Thursday, August 21, 2008

Yang hak itu adalah hak


Oleh: Yussamir Yusof

Cyberjaya
21 Ogos 2008/alQuds day

www.yussamir.com



Kebangkitan Mahasiswa UITM dalam mempertahankan hak mereka dalam satu demonstrasi baru-baru ini seharusnya dipandang dengan adil oleh semua pihak. Kebebasan bersuara harus dijadikan sebagai satu amalam Demokrasi tulin bagi membentuk sebuah negara yang mantap dalam memperjuangkan keadilan secara saksama.


Dalam menangani isu yang berkaitan dengan tindakan Mahasiswa yang dirasakan tidak kena dengan selera pentadbiran terutama pihak kerajaan, pihak Universiti harus menyediakan sebuah platform untuk Mahasiwa menjelaskan dan mempertahankan tindakan mereka, bukan mengenakan tindakan dengan terburu-buru.


Menyentuh isu ini, saya berasa tindakan displin yang akan dikenakan kepada Mahasiswa UITM yang berdemonstrasi sepertimana yang diarahkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron adalah sesuatu yang tidak wajar. Tindakan terburu-buru sebegini sebenarnya mendatangkan kemudaratan yang lebih besar berbanding kebaikan.


Berhimpun dan berdemonstrasi secara aman sebenarnya menepati piawaian Antarabangsa, berdasarkan kepada Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat[1] ataupun dikenali dengan nama singkatannya UHDR di bawah artikel 20, dinyatakan bahawa, “Hak untuk kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan adalah dibenarkan.


Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) telah diisytihar dan diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada 10 Disember 1948. Ianya berasaskan empat tunggak - kebebasan daripada ketakutan dan kemahuan dan kebebasan bersuara dan kepercayaan. Ia menyenaraikan pelbagai hak asasi manusia, daripada hak sivil dan politik sehinggalah hak ekonomi, social dan kebudayaan.


Dengan erti kata yang lain, mengenakan tindakan displin kepada Mahasiswa yang berhimpun secara aman tersebut melanggari Hak Asasi Manusia yang telah dipersetujui oleh PBB mahupun perlembagaan Malaysia yang memperuntukan kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan sepertimana yang tercatat dalam perlembagaaan perseketuan di bawah artikel 10[2].




Sehubungan itu, Akta Hasutan dan Akta Kolej dan Universiti (AUKU), terutama seksyen 15 yang menjadi penghalang kepada kebebasan suara seharusnya dirombak kembali dan memberi kebebesan yang sewajarnya kepada Mahasiswa terutama dalam memperjuangkan hak-hak mereka.


Mana mungkin kempen memperkasakan Mahasiswa dapat dilaksanakan, jika kita mengongkong keadilan dan memenjarakan pemikiran Mahasiswa di bawah Akta yang sudah tidak releven. Tema yang digunakan oleh surat khabar Berita Harian iaitu “Dunia sudah maju, zaman sudah berubah” , seharusnya dijadikan peringatan kepada semua lapisan masyarakat, terutama pihak kerajaan yang mengenakan Akta AUKU terhadap Mahasiswa selama ini; sejak 1971.


Kembali kepada isu Demonstrasi yang diadakan oleh Mahasiswa UITM, ia hanyalah satu tindakan mempertahankan hak yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Bukan takut untuk bersaing atau resah tempat tidak ada bagi bumiputera di UITM, tetapi mempertahankan hak yang sepatutnya tidak perlu lagi dipersoalkan. Isu ini langsung tidak mengaitkan isu perkauman yang difikirkan oleh yang tidak mengetahui. Hak tersebut dengan jelas telah dinyatakan dalam objektif penubuhan MARA itu sendiri.


Objektif MARA: Menggalak, membimbing, melatih dan membantu Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai dengan aktif dalam kegiatan perdagangan dan perusahaan ke arah membentuk masyarakat usahawan Bumiputera yang berdaya tahan, profesional dan kukuh[3].


Jelasnya, MARA ditubuhkan untuk Bumiputera, dan sepatutnya isu untuk membuka UITM kepada bukan Bumiputera tidak perlu dibangkitkan, kerana ia mencanggahi objektif MARA. Cadangan-cadangan yang membelakangkan perjanjian yang telah dibuat dalam perlimen sejak dulu lagi dan dipersetujui oleh semua pemimpin yang terdiri daripada pelbagai kaum, seharusnya dilihat sebagai satu tindakan yang berbahaya kepada keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia.


Akhir kata, sebagai Mahasiswa dan pemimpin pelajar, saya melihat tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka adalah tidak adil dan tidak wajar, dan langkah membuka UITM kepada bukan Bumiputera adalah sebuah tindakan gila dan tidak masuk akal sepertimana yang diperkatakan oleh Professor diraja Ungku Aziz.







[1] (http://www.suhakam.org.my/bm/hakasasi_apa_itu.asp)

[2] (http://www.suhakam.org.my/bm/akta_persekutuan.asp).

[3] (http://www.mara.gov.my/mkorporat.htm)

1 comment:

  1. thanxla atas pendapat sdr k..puasla sy nak cube bagi faham kat majority penforum kat iluvislam tu..

    tapi nampaknya ramai yg bersetuju ngan cadangan mb tersebut malah mcdangangkan percentage tersebut sepatutnya dinaikkan lagi :)

    ReplyDelete