Friday, November 21, 2008

Antara kejujuran atau keuntungan

Sebagai seorang pelajar perakauanan yang bakal menjadi seorang akauntan yang bertauliah, saya diajar untuk peka segala aspek, walaupun perkara itu dianggap kecil. Selain peka, etika adalah aspek paling utama dan paling diperkatakan dalam dunia perakaunan. Etika menjadi asas kepada seorang akauntan, tanpa asas ini sistem akaun dan ekonomi akan menjadi kucar-kacir. Contoh paling jelas ialah Author Anderson firma Audit yang ‘berkerjasama’ dengan Enron. Kerana kegiatan mereka yang tidak berertika, profession akauntan menjadi busuk dan dilihat sebagai sebuah profession yang hanya layak kepada mereka yang mahu menipu.


Begitu jugalah dengan kegiatan kita dalam berpersatuan, dan berorganisasi. Etika menjadi duri dalam daging, menjadi barah yang sukar untuk kita rawat dan bendung. Mengapa? Soalan itu harus kita tujukan kepada diri kita sebelum kita membawa pertanyaan tersebut kepada orang lain. Adakah kita sudah cukup beretika, atau kita masih lagi tidak mengenal apa itu etika.
Persoalan itu terus bermain dalam masyarakat kita, apabila ETIKA sekadar bermain-main dimulut, tetapi tidak tergambar dari perlakuan. Memegang sesuatu jawatan dalam sesbuah organisasi, sama ada yang bermotifkan keuntungan atau tidak, salah guna kuasa adalah perbuatan tidak beretika yang sering kita dengar.

Sekali lagi kita bangkitkan persoalan iaitu MENGAPA? Adakah kita tidak tahu, atau buat-buat tidak tahu, sehinggakan perbuatan itu menjadi rasional pada diri kita. Cuba kita tanyakan kepada manusia yang waras, adakah perbuatan menggunakan kuasa untuk kepentingan sendiri adalah sebuah perbuatan yang beretika. Sudah pasti jawapannya ialah TIDAK. Manusia yang waras paling benci pemimpin atau orang yang mempunyai kuasa mengambil kesempatan melalui jawatan yang mereka ada.


HARAMKAH?

Haram atau tidak kita tolak tepi dahulu, kita cuba menilainya dari aspek undang-undang dunia. Kerana salah guna kuasa atau tindakan tidak beretika ini bukan sahaja berlaku dikalangan orang Islam, tetapi ia merangkumi keseluruhan manusia.

Dalam kes Regal Hastings lwn Gulliver (1942), House of Lord membuat rumusan bahawa, jika seseorang pengarah itu dibayar apa-apa komisyen atau mendapat apa-apa faedah kewangan " oleh sebab atau melalui kedudukannya sebagai maka pengarah berkenaan telah melanggar kewajipan fidusiarinya dan bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat kekayaan yang didapatinya.

Apa kaitan sebutan kes di atas dengan apa yang mahu saya katakan?
Ada kaitannya, kaitannya ialah apabila seseorang yang mempunyai jawatan dalam organiasasi menggunakan maklumat atau peluang untuk kepentingan sendiri. Perlakuan ini sudah banyak berlaku di mata saya, antaranya ialah seseorang yang ada jawatan dalam kelab tersebut menggunakan syarikatnya atau menempah di tempat yang akan memberi keuntungan kepadanya, bila kelab atau persatuan mereka mahu membuat baju atau kad nama.


APA SALAH SAYA

Apa salahnya? Ya tidak salah jika diberitahu kepada kelab atau persatuan bahawa kita menempah di syarikat atau tempat yang akan membawa keuntungan kepada kita, tetapi yang menjadi kesalahan ialah kita tidak beritahu tentang perkara tersebut. Sepertimana yang dijelaskan dalam Article of Association, “On the other hand a director can profit if he has made an arrangement with the company and making a full disclosure.”

Dalam banyak sebutan kes, mereka yang mengunakan kedudukan mereka untuk mengaut keuntungan haruslah memulangkan kesemua keuntungan yang mereka perolehi.

Sepertimana keputusan yang dibuat oleh Lord Hussel 0f Killowen, dia menjelaskan, "Rukun ekuiti yang dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kedudukan fidusiari mereka untuk membuat keuntungan, adalah bertanggungan untuk menyerahkan keuntungan itu, tidak sekali-kali bergantung kepada penipuan (fraud) atau ketiadaan bona fide (good faith), atau atas persoalan sedemikian atau pertimbangan atas sama ada keuntungan boleh atau sepatutnya sebaliknya diperolehi oleh syarikat, atau sama ada pembuat keuntungan itu adalah berkewajipan untuk mendapatkan sumber keuntungan itu untuk syarikat, atau sama ada dia mengambil risiko atau bertindak sebagaimana yang dilakukannya itu untuk kepentingan syarikat, atau sama ada syarikat telah sebenarnya rugi atau mendapat faedah daripada tindakannya itu. Liabiliti timbul hanya daripada keuntungan yang, dalam hal-keadaan yang tersebut, telah dilakukan. Pembuat keuntungan, bagaimana jujur dan berniat apa sekalipun, tidak boleh melepaskan diri daripada risiko untuk dipertanggungjawabkan kepada syarikat." : (Phipps lwn Boardman (1967) )


SEBUAH CONTOH

Sebuah syarikat X yang memiliki sebuah panggung wayang, membentuk sebuah anak syarikat untuk membeli dua buah lagi panggung wayang dengan maksud untuk menjual ketiga-tiganya sekali gus. Pengarah-pengarah memohon beli syer-syer dalam anak syarikat berkenaan dan oleh itu mendapat faedah apabila anak syarikat itu dijual dengan memperoleh keuntungan. Diputuskan bahawa pengarah-pengarah telah menggunakan maklumat dan kesempatan yang diperolehinya sebagai pengarah syarikat X untuk memperoleh syer-syer tersebut dan tanpa membuat pendedahan secara yang sewajarnya, adalah bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat X atas keuntungan yang diperolehi oleh mereka. (REGAL (HASTINGS) LTD LWN GULLIVER (1942) )


SEBUAH NASIHAT

Kepada mereka yang menggunakan kedudukan untuk mengaut keuntungan saya menyeru untuk memberhentikan kegiatan tersebut. Kerana perbuatan anda itu adalah salah! Jadilah seorang pemimpin yang jujur, lagi baik untuk kita rugi daripada kita mengambil harta tanpa hak kita. Kerana mengambil harta orang lain tanpa hak adalah sebuah perbuatan yang tidak beretika dan tidak diterima dalam Islam dan juga moral.

"Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain diantara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu dengan memberi rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya". (surah al-baqarah ayat 188)



.

WaAllahualam....

1 comment:

  1. mengingatkan akak pada subjek professional ethics dan business law...hehehe

    ReplyDelete