri semula, dan baca al-Fatihah lagi dan apa-apa surah dari Quran (yang sunnahnya jika pada berdiri pertama itu membaca surah yang panjang, dan berdiri yang kedua itu dibaca surah yang pendek sedikit dari yang pertama).Berdiri yang kedua ini tidak lama seperti berdirinya yang pertama, kemudian ruku, dan ruku ini juga tidak lama seperti lamanya ruku pertama tadi. Bacaan tetap seperti biasa yang dibaca semasa solat fardhu.

Kemudian sujud seperti biasa iaitu dua kali sujud, cumanya disunnahkan memanjangkan sujud pertama dari sujud kedua. Setelah sujud, kemudian naik seperti mana rakaat pertama. Dan ulang kembali sepertimana yang dilakukan semasa rakaat pertama. Sehingga selesai solat sunat Gerhana.


Dalilnya:

Hadith dari Ibnu Abbas, dia berkata:

"Pernah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka baginda pun berdiri dengan waktu yang panjang sepanjang bacaan surah Al-Baqarah. Kemudian beliau ruku dengan ruku yang cukup panjang, lalu beliau bangkit dan berdiri dalam waktu yang lama juga (tetapi lebih pendek dari berdiri pertama). Kemudian beliau ruku dengan ruku yang lama (ruku yang lebih pendek dari ruku pertama).

Setelah itu, beliau sujud. Kemudian beliau berdiri dalam waktu yang lama (tetapi lebih pendek dari berdiri pertama). Seterusnya, beliau ruku dengan ruku yang lama ( ruku yang lebih pendek dari ruku pertama). Setelah itu, beliau sujud. Kemudian beliau berpusing, sedang matahari telah muncul. Maka beliau bersabda. "Artinya : Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana karena kematian seseorang dan tidak juga karena kehidupan seseorang. Oleh karena itu, jika kalian melihat hal tersebut, maka berdzikirlah kepada Allah"

Para sahabat bertanya : "Wahai Rasulullah, kami melihatmu mengambil sesuatu di tempat berdirimu, kemudian kami melihatmu mundur ke belakang". Beliau bersabda. "Artinya : Sesungguhnya aku melihat Syurga, maka aku berusaha mengambil setandan (buah-buahan). Seandainya aku berhasil meraihnya, niscaya kalian akan dapat memakannya selama dunia ini masih ada. Dan aku juga melihat Neraka, aku sama sekali tidak pernah melihat pemandangan yang lebih menyeramkan dari pemandangan hari ini. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita".

Para sahabat bertanya, "Karana apa, wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Karena kekufuran mereka". Ada yang bertanya "Apakah mereka kufur kepada Allah?". Beliau menjawab. "Ertinya : Mereka kufur kepada keluarganya (suaminya), dan kufur terhadap kebaikan (tidak berterima kasih). Seandainya engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka sepanjang waktu, lalu dia melihat sesuatu (kesalahan) darimu, niscaya dia akan mengatakan : "Aku tidak pernah melihat kebaikan sedikitpun darimu"[6]


3. Mengeraskan suara semasa solat sunat Gerhana.

Dalilnya: Dari Aisyah ra: Nabi s.a.w menjaharkan(mengeraskan) bacaannya dalam solat Gerhana. Jika selesai dari bacaannya, beliau pun bertakbir dan ruku. Dan jika dia bangkit ruku, maka beliau berucap : "Sami Allaahu liman Hamidah. Rabbana lakal hamdu". Kemudian beliau kembali mengulang bacaan dalam solat gerhana. Empat ruku dalam dua rakaat dan empat sujud." [7]


4. Solat Sunat Gerhana ini dilakukan secara Jamaah di Masjid

Dalilnya: sebuah riwayat hadith dari Aisyah, dia berkata, "Pada masa hidup Rasulullah pernah terjadi gerhana matahari, lalu beliau pergi ke masjid, kemudian beliau berdiri dan bertakbir, dan
orang-orang pun membuat barisan di belakang beliau.[8]



Berita terkini: Saya dan beberapa rakan yang menunggu di Surau tidak dapat melihat gerhana bulan, dan kami membuat keputusan untuk tidak menunggu selepas tazkirah dan penerangan tentang Solat Sunat Gerhana disampaikan. Walaubagaimanapun, jam 5.50 pagi tadi sahabat saya di UIA sms, mengatakan mereka baharu sahaja selesai menunaikan solat Khusuf di Masjid UIA. Rezeki mereka kerana mereka bersama Syeikh yang mahir dalam menentukan dan memastikan gerhana berbanding kami di MMU. Khabarnya juga, mereka di sana diimamkan oleh Syeikh Ibrahim yang akan membaca penuh Surah al-Baqarah dan al-Imran dalam solat sunat tersebut.

Lagi terkini: Saya sempat solat Khusuf di masjid selepas solat subuh berjamaah tadi. Terima kasih Allah sebab memberi kesempatan untuk saya merasai solat sunat ini, yang jarang sekali dapat didirikan..




[1] Dikeluarkan oleh al-Bukhari ( Nombor 1041, 1057, 3204) dan Muslim (Nombor 911)

[2] Dikeluarkan oleh al-Bukhari (1059) [2/704] Al Kusuf 14; dan Muslim (912)

[3] Fathul Baari (II/533) dan Masuu'atul Ijmaa (I/696)

[4] Syarhul Umdah, karya Ibnu Daqiqil Ied (II/135-136). Dan juga kitab Fathul Baari (II/533).

[5] Hadits shahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, yang diantaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab An-Nidaa bish Shalaati Jaami'ah fil Kusuuf (hadits no. 1045). Dan lafazh di atas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Dzikrun Nidaa bi Shalaatil Kusuuf : Ash-Shalaatu Jaami'ah, (hadits no. 910). Lihat Jaami'ul Ushuul (VI/178)

[6] Hadits shahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, yang diantaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Shalaatil Kusuuf Jama'atan, (hadits no. 1052), dan lafazh di atas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Maa 'Aradha Alan Nabi صلی الله عليه وسلم fii Shalaatil Kusuuf min Amril Jannah wan Naar, (hadits no. 907). Dan lihat kitab. Jaami'ul Ushuul (VI/173).

[7] Hadits shahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, di antaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Al-Jahr bil Qiraa'ah fil Kusuuf, (hadits no. 1065) dan lafazh diatas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Shalaatul Kusuuf, (hadits no. 901). Lihat Jaami'ul Ushuul (VI/156). Takhrij hadits ini telah diberikan sebelumnya, tanpa memberi isyarat kepada riwayat ini.

[8] Al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya : Bab : Shalatul Kusuuf fil Masjid. Di dalamnya dsiebutkan hadits Aisyah رضي الله عنها di atas dengan riwayat yang didalamnya terdapat ucapannya : "Kemudian pada suatu pagi Rasulullah صلی الله عليه وسلم menaiki kendaraan, lalu terjadilah gerhana matahari. Kemudian beliau pulang kembali pada waktu Dhuha, maka beliau pun berjalan di antara rumah-rumah isteri beliau . (hadits no. 1056).

No comments:

Post a Comment