Wednesday, December 31, 2008

SEHARI DI MELAKA SUBURNYA SUNNAH

Semasa mendengar kuliah hadith yang disampaikan oleh Ustaz Azdlan berkenaan dengan ‘Rehlah fi tolabal Ilm’ oleh para ulama hadith, saya menjadikan kisah-kisah tersebut sebagai ubat peransang untuk terus ghairah berkelana mencari ilmu hingga ke Melaka bersama sahabat. Walaupun tidak sehebat kelana yang dilakukan oleh para ulama hadith seperti Imam Bukhari dan ulama-ulama hadith yang lain, tetapi sedikit sebanyak saya merasakan tradisi keilmuan mereka. Perasaan dan suasana mencari ilmu di luar kerangka tempat kediaman kita amat berlainan sekali rasanya. Ia sebuah perasaan yang sukar untuk diceritakan dan digambarkan.


MUDAH KE SYURGA
Alhamdulilah pada minggu lepas saya berkesempatan untuk ke sebuah tempat yang tak kurang hebatnya, di mana tokoh-tokoh perjuang Sunnah masih dan berpeluang menyampaikan kuliah-kuliah hadith di sana, iaitu Melaka. Kunjungan kami ke sana, atas tujuan untuk menghadiri Konvensyen Sunnah yang keempat anjuran Institut Ibnu Hajar di Universiti Kuala Lumpur. Malam sebelum program berlangsung, saya dan tiga orang lagi sahabat bermalam di Darul Hadith. Sebuah pusat perkembangan dakwah Sunnah di Melaka. Dahulu tempat ini subur dengan pengajian-pengajian agama terutamanya pengajian Hadith. Namun, kini ia tidak semeriah dan serancak seperti dahulu. Entah di mana silapnya, saya pun tidak pasti.

“Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (Muslim)


Konvensyen kali ini lebih meriah dan ramai pengunjungnya. Saya membantu komiti program ini sebagai urusetia secara tidak rasmi . Dengan sebuah tajuk pada hemat saya sangat bermanfaat iaitu, “Ahlu Sunnah Wal Jamaah : Hubungan Sesama Mereka dan Hubungan Dengan Masyarakat.” Konvensyen dimulakan dengan ucaptama dari setiap negeri di Malaysia dan dua buah negara iaitu Indonesia yang mewakili Persatuan Muhamadiyah, dan Singapura juga dari Muhamadiyah. Rata-ratanya banyak menyentuh tentang perkembangan dakwah Sunnah di tempat mereka, termasuk juga beberapa rintangan dan masalah yang dihadapi.

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan petang dengan mengharap keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini. Janganlah kamu mengikut orang yang hatinya telah kami lalaikan daripada mengingati kami serta menurut hawa nafsunya dan keadaan mereka itu sudah melampaui batas. Katakanlah: Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman dan barang siapa yang ingin (kufur) biarlah dia tetap dalam keadaan kufur." (Surah al-Kahfi, ayat 28-29)



AKIDAH ASAS KEIMANAN
Pembentang kertas kerja pada Konvensyen kali ini adalah Ustaz Fathul Bari (BA Hons. Hadith & Pengajian Islam, Madinah, dan MA Usuluddin (Hadith), Jordan). Banyak perkara yang disentuh beliau berkenaan dengan tajuk yang dibawa iaitu ASWJ: Hubungan Sesama Mereka dan Hubungan Dengan Masyarakat. Namun saya tidak berniat untuk menulis kembali untaian-untaian yang diucapkan oleh beliau di dalam artikel kali ini.

Cumanya saya mahu menyentuh sebuah perkara yang sangat diambil berat oleh beliau, iaitu AKIDAH. Kata beliau, pembentukan mukmin bukanlah bermula dengan membetulkan cara ibadah, tetapi ia bermula dengan pemahaman akidah yang sebenar. Tanpa akidah yang sahih, mana mungkin seseorang itu akan betul dan benar cara pengibatannya kepada Allah. Itu sebab, ketika Rasulullah menghantar Mu’az ke Yaman, baginda menyuruh beliau agar perkara utama yang perlu dilakukan ialah menyeru kepada tauhid kepada Ahlu Kitab, (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.6937).

Peranan Aqidah dalam kehidupan manusia sangatlah penting, dengan aqidahlah manusia akan terbimbing dan dipandu oleh pertunjuk ilahi. Tujuan Aqidah ialah supaya hamba mengenal dan mengetahui akan perihal pencipta dengan cara yang benar dan mengesakan-Nya dengan kaedah yang betul. Bahkan selama 13 tahun dakwah Rasulullah s.a.w di Makkah hanya menekankan aspek aqidah, tauhid dan akhlak semata-mata untuk melahirkan generasi rabbani yang terdidik dengan aqidah suci (lihat Sofiurahman Mubarakfuri, dalam Rahiq Mahktum’m/s 72).

Tiada lagi jalan lain untuk memahami akidah melainkan berpandukan kepada Al-Quran dan hadith yang sahih. Oleh yang demikian para ulama’ bersepakat mengatakan sumber Aqidah Islam ialah Al-Quran dan Sunnah sahihah semata-mata dan diberhentikan setakat itu tanpa memperpanjangkan sesuatu hal yang tiada dalil. Kerana itu ia dinamakan perkara tauqifiyah iaitu berasal dari perkataan “tauqif” dari “ waqaf” yang bermaksud berhenti (lihat dalam lisanul Arab m/s 380 Jilid 9). Dengan itu, setiap perkara yang tidak disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah maka ianya tidaklah menjadi rujukan dan sumber kepada Aqidah bahkan ditolak sebagai hujah dan menjadi dasar atau prinsip dalam ilmu aqidah (Ustaz Emran)


AYAHANDA DR ABDULLAH YASSIN
Antara panel forum petang itu, dan semestinya saya menungu-nunggu untuk mengambil mutiara ilmu daripada beliau. Kesederhanaan dan ketinggian ilmu beliau terserlah apabila beliau menjelaskan bahawa perbezaan manhaj yang terjadi dikalangan Salaf dan Khalaf seharusnya tidak menjadi halangan untuk umat Islam dari kelompok Ahlu Sunnah Wal Jamaah untuk bersatu dan berada pada titik persamaan.

Dengan menyebutkan sebuah hadith yang sahih tentang perbezaan pemahaman yang berlaku antara Ai’syah dan Ibnu Abbas tentang sama ada Rasulullah melihat Allah atau tidak, beliau menghubung-kaitkan dimana perbezaan tersebut (yang bersangkut paut dengan akidah) masih lagi menjadikan kedua-dua sahabat Rasulullah itu berada dalam sebuah perhubungan yang harmoni. Masing-masing menghormati perbezaan itu, selagi ia di dalam kerangka Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Selain daripada itu, beliau juga menasihati para shabab (remaja/Mahasiswa) dan para pendokong Sunnah tidak terlalu keras dalam hal-hal yang bersangkut-paut dengan perkara khilaf. Selain menempelak mereka yang menolak al-Imam Yusuf al-Qardhawi, beliau mengatakan bahawa pendekatan dakwah dan cara Dr Yusuf al-Qardhawi adalah sesuai dengan keadaan semasa dan fitrah manusia. Beliau sendiri mengaplikasikan dan banyak membaca karya al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam meningkatkan keberkesanan beliau untuk mendekati masyarakat dalam misi berdakwah. Kepakaran dan kefasihan beliau dalam bidang al-Quran dan tafsir juga terserlah apabila beliau mendefinisikan orang-orang yang diberi nikmat dalam surah al-Fatihah itu dengan definisi mereka yang mengikuti manhaj Salafusoleh.

Alhamdulilah, saya sempat bertemu beliau dan meminta beliau untuk mendoakan saya. Moga selepas ini pemusatan pengajian saya tidak lagi terlalu fokus kepada bidang hadith, tetapi dapat beranjak kepada pengajian tafsir bersama Ayahanda Dr Abdullah Yassin. Insya Allah.



MOGA INILAH JALAN YANG SEBENAR
Saya sentiasa berdoa, agar inilah jalan yang sebenar harus saya lalui selepas banyak fasa saya telah lalui. Mungkin benar kata sahabat saya, bahawa perjuangan dakwah Sunnah di MMU mula disedari dengan banyaknya tribulasi dan sekatan-sekatan yang dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan perjuangan menegakkan kembali Quran dan Sunnah di Malaysia khususnya di MMU. Moga perjuangan ini tidak futur di pertengahan jalan, dan tidak lelah dimakan masa. Kerana perjuangan mengembalikan masyarakat agar berpegang kepada Quran dan Sunnah dengan apa yang difahami oleh para sahabat, tabien dan tabiut tabien adalah jalan yang telah ditunjuk oleh rasulullah sendiri. Moga kita terus ke hadapan dan terus menghadapi semua ini.

Seeru ala barakatillah...............

Tuesday, December 30, 2008

BEBASKAN PALESTIN.




“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniya dan janganlah menghinanya. Taqwa tempatnya disini! Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali. Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim, setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim. Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” (Muslim)

Tangan saya terus kaku, tidak tahu apa yang saya boleh coretkan. Setiap kali saya ingin menulis tentang PALESTIN setiap kali saya harus mengelap air mata yang terus-terusan mengalir. Mari sama-sama kita doakan keselamatan rakyat PALESTIN dengan membaca doa Qunut Nazilah ini.

Maksudnya “ Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersolat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”


Didalam Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim dinyatakan ,Rasulullah saw pernah melakukan qunut selama satu bulan untuk mendoakan pembunuh-pembunuh para sahabatnya di Bir Al-Maunah. Maka atas dasar ini kita juga harus terus-terusan mendoakan saudara kita di PALESTIN dengan qunut Nazilah ini. Boleh dilakukan dalam solat selepas ruku. “Sesungguhnya bila ingin mendoakan seseorang, Nabi Muhammad s.a.w membacakan qunut sesudah ruku” (Hr. Bukhari dan Ahmad bin Hambal daripada Abu Hurairah)


Bacaan lanjut:

1. Laman Yahudi Pro Palestin: http://ifamericansknew.org/
2. Laman Info Palestinkini: http://palestinkini.info/
3. Laman Aman Palestin: http://amanpalestin.com/
4. Ucapan Dr. Khalil al Haya: Pesanan Buat Umat Islam di Malaysia
5. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: Palestin: Antara Ilusi dan Realiti



Tuesday, December 23, 2008

Imam Ibnu Taimiyah VS Imam Al-Ghazali

Merenung Imam al-Ghazali saya termenung dengan hadith-hadith yang banyak tidak jelas dalam Ihya’. Merenung Ibnu Taimiyah, saya termenung melihat betapa keras dan lantangnya dalam membela akidah umat Islam daripada tercemar. Tetapi kedua-dua tokoh ini mempunyai satu persamaan yang sangat mendebarkan, iaitu mereka mempelajari Falsafah. Kalau Imam Ghazali mempelajari Falsafah kerana mahu mencari kebenaran, Ibnu Taimiyah pula mempelajari Falsafah untuk mencari kelemahan Falsafah dan kemudian bercita-cita untuk menghancurkannya. Ilmu yang sama, tapi tujuan yang berlainan. Itu yang membuatkan pandangan dan kritikan dari kedua tokoh tentang Falsafah sehingga kini dibicarakan oleh orang ramai.

Saya terdetik untuk menulis tentang kedua tokoh ini apabila Saudara Rausyan menulis sebuah artikel “Tentang al-Ghazali dan Ibn Taimiyah”, dan bagi saya ada beberapa perkara tentang Ibnu Taimiyah yang harus kita perhalusi. Jika Saudara Rausyan mengajak manusia untuk memahami Imam Ghazali dengan cara membaca karyanya secara total, maka saya pula menyeru semua manusia menilai dan mengkaji pemikiran Ibnu Taimiyah secara kaffah pula. Mungkin itu lebih adil dan saksama dalam menilai pemikiran kedua-dua tokoh ini.

Bukan semua yang ditulis oleh Saudara Rausyan saya menolak, banyak poin yang dicerna dan ditulis baik oleh beliau saya bersetuju. Namun dalam persetujuan itu, terselit beberapa penafian yang harus saya jelaskan dalam artikel kali ini. Artikel ini bukan mahu menyebelahi mana-mana tokoh, tetapi sekadar membersihkan dan menjelaskan pandangan atau tulisan yang kurang tepat yang telah dilontarkan.


Saudara Rausyan menulis:
“Begitu juga dengan tassawuf. Ibn Taimiyah menyerang kesuluruhan institusi tassawuf manakala Imam al-Ghazali tidak melihat begitu!”


Jawapan saya:
Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam fatwanya berkenaan dengan Tasawuf mengambil jawapan dari Imam Ibnu Taimiyah tentang perkara ini. Kata Imam Ibnu Taimiyah:

“Pandangan aku dalam masalah tasawuf ada dua, iaitu, sebahagian termasuk ahli fiqih dan ilmu kalam mencela dan menganggap para sufi itu ahli bid'ah dan di luar Sunnah Nabi saw. Manakala sebahagian lagi terlalu berlebih-lebihan dalam memberikan pujian dan menganggap mereka paling baik dan sempurna di antara manusia setelah Nabi saw. Kedua-duanya tidak benar. Yang benar ialah bahawa mereka ini sedang dalam usaha melakukan pengabdian kepada Allah, sebagaimana usaha orang-orang lain untuk menaati Allah swt. Dalam keadaan yang pertama di antara mereka, ada yang cepat sampai dan dekat kepada Allah, orang-orang ini dinamakan Minal muqarrabiin (orang-orang yang paling dekat dengan Allah), sesuai dengan ijtihadnya; ada pula yang intensitas ketaatannya sedang-sedang saja. Orang ini termasuk bahagian kanan: Min ashhaabilyamiin (orang-orang yang berada di antara kedua sikap tadi). Di antara golongan itu ada yang salah, ada yang berdosa, melakukan taubat, dan ada pula yang tetap tidak bertaubat. Yang lebih sesat lagi adalah orang-orang yang melakukan kezaliman dan kemaksiatan, tetapi menganggap dirinya orang-orang sufi. Masih banyak lagi dari ahli bid'ah dan golongan fasik yang menganggap dirinya golongan tasawuf, yang ditolak dan tidak diakui oleh tokoh-tokoh sufi yang benar dan terkenal. Sebagaimana Al-Junaid dan lain-lainnya.”


Dalam kenyataan di atas, Imam Ibnu Taimiyah tidak pernah sama sekali menolak Tasawuf secara total. Malahan beliau memperakui tokoh Sufi yang besar iaitu Al-Junaid. Apa yang jelas, selagi golongan tasawuf ini menjalankan aktiviti mereka berdasarkan al-Quran dan Assunah, selagi itu kita memperakuinya. Sepertimana yang dijelaskan oleh tokoh mereka sendiri iaitu Al-Junaid, “Barangsiapa yang tidak hafal Al-Quran dan menulis hadith-hadith Nabi saw. Maka tidak boleh dijadikan ikutan dan ditiru, kerana ilmu kita (tasawuf) terikat pada kitab Al-Qur'an dan As-Sunnah.”


Hanya itu sahaja yang saya mahu jelaskan? Ya memang benar, hanya satu perkara sahaja yang saya mahu jelaskan, kerana kebenaran tetap kebenaran. Menjadi masalah apabila mereka yang menulis tidak Quote betul-betul apa yang diperkatakan oleh orang yang berkata tersebut. Itu juga boleh dikenali sebagai jenayah Ilmiyah kerana ia bakal menjadi fitnah dan tuduhan yang tidak berasas kepada seseorang tokoh. Moga kita sama-sama menjaga displin ilmu dalam memetik atau memanjang-manjangkan sesuatu perkataan yang dikeluarkan oleh mana-mana tokoh.

Akhir kata, saya memetik sebuah konklusi yang jelas dan padat dari sebuah buku yang saya baca bertajuk, “Ibnu Taimiyah Versus Para Ahli Falsafah, sebuah polemik logika” : Jika kita membebaskan diri daripada sikap mengkafirkan orang lain, kedua teori ini iaitu Logika Rasional Aristoteles dan Teori Empirisisme yang dicanangkan oleh Imam Ibnu Taimiyah, maka kita dapat lihat kedua-dua teori ini amat diperlukan dalam perkembangan Epistemologi dalam Islam. Kedua-duanya dapat dikembangkan sesuai dengan objek atau lapangan kajian yang tersendiri. Ataupun, kedua-dua teori ini dapat dikembangkan secara pergabungan menjadi satu teori yang padu. Menyedari kekuatan dan kelemahan kedua-dua teori yang dimiliki, maka jika penerapan dapat dilakukan secara mendalam pasti ia akan dapat menghasilkan satu pemikiran dan sikap wacana yang eksklusif.

Sekian...

Monday, December 22, 2008

LANGIT DAN GUNUNG PUN TIDAK MAMPU


Suara riuh-rendah dan kelibat wanita-wanita yang berkerudung menghiasai mata dan pendengaran kami, tatkala kami sampai di Kem Rimba Ria Sungai Congkak. Deruan air yang deras, kawasan hijau yang sejuk dipandang, serta bunyi-bunyi derupan tapak kaki anak-anak kecil terus-terus mengasyikkan pendengaran dan penglihatan saya. Tidak ada yang layak untuk dipuji di atas semua ciptaan ini, hanya kepada Dia semua ini kembali dan segala puji dan syukur diucapkan kepada-Nya; Allah akbar!

Cuaca malam itu sedikit dingin, sesuai dengan kawasannya yang berdekatan dengan air terjun dan diselimuti dengan hutan tebal. Saya, Razak dan Fuad meninjau-ninjau lokasi yang akan dijadikan tempat program IU Induction Camp 2008. Alhamdulilah, tempatnya amat sesuai dan selamat untuk diadakan program. Selepas beberapa ketika kami mula memunggah barang-barang makanan dan keperluan lain di dapur yang telah disediakan oleh pihak kem. Sementara menunggu peserta dan komiti lain yang datang dengan sebuah bas dan sebuah van, kami masak air dan mengemas barang-barang dapur.

“Cuba kau tengok air itu dah masak belum?” Ujar Razak kepada saya. Saya melangkah pergi menuju ke arah air yang sedang dimasak.

“Er..macam mana nak tahu air itu dah masak belum. Aku selalu masak air guna Karen je.” Saya mula bingung, melihat-lihat kedalam air, untuk mendapat kepastian. Berderai ketawa dari Razak dan Fuad. Saya pun turut ketawa, memang dasar tidak pernah masuk ke dapur di rumah rasanya.

Di atas hanyalah secebis kenangan yang dapat saya gambarkan dan coretkan di sini. Tetapi bukan itu tujuannya saya menulis bagi artikel kali ini. Kenangan atau kronologi hanyalah sebuah catatan perjalanan, ia tidak lebih sebuah diari kembara. Tetapi saya pasti catatan-catatan itu akan ditulis oleh mereka yang datang bersama-sama tempoh hari. Saya tidak berniat untuk menjadi penambah catatan, tetapi saya mahu menyentuh beberapa perkara penting dan pengajaran yang harus kita kongsi dan rasakan. Bukan sekadar kenangan yang dihiasa dan diisi dalam kotak ingatakan kita, tetapi lebih daripada itu.



TANGUNGJAWAB
Tangungjawab mendewasakan diri dan juga pemikiran kita. Tangungjawab itu bukan sekadar nama tetapi ia membawa beban dan amanah yang digalas dan tergalas kepada diri manusia. Kerana tangungjawab, manusia akan berubah dan terus akan diubah. Sama ada tangungjawab itu dibebankan dengan kerelaan atau dipaksa-paksa keatas diri manusia, ia tetap menjadi agen perubahan kepada diri manusia.

Semua manusia dibebani dengan tanggungjawab, hatta kepada junjungan besar umat Islam iaitu Nabi Muhammad s.a.w, seorang Rasul dan juga kekasih Allah tetap Allah berikan dan galaskan tanggungjawab. Bukan ringan tanggungan yang dibawa oleh Rasulullah, tanggungjawab itu meliputi seluruh alam tidak ada yang terkecuali sedikit pun, iaitu menyampaikan risalah TAUHID ke seluruh alam tanpa dibatasi oleh Bangsa, rupa paras, perbezaan warna kulit dan lain-lain. HANYA, menyampaikan risalah Tauhid dengan terang dan nyata.

Sepertimana yang dikatakan Allah, “Katakanlah lagi (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kepada Rasul Allah. kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah Bahawa Sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata”.(24:54)


GUNUNG PUN MENOLAK
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”(33:72)

Lihatlah betapa besar dan sukarnya amanah ini untuk dipikul sehinggakan langit, gunung-ganang dan bumi menolak untuk dipertanggungjawabkan. Tanggungjawab itu sekadar retorik, tetapi ia adalah perlaksanaan, perlaksanaannya pula haruslah menepati risalah yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah melalui petunjuk Allah ta’ala.

Bila saya dicadangkan sebagai Camp Commandant oleh brother Fuad, pada mulanya saya teragak-agak untuk memikulnya, tetapi memandangkan saya pernah menjadi Timbalan Amir 1, maka saya merelakan diri untuk memikul tanggungjawab itu. Alhamdulilah, walaupun ada dua sessi saya tidak dapat menghadirkan diri semasa program berlangsung kerana terlalu penat dan sakit kepala, saya merasakan tanggungjawab saya sebagai Camp Commandant ketika itu dapat dijalankan dengan sempurna. Walaupun ada kekurangannya, tapi bagi pihak diri saya, saya sangat berpuas hati dengan kerja keras dan usaha yang saya curahkan selama 3 hari dua malam dalam program tersebut.

Bangun pagi seawal 3.30, ketika para peserta masih lagi dibuai mimpi, benar-benar melelahkan dan dicemburui. Mata memujuk-mujuk untuk terus ditutup dan nafsu pula merengek-rengek untuk dibuai dengan lena. Tetapi tanggungjawab menyegarkan diri saya, mengerakkan tubuh saya, iman pula berzikir-zikir memberi makanan kepada hati untuk terus istiqomah dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diberi. Syukur, kedua-dua pagi itu dapat saya gagahkan untuk mengejutkan mereka pada jam 4.30 pagi dan menyampaikan sedikit ilmu yang ada seawal jam 3.45 pagi berkenaan dengan berwuduk menggunakan khuf.


MARAH ITU ADALAH FITRAH
Ramai yang cuba menjadi hero dalam menasihatkan orang yang sedang marah(termasuk juga saya), ada yang menasihati dengan menggunakan hadith, dan ada juga menasihatkan dengan ayat-ayat Quran. Semua itu benar dan sama sekali tidak dinafikan, tetapi mereka juga lupa tentang fitrah yang dirai oleh agama, iaitu emosi. Manusia bukan hanya dikurniakan dengan akal, tetapi manusia juga dikurniakan emosi dalam menghadapi seharian-seharian kehidupan. Manusia yang tidak ada emosi sama sahaja dengan robot, yang diciptakan dengan kepelbagaian fungsi tetapi robot tidak ada perasaan yang menaikkan darjatnya sama dengan manusia.

Dalam sebuah hadits Sahih yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi Rasulullah berkata, “Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia meletakan dirinya ke bumi.” Hadith ini sangat jelas menunjukkan bahawa marah adalah sebuah fitrah yang ada dalam diri manusia. Al-Imam Syafie’ pernah mengatakan, bahwa orang yang tidak memiliki rasa marah itu diibaratkan seperti khimar (keldai).

Walaubagaimanapun, marah itu harus dikawal dengan Iman. Kerana marah itu kadang-kala membawa diri ke lembah binasa. Hanya taqwa dan iman kepada Allah adalah solusi dalam menyelesaikan kemelut emosi marah dari terus menjadi sebati dalam kehidupan kita. Disebabkan itu, bagi mereka yang dapat menahan marahnya, dianggap sebagai seorang yang hebat oleh Rasulullah. Sepertimana yang disebutkan Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim, “Abu Hurairah berkata, bahwa Rasulullah s.a.w berkata: Tidaklah seseorang itu dikatakan kuat disebabkan menang bergusti/berlawan, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.

Tidak cukup dengan menahan atau mengawal marah, tetapi menahan marah dan memaafkan, serta berbuat baik kepada mereka yang dimarahi dalah satu kesatuan nilai yang mendasari ketaqwaan kepada Allah. Menahan marah saja tanpa memaafkan, bukan ciri orang yang bertaqwa, melainkan ciri orang yang berdendam. Oleh itu, marilah kita meraikan fitrah emosi, namun dalam masa sama kita menghayati sunnah-sunnah Rasulullah yang sering menggalakkan umatnya menjadi seorang yang pemaaf dan menahan marah.


ILMU ITU IMAM, AMALAN ITU MAKMUM
Dalam program ini para peserta diajar pelbagai perkara termasuklah soal-soal yang berkaitan dengan ibadah berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan Hadith yang sahih. Antaranya ialah, mengambil wudhu’ menggunakan khuf, memasang sutrah, bersolat menggunakan kasut, cara solat tahajud, dan perlbagai lagi. Bukan sekadar mempelajarinya dengan mendengar taklimat tetapi ia terus dipraktikan selepas mendengar penjelasan dari fasilitator yang bertugas. Antaranya ialah penggunaan khuf , bersolat menggunakan kasut, dan memasang sutrah ketika bersolat.

Ilmu yang disampaikan bukan hanya didalam dewan atau surau, tetapi perlaksanaan terus dilakukan agar para peserta faham dan jelas dengan apa yang mereka dapat melalui penjelasan berdasarkan dalil-dalil yang stabit. Kerana Ilmu itu imam, amal itu adalah makmum. Setiap makmum harus mengikut imam, begitu jugalah amalan yang perlu dilakukan mengikut ilmu yang didapati. Saya dan beberapa fasi amat menekankan perlaksaan ibadah hanyalah boleh dilakukan jika ada dalil yang menjelaskannya. Alhamdulilah, sedikit sebanyak dapat dilihat kesedaran dan kefahaman tentang penggunaan dalil dalam setiap ibadah daripada reaksi para fasilitator sendiri. Kerana itulah yang diharapkan oleh Allah dan Rasul, setiap amalan ibadah haruslah didasari dengan dalil naqli yang jelas dan stabit dari Allah dan Rasul tanpa ada tokok tambah.


TERIMA KASIH DAUN KELADI
Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program IU Induction Camp ini. Moga Allah tautkan hati-hati kita semua dengan tautan Ukhwah kerana Allah, dan meleraikan perbezaan dan bibit perpecahan yang mula timbul dalam keluarga kita. Usrah itu bermaksud keluarga, moga keluarga yang kita sering sebut-sebutkan ini benar-benar terjadi, bukan hanya retorik dan bebelan di mulut sahaja. Usrah atau keluarga ini harus menjadi sebuah keluarga yang bahagia, sering nasihat-menasihati, dan akhir sekali menjadi syurga dunia dalam kehidupan berkeluarga di MMU Cyberjaya ini. Itulah yang dinamakan “Baiti Janati” Syurgaku Rumahku.

Saya lebih bahagia bersama persatuan dan kelab, dan bahagia bersama anda semua. Mungkin itu menyebabkan saya lebih dikenali sebagai orang Usrah atau orang UPG. Kerana saya lebih dihargai dan diperlukan didalam keluarga ini. Kerana ikatan kekeluargaan itu ada dan sentiasa dicambah dan dibumbui dalam USRAH ini. Terima kasih sahabat, kerana memberikan erti keluarga dalam KELUARGA ini.

Monday, December 15, 2008

USAH MERUNGKAI PERIBADI

Bukan mudah untuk menjaga rahsia dan juga menjaga amanah. Kerana rahsia atau amanah itu adalah perkara paling berat dalam kehidupan kita. Begitu juga apabila sesuatu kepercayaan yang telah diletakkan kepada seseorang kepada kita, kepercayaan itu harus digengam erat tanpa sedikit pun perasaan untuk meleraikannya. Sekali kita cuba meleraikannya, seumur hidup kepercayaan itu tidak akan digalang lagi kepada kita.
Bukan mudah untuk mempercayai orang lain selain daripada diri sendiri. Sungguh besar nilai dan harga yang perlu dibayar untuk memastikan bahawa kepercayaan itu tidak dikhianati. Kepercayaan itu hadir daripada sebuah hubungan yang ikhlas, tanpa ada rasa sedikit pun keraguan terlintas. Sebab itu percaya membawa bahagia dan rasa diri berharga.


KISAH SILAM
Kisah silam yang dilalui oleh manusia tidak seharusnya dirungkai dan dicoret-coret isinya. Biarlah ia terus dikambus, dikambus oleh kebaikan dan amalan baik yang dilakukan. Manusia tidak pernah lepas dari kesilapan, dan perkara ini sering-kali diulang-ulang dari Quran bahawa kesilapan itu ditebus melalui sesalan. Sesalan yang bersungguh-sungguh dan bertekad untuk tidak melakukannya lagi, iaitu TAUBAT.

“Taubat ialah kembali taat kepada Allah s.w.t dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta memohon keampunan dari Allah.”

Mengapa kita suka membaca isi silam orang lain? Adakah perkara itu sebuah keseronokan atau sebuah kelucuan yang harus kita sebar-sebarkan? Ataupun mungkin kita suka mencungkil-cungkil rahsia orang lain yang tersembunyi, kemudian dihebahkan kepada orang lain untuk merendahkan atau menghina seseorang itu? Islam melarang perbuatan mencungkil rahsia yang tersembunyi , kemudian menyebarkannya kepada umum. Perbuatan itu dikategorikan sebagai mengumpat/ghibah.


Rasulullah pernah bertanya makna mengumpat kepada para sahabatnya. Kemudian para sahabatnya mengatakan tidak tahu. Kemudian Rasulullah berkata, “Mengumpat adalah ketika engkau membicarakan mengenai saudaramu sesuatu yang dia benci.” Kemudian ada sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kalau yang kami katakan itu betul-betul ada pada dirinya?” Baginda menjawab: “Jika yang kalian katakan itu benar, bererti kalian telah mengumpatnya. Namun jika apa yang kalian katakan itu tidak benar, bererti kalian telah memfitnahnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Berdasarkan hadith di atas, walaupun sesuatu perkara yang kita sebar-sebarkan itu sekalipun benar, tetapi tidak disukai oleh empunya diri maka ia termasuk dalam kategori mengumpat. Amat malang dan besar dosanya kepada sesiapa yang tergolong dalam golongan ini, kerana mereka yang tergolong dalam golongan ini disamakan dengan orang yang memakan daging saudaranya, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Hujrat ayat 12, “Janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kalian akan merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang.”


YANG TERSEMBUNYI TETAP TERSEMBUNYI
Rasulullah tidak pernah menghebahkan atau membuka keburukan orang lain yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi, walaupun baginda mengetahui keburukan orang tersebut melalui pemberitahuan dari orang lain atau dari perlaku perbuatan tersebut. Hal ini dapat kita selami melalui sebuah hadith yang direkodkan Imam Muslim.

Diceritakan bahawa ada seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah, kemudian dia berkata, “Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (meraba-raba), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya, “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan terus berlalu pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah dalam surah al-Hud ayat 114, “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”

Kemudian ada seorang bertanya kepada rasulullah, “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?” Jawab Nabi saw, “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Jangan keliru atau terkeliru, Islam memang mengharamkan perbuatan yang mendekati kepada zina, lebih-lebih lagi zina. Tetapi Islam juga mengharamkan kita mendedahkan aib orang lain, iaitu perbuatan dosa yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi dan tidak mengancam kepada keselamatan awam disamping perlaku tersebut berusaha untuk menyembunyikannya.

Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya yang bertajuk ‘Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam’, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq, ada menyatakan “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Bagaimanapun, jika pelakunya melakukannya secara sembunyi-sembunyi dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintip atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi kerja seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya. Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim dan Bukhari, “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)”

Justeru, tiada seorang pun mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riyak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kedekut dan lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah-selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Manakala hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah”.

PERINGATAN
Usahlah kita menilai dan menghukum seseorang itu berdasarkan kisah-kisah silam mereka. Usahlah kita bersangka buruk di atas kekhilafan yang pernah mereka lakukan. Usahlah menghina atau merendahkan darjat mereka di atas kehinaan yang pernah mereka lakukan. Tetapi nilailah kehidupan mereka pada masa kini, adililah mereka atas sikap dan perlakuan mereka pada hari ini, dan hukumilah mereka di atas apa yang mereka dipertanggungjawabkan pada masa kini. Pandanglah dengan pandangan segar, pandangan masa depan tanpa menoleh ke arah peristiwa atau tititk-titik hitam di belakang hari.
Moga peringatan ini dititipkan kepada rakan-rakan kita yang lain, selain ia menjadi nasihat dan azimat kepada diri kita sendiri. Kerana kehidupan itu ada fasa-fasanya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani” (al-Hujrat)



Sunday, December 14, 2008

SEHARI DI PERDANA LEADERSHIP FOUNDATION

“To know whether the person is good or not to be a leader, we only can identified after he/she became a leader.”

Kesempatan dan peluang menghadiri seminar ‘Leadership and Intercultural Relationship and Understanding’ di Perdana Leadership Foundation sesuatu yang amat berharga bagi saya. Selain dapat mendengar secara langsung idea yang dilontarkan oleh seorang Pemikir dan juga Negarawan yang saya kagumi iaitu Tun Dr. Mahathir, seminar ini juga memberi peluang kepada saya untuk berkongsi ideologi dan pandangan bersama para pemimpin dari pelbagai persatuan dan kelab di MMU. Bukan calang-calang pelajar yang datang ke seminar ini, kerana boleh saya katakan semuanya yang datang mempunyai kepandaian, bakat dan kebolehan sebagai seorang pemimpin. Jika tidak, mengapa mereka memimpin dan menjadi ketua di persatuan atau kelab-kelab di MMU.

Bertemakan Integration ataupun dalam bahasa Melayunya Integrasi antara Negara dan bangsa yang pelbagai, menjadikan seminar ini bertambah menarik. Selepas mendengar ucapan dari Tun, kami dipecahkan kepada 11 kumpulan dan setiap kumpulan terdiri dari 10-12 orang pelajar dari pelbagai bangsa dan negara. Saya diletakkan dalam kumpulan 4 yang mempunyai 12 orang pelajar. Melayu, Cina dan India dicampurkan, Malaysia, Sudan, Arab Saudi, dan Indonesia digabungkan dan kemudian disatukan dalam kumpulan yang dinamakan sebagai 1+2 >3.


NAMA KUMUPULAN 1+2>3
Itulah nama kumpulan kami yang mempunyai maksud tersendiri dan unik. Nama kumpulan itu diperolehi dari perbincangan antara kami semua yang rata-ratanya menyatakan bahawa nama itu mewakili integrasi yang berlaku di antara kami semua.

Kenapa 1+2>3? Kerana ia membawa maksud, idea atau pandangan dari dua belah pihak pasti akan berbeza dan tidak akan mempunyai persamaan di antara satu sama lain. Tetapi setelah di ‘integrasi’kan antara kedua belah pihak, ia akan menghasilkan sebuah idea dan hasil yang berlainan dari gabungan kedua-duanya dan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Secara total, ia akan berbeza dari kedua-dua idea, kerana intergrasi itu telah menghapuskan perbezaan dan menjadikan perbezaan itu sebagai satu bentuk persamaan.

LEARNING  TOLERANTING  UNITING = INTEGRATING

Integrasi hanya akan berlaku apabila berlakunya kesedaran pada semua bangsa, dan negara untuk mempelajari kepelbagaian yang ada pada mereka. Masing-masing mempelajari budaya, adat-resam, agama dan ciri-ciri yang ada pada bangsa lain atau negara lain. Apabila masing-masing memahami antara satu sama lain, ia akan menghasilkan toleransi antara bangsa/kaum dan negara. Toleransi dalam semua aspek, selagi ia tidak melangkaui batas-batas yang telah ditetapkan secara natural. Kesudahannya, erti kebersamaan ataupun keanggotaan antara satu lain akan dirasai. Perbezaan itu akan diletak tepi, dan ia akan menghasilkan kehidupan yang bersatu-padu sesuai dengan jata Negara Malaysia iaitu “Bersatu bertambah Mutu”.


MUDAH ATAU SUKAR MELANTIK PEMIMPIN
Awal-awal lagi kami sudah diberi tugasan untuk melantik ketua di kalangan kami. Tanpa ketua, sesuatu kumpulan itu akan menjadi seperti kapal tanpa jurumudi. Kami melakukan beberapa diskusi dan ‘lempar-suara’ antara satu sama lain. Akhirnya, 5 orang antara kami dipilih untuk dicalonkan dan dipilih mengikuti suara majoriti iaitu UNDI. Mereka ialah, Saudara Abbas Presiden International Student Society dari Indonesia, Saudara Kang Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar dari Melaka, Bryan Christian Fellowship Society dari Cyberjaya, Mohammad dari Sudan, dan saya juga tersenarai dalam pencalonan tersebut.

Setelah beberapa minit proses pengundian dijalankan, akhirnya saya terpilih menjadi ketua dalam kumpulan tersebut. “I’m not alone, this team will be a greater team if we stick together and be together, without follower leader is not a leader.” Saya ucapkan semasa proses ‘lempar-suara’ dilakukan sebelum proses undian dilakukan. Melantik seorang ketua sama ada mudah atau susah bergantung kepada kebijaksaan dan kerjasama antara kumpulan. Saya sangat yakin dan tidak pernah berasa sedikit pun ragu-ragu memimpin kumpulan ini, kerana kumpulan ini terdiri dari kalangan pemimpin yang sangat berbakat dan ia sudah terbukti di persatuan dan juga kelab-kelab yang mereka ketuai. Sudah semestinya menjadi seorang ketua bukan perkara mudah. Ya, walaupun ia hanya sebuah kumpulan yang terdiri dari 12 orang. Kerana memimpin itu ada tangungjawabnya, ada amanahnya dan harus pandai dan cepat membuat keputusan. Bukan mudah mengawal dan memimpin di kalangan para pemimpin. Perlu pandai bermain bahasa, perlu pandai mengawal suasana, dan perlu fikir kehadapan sebelum daripada mereka. Alhamdulilah, kumpulan 1+2>3 ini menghasilkan kerja yang bermutu dan berjaya menyiapkan tugasan tepat pada masanya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua!


MEMAHAMI DAN DIFAHAMI
“Leader must understand their follower feeling, and their group objective.”
“Without follower, leader is not a leader.”
“Leader who is not faces the challengers and danger will make a mistake and carelessness.”

Itu hanyalah sekelumit pandangan dan juga nasihat dari Tun Mahathir, tetapi ia sangat-sangat berharga kepada saya dan juga para peserta yang lain. Kata-kata beliau terbukti melalui sepanjang perjalanan dan kehidupan beliau seorang Perdana Menteri selama 22 tahun. Walaupun terdapat perlbagai konflik dan kes yang berlaku sepanjang itu, tetapi tidak bermakna jasa dan bakti yang telah beliau berikan kepada Malaysia harus dipadam dan disingkirkan begitu sahaja. Seorang pemimpin itu tidak akan terlepas dari pelbagai kesalahan, tidak terlepas dari kebejatan, kerana pemimpin itu tetap sahaja seorang MANUSIA. Manusia yang tidak boleh lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan.

Apabila kita memahami orang lain pasti orang lain juga akan memahami diri kita. Kuasa tarikan atau boleh sahaja dikatakan sebagai kuasa natural yang terdapat dalam proses kehidupan ini. Boleh juga dikaitkan dengan prasangka yang ada dalam diri manusia kalau ditinjau dari kacamata Islam. Islam menggalakan umatnya bersangka baik, hatta kepada Allah sendiri. Sepertimana yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadis riwayat Abu Musa r.a yang direkodkan oleh Imam Muslim, "Nabi s.a.w bersabda: Barang siapa yang menyukai pertemuan dengan Allah, maka Allah menyukai pertemuan dengannya. Dan barang siapa yang tidak menyukai pertemuan dengan Allah, maka Allah tidak akan menyukai pertemuan dengannya.”

Kalau dilihat dari hadith di atas, kita dapat fahami bahawa kuasa tarikan itu memang berlaku dan terjadi, hatta antara hamba dan Tuhan. Inikan pula di antara manusia yang lemah dan dhaif disisi-Nya. Jadinya, fahamilah orang lain pasti orang lain juga berusaha untuk mehami diri kira.



SOALAN YANG SAYA TANYAKAN KEPADA TUN DR MAHATHIR SEMASA SESSI DIALOG TERSIAR DI THESTAR:

Mahathir: Format of schools makes unity difficult

PUTRAJAYA: The present format of vernacular school makes racial unity hard to achieve, said Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sharing the views of his son, Umno Youth chief aspirant Datuk Mukhriz Mahathir, the former prime minister said: “Basically, what he (Mukhriz) said is true and this is not an effort to eradicate the culture and customs of other races. His suggestion for an integrated national-based school system is conducive to achieving national unity.”

Dr Mahathir said this in response to a question during a dialogue session at a forum on Leadership, Inter-culture relations and Understanding at the Perdana Leadership Foundation here yesterday.

Mukhriz had reportedly called for the Government to abolish the vernacular school system to enhance unity among the people and to check racial polarisation.

Mukhriz later said he had been misquoted, adding that he had merely called for vernacular schools to be integrated into the national school system.

Dr Mahathir said the concept of Vision Schools was to group Malay, Chinese and Indian students in one area and enhance unity.

“The idea was that the students share the same sports and recreation facilities, and the same assembly area but this was not accepted in entirety,” he said.

Dr Mahathir said a leader should also be sensitive towards the needs and demands of the majority in the community he represented because any failure to do so would result in his dismissal.

Friday, December 12, 2008

ADA AGAMA LAIN?


GILA BUKU

Itu antara perkataan yang saya boleh cari setakat ini untuk menggambarkan betapa meja saya berselerak dengan buku dan tidak tahu dimana harus saya letak lagi. Sudah tidak ada ruang, dan semua rak buku saya telah dipenuhi dengan buku. Tambahan lagi, saudara Rahmat berbesar hati menghadiahkan saya buku-buku beliau yang boleh saya katakan SANGAT BANYAK.

Antara buku yang beliau hadiahkan kepada saya ialah, dua buah kita Riyadus Solihin berbahasa Inggeris, Kewajipan menguasai 6 jenis feqh bagi pendakwah islam di alaf baru oleh al-Imam Yusuf al-Qardhawi, The basis of Muslim belief oleh Gary Miller, The religion of truth oleh Abdul Rahman bin Hammad al-Omar, What Rushdie says about the British oleh Ahmad Deedat, Let the Bible speak oleh Ali Muhsin, Is Jesus God? The Bible says No oleh Shabir Alli, The meaning of the Testimony of faith oleh Sh. Hammoud R. Murad, Follow Jesus or Follow Paul oleh Dr. Roshan Enam, Paul and the Bible in the light of Islam oleh Atef Sallam, Know this Man, Christianity & Islam according to the Bible & the Quran oleh Naser al-Moghamis, dan akhir sekali sebuah Bible yang pernah digunakan oleh Brother Shah kirit.

Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana sudi menghadiahkan buku-buku tersebut, dan insya Allah saya akan khatamkan kesemuanya.


KEBETULAN
Malam itu bilik saya dikunjungi seorang rakan yang beragama Kristian. Kunjungan beliau sebenarnya atas pelawaan rakan bilik saya untuk membantu beliau membaiki komputernya, dalam masa yang sama saya mengenalinya. Kebetulan ketika itu saya sedang membaca sebuah buku yang bertajuk Follow Paul dan menggunakan Bible untuk merujuk beberapa ayat yang digunakan dalam buku tersebut. Saya berhenti membaca, kemudian berborak-borak kosong dengannya. Antara perbualan yang berlaku antara saya dan dia ialah tentang beberapa doktrin Kristian yang membingungkan (dan dia sendiri mengakuinya) dan beberapa salah faham terhadap Islam.

“Betulkah dalam Islam ada mengatakan bahawa boleh membunuh orang yahudi, kemudian akan mendapat ganjaran 70 ribu Malaikat untuk seorang Yahudi yang dibunuh.” Saya termenung sekejap kemudian tersenyum kepadanya.

“Siapa yang beritahu Joe (bukan nama sebenar) pasal itu?”

“Saya ada dengar seorang Ustaz katakan begitu.” Saya termenung lagi, betapa berdosanya seorang Ustaz itu menerangkan perkara yang silap kepada beliau.

“Tidak ada satu pun bukti sama ada dalam Quran atau Hadith tentang perkara tersebut. Orang bukan Islam yang duduk didalam negara orang Islam dilindungi, tidak kiralah sama ada kristian ataupun Yahudi. Sehinggakan Nabi Muhammad ada berkata, “Sesiapa yang menyakiti zimmi, sesungguhnya dia telah menyakitiku, sesiapa yang menyakitiku sesungguhnya dia menyakiti Allah” (HR Tabarani). Bukan mudah untuk membunuh orang lain tanpa sebab. Islam hanya membenarkan membunuh seseorang itu jika orang tersebut memerangi Islam dan mengancam nyawa orang-orang Islam. Selagi orang tersebut tidak ada hasrat menyerang negara Islam dan orang-orang Islam, selagi itu Islam tidak membenarkan pertumpahan darah berlaku, itulah yang diajarkan oleh Islam.”

“Saya pun terfikir macam itu juga. Takkanlah agama Islam yang menganjurkan kepada keselamatan dan kesejahteraan boleh membenarkan perbuatan seperti itu. Sebab itu, saya hanya mempercayai jika perkara itu ada disebutkan dalam sumber agama awak, iaitu al-Quran dan juga Hadith.”

“Yup, untuk mengetahui kebenaran sesuatu agama itu, bukan hanya mendengar dari apa yang orang katakan. Tetapi perlu terus ke sumbernya, iaitu kitab agama tersebut.” Saya mengkagumi sikap Joe yang hanya berpegang kepada sumber. Berbeza dengan sikap umat Islam yang rata-ratanya lebih suka dengar-dengar daripada mencari dan mengkaji sendiri dari al-Quran dan Hadith. Apabila ada orang berpegang kepada kedua sumber ini, mereka mengatakan Wahabi atau sebagainya. Sedangkan orang bukan islam lebih tahu dan maju dari mereka iaitu hanya mempercayai sesuatu yang datangnya dari kedua sumber ini.


ISLAM DAN MUSLIM
“Saya pada mulanya sangat anti dan benci dengan Islam. Sebab ada kawan-kawan saya tidak pernah tunjukkan moral yang baik kepada saya. Mereka lebih teruk dari orang bukan Islam. Tetapi bila saya ada baca apa yang dikatakan oleh Yusuf Islam iaitu “Saya bersyukur dapat mengenali Islam sebelum saya mengenali orang Islam” barulah saya terbuka untuk mengenali Islam bukan dari penganutnya tetapi dari Islam itu sendiri. Saya pernah berdialog dengan Brother Lim, dan antara yang dibincangkan ialah tentang sikap orang Islam.”

Ya, sikap itu memainkan peranan yang besar dalam lapangan dakwah dan Islah. Hanya kerana akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah sahaja, ramai orang-orang musyrik ketika zaman Rasulullah memeluk agama Islam. Kita sudah lupa tentang sejarah ini, kita lupa bahawa berdakwah dengan akhlak yang baik adalah salah satu cara menyebarkan Islam kepada orang bukan Islam. Salah kita, apabila orang bukan Islam tidak mahu mendekati Islam, semuanya kerana akhlak yang tidak senonoh kita pamerkan.

Selain akhlak, perkara yang ditimbulkan oleh Joe ialah sikap meninggalkan orang bukan Islam yang telah memeluk Islam sejurus sebulan atau dua bulan mereka memeluk Islam. Memang benar! Banyak kes yang berlaku apabila tidak ada program atau tindakan susulan yang dilakukan selepas seseorang itu memeluk Islam. Akibatnya, saudara baru ramai yang kembali kepada agama asal mereka kerana tidak ada bimbingan dan pendidikan Islam yang berterusan diberikan kepada mereka. Mereka murtad kembali kerana tidak ada asas agama yang mantap dan berada didalam lingkungan rakan-rakan bukan Islam yang tidak lelah memburukkan Islam didepan matanya. Cukuplah sekadar mereka katakan, “tengoklah agama baru kau ini, tidak pernah membantu dan memperdulikan engkau selepas engkau memasuki agama mereka.”

Jangan hanya gembira apabila mereka memeluk agama Islam tetapi tidak melakukan program sususalan kepada mereka atas alasan Perkim, atau jabatan-jabatan lain boleh melakukan perkara tersebut. Perkara ini adalah tangungjawab kita bersama, usah lepas tangan dan membiarkan jabatan-jabatan ini menguruskannya sendirian. Kita ada tangungjawab bersama. Urusan saudara seislam kita, adalah juga urusan kita.

Sebelum beliau beredar dari bilik saya, sempat saya katakan kepada beliau, “Kalau ada agama yang lebih baik dan benar daripada Islam, saya akan menganutinya.” Dia tersenyum kemudian berlalu pergi. Moga Allah memberi Hidayah kepada beliau, AMEEN...


Hadis riwayat Ibnu Umar رضي الله عنه: ia berkata:Bahwa Rasulullah صلی الله عليه وسلم bersabda: “Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat .”(HR Muslim nombor 4677)

Wednesday, December 10, 2008

Perlukan Kritikan bukan kata-kata manis

Bergambar? Semasa saya sedang sibuk-sibuk bergambar selepas tamat Majlis Malam Gemerlapan Aidiladha di MMU, seorang wanita menegur saya.
“Bergambar itu tak salah ke dalam Islam Yus?” Wanita itu bertanya.

Saya tidak melihat pertanyaan itu satu bentuk provokasi, tetapi lebih kepada seorang wanita yang tidak tahu, dan dia mahukan kepastian dari saya. Saya termanggu di depannya. Tidak tahu bagaimana cara terbaik saya menjawab persoalan dia, walaupun banyak sekali jawapan-jawapan yang saya boleh petik dari kotak ingatan. Tetapi dengan keadaan dan tempat yang tengah riuh-rendah dan keadaan beliau yang seharusnya tidak memerlukan jawapan-jawapan yang rumit , saya harus memberi jawapan yang ringkas dan padat.

Tapi lidah saya kelu, saya terdiam dan tidak boleh berkata apa-apa. Walaupun itu sebuah pertanyaan yang ikhlas, tetapi sebenarnya soalan itu memberi satu nasihat dan kritikan tidak langsung kepada saya. Memang benar, hukum bergambar itu mempunyai pelbagai pandangan dari para ulama. Ada yang mengharamkannya secara mutlak, dan ada juga yang mengharuskannya. Tetapi yang menjadi masalah dalam kes ini, ialah apabila bergambar dengan bukan muhrim. Saya pernah menasihati seorang sahabat saya tentang tidak bolehnya bergaul secara bebas dengan bukan muhrim. Ada batas-batasnya, dan ada perkara yang perlu diutamakan dalam hal perhubungan. Tetapi bab bergambar saya tidak pernah menyentuhnya, dan saya juga terpalit kepada dosa-dosa yang seharusnya saya elakkan.

Terima kasih kepada insan tersebut yang juga merupakan rakan karib saya,. Bila saya tanya apakah kesalahan dan perkara yang telah saya lakukan. “Kamu sendiri akan sadar” dia menjawab dengan bahasa ibundanya. Mungkin saya tidak pernah dikritik atau dibetulkan, sehinggakan saya merasakan segala perbuatan dan gerak-geri saya adalah benar dan tepat. Tetapi tidak! Saya katakan pada dia, saya perlukan kritikan yang ikhlas, agar diri tidak terlalu lemas dengan pujian dan kata-kata manis yang dilemparkan. Saya memerlukan insan seperti anda dalam kehidupan saya. Terima kasih kerana menyedarkan saya. Terima kasih. Selepas ini saya lebih berhati-hati dengan tindakan saya, agar sentiasa menepati piawaian syariah.

Terima kasih sahabat!


_____________________________________



Sekilas pandang perbahasan para ulama tentang Hukum bergambar.

Sebetulnya saya tidak mahu menyentuh sangat hal-hal yang berkaitan dengan hukum, dan mahu mengfokuskan kepada artikel-artikel yang bersifat motivasi dan kesedaran diri. Tetapi memandangkan perkara ini perlu dijelaskan, maka saya ringkaskan kembali pandangan serta fatwa dari para ulama mujtahid.

Menjelaskan atau menetapkan sesuatu hukum yang zonni memerlukan perbincangan yang jelas dan terperinci. Berbeza dengan hukum-hukum qot’i iaitu hukum yang telah ditetapkan secara jelas oleh Allah dan Rasul didalam Quran dan juga Hadith-hadith yang sahih.

Hukum bergambar ini juga adalah termasuk hukum-hukum zonni iaitu hukum-hukum yang belum jelas dan masih dalam samar-samar. Namun begitu, Al-Quran dan Sunnah telah menggariskan beberapa panduan dan jalan untuk para ulama mujtahid mengeluarkan hukum berdasarkan pengetahuan mereka. Sesuai dengan peranan mereka sebagai Ulama’ yang diperlukan untuk berijtihad.

Para ulama berbeza pandangan dalam hal ini kerana berbezanya penafsiran dan pemahaman mereka terhadap hadith-hadith yang bersangkut-paut dengan patung, melukis dan mengukir. Sepertimana hadith yang digunakan oleh Majlis Fatawa Al-Lajnah Ad-Daimah Lil Buhuts Al-Ilmiyah wal Ifa untuk mengharamkan bergambar iaitu, “Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di hari kiamat ialah orang-orang yang menggambar.(Riwayat Muslim). Walaubagaimanapun, dalam fatwa ini terdapat keringanan untuk bergambar hanya terhad kepada hal-hal yang amat mendesak seperti, gambar untuk pasport, sijil-sijil dan perkara-perkara yang amat memerlukan.

Namun bagi ulama Mujtahid yang lain seperti al-Imam al-wasatiyah Yusuf al-Qardhawi, dia berkata bahawa photografi yang menggunakan kamera ialah hasil daripada gambar yang ditangkap dengan menggunakan sinar adalah tidak mengapa, kerana menggambar/ melukis/ memahat objek yang dilarang dalam hadith-hadith tersebut ialah ingin menandingi atau melawan ciptaan Allah, dan pengertian itu sama sekali tidak wujud pada kamera. Pandangan beliau ini disokong oleh Syeikh Muhammad Bakhit , Mantan Mufti Mesir (Halal wa haram : Yusuf al-Qardhawi).

Walaupun al-Imam Yusuf al-Qardhawi membenarkan bergambar melaui fatwanya, tetapi beliau tetap meletakkan beberapa syarat dalam bergambar. Kata beliau, “Oleh itu gambar-gambar perempuan telanjang, setengah telanjang, mempamerkan bahagian-bahagian anggota khas wanita dan tempat-tempat yang membawa fitnah, dan bergambar di tempat-tempat yang cukup membangkitkan syahwat dan menggairahkan kehidupan duniawi sebagaimana yang kita lihat di majalah-majalah, surat-surat khabar dan pangung wayang, semuanya itu diharamkan baik yang menggambar, yang menyiarkan ataupun yang memasangnya di rumah-rumah, pejabat-pejabat, kedai-kedai dan digantung di dinding-dinding. Termasuk juga haramnya kesengajaan untuk memperhatikan gambar-gambar tersebut. Termasuk yang sama dengan ini ialah gambar-gambar orang kafir, orang zalim dan orang-orang fasik yang seharusnya orang Islam perangi dan dibenci dengan niat semata-mata mencari keredhaan Allah. Setiap muslim tidak halal melukis atau menggambar pemimpin-pemimpin yang anti Tuhan, atau pemimpin yang menyekutukan Allah dengan lembu, api atau lainnya. Seperti orang-orang Yahudi, Nasrani yang ingkar akan kenabian Muhammad s.a.w, atau pemimpin yang beragama Islam tetapi tidak mahu berhukum dengan hukum Allah; atau orang-orang yang gemar menyiarkan keaiban dan kerosakan dalam masyarakat seperti bintang-bintang filem dan biduanita.” (Halal wa haram: Yusuf al-Qardhawi)

Moga pandangan dan fatwa-fatwa dari para ulama yang saya petik di atas dapat memberikan pengetahuan dan juga dapat memberi kesedaran kepada kita semua.

WaAllahualam.

Thursday, December 4, 2008

AIDILADHA antara korban atau berkorban


Alhamdulilah, Aidiladha muncul kembali pada tahun ini. Syukur kerana kita masih lagi sempat untuk menyambutnya, dan diharapkan kita menyambutnya berdasarkan apa yang telah Rasulullah ajarkan kepada kita secara terus melalui hadith-hadith baginda. Di sini saya paparkan kembali artikel yang saya tulis kemudian telah dijadikan sebagai bahan bacaan di playstation oleh syarikat rakan saya iaitu FLAVERT media lab. Sesiapa yang ada handphone atau playstation yang boleh mendownload bahan ini, saya galakkan untuk dicuba. Sekian.

CLICK DI SINI UNTUK MENDOWNLOAD : DOWNLOAD

Dan juga sedikit imbas kembali tentang AIDILADHA dalam artikel english saya dibawah ini:

Eid Al-Adhha is the "feast of sacrifice" and is celebrated from the tenth through the thirteenth days of Zul-Hijjah, the twelfth month of the Muslim calendar. This marks the anniverary of Abraham's attempt to sacrifice his son Ishmael on God's. At this time special prayers are said either in mosques or in fields designated for that purpose. It is during this time of the year that people generally make the Haj, or the pilgrimage to Mecca. Whether on the Haj or at home, people celebrating this begin the first day with sacrificing an animal as a commemoration of the Angel Gabriel providing Abraham with a lamb as a substitute. An animal sacrifice in Arabic is called Zabiha or Qurban.

In the Islamic context an animal sacrifice referred to as Zabiha meaning sacrifice as a ritual, is offered only in Eid al-adha. The sacrificial animal may be a lamb, a sheep, a goat, a camel or a cow. The animal must be healthy and conscious. Qurbani is an Islamic prescription for the affluent to share their good fortune with the needy in the community. On the occasion of Eid ul Adhaa, affluent Muslims all over the world perform the Sunnah of Prophet Ibrahim (Abraham), by sacrificing a goat or sheep. The meat is then divided into three equal parts. One part is retained by the person who performs the Qurbani. The second is given to his relatives. The third part is distributed to the poor.

The Muslims say that this has nothing to do with blood and gore,Allah said in Quran 22:37: “It is neither their meat nor their blood that reaches Allah, but it is Taqwa from you that reaches Him” The sacrifice is done to help the poor, and in remembrance of Prophet Abraham's willingness to sacrifice his son Ishmael at God's command. This allegiance showed by Prophet Ibrahim (PBUH) to Allah, is now lacking between the government and the governed, between the people and the Almighty Allah, and between families as well.

Relationships between families are devoid of this type of trust between Prophet Ibrahim and his family. May the fruits of obedience and trust, which the Eid ul Adha teaches, prevail and continue after celebrating this blessed day.

Sunday, November 30, 2008

INSAN KERDIL BERJIWA BESAR


Fikiran saya terus tidak tenteram hari ini. Peperiksaan pertengahan semester yang akan saya duduki pada malam esok, tidak banyak mempengaruhi kegundahan saya. Dari bab pertama sehingga bab 4 sudah saya baca dan fahami isi-isinya. Subjek Company Law yang ditawarkan pada semester ini sedikit sebanyak membantu saya mendalami ilmu perundangan. Tetapi fikiran saya terus menerawang memikirkan sesuatu yang lain dan diluar batas pembacaan yang sepatutnya saya harus hadam.

Talbiah yang sudah lama tidak didengari, semakin lama semakin kuat kedengaran di cuping telinga saya. “Labaik Allah Huma Labaik, labaikala syarikakala baik, inal hamda, wanni’mata, lakawalmulk,laa syarikalah.” Suara-suara itu terus menggasak masuk ke gengendang telinga saya. Saya sujud memohon keampunan dan bermunajat kepada-Nya. Memohon diberi kekuatan dan rezeki agar dapat ke Baitul Haram pada masa akan datang. Insya Allah, saya dan keluarga akan ke Makkah lagi pada tahun 2012 seperti yang telah ditetapkan pihak Tabung Haji.

Sesak di dada bukan sahaja kerana rindukan BaitulHaram, tetapi sesak memikirkan seorang insan yang bakal keluar dan meninggalkan lapangan dakwah di Malaysia untuk mencari sesuatu di bumi United Kingdom. Insan ini bukan sahaja sudah banyak menabur bakti dan ilmu, malahan telah banyak mengubah pandangan dan persepsi masyarakat terhadap agama. Slogan Tajdid, Dalil-dalil, dan kesarjanaan menjadi misi dan visi beliau agar umat Islam keluar dari kepompong kejumudan dan kembali kepada ajaran Islam yang tulen berdasarkan kefahaman para sahabat, tabien dan tabiut tabien.


TINGGALKAN KERUSI EMPUK
Pandangan-pandangan ilmiah serta gerak kerja beliau yang berbeza dari tokoh agama yang lain, memberi pelbagai tafsiran dan tanggapan masyarakat terhadap beliau. Beliau meninggalkan kerusi empuk di Pejabat Mufti untuk berada dan bergaul bersama masyarakat Mahrain. Beliau sanggup bersama para artis, bersama sasterawan, bersama ahli politik, bersama orang kampung, dan Mahasiswa semata-mata untuk memberi pemahaman Islam kepada mereka secara jelas. Menjadi sejarah dalam dunia insititusi keagamaan, seorang Mufti duduk semeja dengan para artis untuk membincangkan perihal hiburan. Bukan mencari perbezaan tetapi mencari persamaan yang dapat menjernihkan hubungan agama dengan hiburan. Islam tidak melarang hiburan, tetapi agama memberi altenatif kepada hiburan dengan menyediakan hiburan berteraskan Syariat.


PANDANGAN SAYA
Ada seorang pembaca bertanyakan kepada saya, apa pandangan saya terhadap beliau. Pandangan saya, saya berbangga dan bersyukur dapat mengenali beliau secara dekat dan memperolehi ilmu daripada beliau. Memang benar, manusia itu tidak pernah lari dari kesalahan, tetapi kesalahan itu haruslah dijadikan sempadan dan kebaikan itu haruslah dijadikan teladan. Selama saya mengenali beliau, banyak ilmu dan nasihat-nasihat beliau menjadi alat untuk saya terus mendekatkan diri kepada Allah. Saya tidak banyak kenangan bersama beliau, tetapi sebagai seorang yang sentiasa memerhatikan peribadi dan pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh beliau, sedikit sebanyak beliau antara tokoh yang banyak mengubah corak pemikiran saya.

Dugaan dan cabaran dalam menegakkan agama dan menyampaikan agama bersih dari pelbagai kekurafatan dan kebatilan memang sentiasa dipenuhi dengan pelbagai onak dan duri. Tetapi semua itu ditutupi dengan keyakinan bahawa kebenaran itu pasti menjadi HAK, dan kebatilan itu akan lenyap selama-lamanya. Walaupun ia mengambil masa, tetapi keyakinan terhadap janji-janji Allah menghilangkan lelah dan kesedihan yang menimpa. Bukan sedikit fitnah dan dugaaan ditempuhi oleh beliau, tetapi beliau terus teguh berdiri dan terus maju menapak ke hadapan. Cabaran dan dugaan itu, kadang-kala dikongsi bersama dengan sahabat-sahabat yang mendengar kuliah beliau. Kami berkongsi rasa, dan tanggungjawab. Kami sedar bahawa itulah bayaran yang harus kami bayar untuk mendapatkan kemanisan beragama.

Apabila insan ini melangkah keluar, saya tanyakan apakah tangisan yang diiringi atau ingatan yang berbekas akan terus disimpan? Doa dan harapan dibawa bersama untukmu, moga perjalanan dakwahmu terus berjalan dan mekar walau dimana SS DR Mohd Asri Zainul Abidin berada. Seeru ala barakatillah....

Saturday, November 29, 2008

Mencari cinta Shab Turab siri 6


Angin bayu malam itu sejuk. Perlahan-perlahan menyapa pipi Yusuf dan menarik-narik rambut Yusuf sehingga kusut. Yusuf membetul-betulkan rambutnya, petang itu sang bayu bertiup kuat seakan-akan menghelakan nafasnya yang panjang. Yusuf berdiri menghadap ke arah laut. Warna senja mulai memamah suasana, memberitahu bahawa malam akan menggantikan siang.

Yusuf masih berdiri dia kagum dengan keindahan senja. Ucapan Maha suci Allah bertalu-talu diucapkan Yusuf. Burung-burung kelihatan berarak dalam satu barisan di langit senja. Mencari jalan pulang atau mencari rezeki untuk anak-anak di sangkar pokok. Air laut meningkat naik, terasa air mula mencecah buku lali Yusuf. Cepat-cepat Yusuf beralih ke belakang sedikit, kadang-kadang dia sengaja mengacah-acah air laut itu.

Hitam mula menggantikan merah senja, malam menjadi pengganti siang. Lumrah alam dari pencipta yang Maha bijaksana. Yusuf mengatur langkah, perlahan-lahan dia menuju ke arah sebuah gerai yang terdapat di situ. Sebuah kedai kopi beratapkan zink dan berdindingkan batu-batu yang sudah di mamah usia dituju Yusuf. Ada beberapa lelaki tua dan muda sedang berborak dan bermain dam di situ. Kehadiran Yusuf ke kedai itu tidak diperdulikan mereka. Mereka asyik berborak dan bermain dam, dan rokok terkepit dijari berkepul-kepul asap naik keudara.

“Kopi satu.” Yusuf memesan kopi, harganya tidaklah terlalu mahal seperti kopi yang dibelanja Kamal di Sauqul Ma’. Tadi semasa dia bersiar-siar di tepi pantai, Kamal menghubungi Yusuf. Katanya mahu berjumpa dengan Yusuf lagi, untuk menyambung perbincangan yang terhenti.

“Kalau tidak menjadi keberatan, saya mahu ke tempat penginapan kamu. Lebih memudahkan dan tidak menyusahkan Yusuf . Bagaimana dengan pandangan kamu?”

“Baiklah, saya menyetujuinya. Insya Allah malam ini jam 10 tunggu saya di laman Motel.” Yusuf menamatkan perbualannya.

Yusuf mencicip kopi panas yang dipesannya tadi. Pahit tetapi lemak berkrim. Yusuf berpuas hati dengan kopi yang dihidangkan. Suasana malam di Alexendaria mula suram. Keriuhan dan kelam-kabutnya sistem pengangkutan yang berlaku pagi tadi sehingga ke petang tidak kelihatan lagi. Suasana menjadi tenang, hanya kelihatan beberapa buah kereta melalui jalan besar di situ. Sejuk malam mula mencengkam tubuh. Mujur Yusuf ada membawa jaket yang disimpan di dalam beg.

Setelah membayar 2 junaih, Yusuf mengatur langkah untuk pulang ke Motel. Dia harus bersedia sebelum mula berbincang dengan Kamal. Mujurlah hanya 10 minit masa yang diambil dari kedai kopi ke Motelnya. Yusuf menuju ke arah pekerja wanita yang bertugas menyimpan kunci bilik. Wanita arab yang menyimpan kuncinya tersenyum apabila melihat Yusuf, kelihatan lesung pipitnya.

“Awal balik? Saya ingatkan kamu akan balik lewat malam. Selalunya para pelancong yang datang ke sini, akan berlama-lama di sekitar pantai Alex.” Wanita itu menyapa ramah. Tangannya menekan-nekan butang di komputer, merekodkan pemulangan kunci kepada Yusuf.

“Saya ada urusan kejap lagi. Kawan saya mahu berjumpa dengan saya jam 10. Lagipun saya bukanlah suka sangat berlama-lama di pantai, sebab orang kata pantai Alex ada hantu.” Wanita tadi kelihatan terkejut dengan kata-kata Yusuf.

“Betulkah ada hantu? Pertama kali saya mendengar cerita ini.” Wanita itu kehairanan, berkerut-kerut dahinya.

“Saya berlawak sahaja, janganlah ambil serius.” Yusuf ketawa terbahak-bahak, wanita itu hanya tersenyum melihat gelagat Yusuf.

“Ini kuncinya. Selamat beristirahat, dan saya akan pastikan hantu itu akan datang ke bilik awak malam ini.”

“Hahaha...Baiklah terima kasih.” Yusuf berlalu pergi sambil melambai-lambai ke arah wanita itu.


Di laman Motel, Kamal kelihatan sedang berborak-borak dengan seorang wanita. Wanita itu pula sedang membelek-belek sebuah buku yang di dalamnya terdapat catatan-catatan Kamal tentang budaya Malaysia. Suasana di Motel lengang, hanya beberapa orang pekerja sedang sibuk mengemas dan menyusun kerusi dan cawan-cawan yang digunakan penginap di situ. Dua cawan kopi terhidang di meja, Kamal menghirup perlahan. Lidahnya pernah melecur kerana dia tergesa-gesa untuk minum. Dia serik, selama 3 hari dia tidak merasa nikmatnya merasa, kerana lidahnya melecur.

“Assalamualaikom...” Yusuf memberi salam.


############################


“Yusuf, Ustaz Ismail suruh engkau pergi ke biliknya.” Ujar Razali yang datang bersama Karim ke bilik Yusuf.

“Ada apa Ustaz Ismail panggil aku ke sana? Semalam baru sahaja aku jumpa dengan dia, dia tidak ada cakap apa-apa pun.”

“Mana aku tahu, tadi lepas habis kuliah aku terserempak dengan dia. Dia macam tengah marah pun ada. Baik engkau pergi cepat.”

“Ya, aku pergi sekarang. Terima kasih sebab beritahu.” Razali dan Karim beredar dari bilik Yusuf. Yusuf termanggu, cuba mencari-cari apa kesalahan yang telah dia buat.
“Setahu aku, tidak pernah pula aku melanggar peraturan universiti. Tidak mengapalah, baik aku pergi cepat ke sana.” Yusuf memujuk resah hatinya.

Di bilik, Ustaz Ismail dengan Ustaz Ruhollah sedang menanti Yusuf. Cakap-cakap tentang Yusuf menyebarkan Ajaran sesat dan menyesatkan Syiah sudah lama kedengaran. Cumanya tidak ada bukti untuk mengaitkan Yusuf , tetapi hari ini sebuah laporan telah dihantar kepada Ustaz Ismail oleh Ustaz Ruhollah. Ustaz Ruhollah bilal Masjid Al-Syakirin, dia sudah lama mengumpul maklumat dan pergerakan Yusuf. Laporan itu dikumpul sejak 4 bulan yang lalu selepas dia mendengar dan melihat Yusuf memberikan tazkirah di masjid.


Tuk..tuk..

“Assalamualaikom.” Yusuf memberikan salam sambil mengetuk pintu pejabat.

“WaAlaikumusalam, masuk.” Jawab Ustaz Ismail sedikit keras. Ustaz Ruhollah cepat-cepat beredar dari sebelah Ustaz Ismail dan duduk di kerusi yang disediakan didepan meja Ustaz Ismail.

“Pengetahuan Tuhan kami meliputi setiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim. ” Yusuf berdoa perlahan sambil melangkah dengan tenang walaupun dadanya berkocak keras. Fikirannya berfikir bermacam-macam, hatinya pula bermain-main dengan firasat-firasat fasis. Allah bersamaku, fikir Yusuf untuk menguatkan dirinya.

Terkejut Yusuf apabila melihat Ustaz Ruhollah berada di bilik itu. Sampai sahaja di depan Ustaz Ismail, Yusuf dipersilakan duduk. Udara sejuk yang datang dari penghawa dingin yang dipasang di bilik itu, tetap dirasakan Yusuf tidak dapat menyejukkan hatinya. Dia berasa sedikit jengkel dengan kehadiran Ustaz Ruhollah, tetapi cepat-cepat dia beristigfar. Bilik Ustaz Ismail tidaklah besar sangat, hanya boleh memuatkan 5 orang dalam satu masa. Biliknya yang terletak di hujung pejabat pentadbiran membuatkan bilik itu sedikit tercorok dan tidak dikenali para pelajar. Di dinding-dinding bilik kelihatan gambar-gambar Ustaz Ismail di Jordan semasa beliau melanjutkan pelajaran di sana. Di belakang Ustaz Ismail sebuah rak penuh dengan buku dan fail yang tidak tersusun rapi.

Ustaz Ismail memandang Yusuf, kemudian dikalih pandangannya kepada Ustaz Ruhollah. Ustaz Ruhollah perlahan mengangguk, tanda pertemuan itu harus dimulakan dengan segera.

“Saya dapat laporan yang kamu melakukan kesalahan besar,” Ustaz Ismail berhenti sejenak, kemudian membuka sebuah fail di hadapannya, “dalam laporan ini dinyatakan bahawa awak sudah menyebarkan ajaran sesat kepada pelajar di Masjid. Selain daripada itu, awak juga dikatakan telah mengeluarkan fatwa bahawa Syiah itu sesat.” Ustaz Ismail menolak fail itu kepada Yusuf. Terkebil-kebil Yusuf membaca, dia tidak percaya dan tidak sangka ada orang yang menfitnah dia sebesar itu. Dadanya berkocak kuat, mukanya merah menahan marah.

“Kalau tidak menjadi keberatan boleh saya tahu siapa yang membuat laporan ini?” Soal Yusuf kepada Ustaz Ismail. Ustaz Ismail memandang Ustaz Ruhollah seperti mahukan kepastian daripadanya, Ustaz Ruhollah mengelengkan kepala tanda tidak setuju untuk memberitahu siapa yang menulis laporan tersebut.

“Atas dasar ingin menjaga keselamatan pengadu, saya tidak boleh memberitahu siapakah penulis laporan tersebut. Yang penting sekarang, saya mahu penjelasan dari awak.” Yusuf mengeleng-gelengkan kepala, dia masih tidak percaya laporan itu mengaitkan dirinya sebagai penyebar ajaran sesat.

“Segala puji bagi Allah dan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan ahli keluarganya serta para sahabatnya. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang, “Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak berhenti memerangi kamu sehingga mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup.” Yusuf memulakan bicara dengan membaca sepotong ayat dari surah al-Baqarah ayat 217.

“Ayat yang saya baca tadi mewakili diri saya, dan dengan ayat suci yang saya baca tadi juga menafikan tuduhan yang terdapat dalam laporan tersebut. Pertama, menuduh saya menyebarkan ajaran sesat adalah fitnah semata-mata, ya fitnah. Semuanya fitnah, hanya Allah yang mengetahui betapa besarnya dosa orang yang membuat fitnah terhadap diri saya. Kedua, tuduhan yang mengatakan saya mengeluarkan fatwa bahawa Syiah adalah sesat, adalah benar. Tetapi pengadu itu salah faham dengan kenyataan saya, yang benarnya ialah bukan saya mengeluarkan fatwa tersebut, tetapi saya hanyalah menukilan kembali fatwa yang dikeluarkan oleh para Ulama’.”

“Masakan pokok bergoyang kalau tidak ada angin!” Bentak Ustaz Ruhollah, dia menafikan keterangan Yusuf. Dia bengang dengan ketenangan yang ditunjukkan oleh Yusuf. Ustaz Ismail terkejut dengan tindakan Ustaz Ruhollah, begitu juga dengan Yusuf.

“Saya sendiri melihat dan mendengar apa yang engkau katakan dalam sebuah tazkirah di masjid tidak lama dahulu. Dalam tazkirah itu, engkau kata orang Islam boleh makan bangkai, boleh lari dari rahmat Allah, dan boleh melihat Allah dalam solat. Itu yang engkau kata bukan ajaran sesat? Semuanya bercanggah dengan akidah ahli Sunnah wal Jamaah.” Ustaz Ruhollah mengeluarkan sapu tangan kemudian mengelap mulutnya. Kelihatan air liur merembes keluar dan berkumpul di setiap hujung mulutnya. Ustaz Ismail pula mencatat apa yang dikatakan oleh Ustaz Ruhollah di sehelai kertas, kerana kenyataan tersebut tidak tercatat dalam laporan yang dia perolehi itu.

Yusuf memejam matanya, tanda protes dan menahan amarahnya. Memang benar dia pernah menyatakan hal tersebut, tetapi kenyataannya itu sekali lagi disalah anggap oleh Ustaz Ruhollah. Yusuf cuba mengatur frasa-frasa ayat yang harus dituturkan, berdialog dengan orang yang lebih tua darinya tidak sama berdialog dengan orang yang sebaya dengannya. Yusuf harus sedikit diplomasi dan harus menahan amarahnya dan sentiasa bersikap lemah-lembut.

“Paparkan akhlakmu , berdakwahlah dengan akhlak kerana dengan akhlak, Rasulullah dapat menundukkan kesombongan manusia di sekelilingnya ketika itu. Sepertimana yang dikatakan oleh Saiditina Ai’syah yang direkodkan oleh Imam Muslim, bahawa Nabi Muhammad akhlaknya adalah al-Quran.” Pesanan dari Abang Razak masih terngiang-ngiang di telinga Yusuf. Abang Razaklah yang membimbing Yusuf dan menjadi orang yang paling rapat semasa dia berada di dalam kejahilan. Ketika itu, dia tidak kenal apa itu Islam, dan dia juga tidak kenal erti dosa dan pahala. Baginya, kehidupan ini harus digunakan sebaik mungkin dengan berfoya-foya dan bergembira sewenangnya. Tetapi kehadiran Abang Razak mengubah segala-galanya.

“Maaf kalau saya bertanya. Ketika itu, Ustaz Ruhollah dengar sampai habis atau tidak tazkirah saya?” Yusuf bertanya lembut, matanya tepat memandang kedua mata Ustaz Ruhollah, matanya seakan meminta jawapan ikhlas darinya.

“Buat apa aku menunggu sampai habis tazkirah sesat engkau itu. Aku dengar macam itu sahaja, aku terus tak berselera mahu dengar.”

“Kalau begitu, Ustaz Ruhollah telah salah faham dengan apa yang saya katakan tempoh hari. Kerana selepas saya katakan bahawa orang Islam boleh makan bangkai, boleh mengelak dari Rahmat Allah, dan boleh melihat Allah, saya ada menerangkan disebalik kenyataan saya itu.”

“Ah! Jangan nak berdalih lagi, benda macam itu budak sekolah pun boleh tahu itu adalah kenyataan orang sesat.” Ustaz Ruhollah mencelah.

“Ustaz Ruhollah diam sebentar, beri Yusuf peluang untuk menerangkannya.” Kedengaran Ustaz Ismail bersuara, yang sejak tadi hanya membisu. Ustaz Ismail semacam tertarik untuk mendengar lebih lanjut penjelasan dari Yusuf. Semacam ada benda baru yang boleh dia pelajari dari anak muda di depannya ini.

“Yusuf, teruskan.” Ustaz Ismail mengangkat tangannya dan menyuruh Yusuf meneruskan penjelasannya.

“Terima kasih ustaz. Baiklah saya terangkan satu persatu. Pertama tentang orang Islam boleh makan bangkai. Bangkai yang saya maksudkan ialah ikan dan belalang. Kedua-dua jenis bangkai ini ada disebutkan oleh Nabi Muhammad dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah. Katanya, “Dihalalkan bagi kita dua macam bangkai dan dua macam darah. Dua macam bangkai itu adalah belalang dan ikan, sedangkan dua macam darah adalah hati dan jantung." Ustaz Ismail tersenyum kemudian dia ketawa kecil mendengar penjelasan Yusuf, kemudian mengangguk tanda setuju.

“Seterusnya.” Suara Ustaz Ismail tidak keras seperti awal tadi, ada sedikit ketenangan dan kelembutan dirasa dari suaranya. Ustaz Ruhollah resah, dia mengenggam erat jari-jemarinya.

“Yang kedua pula, berkenaan dengan kita boleh lari dari rahmat Allah. Rahmat Allah yang saya maksudkan dalam tazkirah saya tempoh hari ialah hujan. Hujan adalah rahmat dari Allah sepertimana yang diceritakan oleh Saiditina Ai’syah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim, bahawa apabila hujan turun, Nabi Muhammad akan berkata, hujan itu adalah rahmat. Tetapi adakah kita akan mendedahkan kita dengan hujan jika hujan turun? Kita pasti akan menggunakan payung untuk mengelakkan hujan dari membasahi diri kita kan? Kalau boleh, kita tidak mahu baju yang kita pakai lawa-lawa itu dari dibasahi hujan, kita lari dari hujan. Sedangkan hujan itu adalah rahmat, tetapi kita lari darinya. Itu yang saya maksudkan bahawa kita boleh lari dari rahmat Allah. Ketiga pula berkenaan dengan kita boleh melihat Allah semasa solat. Ustaz pasti mahir dalam bahasa arab bukan?” Ustaz Ismail mengangguk dan mengiyakan. “Kalau begitu, pasti ustaz tahu makna shahadah dalam bahasa Melayu.”

“Shahadah dalam bahasa Melayu bermaksud melihat.” Ustaz Ismail menjawab pertanyaan Yusuf.

“Dalam tahiyat akhir dan awal kita semasa solat, kita ada menyebut ashadu-allah ila ha il-lah. Kalau dimaknakan secara harfiyah iaitu dari segi bahasa, ia bermaksud, tidaklah aku melihat tuhan kecuali Allah. Jadi apa yang saya maksud dalam tazkirah saya bahawa orang islam boleh melihat Allah semasa solat, hanyalah majaz ataupun kiasan untuk mereka bersama berfikir. Lagipula, ketiga-tiga perkara ini adalah teka-teki seorang ulama besar zaman tabien kepada para muridnya.”

“Jadinya, ketiga-tiga perkara tersebut hanyalah sebuah teka-teki yang didalamnya terdapat pengajaran?” Tanya Ustaz Ismail kepada Yusuf.

“Benar, ia hanyalah sebuah teka-teki. Disebabkan itu saya bertanyakan kepada Ustaz Ruholah sama ada beliau ada mendengar sampai habis atau tidak tazkirah saya tempoh hari. Mendengar ucapan seseorang haruslah didengari dari awal sehingga akhir, takut-takut orang yang mendengar sekerat-kerat akan salah faham dan timbul fitnah kepada orang yang memberi tazkirah.” Yusuf memulangkan paku sepih kepada Ustaz Ruhollah.

Muka Ustaz Ruhollah merah menahan marah, dia mendengus kasar. Ustaz Ismail pula tersenyum lebar, muncul sedikit kekaguman beliau kepada Yusuf. Seorang anak muda yang petah dan lemah lembut dalam berkata-kata. Tetapi dalam masa yang sama beliau tidak boleh menunjukkan sikap belas beliau kepada Yusuf, kerana banyak lagi soalan yang perlu ditanyakan dan mendapat penjelasan dari Yusuf. Lagipula, beliau harus menjaga air muka Ustaz Ruhollah sebagai seorang bilal di Masjid as-zakirin.

“Banyak lagi kekarutan dan kesesatan yang engkau bawa, semuanya ada dalam laporan itu. Jangan ingat engkau sudah lepas disebabkan engkau dah putar-putar ayat dan gunakan hadith sewenangnya untuk menjelaskan tiga perkara tadi itu.” Ustaz Ruhollah membentak , dia menyelak-nyelak keras fail didepannya. “Kan banyak lagi persoalan yang dicatatkan dalam laporan itu, ustaz kena bertegas dan jangan hanya dia dapat dapat jawab soalan tadi, ustaz sudah lepaskannya.” Ustasz Ismail memandang Yusuf, kemudian pandangannya dikalihkan ke atas fail berwarna merah yang berisi laporan tentang Yusuf. Dia melihat jam di dinding, sudah jam 4.30 petang. Lagi 4 minit, waktu Asar akan masuk dan azan akan berkumandang.

“Memang benar, ada banyak lagi yang harus saya tanyakan. Tetapi masa tidak mengizinkan, sebentar lagi waktu Asar sudah masuk. Begini... Esok jam 10 pagi kamu ada kelas?”

“Saya tidak ada kelas dari pagi sehingga jam 2 petang.” Jawab Yusuf.

“Kalau begitu, datang ke bilik saya semula hari esok jam 10 pagi, kita teruskan sessi soal-jawab ini. Ustaz Ruhollah juga perlu datang esok pagi.” Arah Ustaz Ismail.

Kemudian Yusuf dibenarkan keluar. Ustaz Ruhollah hanya memerhatikan sahaja, dia membetulkan duduknya di depan Ustaz Ismail. Matanya, terus mengekor ke arah Yusuf sehingga hilang dari pandangannya. Hati Yusuf lega, Allah membantunya, tetapi bagaimana dengan hari esok? Hanya Allah dapat menjawab..

Sunday, November 23, 2008

MENZALIMI MANHAJ SALAF


Selepas saya menulis artikel bertajuk “mencabar Fatwa” ramai Salafiyun dengan nada yang berbeza-beza menghantar email dan juga sms kepada saya. Saya menerimanya dengan terbuka dan apa yang boleh saya katakan, inilah proses percambahan dan pencernaan pemikiran saya. Saya tidak sesekali menolak dan menafikan manhaj Salaf, tetapi apa yang saya ketengahkan dalam artikel tersebut adalah tentang Manhaj Salaf yang telah dizalimi oleh pengikutnya.

Dalam persepsi masyarakat, Manhaj Salaf ini ialah Manhaj debat, bukan manhaj yang dapat membangunkan masyarakat dan membina rangkain amalan didalamnya. Orang ramai telah digambarkan bahawa Manhaj ini hanya memerhatikan hal-hal khilaf, bid’ah, tidak menghormati para ulama’ dan hanya melihat persoalan-persoalan di luar kerangka berbanding isinya. Itu persepsi masyarakat secara umum.


MANHAJ KONSERVETIF

Al-Imam Yusuf al-Qardhawi antara ulama besar yang perihatin tentang hal ini berkata, “Penentang Manhaj ini melihat dan mengatakan bahawa kaum Salafi ini adalah orang-orang yang konservatif dan terkebelakang. Kaum Salafi adalah orang-orang yang selalu melihat ke belakang dan tidak pernah melihat ke depan. Kaum Salafi tidak pernah memikirkan masalah konteremporari dan masa depan. Kaum Salafi adalah orang-orang yang fanatik yang tidak pernah mahu mendengar pendapat orang lain. Sehinggakan Mereka beranggapan bahawa orang-orang Salafi adalah orang-orang yang menentang Tajdid (pembaharuan) dan ijtihad. Mereka juga mengatakan bahawa kaum Salafi tidak tahu tentang pandangan moderat dan pertengahan.”

Saya menyokong dan mengakui kenyataan yang dibuat Imam Yusuf al-Qardhawi tentang perkara ini. Bukan sahaja di tempat beliau perkara itu terjadi, malahan bibit-bibit mencela,membida’ah dan juga barah fanatisme mula merebak di kalangan Salafiyun di Malaysia, terutama di kalangan Mahasiswa.


JANGAN TERUS TERJUN

“Dalam solat tidak ada lafaz Ussoli.”
“Baca al-fatihah tidak perlu Basmallah.”
“Subuh tak perlu Qunut.”

Biasa dengar bukan ayat-ayat di atas? Saya tidak kata teguran di atas adalah salah, tetapi tidak kena cara , masa dan tempatnya. Adakah perkara utama dalam berdakwah adalah membetulkan cara solat, atau hal-hal yang berkaitan dengan feqh? Tidak! Perkara asas yang harus ditekankan adalah memantapkan akidah. Perkenalkan manhaj Salaf dalam menerangkan konsep akidah yang sebenar. Jangan terus terjun di dalam kolam yang kita tidak tahu ada apa didalamnya, tetapi jenguk-jenguklah dan rasa-rasalah permukaannya. Bukan terus terjun!

Imam Ibnu Taimiyah dan Imam Ibnu Qoyim aljauziah adalah dua imam besar yang selalu Salafiyun ambil pandangannya. Apabila ditanya kenapa selalu sahaja pandangan imam besar ini diambil dan dijadikan hujah? Jawapan yang akan diberi, kerana mereka berdua ini menyeru untuk melihat dan mengikuti dalil. Antara ungkapan masyhur adalah, “lihatlah apa yang dikatakan tanpa melihat pada siapa yang mengucapkannya.”

Namun persoalan yang mahu saya timbulkan ialah, jika Salafiyun mengingakari orang yang bertaqlid kepada para imam besar yang lain seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan Imam Ahmad, jadi bagaimana dengan Salafiyun yang hanya mengambil pandangan Imam Ibnu Taimiyah dan Imam Ibnu Qoyim? Tidakkah itu juga dikatakan sebagai taqlid?


HORMATI PARA ULAMA’

Kedua-dua imam di atas adalah imam yang cukup hebat dan tinggi ilmunya. Saya tidak mengatakan tidak boleh menyandarkan pandangan-pandangan dari mereka berdua, tetapi tidak seharusnya kita mengenepikan pandangan-pandangan para ulama besar yang lain dan dalam masa yang sama kita mudah sangat mengkritik pandangan para ulama atas dasar “Kritikan Ilmiah.” Jika kita boleh mengambil dan mendukung pemikiran kedua-dua imam besar itu, kenapa kita tidak boleh meneladani sikap mereka juga dalam aspek menghormati para imam, sepertimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya yang berjudul Raf’ul Al-Malaam ‘An Al-Aimmah Al-A’lam.


Banyak perkara yang mahu saya lontarkan, bukan mahu memanaskan keadaan atau membingitkan telinga. Tetapi sedarlah wahai sahabat-sahabatku, bahawa itulah pandangan dan persepsi masyarakat terhadap Manhaj kita. Ya memang benar, kita perjuang Sunnah, tetapi pernahkah kita tanyakan dan fikirkan tentang tindak-tanduk kita yang kadang-kadang ‘lebih kuah dari sudu’.


MINDA KRITIS

Tidak dinafikan bahawa saya bermanhaj Salaf dan pejuang Sunnah, tetapi kita ini bukanlah robot yang tidak boleh berfikir dan menilai. Gunakanlah minda secara kritis, cubalah berdialog dengan diri anda dan orang-orang sekeliling. Jangan hanyut didalam dunia anda dan dalam kelompok anda. Keluarlah dan gaulilah, kerana disitu ada sinar yag sedang menanti.

Dakwah itu bukanlah sekadar tulisan di atas kertas atau di blog, atau rakaman-rakaman kuliah. Tetapi dakwah sebenar adalah kepedulian kita terhadap persoalan yang dihadapi manusia dan memecahkannya sehingga membolehkan kita mendekatkan pemikiran (manhaj) kita kepada pemikiran mereka. Taatkalah matahari masih terbit dari timur, dan bulan masih mahu memantulkan cahaya, selagi itulah kita diberi kesempatan untuk mengubah persepsi salah yang ada di fikiran masyarakat tentang Manhaj Salafusoleh. Kerana kita yakin dan sedar bahawa inilah Manhaj yang diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya.

Friday, November 21, 2008

Antara kejujuran atau keuntungan

Sebagai seorang pelajar perakauanan yang bakal menjadi seorang akauntan yang bertauliah, saya diajar untuk peka segala aspek, walaupun perkara itu dianggap kecil. Selain peka, etika adalah aspek paling utama dan paling diperkatakan dalam dunia perakaunan. Etika menjadi asas kepada seorang akauntan, tanpa asas ini sistem akaun dan ekonomi akan menjadi kucar-kacir. Contoh paling jelas ialah Author Anderson firma Audit yang ‘berkerjasama’ dengan Enron. Kerana kegiatan mereka yang tidak berertika, profession akauntan menjadi busuk dan dilihat sebagai sebuah profession yang hanya layak kepada mereka yang mahu menipu.


Begitu jugalah dengan kegiatan kita dalam berpersatuan, dan berorganisasi. Etika menjadi duri dalam daging, menjadi barah yang sukar untuk kita rawat dan bendung. Mengapa? Soalan itu harus kita tujukan kepada diri kita sebelum kita membawa pertanyaan tersebut kepada orang lain. Adakah kita sudah cukup beretika, atau kita masih lagi tidak mengenal apa itu etika.
Persoalan itu terus bermain dalam masyarakat kita, apabila ETIKA sekadar bermain-main dimulut, tetapi tidak tergambar dari perlakuan. Memegang sesuatu jawatan dalam sesbuah organisasi, sama ada yang bermotifkan keuntungan atau tidak, salah guna kuasa adalah perbuatan tidak beretika yang sering kita dengar.

Sekali lagi kita bangkitkan persoalan iaitu MENGAPA? Adakah kita tidak tahu, atau buat-buat tidak tahu, sehinggakan perbuatan itu menjadi rasional pada diri kita. Cuba kita tanyakan kepada manusia yang waras, adakah perbuatan menggunakan kuasa untuk kepentingan sendiri adalah sebuah perbuatan yang beretika. Sudah pasti jawapannya ialah TIDAK. Manusia yang waras paling benci pemimpin atau orang yang mempunyai kuasa mengambil kesempatan melalui jawatan yang mereka ada.


HARAMKAH?

Haram atau tidak kita tolak tepi dahulu, kita cuba menilainya dari aspek undang-undang dunia. Kerana salah guna kuasa atau tindakan tidak beretika ini bukan sahaja berlaku dikalangan orang Islam, tetapi ia merangkumi keseluruhan manusia.

Dalam kes Regal Hastings lwn Gulliver (1942), House of Lord membuat rumusan bahawa, jika seseorang pengarah itu dibayar apa-apa komisyen atau mendapat apa-apa faedah kewangan " oleh sebab atau melalui kedudukannya sebagai maka pengarah berkenaan telah melanggar kewajipan fidusiarinya dan bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat kekayaan yang didapatinya.

Apa kaitan sebutan kes di atas dengan apa yang mahu saya katakan?
Ada kaitannya, kaitannya ialah apabila seseorang yang mempunyai jawatan dalam organiasasi menggunakan maklumat atau peluang untuk kepentingan sendiri. Perlakuan ini sudah banyak berlaku di mata saya, antaranya ialah seseorang yang ada jawatan dalam kelab tersebut menggunakan syarikatnya atau menempah di tempat yang akan memberi keuntungan kepadanya, bila kelab atau persatuan mereka mahu membuat baju atau kad nama.


APA SALAH SAYA

Apa salahnya? Ya tidak salah jika diberitahu kepada kelab atau persatuan bahawa kita menempah di syarikat atau tempat yang akan membawa keuntungan kepada kita, tetapi yang menjadi kesalahan ialah kita tidak beritahu tentang perkara tersebut. Sepertimana yang dijelaskan dalam Article of Association, “On the other hand a director can profit if he has made an arrangement with the company and making a full disclosure.”

Dalam banyak sebutan kes, mereka yang mengunakan kedudukan mereka untuk mengaut keuntungan haruslah memulangkan kesemua keuntungan yang mereka perolehi.

Sepertimana keputusan yang dibuat oleh Lord Hussel 0f Killowen, dia menjelaskan, "Rukun ekuiti yang dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kedudukan fidusiari mereka untuk membuat keuntungan, adalah bertanggungan untuk menyerahkan keuntungan itu, tidak sekali-kali bergantung kepada penipuan (fraud) atau ketiadaan bona fide (good faith), atau atas persoalan sedemikian atau pertimbangan atas sama ada keuntungan boleh atau sepatutnya sebaliknya diperolehi oleh syarikat, atau sama ada pembuat keuntungan itu adalah berkewajipan untuk mendapatkan sumber keuntungan itu untuk syarikat, atau sama ada dia mengambil risiko atau bertindak sebagaimana yang dilakukannya itu untuk kepentingan syarikat, atau sama ada syarikat telah sebenarnya rugi atau mendapat faedah daripada tindakannya itu. Liabiliti timbul hanya daripada keuntungan yang, dalam hal-keadaan yang tersebut, telah dilakukan. Pembuat keuntungan, bagaimana jujur dan berniat apa sekalipun, tidak boleh melepaskan diri daripada risiko untuk dipertanggungjawabkan kepada syarikat." : (Phipps lwn Boardman (1967) )


SEBUAH CONTOH

Sebuah syarikat X yang memiliki sebuah panggung wayang, membentuk sebuah anak syarikat untuk membeli dua buah lagi panggung wayang dengan maksud untuk menjual ketiga-tiganya sekali gus. Pengarah-pengarah memohon beli syer-syer dalam anak syarikat berkenaan dan oleh itu mendapat faedah apabila anak syarikat itu dijual dengan memperoleh keuntungan. Diputuskan bahawa pengarah-pengarah telah menggunakan maklumat dan kesempatan yang diperolehinya sebagai pengarah syarikat X untuk memperoleh syer-syer tersebut dan tanpa membuat pendedahan secara yang sewajarnya, adalah bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat X atas keuntungan yang diperolehi oleh mereka. (REGAL (HASTINGS) LTD LWN GULLIVER (1942) )


SEBUAH NASIHAT

Kepada mereka yang menggunakan kedudukan untuk mengaut keuntungan saya menyeru untuk memberhentikan kegiatan tersebut. Kerana perbuatan anda itu adalah salah! Jadilah seorang pemimpin yang jujur, lagi baik untuk kita rugi daripada kita mengambil harta tanpa hak kita. Kerana mengambil harta orang lain tanpa hak adalah sebuah perbuatan yang tidak beretika dan tidak diterima dalam Islam dan juga moral.

"Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain diantara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu dengan memberi rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya". (surah al-baqarah ayat 188)



.

WaAllahualam....