Saturday, November 29, 2008

Mencari cinta Shab Turab siri 6


Angin bayu malam itu sejuk. Perlahan-perlahan menyapa pipi Yusuf dan menarik-narik rambut Yusuf sehingga kusut. Yusuf membetul-betulkan rambutnya, petang itu sang bayu bertiup kuat seakan-akan menghelakan nafasnya yang panjang. Yusuf berdiri menghadap ke arah laut. Warna senja mulai memamah suasana, memberitahu bahawa malam akan menggantikan siang.

Yusuf masih berdiri dia kagum dengan keindahan senja. Ucapan Maha suci Allah bertalu-talu diucapkan Yusuf. Burung-burung kelihatan berarak dalam satu barisan di langit senja. Mencari jalan pulang atau mencari rezeki untuk anak-anak di sangkar pokok. Air laut meningkat naik, terasa air mula mencecah buku lali Yusuf. Cepat-cepat Yusuf beralih ke belakang sedikit, kadang-kadang dia sengaja mengacah-acah air laut itu.

Hitam mula menggantikan merah senja, malam menjadi pengganti siang. Lumrah alam dari pencipta yang Maha bijaksana. Yusuf mengatur langkah, perlahan-lahan dia menuju ke arah sebuah gerai yang terdapat di situ. Sebuah kedai kopi beratapkan zink dan berdindingkan batu-batu yang sudah di mamah usia dituju Yusuf. Ada beberapa lelaki tua dan muda sedang berborak dan bermain dam di situ. Kehadiran Yusuf ke kedai itu tidak diperdulikan mereka. Mereka asyik berborak dan bermain dam, dan rokok terkepit dijari berkepul-kepul asap naik keudara.

“Kopi satu.” Yusuf memesan kopi, harganya tidaklah terlalu mahal seperti kopi yang dibelanja Kamal di Sauqul Ma’. Tadi semasa dia bersiar-siar di tepi pantai, Kamal menghubungi Yusuf. Katanya mahu berjumpa dengan Yusuf lagi, untuk menyambung perbincangan yang terhenti.

“Kalau tidak menjadi keberatan, saya mahu ke tempat penginapan kamu. Lebih memudahkan dan tidak menyusahkan Yusuf . Bagaimana dengan pandangan kamu?”

“Baiklah, saya menyetujuinya. Insya Allah malam ini jam 10 tunggu saya di laman Motel.” Yusuf menamatkan perbualannya.

Yusuf mencicip kopi panas yang dipesannya tadi. Pahit tetapi lemak berkrim. Yusuf berpuas hati dengan kopi yang dihidangkan. Suasana malam di Alexendaria mula suram. Keriuhan dan kelam-kabutnya sistem pengangkutan yang berlaku pagi tadi sehingga ke petang tidak kelihatan lagi. Suasana menjadi tenang, hanya kelihatan beberapa buah kereta melalui jalan besar di situ. Sejuk malam mula mencengkam tubuh. Mujur Yusuf ada membawa jaket yang disimpan di dalam beg.

Setelah membayar 2 junaih, Yusuf mengatur langkah untuk pulang ke Motel. Dia harus bersedia sebelum mula berbincang dengan Kamal. Mujurlah hanya 10 minit masa yang diambil dari kedai kopi ke Motelnya. Yusuf menuju ke arah pekerja wanita yang bertugas menyimpan kunci bilik. Wanita arab yang menyimpan kuncinya tersenyum apabila melihat Yusuf, kelihatan lesung pipitnya.

“Awal balik? Saya ingatkan kamu akan balik lewat malam. Selalunya para pelancong yang datang ke sini, akan berlama-lama di sekitar pantai Alex.” Wanita itu menyapa ramah. Tangannya menekan-nekan butang di komputer, merekodkan pemulangan kunci kepada Yusuf.

“Saya ada urusan kejap lagi. Kawan saya mahu berjumpa dengan saya jam 10. Lagipun saya bukanlah suka sangat berlama-lama di pantai, sebab orang kata pantai Alex ada hantu.” Wanita tadi kelihatan terkejut dengan kata-kata Yusuf.

“Betulkah ada hantu? Pertama kali saya mendengar cerita ini.” Wanita itu kehairanan, berkerut-kerut dahinya.

“Saya berlawak sahaja, janganlah ambil serius.” Yusuf ketawa terbahak-bahak, wanita itu hanya tersenyum melihat gelagat Yusuf.

“Ini kuncinya. Selamat beristirahat, dan saya akan pastikan hantu itu akan datang ke bilik awak malam ini.”

“Hahaha...Baiklah terima kasih.” Yusuf berlalu pergi sambil melambai-lambai ke arah wanita itu.


Di laman Motel, Kamal kelihatan sedang berborak-borak dengan seorang wanita. Wanita itu pula sedang membelek-belek sebuah buku yang di dalamnya terdapat catatan-catatan Kamal tentang budaya Malaysia. Suasana di Motel lengang, hanya beberapa orang pekerja sedang sibuk mengemas dan menyusun kerusi dan cawan-cawan yang digunakan penginap di situ. Dua cawan kopi terhidang di meja, Kamal menghirup perlahan. Lidahnya pernah melecur kerana dia tergesa-gesa untuk minum. Dia serik, selama 3 hari dia tidak merasa nikmatnya merasa, kerana lidahnya melecur.

“Assalamualaikom...” Yusuf memberi salam.


############################


“Yusuf, Ustaz Ismail suruh engkau pergi ke biliknya.” Ujar Razali yang datang bersama Karim ke bilik Yusuf.

“Ada apa Ustaz Ismail panggil aku ke sana? Semalam baru sahaja aku jumpa dengan dia, dia tidak ada cakap apa-apa pun.”

“Mana aku tahu, tadi lepas habis kuliah aku terserempak dengan dia. Dia macam tengah marah pun ada. Baik engkau pergi cepat.”

“Ya, aku pergi sekarang. Terima kasih sebab beritahu.” Razali dan Karim beredar dari bilik Yusuf. Yusuf termanggu, cuba mencari-cari apa kesalahan yang telah dia buat.
“Setahu aku, tidak pernah pula aku melanggar peraturan universiti. Tidak mengapalah, baik aku pergi cepat ke sana.” Yusuf memujuk resah hatinya.

Di bilik, Ustaz Ismail dengan Ustaz Ruhollah sedang menanti Yusuf. Cakap-cakap tentang Yusuf menyebarkan Ajaran sesat dan menyesatkan Syiah sudah lama kedengaran. Cumanya tidak ada bukti untuk mengaitkan Yusuf , tetapi hari ini sebuah laporan telah dihantar kepada Ustaz Ismail oleh Ustaz Ruhollah. Ustaz Ruhollah bilal Masjid Al-Syakirin, dia sudah lama mengumpul maklumat dan pergerakan Yusuf. Laporan itu dikumpul sejak 4 bulan yang lalu selepas dia mendengar dan melihat Yusuf memberikan tazkirah di masjid.


Tuk..tuk..

“Assalamualaikom.” Yusuf memberikan salam sambil mengetuk pintu pejabat.

“WaAlaikumusalam, masuk.” Jawab Ustaz Ismail sedikit keras. Ustaz Ruhollah cepat-cepat beredar dari sebelah Ustaz Ismail dan duduk di kerusi yang disediakan didepan meja Ustaz Ismail.

“Pengetahuan Tuhan kami meliputi setiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim. ” Yusuf berdoa perlahan sambil melangkah dengan tenang walaupun dadanya berkocak keras. Fikirannya berfikir bermacam-macam, hatinya pula bermain-main dengan firasat-firasat fasis. Allah bersamaku, fikir Yusuf untuk menguatkan dirinya.

Terkejut Yusuf apabila melihat Ustaz Ruhollah berada di bilik itu. Sampai sahaja di depan Ustaz Ismail, Yusuf dipersilakan duduk. Udara sejuk yang datang dari penghawa dingin yang dipasang di bilik itu, tetap dirasakan Yusuf tidak dapat menyejukkan hatinya. Dia berasa sedikit jengkel dengan kehadiran Ustaz Ruhollah, tetapi cepat-cepat dia beristigfar. Bilik Ustaz Ismail tidaklah besar sangat, hanya boleh memuatkan 5 orang dalam satu masa. Biliknya yang terletak di hujung pejabat pentadbiran membuatkan bilik itu sedikit tercorok dan tidak dikenali para pelajar. Di dinding-dinding bilik kelihatan gambar-gambar Ustaz Ismail di Jordan semasa beliau melanjutkan pelajaran di sana. Di belakang Ustaz Ismail sebuah rak penuh dengan buku dan fail yang tidak tersusun rapi.

Ustaz Ismail memandang Yusuf, kemudian dikalih pandangannya kepada Ustaz Ruhollah. Ustaz Ruhollah perlahan mengangguk, tanda pertemuan itu harus dimulakan dengan segera.

“Saya dapat laporan yang kamu melakukan kesalahan besar,” Ustaz Ismail berhenti sejenak, kemudian membuka sebuah fail di hadapannya, “dalam laporan ini dinyatakan bahawa awak sudah menyebarkan ajaran sesat kepada pelajar di Masjid. Selain daripada itu, awak juga dikatakan telah mengeluarkan fatwa bahawa Syiah itu sesat.” Ustaz Ismail menolak fail itu kepada Yusuf. Terkebil-kebil Yusuf membaca, dia tidak percaya dan tidak sangka ada orang yang menfitnah dia sebesar itu. Dadanya berkocak kuat, mukanya merah menahan marah.

“Kalau tidak menjadi keberatan boleh saya tahu siapa yang membuat laporan ini?” Soal Yusuf kepada Ustaz Ismail. Ustaz Ismail memandang Ustaz Ruhollah seperti mahukan kepastian daripadanya, Ustaz Ruhollah mengelengkan kepala tanda tidak setuju untuk memberitahu siapa yang menulis laporan tersebut.

“Atas dasar ingin menjaga keselamatan pengadu, saya tidak boleh memberitahu siapakah penulis laporan tersebut. Yang penting sekarang, saya mahu penjelasan dari awak.” Yusuf mengeleng-gelengkan kepala, dia masih tidak percaya laporan itu mengaitkan dirinya sebagai penyebar ajaran sesat.

“Segala puji bagi Allah dan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan ahli keluarganya serta para sahabatnya. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang, “Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak berhenti memerangi kamu sehingga mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup.” Yusuf memulakan bicara dengan membaca sepotong ayat dari surah al-Baqarah ayat 217.

“Ayat yang saya baca tadi mewakili diri saya, dan dengan ayat suci yang saya baca tadi juga menafikan tuduhan yang terdapat dalam laporan tersebut. Pertama, menuduh saya menyebarkan ajaran sesat adalah fitnah semata-mata, ya fitnah. Semuanya fitnah, hanya Allah yang mengetahui betapa besarnya dosa orang yang membuat fitnah terhadap diri saya. Kedua, tuduhan yang mengatakan saya mengeluarkan fatwa bahawa Syiah adalah sesat, adalah benar. Tetapi pengadu itu salah faham dengan kenyataan saya, yang benarnya ialah bukan saya mengeluarkan fatwa tersebut, tetapi saya hanyalah menukilan kembali fatwa yang dikeluarkan oleh para Ulama’.”

“Masakan pokok bergoyang kalau tidak ada angin!” Bentak Ustaz Ruhollah, dia menafikan keterangan Yusuf. Dia bengang dengan ketenangan yang ditunjukkan oleh Yusuf. Ustaz Ismail terkejut dengan tindakan Ustaz Ruhollah, begitu juga dengan Yusuf.

“Saya sendiri melihat dan mendengar apa yang engkau katakan dalam sebuah tazkirah di masjid tidak lama dahulu. Dalam tazkirah itu, engkau kata orang Islam boleh makan bangkai, boleh lari dari rahmat Allah, dan boleh melihat Allah dalam solat. Itu yang engkau kata bukan ajaran sesat? Semuanya bercanggah dengan akidah ahli Sunnah wal Jamaah.” Ustaz Ruhollah mengeluarkan sapu tangan kemudian mengelap mulutnya. Kelihatan air liur merembes keluar dan berkumpul di setiap hujung mulutnya. Ustaz Ismail pula mencatat apa yang dikatakan oleh Ustaz Ruhollah di sehelai kertas, kerana kenyataan tersebut tidak tercatat dalam laporan yang dia perolehi itu.

Yusuf memejam matanya, tanda protes dan menahan amarahnya. Memang benar dia pernah menyatakan hal tersebut, tetapi kenyataannya itu sekali lagi disalah anggap oleh Ustaz Ruhollah. Yusuf cuba mengatur frasa-frasa ayat yang harus dituturkan, berdialog dengan orang yang lebih tua darinya tidak sama berdialog dengan orang yang sebaya dengannya. Yusuf harus sedikit diplomasi dan harus menahan amarahnya dan sentiasa bersikap lemah-lembut.

“Paparkan akhlakmu , berdakwahlah dengan akhlak kerana dengan akhlak, Rasulullah dapat menundukkan kesombongan manusia di sekelilingnya ketika itu. Sepertimana yang dikatakan oleh Saiditina Ai’syah yang direkodkan oleh Imam Muslim, bahawa Nabi Muhammad akhlaknya adalah al-Quran.” Pesanan dari Abang Razak masih terngiang-ngiang di telinga Yusuf. Abang Razaklah yang membimbing Yusuf dan menjadi orang yang paling rapat semasa dia berada di dalam kejahilan. Ketika itu, dia tidak kenal apa itu Islam, dan dia juga tidak kenal erti dosa dan pahala. Baginya, kehidupan ini harus digunakan sebaik mungkin dengan berfoya-foya dan bergembira sewenangnya. Tetapi kehadiran Abang Razak mengubah segala-galanya.

“Maaf kalau saya bertanya. Ketika itu, Ustaz Ruhollah dengar sampai habis atau tidak tazkirah saya?” Yusuf bertanya lembut, matanya tepat memandang kedua mata Ustaz Ruhollah, matanya seakan meminta jawapan ikhlas darinya.

“Buat apa aku menunggu sampai habis tazkirah sesat engkau itu. Aku dengar macam itu sahaja, aku terus tak berselera mahu dengar.”

“Kalau begitu, Ustaz Ruhollah telah salah faham dengan apa yang saya katakan tempoh hari. Kerana selepas saya katakan bahawa orang Islam boleh makan bangkai, boleh mengelak dari Rahmat Allah, dan boleh melihat Allah, saya ada menerangkan disebalik kenyataan saya itu.”

“Ah! Jangan nak berdalih lagi, benda macam itu budak sekolah pun boleh tahu itu adalah kenyataan orang sesat.” Ustaz Ruhollah mencelah.

“Ustaz Ruhollah diam sebentar, beri Yusuf peluang untuk menerangkannya.” Kedengaran Ustaz Ismail bersuara, yang sejak tadi hanya membisu. Ustaz Ismail semacam tertarik untuk mendengar lebih lanjut penjelasan dari Yusuf. Semacam ada benda baru yang boleh dia pelajari dari anak muda di depannya ini.

“Yusuf, teruskan.” Ustaz Ismail mengangkat tangannya dan menyuruh Yusuf meneruskan penjelasannya.

“Terima kasih ustaz. Baiklah saya terangkan satu persatu. Pertama tentang orang Islam boleh makan bangkai. Bangkai yang saya maksudkan ialah ikan dan belalang. Kedua-dua jenis bangkai ini ada disebutkan oleh Nabi Muhammad dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah. Katanya, “Dihalalkan bagi kita dua macam bangkai dan dua macam darah. Dua macam bangkai itu adalah belalang dan ikan, sedangkan dua macam darah adalah hati dan jantung." Ustaz Ismail tersenyum kemudian dia ketawa kecil mendengar penjelasan Yusuf, kemudian mengangguk tanda setuju.

“Seterusnya.” Suara Ustaz Ismail tidak keras seperti awal tadi, ada sedikit ketenangan dan kelembutan dirasa dari suaranya. Ustaz Ruhollah resah, dia mengenggam erat jari-jemarinya.

“Yang kedua pula, berkenaan dengan kita boleh lari dari rahmat Allah. Rahmat Allah yang saya maksudkan dalam tazkirah saya tempoh hari ialah hujan. Hujan adalah rahmat dari Allah sepertimana yang diceritakan oleh Saiditina Ai’syah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim, bahawa apabila hujan turun, Nabi Muhammad akan berkata, hujan itu adalah rahmat. Tetapi adakah kita akan mendedahkan kita dengan hujan jika hujan turun? Kita pasti akan menggunakan payung untuk mengelakkan hujan dari membasahi diri kita kan? Kalau boleh, kita tidak mahu baju yang kita pakai lawa-lawa itu dari dibasahi hujan, kita lari dari hujan. Sedangkan hujan itu adalah rahmat, tetapi kita lari darinya. Itu yang saya maksudkan bahawa kita boleh lari dari rahmat Allah. Ketiga pula berkenaan dengan kita boleh melihat Allah semasa solat. Ustaz pasti mahir dalam bahasa arab bukan?” Ustaz Ismail mengangguk dan mengiyakan. “Kalau begitu, pasti ustaz tahu makna shahadah dalam bahasa Melayu.”

“Shahadah dalam bahasa Melayu bermaksud melihat.” Ustaz Ismail menjawab pertanyaan Yusuf.

“Dalam tahiyat akhir dan awal kita semasa solat, kita ada menyebut ashadu-allah ila ha il-lah. Kalau dimaknakan secara harfiyah iaitu dari segi bahasa, ia bermaksud, tidaklah aku melihat tuhan kecuali Allah. Jadi apa yang saya maksud dalam tazkirah saya bahawa orang islam boleh melihat Allah semasa solat, hanyalah majaz ataupun kiasan untuk mereka bersama berfikir. Lagipula, ketiga-tiga perkara ini adalah teka-teki seorang ulama besar zaman tabien kepada para muridnya.”

“Jadinya, ketiga-tiga perkara tersebut hanyalah sebuah teka-teki yang didalamnya terdapat pengajaran?” Tanya Ustaz Ismail kepada Yusuf.

“Benar, ia hanyalah sebuah teka-teki. Disebabkan itu saya bertanyakan kepada Ustaz Ruholah sama ada beliau ada mendengar sampai habis atau tidak tazkirah saya tempoh hari. Mendengar ucapan seseorang haruslah didengari dari awal sehingga akhir, takut-takut orang yang mendengar sekerat-kerat akan salah faham dan timbul fitnah kepada orang yang memberi tazkirah.” Yusuf memulangkan paku sepih kepada Ustaz Ruhollah.

Muka Ustaz Ruhollah merah menahan marah, dia mendengus kasar. Ustaz Ismail pula tersenyum lebar, muncul sedikit kekaguman beliau kepada Yusuf. Seorang anak muda yang petah dan lemah lembut dalam berkata-kata. Tetapi dalam masa yang sama beliau tidak boleh menunjukkan sikap belas beliau kepada Yusuf, kerana banyak lagi soalan yang perlu ditanyakan dan mendapat penjelasan dari Yusuf. Lagipula, beliau harus menjaga air muka Ustaz Ruhollah sebagai seorang bilal di Masjid as-zakirin.

“Banyak lagi kekarutan dan kesesatan yang engkau bawa, semuanya ada dalam laporan itu. Jangan ingat engkau sudah lepas disebabkan engkau dah putar-putar ayat dan gunakan hadith sewenangnya untuk menjelaskan tiga perkara tadi itu.” Ustaz Ruhollah membentak , dia menyelak-nyelak keras fail didepannya. “Kan banyak lagi persoalan yang dicatatkan dalam laporan itu, ustaz kena bertegas dan jangan hanya dia dapat dapat jawab soalan tadi, ustaz sudah lepaskannya.” Ustasz Ismail memandang Yusuf, kemudian pandangannya dikalihkan ke atas fail berwarna merah yang berisi laporan tentang Yusuf. Dia melihat jam di dinding, sudah jam 4.30 petang. Lagi 4 minit, waktu Asar akan masuk dan azan akan berkumandang.

“Memang benar, ada banyak lagi yang harus saya tanyakan. Tetapi masa tidak mengizinkan, sebentar lagi waktu Asar sudah masuk. Begini... Esok jam 10 pagi kamu ada kelas?”

“Saya tidak ada kelas dari pagi sehingga jam 2 petang.” Jawab Yusuf.

“Kalau begitu, datang ke bilik saya semula hari esok jam 10 pagi, kita teruskan sessi soal-jawab ini. Ustaz Ruhollah juga perlu datang esok pagi.” Arah Ustaz Ismail.

Kemudian Yusuf dibenarkan keluar. Ustaz Ruhollah hanya memerhatikan sahaja, dia membetulkan duduknya di depan Ustaz Ismail. Matanya, terus mengekor ke arah Yusuf sehingga hilang dari pandangannya. Hati Yusuf lega, Allah membantunya, tetapi bagaimana dengan hari esok? Hanya Allah dapat menjawab..

No comments:

Post a Comment