Fikiran saya terus tidak tenteram hari ini. Peperiksaan pertengahan semester yang akan saya duduki pada malam esok, tidak banyak mempengaruhi kegundahan saya. Dari bab pertama sehingga bab 4 sudah saya baca dan fahami isi-isinya. Subjek Company Law yang ditawarkan pada semester ini sedikit sebanyak membantu saya mendalami ilmu perundangan. Tetapi fikiran saya terus menerawang memikirkan sesuatu yang lain dan diluar batas pembacaan yang sepatutnya saya harus hadam.
Talbiah yang sudah lama tidak didengari, semakin lama semakin kuat kedengaran di cuping telinga saya. “Labaik Allah Huma Labaik, labaikala syarikakala baik, inal hamda, wanni’mata, lakawalmulk,laa syarikalah.” Suara-suara itu terus menggasak masuk ke gengendang telinga saya. Saya sujud memohon keampunan dan bermunajat kepada-Nya. Memohon diberi kekuatan dan rezeki agar dapat ke Baitul Haram pada masa akan datang. Insya Allah, saya dan keluarga akan ke Makkah lagi pada tahun 2012 seperti yang telah ditetapkan pihak Tabung Haji.
Sesak di dada bukan sahaja kerana rindukan BaitulHaram, tetapi sesak memikirkan seorang insan yang bakal keluar dan meninggalkan lapangan dakwah di Malaysia untuk mencari sesuatu di bumi United Kingdom. Insan ini bukan sahaja sudah banyak menabur bakti dan ilmu, malahan telah banyak mengubah pandangan dan persepsi masyarakat terhadap agama. Slogan Tajdid, Dalil-dalil, dan kesarjanaan menjadi misi dan visi beliau agar umat Islam keluar dari kepompong kejumudan dan kembali kepada ajaran Islam yang tulen berdasarkan kefahaman para sahabat, tabien dan tabiut tabien.
TINGGALKAN KERUSI EMPUK
Pandangan-pandangan ilmiah serta gerak kerja beliau yang berbeza dari tokoh agama yang lain, memberi pelbagai tafsiran dan tanggapan masyarakat terhadap beliau. Beliau meninggalkan kerusi empuk di Pejabat Mufti untuk berada dan bergaul bersama masyarakat Mahrain. Beliau sanggup bersama para artis, bersama sasterawan, bersama ahli politik, bersama orang kampung, dan Mahasiswa semata-mata untuk memberi pemahaman Islam kepada mereka secara jelas. Menjadi sejarah dalam dunia insititusi keagamaan, seorang Mufti duduk semeja dengan para artis untuk membincangkan perihal hiburan. Bukan mencari perbezaan tetapi mencari persamaan yang dapat menjernihkan hubungan agama dengan hiburan. Islam tidak melarang hiburan, tetapi agama memberi altenatif kepada hiburan dengan menyediakan hiburan berteraskan Syariat.
PANDANGAN SAYA
Ada seorang pembaca bertanyakan kepada saya, apa pandangan saya terhadap beliau. Pandangan saya, saya berbangga dan bersyukur dapat mengenali beliau secara dekat dan memperolehi ilmu daripada beliau. Memang benar, manusia itu tidak pernah lari dari kesalahan, tetapi kesalahan itu haruslah dijadikan sempadan dan kebaikan itu haruslah dijadikan teladan. Selama saya mengenali beliau, banyak ilmu dan nasihat-nasihat beliau menjadi alat untuk saya terus mendekatkan diri kepada Allah. Saya tidak banyak kenangan bersama beliau, tetapi sebagai seorang yang sentiasa memerhatikan peribadi dan pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh beliau, sedikit sebanyak beliau antara tokoh yang banyak mengubah corak pemikiran saya.
Dugaan dan cabaran dalam menegakkan agama dan menyampaikan agama bersih dari pelbagai kekurafatan dan kebatilan memang sentiasa dipenuhi dengan pelbagai onak dan duri. Tetapi semua itu ditutupi dengan keyakinan bahawa kebenaran itu pasti menjadi HAK, dan kebatilan itu akan lenyap selama-lamanya. Walaupun ia mengambil masa, tetapi keyakinan terhadap janji-janji Allah menghilangkan lelah dan kesedihan yang menimpa. Bukan sedikit fitnah dan dugaaan ditempuhi oleh beliau, tetapi beliau terus teguh berdiri dan terus maju menapak ke hadapan. Cabaran dan dugaan itu, kadang-kala dikongsi bersama dengan sahabat-sahabat yang mendengar kuliah beliau. Kami berkongsi rasa, dan tanggungjawab. Kami sedar bahawa itulah bayaran yang harus kami bayar untuk mendapatkan kemanisan beragama.
Apabila insan ini melangkah keluar, saya tanyakan apakah tangisan yang diiringi atau ingatan yang berbekas akan terus disimpan? Doa dan harapan dibawa bersama untukmu, moga perjalanan dakwahmu terus berjalan dan mekar walau dimana SS DR Mohd Asri Zainul Abidin berada. Seeru ala barakatillah....
wah
ReplyDeletebagusnya dapat jumpa dr asri
saya suka baca artikel tulisannya.