Sunday, November 30, 2008

INSAN KERDIL BERJIWA BESAR


Fikiran saya terus tidak tenteram hari ini. Peperiksaan pertengahan semester yang akan saya duduki pada malam esok, tidak banyak mempengaruhi kegundahan saya. Dari bab pertama sehingga bab 4 sudah saya baca dan fahami isi-isinya. Subjek Company Law yang ditawarkan pada semester ini sedikit sebanyak membantu saya mendalami ilmu perundangan. Tetapi fikiran saya terus menerawang memikirkan sesuatu yang lain dan diluar batas pembacaan yang sepatutnya saya harus hadam.

Talbiah yang sudah lama tidak didengari, semakin lama semakin kuat kedengaran di cuping telinga saya. “Labaik Allah Huma Labaik, labaikala syarikakala baik, inal hamda, wanni’mata, lakawalmulk,laa syarikalah.” Suara-suara itu terus menggasak masuk ke gengendang telinga saya. Saya sujud memohon keampunan dan bermunajat kepada-Nya. Memohon diberi kekuatan dan rezeki agar dapat ke Baitul Haram pada masa akan datang. Insya Allah, saya dan keluarga akan ke Makkah lagi pada tahun 2012 seperti yang telah ditetapkan pihak Tabung Haji.

Sesak di dada bukan sahaja kerana rindukan BaitulHaram, tetapi sesak memikirkan seorang insan yang bakal keluar dan meninggalkan lapangan dakwah di Malaysia untuk mencari sesuatu di bumi United Kingdom. Insan ini bukan sahaja sudah banyak menabur bakti dan ilmu, malahan telah banyak mengubah pandangan dan persepsi masyarakat terhadap agama. Slogan Tajdid, Dalil-dalil, dan kesarjanaan menjadi misi dan visi beliau agar umat Islam keluar dari kepompong kejumudan dan kembali kepada ajaran Islam yang tulen berdasarkan kefahaman para sahabat, tabien dan tabiut tabien.


TINGGALKAN KERUSI EMPUK
Pandangan-pandangan ilmiah serta gerak kerja beliau yang berbeza dari tokoh agama yang lain, memberi pelbagai tafsiran dan tanggapan masyarakat terhadap beliau. Beliau meninggalkan kerusi empuk di Pejabat Mufti untuk berada dan bergaul bersama masyarakat Mahrain. Beliau sanggup bersama para artis, bersama sasterawan, bersama ahli politik, bersama orang kampung, dan Mahasiswa semata-mata untuk memberi pemahaman Islam kepada mereka secara jelas. Menjadi sejarah dalam dunia insititusi keagamaan, seorang Mufti duduk semeja dengan para artis untuk membincangkan perihal hiburan. Bukan mencari perbezaan tetapi mencari persamaan yang dapat menjernihkan hubungan agama dengan hiburan. Islam tidak melarang hiburan, tetapi agama memberi altenatif kepada hiburan dengan menyediakan hiburan berteraskan Syariat.


PANDANGAN SAYA
Ada seorang pembaca bertanyakan kepada saya, apa pandangan saya terhadap beliau. Pandangan saya, saya berbangga dan bersyukur dapat mengenali beliau secara dekat dan memperolehi ilmu daripada beliau. Memang benar, manusia itu tidak pernah lari dari kesalahan, tetapi kesalahan itu haruslah dijadikan sempadan dan kebaikan itu haruslah dijadikan teladan. Selama saya mengenali beliau, banyak ilmu dan nasihat-nasihat beliau menjadi alat untuk saya terus mendekatkan diri kepada Allah. Saya tidak banyak kenangan bersama beliau, tetapi sebagai seorang yang sentiasa memerhatikan peribadi dan pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh beliau, sedikit sebanyak beliau antara tokoh yang banyak mengubah corak pemikiran saya.

Dugaan dan cabaran dalam menegakkan agama dan menyampaikan agama bersih dari pelbagai kekurafatan dan kebatilan memang sentiasa dipenuhi dengan pelbagai onak dan duri. Tetapi semua itu ditutupi dengan keyakinan bahawa kebenaran itu pasti menjadi HAK, dan kebatilan itu akan lenyap selama-lamanya. Walaupun ia mengambil masa, tetapi keyakinan terhadap janji-janji Allah menghilangkan lelah dan kesedihan yang menimpa. Bukan sedikit fitnah dan dugaaan ditempuhi oleh beliau, tetapi beliau terus teguh berdiri dan terus maju menapak ke hadapan. Cabaran dan dugaan itu, kadang-kala dikongsi bersama dengan sahabat-sahabat yang mendengar kuliah beliau. Kami berkongsi rasa, dan tanggungjawab. Kami sedar bahawa itulah bayaran yang harus kami bayar untuk mendapatkan kemanisan beragama.

Apabila insan ini melangkah keluar, saya tanyakan apakah tangisan yang diiringi atau ingatan yang berbekas akan terus disimpan? Doa dan harapan dibawa bersama untukmu, moga perjalanan dakwahmu terus berjalan dan mekar walau dimana SS DR Mohd Asri Zainul Abidin berada. Seeru ala barakatillah....

Saturday, November 29, 2008

Mencari cinta Shab Turab siri 6


Angin bayu malam itu sejuk. Perlahan-perlahan menyapa pipi Yusuf dan menarik-narik rambut Yusuf sehingga kusut. Yusuf membetul-betulkan rambutnya, petang itu sang bayu bertiup kuat seakan-akan menghelakan nafasnya yang panjang. Yusuf berdiri menghadap ke arah laut. Warna senja mulai memamah suasana, memberitahu bahawa malam akan menggantikan siang.

Yusuf masih berdiri dia kagum dengan keindahan senja. Ucapan Maha suci Allah bertalu-talu diucapkan Yusuf. Burung-burung kelihatan berarak dalam satu barisan di langit senja. Mencari jalan pulang atau mencari rezeki untuk anak-anak di sangkar pokok. Air laut meningkat naik, terasa air mula mencecah buku lali Yusuf. Cepat-cepat Yusuf beralih ke belakang sedikit, kadang-kadang dia sengaja mengacah-acah air laut itu.

Hitam mula menggantikan merah senja, malam menjadi pengganti siang. Lumrah alam dari pencipta yang Maha bijaksana. Yusuf mengatur langkah, perlahan-lahan dia menuju ke arah sebuah gerai yang terdapat di situ. Sebuah kedai kopi beratapkan zink dan berdindingkan batu-batu yang sudah di mamah usia dituju Yusuf. Ada beberapa lelaki tua dan muda sedang berborak dan bermain dam di situ. Kehadiran Yusuf ke kedai itu tidak diperdulikan mereka. Mereka asyik berborak dan bermain dam, dan rokok terkepit dijari berkepul-kepul asap naik keudara.

“Kopi satu.” Yusuf memesan kopi, harganya tidaklah terlalu mahal seperti kopi yang dibelanja Kamal di Sauqul Ma’. Tadi semasa dia bersiar-siar di tepi pantai, Kamal menghubungi Yusuf. Katanya mahu berjumpa dengan Yusuf lagi, untuk menyambung perbincangan yang terhenti.

“Kalau tidak menjadi keberatan, saya mahu ke tempat penginapan kamu. Lebih memudahkan dan tidak menyusahkan Yusuf . Bagaimana dengan pandangan kamu?”

“Baiklah, saya menyetujuinya. Insya Allah malam ini jam 10 tunggu saya di laman Motel.” Yusuf menamatkan perbualannya.

Yusuf mencicip kopi panas yang dipesannya tadi. Pahit tetapi lemak berkrim. Yusuf berpuas hati dengan kopi yang dihidangkan. Suasana malam di Alexendaria mula suram. Keriuhan dan kelam-kabutnya sistem pengangkutan yang berlaku pagi tadi sehingga ke petang tidak kelihatan lagi. Suasana menjadi tenang, hanya kelihatan beberapa buah kereta melalui jalan besar di situ. Sejuk malam mula mencengkam tubuh. Mujur Yusuf ada membawa jaket yang disimpan di dalam beg.

Setelah membayar 2 junaih, Yusuf mengatur langkah untuk pulang ke Motel. Dia harus bersedia sebelum mula berbincang dengan Kamal. Mujurlah hanya 10 minit masa yang diambil dari kedai kopi ke Motelnya. Yusuf menuju ke arah pekerja wanita yang bertugas menyimpan kunci bilik. Wanita arab yang menyimpan kuncinya tersenyum apabila melihat Yusuf, kelihatan lesung pipitnya.

“Awal balik? Saya ingatkan kamu akan balik lewat malam. Selalunya para pelancong yang datang ke sini, akan berlama-lama di sekitar pantai Alex.” Wanita itu menyapa ramah. Tangannya menekan-nekan butang di komputer, merekodkan pemulangan kunci kepada Yusuf.

“Saya ada urusan kejap lagi. Kawan saya mahu berjumpa dengan saya jam 10. Lagipun saya bukanlah suka sangat berlama-lama di pantai, sebab orang kata pantai Alex ada hantu.” Wanita tadi kelihatan terkejut dengan kata-kata Yusuf.

“Betulkah ada hantu? Pertama kali saya mendengar cerita ini.” Wanita itu kehairanan, berkerut-kerut dahinya.

“Saya berlawak sahaja, janganlah ambil serius.” Yusuf ketawa terbahak-bahak, wanita itu hanya tersenyum melihat gelagat Yusuf.

“Ini kuncinya. Selamat beristirahat, dan saya akan pastikan hantu itu akan datang ke bilik awak malam ini.”

“Hahaha...Baiklah terima kasih.” Yusuf berlalu pergi sambil melambai-lambai ke arah wanita itu.


Di laman Motel, Kamal kelihatan sedang berborak-borak dengan seorang wanita. Wanita itu pula sedang membelek-belek sebuah buku yang di dalamnya terdapat catatan-catatan Kamal tentang budaya Malaysia. Suasana di Motel lengang, hanya beberapa orang pekerja sedang sibuk mengemas dan menyusun kerusi dan cawan-cawan yang digunakan penginap di situ. Dua cawan kopi terhidang di meja, Kamal menghirup perlahan. Lidahnya pernah melecur kerana dia tergesa-gesa untuk minum. Dia serik, selama 3 hari dia tidak merasa nikmatnya merasa, kerana lidahnya melecur.

“Assalamualaikom...” Yusuf memberi salam.


############################


“Yusuf, Ustaz Ismail suruh engkau pergi ke biliknya.” Ujar Razali yang datang bersama Karim ke bilik Yusuf.

“Ada apa Ustaz Ismail panggil aku ke sana? Semalam baru sahaja aku jumpa dengan dia, dia tidak ada cakap apa-apa pun.”

“Mana aku tahu, tadi lepas habis kuliah aku terserempak dengan dia. Dia macam tengah marah pun ada. Baik engkau pergi cepat.”

“Ya, aku pergi sekarang. Terima kasih sebab beritahu.” Razali dan Karim beredar dari bilik Yusuf. Yusuf termanggu, cuba mencari-cari apa kesalahan yang telah dia buat.
“Setahu aku, tidak pernah pula aku melanggar peraturan universiti. Tidak mengapalah, baik aku pergi cepat ke sana.” Yusuf memujuk resah hatinya.

Di bilik, Ustaz Ismail dengan Ustaz Ruhollah sedang menanti Yusuf. Cakap-cakap tentang Yusuf menyebarkan Ajaran sesat dan menyesatkan Syiah sudah lama kedengaran. Cumanya tidak ada bukti untuk mengaitkan Yusuf , tetapi hari ini sebuah laporan telah dihantar kepada Ustaz Ismail oleh Ustaz Ruhollah. Ustaz Ruhollah bilal Masjid Al-Syakirin, dia sudah lama mengumpul maklumat dan pergerakan Yusuf. Laporan itu dikumpul sejak 4 bulan yang lalu selepas dia mendengar dan melihat Yusuf memberikan tazkirah di masjid.


Tuk..tuk..

“Assalamualaikom.” Yusuf memberikan salam sambil mengetuk pintu pejabat.

“WaAlaikumusalam, masuk.” Jawab Ustaz Ismail sedikit keras. Ustaz Ruhollah cepat-cepat beredar dari sebelah Ustaz Ismail dan duduk di kerusi yang disediakan didepan meja Ustaz Ismail.

“Pengetahuan Tuhan kami meliputi setiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim. ” Yusuf berdoa perlahan sambil melangkah dengan tenang walaupun dadanya berkocak keras. Fikirannya berfikir bermacam-macam, hatinya pula bermain-main dengan firasat-firasat fasis. Allah bersamaku, fikir Yusuf untuk menguatkan dirinya.

Terkejut Yusuf apabila melihat Ustaz Ruhollah berada di bilik itu. Sampai sahaja di depan Ustaz Ismail, Yusuf dipersilakan duduk. Udara sejuk yang datang dari penghawa dingin yang dipasang di bilik itu, tetap dirasakan Yusuf tidak dapat menyejukkan hatinya. Dia berasa sedikit jengkel dengan kehadiran Ustaz Ruhollah, tetapi cepat-cepat dia beristigfar. Bilik Ustaz Ismail tidaklah besar sangat, hanya boleh memuatkan 5 orang dalam satu masa. Biliknya yang terletak di hujung pejabat pentadbiran membuatkan bilik itu sedikit tercorok dan tidak dikenali para pelajar. Di dinding-dinding bilik kelihatan gambar-gambar Ustaz Ismail di Jordan semasa beliau melanjutkan pelajaran di sana. Di belakang Ustaz Ismail sebuah rak penuh dengan buku dan fail yang tidak tersusun rapi.

Ustaz Ismail memandang Yusuf, kemudian dikalih pandangannya kepada Ustaz Ruhollah. Ustaz Ruhollah perlahan mengangguk, tanda pertemuan itu harus dimulakan dengan segera.

“Saya dapat laporan yang kamu melakukan kesalahan besar,” Ustaz Ismail berhenti sejenak, kemudian membuka sebuah fail di hadapannya, “dalam laporan ini dinyatakan bahawa awak sudah menyebarkan ajaran sesat kepada pelajar di Masjid. Selain daripada itu, awak juga dikatakan telah mengeluarkan fatwa bahawa Syiah itu sesat.” Ustaz Ismail menolak fail itu kepada Yusuf. Terkebil-kebil Yusuf membaca, dia tidak percaya dan tidak sangka ada orang yang menfitnah dia sebesar itu. Dadanya berkocak kuat, mukanya merah menahan marah.

“Kalau tidak menjadi keberatan boleh saya tahu siapa yang membuat laporan ini?” Soal Yusuf kepada Ustaz Ismail. Ustaz Ismail memandang Ustaz Ruhollah seperti mahukan kepastian daripadanya, Ustaz Ruhollah mengelengkan kepala tanda tidak setuju untuk memberitahu siapa yang menulis laporan tersebut.

“Atas dasar ingin menjaga keselamatan pengadu, saya tidak boleh memberitahu siapakah penulis laporan tersebut. Yang penting sekarang, saya mahu penjelasan dari awak.” Yusuf mengeleng-gelengkan kepala, dia masih tidak percaya laporan itu mengaitkan dirinya sebagai penyebar ajaran sesat.

“Segala puji bagi Allah dan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan ahli keluarganya serta para sahabatnya. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang, “Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak berhenti memerangi kamu sehingga mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup.” Yusuf memulakan bicara dengan membaca sepotong ayat dari surah al-Baqarah ayat 217.

“Ayat yang saya baca tadi mewakili diri saya, dan dengan ayat suci yang saya baca tadi juga menafikan tuduhan yang terdapat dalam laporan tersebut. Pertama, menuduh saya menyebarkan ajaran sesat adalah fitnah semata-mata, ya fitnah. Semuanya fitnah, hanya Allah yang mengetahui betapa besarnya dosa orang yang membuat fitnah terhadap diri saya. Kedua, tuduhan yang mengatakan saya mengeluarkan fatwa bahawa Syiah adalah sesat, adalah benar. Tetapi pengadu itu salah faham dengan kenyataan saya, yang benarnya ialah bukan saya mengeluarkan fatwa tersebut, tetapi saya hanyalah menukilan kembali fatwa yang dikeluarkan oleh para Ulama’.”

“Masakan pokok bergoyang kalau tidak ada angin!” Bentak Ustaz Ruhollah, dia menafikan keterangan Yusuf. Dia bengang dengan ketenangan yang ditunjukkan oleh Yusuf. Ustaz Ismail terkejut dengan tindakan Ustaz Ruhollah, begitu juga dengan Yusuf.

“Saya sendiri melihat dan mendengar apa yang engkau katakan dalam sebuah tazkirah di masjid tidak lama dahulu. Dalam tazkirah itu, engkau kata orang Islam boleh makan bangkai, boleh lari dari rahmat Allah, dan boleh melihat Allah dalam solat. Itu yang engkau kata bukan ajaran sesat? Semuanya bercanggah dengan akidah ahli Sunnah wal Jamaah.” Ustaz Ruhollah mengeluarkan sapu tangan kemudian mengelap mulutnya. Kelihatan air liur merembes keluar dan berkumpul di setiap hujung mulutnya. Ustaz Ismail pula mencatat apa yang dikatakan oleh Ustaz Ruhollah di sehelai kertas, kerana kenyataan tersebut tidak tercatat dalam laporan yang dia perolehi itu.

Yusuf memejam matanya, tanda protes dan menahan amarahnya. Memang benar dia pernah menyatakan hal tersebut, tetapi kenyataannya itu sekali lagi disalah anggap oleh Ustaz Ruhollah. Yusuf cuba mengatur frasa-frasa ayat yang harus dituturkan, berdialog dengan orang yang lebih tua darinya tidak sama berdialog dengan orang yang sebaya dengannya. Yusuf harus sedikit diplomasi dan harus menahan amarahnya dan sentiasa bersikap lemah-lembut.

“Paparkan akhlakmu , berdakwahlah dengan akhlak kerana dengan akhlak, Rasulullah dapat menundukkan kesombongan manusia di sekelilingnya ketika itu. Sepertimana yang dikatakan oleh Saiditina Ai’syah yang direkodkan oleh Imam Muslim, bahawa Nabi Muhammad akhlaknya adalah al-Quran.” Pesanan dari Abang Razak masih terngiang-ngiang di telinga Yusuf. Abang Razaklah yang membimbing Yusuf dan menjadi orang yang paling rapat semasa dia berada di dalam kejahilan. Ketika itu, dia tidak kenal apa itu Islam, dan dia juga tidak kenal erti dosa dan pahala. Baginya, kehidupan ini harus digunakan sebaik mungkin dengan berfoya-foya dan bergembira sewenangnya. Tetapi kehadiran Abang Razak mengubah segala-galanya.

“Maaf kalau saya bertanya. Ketika itu, Ustaz Ruhollah dengar sampai habis atau tidak tazkirah saya?” Yusuf bertanya lembut, matanya tepat memandang kedua mata Ustaz Ruhollah, matanya seakan meminta jawapan ikhlas darinya.

“Buat apa aku menunggu sampai habis tazkirah sesat engkau itu. Aku dengar macam itu sahaja, aku terus tak berselera mahu dengar.”

“Kalau begitu, Ustaz Ruhollah telah salah faham dengan apa yang saya katakan tempoh hari. Kerana selepas saya katakan bahawa orang Islam boleh makan bangkai, boleh mengelak dari Rahmat Allah, dan boleh melihat Allah, saya ada menerangkan disebalik kenyataan saya itu.”

“Ah! Jangan nak berdalih lagi, benda macam itu budak sekolah pun boleh tahu itu adalah kenyataan orang sesat.” Ustaz Ruhollah mencelah.

“Ustaz Ruhollah diam sebentar, beri Yusuf peluang untuk menerangkannya.” Kedengaran Ustaz Ismail bersuara, yang sejak tadi hanya membisu. Ustaz Ismail semacam tertarik untuk mendengar lebih lanjut penjelasan dari Yusuf. Semacam ada benda baru yang boleh dia pelajari dari anak muda di depannya ini.

“Yusuf, teruskan.” Ustaz Ismail mengangkat tangannya dan menyuruh Yusuf meneruskan penjelasannya.

“Terima kasih ustaz. Baiklah saya terangkan satu persatu. Pertama tentang orang Islam boleh makan bangkai. Bangkai yang saya maksudkan ialah ikan dan belalang. Kedua-dua jenis bangkai ini ada disebutkan oleh Nabi Muhammad dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah. Katanya, “Dihalalkan bagi kita dua macam bangkai dan dua macam darah. Dua macam bangkai itu adalah belalang dan ikan, sedangkan dua macam darah adalah hati dan jantung." Ustaz Ismail tersenyum kemudian dia ketawa kecil mendengar penjelasan Yusuf, kemudian mengangguk tanda setuju.

“Seterusnya.” Suara Ustaz Ismail tidak keras seperti awal tadi, ada sedikit ketenangan dan kelembutan dirasa dari suaranya. Ustaz Ruhollah resah, dia mengenggam erat jari-jemarinya.

“Yang kedua pula, berkenaan dengan kita boleh lari dari rahmat Allah. Rahmat Allah yang saya maksudkan dalam tazkirah saya tempoh hari ialah hujan. Hujan adalah rahmat dari Allah sepertimana yang diceritakan oleh Saiditina Ai’syah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim, bahawa apabila hujan turun, Nabi Muhammad akan berkata, hujan itu adalah rahmat. Tetapi adakah kita akan mendedahkan kita dengan hujan jika hujan turun? Kita pasti akan menggunakan payung untuk mengelakkan hujan dari membasahi diri kita kan? Kalau boleh, kita tidak mahu baju yang kita pakai lawa-lawa itu dari dibasahi hujan, kita lari dari hujan. Sedangkan hujan itu adalah rahmat, tetapi kita lari darinya. Itu yang saya maksudkan bahawa kita boleh lari dari rahmat Allah. Ketiga pula berkenaan dengan kita boleh melihat Allah semasa solat. Ustaz pasti mahir dalam bahasa arab bukan?” Ustaz Ismail mengangguk dan mengiyakan. “Kalau begitu, pasti ustaz tahu makna shahadah dalam bahasa Melayu.”

“Shahadah dalam bahasa Melayu bermaksud melihat.” Ustaz Ismail menjawab pertanyaan Yusuf.

“Dalam tahiyat akhir dan awal kita semasa solat, kita ada menyebut ashadu-allah ila ha il-lah. Kalau dimaknakan secara harfiyah iaitu dari segi bahasa, ia bermaksud, tidaklah aku melihat tuhan kecuali Allah. Jadi apa yang saya maksud dalam tazkirah saya bahawa orang islam boleh melihat Allah semasa solat, hanyalah majaz ataupun kiasan untuk mereka bersama berfikir. Lagipula, ketiga-tiga perkara ini adalah teka-teki seorang ulama besar zaman tabien kepada para muridnya.”

“Jadinya, ketiga-tiga perkara tersebut hanyalah sebuah teka-teki yang didalamnya terdapat pengajaran?” Tanya Ustaz Ismail kepada Yusuf.

“Benar, ia hanyalah sebuah teka-teki. Disebabkan itu saya bertanyakan kepada Ustaz Ruholah sama ada beliau ada mendengar sampai habis atau tidak tazkirah saya tempoh hari. Mendengar ucapan seseorang haruslah didengari dari awal sehingga akhir, takut-takut orang yang mendengar sekerat-kerat akan salah faham dan timbul fitnah kepada orang yang memberi tazkirah.” Yusuf memulangkan paku sepih kepada Ustaz Ruhollah.

Muka Ustaz Ruhollah merah menahan marah, dia mendengus kasar. Ustaz Ismail pula tersenyum lebar, muncul sedikit kekaguman beliau kepada Yusuf. Seorang anak muda yang petah dan lemah lembut dalam berkata-kata. Tetapi dalam masa yang sama beliau tidak boleh menunjukkan sikap belas beliau kepada Yusuf, kerana banyak lagi soalan yang perlu ditanyakan dan mendapat penjelasan dari Yusuf. Lagipula, beliau harus menjaga air muka Ustaz Ruhollah sebagai seorang bilal di Masjid as-zakirin.

“Banyak lagi kekarutan dan kesesatan yang engkau bawa, semuanya ada dalam laporan itu. Jangan ingat engkau sudah lepas disebabkan engkau dah putar-putar ayat dan gunakan hadith sewenangnya untuk menjelaskan tiga perkara tadi itu.” Ustaz Ruhollah membentak , dia menyelak-nyelak keras fail didepannya. “Kan banyak lagi persoalan yang dicatatkan dalam laporan itu, ustaz kena bertegas dan jangan hanya dia dapat dapat jawab soalan tadi, ustaz sudah lepaskannya.” Ustasz Ismail memandang Yusuf, kemudian pandangannya dikalihkan ke atas fail berwarna merah yang berisi laporan tentang Yusuf. Dia melihat jam di dinding, sudah jam 4.30 petang. Lagi 4 minit, waktu Asar akan masuk dan azan akan berkumandang.

“Memang benar, ada banyak lagi yang harus saya tanyakan. Tetapi masa tidak mengizinkan, sebentar lagi waktu Asar sudah masuk. Begini... Esok jam 10 pagi kamu ada kelas?”

“Saya tidak ada kelas dari pagi sehingga jam 2 petang.” Jawab Yusuf.

“Kalau begitu, datang ke bilik saya semula hari esok jam 10 pagi, kita teruskan sessi soal-jawab ini. Ustaz Ruhollah juga perlu datang esok pagi.” Arah Ustaz Ismail.

Kemudian Yusuf dibenarkan keluar. Ustaz Ruhollah hanya memerhatikan sahaja, dia membetulkan duduknya di depan Ustaz Ismail. Matanya, terus mengekor ke arah Yusuf sehingga hilang dari pandangannya. Hati Yusuf lega, Allah membantunya, tetapi bagaimana dengan hari esok? Hanya Allah dapat menjawab..

Sunday, November 23, 2008

MENZALIMI MANHAJ SALAF


Selepas saya menulis artikel bertajuk “mencabar Fatwa” ramai Salafiyun dengan nada yang berbeza-beza menghantar email dan juga sms kepada saya. Saya menerimanya dengan terbuka dan apa yang boleh saya katakan, inilah proses percambahan dan pencernaan pemikiran saya. Saya tidak sesekali menolak dan menafikan manhaj Salaf, tetapi apa yang saya ketengahkan dalam artikel tersebut adalah tentang Manhaj Salaf yang telah dizalimi oleh pengikutnya.

Dalam persepsi masyarakat, Manhaj Salaf ini ialah Manhaj debat, bukan manhaj yang dapat membangunkan masyarakat dan membina rangkain amalan didalamnya. Orang ramai telah digambarkan bahawa Manhaj ini hanya memerhatikan hal-hal khilaf, bid’ah, tidak menghormati para ulama’ dan hanya melihat persoalan-persoalan di luar kerangka berbanding isinya. Itu persepsi masyarakat secara umum.


MANHAJ KONSERVETIF

Al-Imam Yusuf al-Qardhawi antara ulama besar yang perihatin tentang hal ini berkata, “Penentang Manhaj ini melihat dan mengatakan bahawa kaum Salafi ini adalah orang-orang yang konservatif dan terkebelakang. Kaum Salafi adalah orang-orang yang selalu melihat ke belakang dan tidak pernah melihat ke depan. Kaum Salafi tidak pernah memikirkan masalah konteremporari dan masa depan. Kaum Salafi adalah orang-orang yang fanatik yang tidak pernah mahu mendengar pendapat orang lain. Sehinggakan Mereka beranggapan bahawa orang-orang Salafi adalah orang-orang yang menentang Tajdid (pembaharuan) dan ijtihad. Mereka juga mengatakan bahawa kaum Salafi tidak tahu tentang pandangan moderat dan pertengahan.”

Saya menyokong dan mengakui kenyataan yang dibuat Imam Yusuf al-Qardhawi tentang perkara ini. Bukan sahaja di tempat beliau perkara itu terjadi, malahan bibit-bibit mencela,membida’ah dan juga barah fanatisme mula merebak di kalangan Salafiyun di Malaysia, terutama di kalangan Mahasiswa.


JANGAN TERUS TERJUN

“Dalam solat tidak ada lafaz Ussoli.”
“Baca al-fatihah tidak perlu Basmallah.”
“Subuh tak perlu Qunut.”

Biasa dengar bukan ayat-ayat di atas? Saya tidak kata teguran di atas adalah salah, tetapi tidak kena cara , masa dan tempatnya. Adakah perkara utama dalam berdakwah adalah membetulkan cara solat, atau hal-hal yang berkaitan dengan feqh? Tidak! Perkara asas yang harus ditekankan adalah memantapkan akidah. Perkenalkan manhaj Salaf dalam menerangkan konsep akidah yang sebenar. Jangan terus terjun di dalam kolam yang kita tidak tahu ada apa didalamnya, tetapi jenguk-jenguklah dan rasa-rasalah permukaannya. Bukan terus terjun!

Imam Ibnu Taimiyah dan Imam Ibnu Qoyim aljauziah adalah dua imam besar yang selalu Salafiyun ambil pandangannya. Apabila ditanya kenapa selalu sahaja pandangan imam besar ini diambil dan dijadikan hujah? Jawapan yang akan diberi, kerana mereka berdua ini menyeru untuk melihat dan mengikuti dalil. Antara ungkapan masyhur adalah, “lihatlah apa yang dikatakan tanpa melihat pada siapa yang mengucapkannya.”

Namun persoalan yang mahu saya timbulkan ialah, jika Salafiyun mengingakari orang yang bertaqlid kepada para imam besar yang lain seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan Imam Ahmad, jadi bagaimana dengan Salafiyun yang hanya mengambil pandangan Imam Ibnu Taimiyah dan Imam Ibnu Qoyim? Tidakkah itu juga dikatakan sebagai taqlid?


HORMATI PARA ULAMA’

Kedua-dua imam di atas adalah imam yang cukup hebat dan tinggi ilmunya. Saya tidak mengatakan tidak boleh menyandarkan pandangan-pandangan dari mereka berdua, tetapi tidak seharusnya kita mengenepikan pandangan-pandangan para ulama besar yang lain dan dalam masa yang sama kita mudah sangat mengkritik pandangan para ulama atas dasar “Kritikan Ilmiah.” Jika kita boleh mengambil dan mendukung pemikiran kedua-dua imam besar itu, kenapa kita tidak boleh meneladani sikap mereka juga dalam aspek menghormati para imam, sepertimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya yang berjudul Raf’ul Al-Malaam ‘An Al-Aimmah Al-A’lam.


Banyak perkara yang mahu saya lontarkan, bukan mahu memanaskan keadaan atau membingitkan telinga. Tetapi sedarlah wahai sahabat-sahabatku, bahawa itulah pandangan dan persepsi masyarakat terhadap Manhaj kita. Ya memang benar, kita perjuang Sunnah, tetapi pernahkah kita tanyakan dan fikirkan tentang tindak-tanduk kita yang kadang-kadang ‘lebih kuah dari sudu’.


MINDA KRITIS

Tidak dinafikan bahawa saya bermanhaj Salaf dan pejuang Sunnah, tetapi kita ini bukanlah robot yang tidak boleh berfikir dan menilai. Gunakanlah minda secara kritis, cubalah berdialog dengan diri anda dan orang-orang sekeliling. Jangan hanyut didalam dunia anda dan dalam kelompok anda. Keluarlah dan gaulilah, kerana disitu ada sinar yag sedang menanti.

Dakwah itu bukanlah sekadar tulisan di atas kertas atau di blog, atau rakaman-rakaman kuliah. Tetapi dakwah sebenar adalah kepedulian kita terhadap persoalan yang dihadapi manusia dan memecahkannya sehingga membolehkan kita mendekatkan pemikiran (manhaj) kita kepada pemikiran mereka. Taatkalah matahari masih terbit dari timur, dan bulan masih mahu memantulkan cahaya, selagi itulah kita diberi kesempatan untuk mengubah persepsi salah yang ada di fikiran masyarakat tentang Manhaj Salafusoleh. Kerana kita yakin dan sedar bahawa inilah Manhaj yang diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya.

Friday, November 21, 2008

Antara kejujuran atau keuntungan

Sebagai seorang pelajar perakauanan yang bakal menjadi seorang akauntan yang bertauliah, saya diajar untuk peka segala aspek, walaupun perkara itu dianggap kecil. Selain peka, etika adalah aspek paling utama dan paling diperkatakan dalam dunia perakaunan. Etika menjadi asas kepada seorang akauntan, tanpa asas ini sistem akaun dan ekonomi akan menjadi kucar-kacir. Contoh paling jelas ialah Author Anderson firma Audit yang ‘berkerjasama’ dengan Enron. Kerana kegiatan mereka yang tidak berertika, profession akauntan menjadi busuk dan dilihat sebagai sebuah profession yang hanya layak kepada mereka yang mahu menipu.


Begitu jugalah dengan kegiatan kita dalam berpersatuan, dan berorganisasi. Etika menjadi duri dalam daging, menjadi barah yang sukar untuk kita rawat dan bendung. Mengapa? Soalan itu harus kita tujukan kepada diri kita sebelum kita membawa pertanyaan tersebut kepada orang lain. Adakah kita sudah cukup beretika, atau kita masih lagi tidak mengenal apa itu etika.
Persoalan itu terus bermain dalam masyarakat kita, apabila ETIKA sekadar bermain-main dimulut, tetapi tidak tergambar dari perlakuan. Memegang sesuatu jawatan dalam sesbuah organisasi, sama ada yang bermotifkan keuntungan atau tidak, salah guna kuasa adalah perbuatan tidak beretika yang sering kita dengar.

Sekali lagi kita bangkitkan persoalan iaitu MENGAPA? Adakah kita tidak tahu, atau buat-buat tidak tahu, sehinggakan perbuatan itu menjadi rasional pada diri kita. Cuba kita tanyakan kepada manusia yang waras, adakah perbuatan menggunakan kuasa untuk kepentingan sendiri adalah sebuah perbuatan yang beretika. Sudah pasti jawapannya ialah TIDAK. Manusia yang waras paling benci pemimpin atau orang yang mempunyai kuasa mengambil kesempatan melalui jawatan yang mereka ada.


HARAMKAH?

Haram atau tidak kita tolak tepi dahulu, kita cuba menilainya dari aspek undang-undang dunia. Kerana salah guna kuasa atau tindakan tidak beretika ini bukan sahaja berlaku dikalangan orang Islam, tetapi ia merangkumi keseluruhan manusia.

Dalam kes Regal Hastings lwn Gulliver (1942), House of Lord membuat rumusan bahawa, jika seseorang pengarah itu dibayar apa-apa komisyen atau mendapat apa-apa faedah kewangan " oleh sebab atau melalui kedudukannya sebagai maka pengarah berkenaan telah melanggar kewajipan fidusiarinya dan bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat kekayaan yang didapatinya.

Apa kaitan sebutan kes di atas dengan apa yang mahu saya katakan?
Ada kaitannya, kaitannya ialah apabila seseorang yang mempunyai jawatan dalam organiasasi menggunakan maklumat atau peluang untuk kepentingan sendiri. Perlakuan ini sudah banyak berlaku di mata saya, antaranya ialah seseorang yang ada jawatan dalam kelab tersebut menggunakan syarikatnya atau menempah di tempat yang akan memberi keuntungan kepadanya, bila kelab atau persatuan mereka mahu membuat baju atau kad nama.


APA SALAH SAYA

Apa salahnya? Ya tidak salah jika diberitahu kepada kelab atau persatuan bahawa kita menempah di syarikat atau tempat yang akan membawa keuntungan kepada kita, tetapi yang menjadi kesalahan ialah kita tidak beritahu tentang perkara tersebut. Sepertimana yang dijelaskan dalam Article of Association, “On the other hand a director can profit if he has made an arrangement with the company and making a full disclosure.”

Dalam banyak sebutan kes, mereka yang mengunakan kedudukan mereka untuk mengaut keuntungan haruslah memulangkan kesemua keuntungan yang mereka perolehi.

Sepertimana keputusan yang dibuat oleh Lord Hussel 0f Killowen, dia menjelaskan, "Rukun ekuiti yang dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kedudukan fidusiari mereka untuk membuat keuntungan, adalah bertanggungan untuk menyerahkan keuntungan itu, tidak sekali-kali bergantung kepada penipuan (fraud) atau ketiadaan bona fide (good faith), atau atas persoalan sedemikian atau pertimbangan atas sama ada keuntungan boleh atau sepatutnya sebaliknya diperolehi oleh syarikat, atau sama ada pembuat keuntungan itu adalah berkewajipan untuk mendapatkan sumber keuntungan itu untuk syarikat, atau sama ada dia mengambil risiko atau bertindak sebagaimana yang dilakukannya itu untuk kepentingan syarikat, atau sama ada syarikat telah sebenarnya rugi atau mendapat faedah daripada tindakannya itu. Liabiliti timbul hanya daripada keuntungan yang, dalam hal-keadaan yang tersebut, telah dilakukan. Pembuat keuntungan, bagaimana jujur dan berniat apa sekalipun, tidak boleh melepaskan diri daripada risiko untuk dipertanggungjawabkan kepada syarikat." : (Phipps lwn Boardman (1967) )


SEBUAH CONTOH

Sebuah syarikat X yang memiliki sebuah panggung wayang, membentuk sebuah anak syarikat untuk membeli dua buah lagi panggung wayang dengan maksud untuk menjual ketiga-tiganya sekali gus. Pengarah-pengarah memohon beli syer-syer dalam anak syarikat berkenaan dan oleh itu mendapat faedah apabila anak syarikat itu dijual dengan memperoleh keuntungan. Diputuskan bahawa pengarah-pengarah telah menggunakan maklumat dan kesempatan yang diperolehinya sebagai pengarah syarikat X untuk memperoleh syer-syer tersebut dan tanpa membuat pendedahan secara yang sewajarnya, adalah bertanggungan untuk menyerahkan kepada syarikat X atas keuntungan yang diperolehi oleh mereka. (REGAL (HASTINGS) LTD LWN GULLIVER (1942) )


SEBUAH NASIHAT

Kepada mereka yang menggunakan kedudukan untuk mengaut keuntungan saya menyeru untuk memberhentikan kegiatan tersebut. Kerana perbuatan anda itu adalah salah! Jadilah seorang pemimpin yang jujur, lagi baik untuk kita rugi daripada kita mengambil harta tanpa hak kita. Kerana mengambil harta orang lain tanpa hak adalah sebuah perbuatan yang tidak beretika dan tidak diterima dalam Islam dan juga moral.

"Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain diantara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu dengan memberi rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya". (surah al-baqarah ayat 188)



.

WaAllahualam....

Thursday, November 20, 2008

Terima Kasih Allah

Benarlah Allah lebih mengetahui segala-galanya. Dia yang mengambil dari kita, dan dia juga akan memberi yang lebih baik kepada kita. Kedua handphone saya yang hilang semasa pulang dari Indonesia, kini sudah diganti oleh Allah dengan sebuah Handphone idaman saya; HTC P3300.

Sebuah handphone yang berfungsi penuh sebagai sebuah komputer peribadi saya. Terima kasih Allah. Oh tidak lupa juga, Allah menggantikan cermin mata saya yang pecah dengan sebuah cermin mata baharu. Sangat bersyukur kerana saya dapat melihat dengan sempurna dan boleh belajar dengan senang hati. Terima kasih sekali lagi Allah.

Sunday, November 16, 2008

IKHLASKAN DIRI PASTI DIHARGAI


Usah dipinta untuk dikenang, kerana insan yang dipinta untuk dikenang pasti tidak akan tercatat dalam sejarah untuk dibuat renungan. Berapa ramai insan yang melakukan kebaikan dengan harapan kebaikan tersebut dikenang dan sentiasa dipuji, tetapi akhirnya tidak ada seorang pun mengenang mereka. Tetapi insan yang melakukan kebaikan, menghapuskan kebatilan dan membenarkan keadilan dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa, manusia keseluruhan akan mengenang mereka.

Lihat sahaja tokoh serta sarjana-sarjana Islam, sekadar yang saya boleh sebut seperti Saidina Umar al-Khatab, Khalifah Umar Abdul Aziz, Imam Ibnu Taimiyah, Imam Syafie, dan Imam Yusuf al-Qardhawi yang sehingga kini nama mereka terpahat dan tersimpan rapi dalam hati sanubari kita. Mereka tidak pernah meminta untuk dikenang dan disanjung, tetapi manusia tahu menilai mana yang kaca mana yang berlian.

Ketokohan mereka dapat dilihat dan diteladani dari semua aspek, kehidupan, kepimpinan, ketaqwaan dan lain-lain. Kehidupan mereka dididik dengan Islam, al-Quran dan Sunnah menjadi panduan mereka, kefahaman para sahabat, tabien, dan tabi’ut tabien menjadi penjelas kepada panduan mereka. Akhlak mereka disulami dengan akhlak Rasulullah, tutur kata mereka disulami dengan kata-kata hikmah, dan peribadi mereka disulami dengan ketaqwaan kepada Allah.

Mereka berjalan di atas jalan kebenaran walaupun seribu tribulasi dan mehnah mengekang mereka. Mereka tidak gentar melawan kebatilan, mereka tidak gusar membetulkan keadaan, mereka tidak tunduk kepada pemerintahan, dan mereka sangat ikhlas dalam perjuangan.

Sekali lagi saya katakan, mereka tidak pernah meminta untuk dikenang dan diingati, tetapi manusia berasa rugi jika tidak merakamkan jasa dan bakti mereka dalam lipatan sejarah. Itulah insan-insan besar yang mewarnai dunia Islam dan seluruhnya, dan menjadi ikon perubahan dalam semua aspek. Fikrah mereka merentasi jamaah, minda mereka merentasi sempadan, perjuangan mereka bertaut kukuh atas ukhwah Islam, dan kelahiran mereka adalah kurnia dari Allah. Mereka mendapat penghormatan kerana mereka tidak pernah meminta untuk dikenang dan disanjung.

Bagaima kita? Adakah kita sudah bersedia untuk berada dijalan sepertimana yang mereka lalui? Kalau sudah bersedia, sediakan dirimu dengan tribulasi, mehnah dan cabaran besar yang akan ditempuhi sepanjang perjalanan ini. Kerana itulah harga yang perlu dibayar bagi seorang insan besar yang akan dikenang dan disanjung kelak.

Ikhlaskan diri, pasti dirimu dihargai.

Friday, November 14, 2008

MENCABAR FATWA

“Saya harap saudara dapat membatalkan jawapan saudara dalam hal ini.” Beritahu saya pada seorang sahabat di sebuah laman Islamik.

“Mengapa?” Dia terkejut.

“Kerana jawapan saudara itu tidak selari dengan hadith Rasulullah.” Jawab saya.

“Tetapi itulah hujah dalam Mazhab Syafie.”

“Tetapi ada hadith yang menolak pandangan tersebut.”


Dialog yang bermula dengan semangat persaudaraan dan harmoni bertukar keruh. Saya berkeras mahu dia menarik pandangannya dan dia pula bertahan dengan pandangannya. Saya berpegang pada hadith yang sahih, dia pula berpegang pada fatwa Imam Syafie yang dikenali sebagai Pembela Sunnah. Jika dilihat sekali imbas dalam pandangan Salafinya, saya benar. Dilihat dari segi bukan Salafinya, saudara saya itu benar.


ADA APA PADA NAMA
Besar sangatkah Salafi ini? Apa itu Salafi?
Dulu saya sangat keras dalam hal-hal yang berkaitan dengan Salaf atau tidak. Sekarang ini saya bertanya kembali kepada diri saya dan juga rakan-rakan saya, “ada apa atas nama?” Ya, ada apa atas nama jika kita tidak bertindak atau berkelakuan seperti yang dilakukan oleh para Salafusoleh.

Kita berbangga kerana kita mengaku kita mengikut jalan/manhaj Salafusoleh. Jalan yang diredhai dan diakui oleh Rasulullah. Berdasarkan sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, “Sebaik-baik orang adalah di zamanku (sahabat), kemudian orang sesudah mereka (tabi’in) dan kemudian orang sesudah mereka (tabi’ut tabi’in).”

Tetapi kenapa dalam kelompok kita ada membahagi-bahagi Salaf ini kepada Salaf jalur keras, Salaf jalur sederhana, dan Salaf jalur bermudah-mudah? Saya bertanya kerana saya berfikir, dan tidak bermakna saya menolak manhaj ini. Saya masih berada di Manhaj ini tetapi saya menyoal tentang lompang-lompang dan kerosakan yang mula menular dalam manhaj yang dibawa kita. Manhaj itu tidak ada cacat celanya, tetapi pembawa manhaj ini yang memberi kesan buruk kepadanya.


SINDIRAN KERAS
Sepanjang bercuti semester saya tidak membazirkan masa saya dengan tidur atau bersenang-senang yang melampau. Enam buah buku telah saya baca dan hadam dengan keras. Kaifa Nata’mal Ma’at-Turats wat-tamzahab wa ikhtilaf (Bagaimana beramal dengan khazanah Klasik, Mazhab dan Ikhtilaf (perbezaan di kalangan Ulama’) karya Imam Yusuf al-Qardhawi adalah salah satu buku yang saya baca dan hadam. Membaca buku ini seperti mendengar sendiri nasihat dari beliau. Buku ini banyak menyedarkan saya tentang sikap dan kelakuan Salaf yang saya bawa.

Antara bait-bait yang ditulis oleh beliau dalam buku ini yang benar-benar menyentak dan menyedarkan saya ialah, “Benar bahawa kamu berpegang kepada Quran dan Sunnah, tetapi kamu harus menyedari bahawa pemahaman kamu terhadap nas tersebut bukanlah sebuah wahyu dan tidak terjaga dari kesalahan. Mungkin dalam memahami nas tersebut kamu hanya melihat zahirnya sahaja tanpa menyelami maksud sebenar dari nas tersebut. Sama seperti yang dilakukan oleh sebahagian sahabat yang tidak melakukan solat Asar di tengah perjalanan dan mereka melakukannya dengan qadha’ setelah mereka sampai di Bani Quraizah. Para sahabat tersebut sebenarnya salah dalam memahami nas walaupun Nabi s.a.w tidak menegurnya, kerana mereka dimaafkan.”

Ayat ini seperti menyindir diri saya, dan serta-merta saya teringat dialog di atas antara saya dan sahabat saya yang terjadi tidak lama dahulu dalam sebuah laman. Mengapa saya mahu menolak pandangan Imam Syafie atas dasar saya tahu sebuah hadith, kenapa saya tidak sahaja membenarkan hujah tersebut, dan dalam masa yang sama menghargai kedua-dua pandangan.


BEZA TAPI BENAR
Mungkin peristiwa di bawah ini akan menyedarkan kita bahawa Manhaj Salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad adalah Manhaj Salaf yang harus kita tiru dan selami. Bukan sekadar atas nama dan atas kritikan-kritikan kita terhadap para Imam dengan disulami perkataan ‘Kritikan Ilmiah’. Membawa Manhaj Salaf itu bukanlah sekadar berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, tetapi menghormati para Imam juga adalah salah satu ciri orang-orang yang membawa Manhaj Salaf.

Seorang sahabat kepada Imam Ahmad bin Hanbal pernah bertanya kepada beliau tentang seseorang yang menjadi imam solat, sedangkan ketika itu dia memakai kulit serigala atau kulit yang diambil dari binatang mati yang sudah disamak. Kemudian Imam Ahmad menjawab, “jika dia memakainya, maka dia telah mentakwilkan hadith ini : Jika kulit binatang disamak, maka ia menjadi suci (HR Ahmad, Tirmidzi, an-Nasa’i, dan ibnu Majah). Maka hukumnya, tidak mengapa engkau solat di belakangnya.”
[penulis : maksud menakwilkan bahawa hadith ini merangkumi semua kulit binatang sehingga kulit binatang bangkai pun kalau disamak dibolehkan untuk dipakai] .

Orang itu bertanya lagi, “bererti engkau berpendapat bahawa hal itu dibolehkan?” Imam Ahmad menjawab kembali, “Tidak, kami tidak berpendapat bahawa hal itu dibolehkan, berdasarkan sebuah hadith Nabi, “Janganlah kalian menggunakan kulit binatang yang mati, sama sudah disamak, atau dikeringkan.” (HR An-Nasa’i).

Imam Ahmad ditanya lagi, “bagaimana hal itu boleh berlaku. Sedangkan orang itu telah salah dalam mentakwilkan hadith tersebut.” Imam Ahmad berkata, “semua orang yang menakwilkan sesuatu yang datang dari Nabi Muhammad s.a.w, dan dari sahabat baginda, atau dari salah satunya, kemudian ia menjalankan hasil takwil tersebut, maka tidak mengapa jika kita solat di belakangnya, meskipun kita berbeza pandangan dengan mereka.” (Peristiwa ini dinukilkan dari kitab Kaifa Nata’mal Ma’at-Turats wat-tamzahab wa ikhtilaf , dan terdapat dalam Fathul Bari fi tartib al-fiqhi li tahmid, karya Ibnu Bar)



Badoeng (Paris Van Java)

Semasa di Bandung, Indonesia, pemikiran saya sentiasa berputar memikirkan tentang masyarakat di sana dan kehidupan beragama mereka. Kehidupan yang serba-serbi dhaif, dan lokasi perumahan mereka juga terlalu padat. Selain, jurang perbezaan antara orang kaya dan miskin juga terlalu besar, sehinggakan sukar untuk mencari mereka yang berada pada kedudukan di tengah-tengah. Malahan pemegang ijazah amat sukar untuk mempunyai pekerjaan.


Pada mereka yang bijak berniaga sendiri peluang itu amat besar berbanding mereka yang hanya bergantung pada kertas Ijazah itu sahaja, jaminan anda untuk kebuluran sangat besar.

Rasuah amat berleluasa di sana. Sehinggakan anggota Polis di sana tidak lagi dihormati dan mereka tidak lebih sekadar nama sahaja. Saya sendiri berhadapan dengan kejadian MEMINTA rasuah. Tanpa segan silu, tanpa ada sebarang perasaan bertanggungjawab, pegawai imigresen di lapangan terbang meminta sejumlah wang kepada saya.
“Saya sudah gunakan semua wang saya , dan tidak ada tersisa pun.” Jawab saya dengan perasaan yang sangat geram.

Ganguan seksual juga menjadi trend di sana bagi pegawai-pegawai kerajaan. Kalau tidak percaya, silakan pergi dan merasai kebejatan tersebut. Perkara ini juga berlaku didepan mata saya sendiri. Malu dan geram! Tetapi apakah daya saya, jika berbuat tidak molek dengan pegawai tersebut pasti tangan ini akan digari dan disumbat di jeriji besi.

Buatlah aduan! Saya sendiri tidak yakin dengan sistem kepolisian mereka, apatah lagi sistem kehakiman, inikan pula mahu saya membuat aduan. Lebih malang lagi, saya pula dituduh melakukan penipuan. Semua itu boleh terjadi!


BUAT APA SAHAJA
Masyarakat di sana amat kreatif , kreatif dalam mencari sesuap nasi. Kita di Malaysia tidak pernah terfikir untuk menjadikan motor speda (motorsikal) sebagai pengangkutan awam seperti Teksi dan bas. Tetapi di sana, tidak mustahil dan pengangkutan itu mempunyai permintaan yang sangat tinggi. Oh lupa, di sana pengangkutan ini dikenali dengan nama OJEK. Kalau anda mahu mencuba, silalah pergi ke Bandung.

Memerhati dan melihat kesusahan mereka saya tersedar, betapa untung dan bersyukurnya saya berada di Malaysia. Ya! Tanah airku yang tercinta. Allah sangat adil, dan Dia tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Itu saya amat pasti, kerana masih ada golongan kaya yang terdiri daripada mereka yang taat kepada Allah. Bukan sekadar mentaati Allah, tetapi usaha dan iktiar mereka untuk menjadi orang yang MEMBERI terlihat dari kesungguhan mereka mengubah nasib diri dan orang-orang sekitar mereka.



KUNFAYAKUN DAN SANG MURABI
Kunfayakun dan Sang Murabi adalah dua buah filem Indonesia yang banyak memberi kesan dan pengaruh ke atas diri saya untuk mencari Tuhan. Kedua-duanya memaparkan tentang PERCAYA kepada Allah dan ISTIQOMAH terhadap apa yang kita lakukan. Percaya bahawa Allah mendengar apa yang kita pohonkan, dan sentiasa Istiqomah dalam bermohon kepada-Nya. Kenapa saya kebelakangan ini banyak cerita tentang Mencari Tuhan? Kerana saya suka untuk mengajak para pembaca mencari Tuhan. Kerana saya sudah merasai manisnya ‘bertemu’ dengan tuhan, dan saya mahu berkongsi kemanisan itu bersama anda semua.

“Tidak ada satupun hamba-Ku yang ikhlas Kuambil harta yang Kuberikan padanya, kecuali Kuganti dengan yang lebih baik. Tidak ada satupun hamba-Ku yang redha dengan bala yang Kutimpakan padanya, kecuali Kunaikkan derajatnya. Dan tidak satupun hambaKu yang bersyukur, kecuali Kutambah nikmatKu padanya” (Hadith Qudsi).

Hadith Qudsi di atas juga salah satu pemangkin kepercayaan saya terhadap Allah. Saya juga percaya bahawa kemanisan menjadi hamba, dan kemanisan menjadi manusia yang mempunyai tanggungjawab di muka bumi ini adalah sebuah ganti yang Allah beri pada saya.

BERSANGKA BAIK KEPADA ALLAH
“Perancangan Allah lebih baik daripada perancangan manusia.” Itu adalah ayat yang biasa kita ucapkan apabila sesuatu perkara yang kita rancang tidak menjadi. Tetapi adakah ucapan kita selari dengan hati kita? Atau hanya manis di mulut, tetapi di hati kita meratap dan menyalahkan Allah! Mengapa kita tidak melihat di balik sesuatu yang kita tidak inginkan itu ada kebaikan yang menanti.

Mengapa apabila keburukan yang menimpa, kita tidak berdoa agar perkara yang lebih baik Allah gantikan untuk kita? Semua persoalan itu harus ditanya kepada diri kita. Adakah kita hanya Muslim dimulut, tetapi hati kita tidak pernah mengaku akan segala ‘jalan cerita’ yang telah Allah arahkan ini. Bersangka baiklah pada Allah, kerana apabila kita bersangka baik padanya, Allah akan bersangka baik pula kepada kita.

“Barangsiapa yang tidak bersyukur atas nikmatKu, tidak bersabar atas bala yang Kutimpakan, dan redho terhadap keputusanKu, keluarlah dari langitKu dan carilah Tuhan selain diriKu". (Hadith Qudsi)

Ya Allah, tiada tempat lagi yang layak aku duduk selain dari tempat yang telah Engkau tetapkan untukku. Tiada tuhan lain yang dapat aku serahkan jiwa ragaku, selain kepada Engkau Sang Maha Kuasa.


Friday, November 7, 2008

Berdiam diri atau Membisu

Berdiam diri atau membisu? Mengapa dan apakah wajar tindakan tersebut?

Bagi para pembaca Paradigma yang mengikuti perkembangan saya, pasti ada yang menjawab bahawa saya tidak mendiamkan diri. Malahan saya terus bergerak ke sana-sini dan masih menulis. Tetapi persoalan tetap akan muncul iaitu di mana? Sepanjang proses mendiamkan diri selama sebulan lebih ini, saya banyak mempelajari perkara baru. Antaranya menulis dalam bahasa Inggeris dalam sebuah blog baru, mempelajari Adobe Photoshop, mengunjungi Indonesia, dan memerhati serta memahami diri saya sendiri.



MASIH MENULIS

Sepanjang mendiamkan sebentar Paradigma dari terisi apa-apa bahan, saya sebenarnya masih mengikuti perkembangannya dengan membaca komen-komen yang dihantar oleh para pembaca. Ada yang menyokong tindakan saya untuk mendiamkan diri sebentar, dan ada juga yang membantah tindakan tersebut. Walaubagaimanapun, saya sedar bahawa para pembaca mempunyai niat yang baik dengan menghantar komen-komen tersebut, dan saya amat menghargainya.

Kesedihan dan kegembiraan mengisi diri saya sepanjang saya mencari diri sebenar. Lebih-lebih lagi apabila saya berkunjung ke Bandung, Indonesia. Melihat dan memerhatikan sendiri keadaan masyarakat di sana, dan ia amat menginsafkan diri saya. Banyak perkara yang saya perolehi apabila berada di sana. Cahaya kegembiraan juga terisi di sana, tetapi kegembiraan itu sebenarnya masih dalam samar-samar, sama ada kegembiraan itu akan berterusan atau akan terhenti, saya masih ragu.

Kesedihan seringkali dikaitkan dengan kegagalan dalam diri manusia. Begitu juga dengan saya. Falsafah saya, “jatuh dua kali dalam dua lubang yang sama amat perit, tetapi jika jatuh dua kali ke dalam dua lubang yang berbeza , itu lebih bahagia.” Mengapa? Kerana bagi saya, sesiapa yang jatuh ke dalam lubang yang sama lebih sekali, bererti mereka tidak berjalan dari kesilapan lepas. Tetapi jika seseorang itu jatuh ke dalam lubang yang berbeza meskipun sudah dua kali terjatuh, orang itu beruntung kerana belajar dari kesilapan lepas untuk tidak melalui di lubang yang sama.


GAGAL SEBUAH KEJAYAAN
Dua kali gagal dalam situasi yang berbeza, bererti sudah menaiki dua tangga menuju kejayaan. Jangan takut, tetapi rancang dan fikirkan apa cara untuk kita terus mendaki mencapai kejayaan di puncak sana. Sebentar tadi saya mendengar sebuah rancangan di radio. Seorang pendengar telah menelefon DJ yang bertugas, dan apa yang menarik beliau mengatakan, umur 21 tahun adalah umur di mana seseorang itu sudah mulai memikirkan masa depan, tidak kiralah sama ada keluarga, pekerjaan, kehidupan dan pelbagai lagi.

Apa yang saya boleh katakan, saya lebih awal daripada itu, walaubagaimanapun saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Usia seawal 20-an seharusnya digunakan untuk memikirkan apa yang harus digapai dan dicapai pada masa hadapan. Ukirkan gambaran di minda dan catatkan di kertas segala apa yang kita fikirkan boleh diusahakan dan yakin untuk memperolehinya. Berikan solusi-solusi segala tribulasi di minda kita, agar minda kita dapat menyelesaikannya dengan segera. Bukan menambah masalah, tetapi cuba mencari formula untuk menyelesaikan masalah dan cara untuk kita berjaya pada masa hadapan.

Sejak 4 tahun lalu saya telah merancang dan menulis misi dan visi saya, sama ada dalam kotak ingatan dan juga di buku catatan. Walaupun sepanjang mengisi perancangan tersebut ada yang gagal, tetapi tidak merasakan kegagalan itu jalan mati. Tetapi lebih kepada motivasi dan peringatan dari Allah bahawa ada banyak perkara lagi saya harus usahakan untuk mencapai cita-cita saya.

Banyak perkara lagi yang saya akan isi, dan ceritakan. Insya Allah saya akan ceritakan pengalaman saya berkunjung ke Indonesia, dan segala kebaikan yang saya dapat di sana. Kebaikan itu diperolehi dari proses memerhati, menyelami, menilai dan menimbang segala apa yang saya lihat dan berbual bersama orang di sana. Banyak perkara! Kunjungan saya di sana tidak sia-sia, banyak yang saya perolehi...


TERIMA KASIH
Saya ucapkan terima kasih kepada para pembaca yang sentiasa menyokong saya dengan menghantar email dan juga memberi komen dalam Paradigma semasa saya mendiamkan diri untuk seketika. Khususnya kepada Mentor-mentor saya yang banyak memberi idea dan sumbang-saran kepada saya agar lebih matang dalam menjalani kehidupan. Saya sekarang bermotivasi dan bersedia untuk menyumbang kembali idea-idea dan juga ingin menjadi sebahagian dari "erti hidup pada memberi".




BUKAN SEKADAR BERKUNJUNG




MENCARI TUHAN

Perjalanan menuju pencak Tangkuban Parahu amat mengasyikkan. Suhunya yang dingin dan permandangan bukit-bakau yang menghijau amat menyenangkan. Pemandu di sebelah saya khusyuk memandu , sukar untuk melihat dia leka atau menoleh sana-sini.

“Kenapa ke Bandung?” Pak Salim pemandu kereta yang dinaiki saya bersuara perlahan.

Saya menoleh ke arah beliau, kemudian tersenyum pahit.
“Saya mencari tuhan.” Pak Salim menoleh ke arah saya pula. Ada riak-riak tidak puas atau terkejut dengan jawapan yang diberi oleh saya.

“Kamu Muslim?”

“Alhamdulilah, saya Muslim yang taat.”

“Kalau sudah Muslim, mengapa harus mencari Tuhan pula?”

Sesekali Pak Salim memutar-mutarkan sterengnya untuk mengelak lubang-lubang yang ada merata di jalan raya. Keadaan jalan raya di Bandung tidak sebaik atau terurus seperti di Malaysia. Sudah ada jalan raya pun sudah memadai, daripada tidak ada langsung. Pak Salim masih menunggu jawapan dari saya. Saya memandang keluar tingkap, Pak Salim pula masih tekun memandu.

“Sudah menjadi Muslim tidak semestinya kita mengenal Tuhan kita. Di tempat saya, ramai yang mengaku Muslim tetapi mereka tidak pernah menjalankan tangunggjawab sebagai Muslim. Mereka kata mereka kenal Tuhan, tetapi kehidupan mereka tidak ubah seperti orang yang tidak bertuhan. Begitu juga dengan saya. Walaupun saya Muslim, saya masih mencari makna sebenar bertuhan.”

Pak Salim kelihatan terkejut dengan penjelasan saya. Keja-kejap dia menoleh saya, kemudian terus memandang ke hadapan. Dia tidak berkata apa-apa, seakan-akan sedang mencari buah bicara untuk menuturkan kepada saya. Kami diam seketika, saya melayan keasyikan melihat permandangan dan dia tekun memandang ke hadapan memandu kereta.


MAKNA KAFFAH

“Saya ingin menjadi Muslim secara kaffah.” Saya meneruskan bicara.

“Kaffah?”

“Pak Salim tahu apa itu Kaffah?” Saya menyoal Pak Salim. Pak Salim menggeleng, tapi dalam masa dia menunjukkan minat yang tinggi untuk mengetahui makna Kaffah.

“Kaffah bererti menyeluruh. Menjadi Muslim haruslah seluruhnya mengikuti apa yang telah diajarkan oleh Allah dan Rasul, bukan sekerat-kerat. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan..” Pak Salim mengangguk-anggukkan kepalanya. Saya sendiri tidak tahu, adakah dia memahami penjelasan saya atau tidak. Tetapi sekurang-kurangnya saya dapat menerangkan kepadanya.

“Jadinya sekarang, kamu mahu mencari Tuhan atau mencari Kaffah.” Saya tergelak. Memang benar telahan saya, Pak Salim tidak memahami apa yang saya terangkan kepadanya. Dalam masa yang sama saya sedih, kerana saya belum berupaya menerangkan Islam kepada beliau. Betapa agungnya Nabi Muhammad kerana baginda berupaya dan berkebolehan menerangkan Islam kepada seluruh manusia, hatta masyarakat Arab Badwi yang terkenal dengan kedunguan. Selawat dan salam ke atas baginda serta ahli keluarga dan para sahabat baginda.

“Saya mencari kedua-duanya Pak.” Saya menamatkan bicara. Saya memandang Pak Salim dengan beribu persoalan dan simpati. Seorang lelaki yang sudah separuh usia masih berkerja keras mencari rezeki untuk keluarga di rumah. Beliau seorang yang peramah walaupun pada mulanya saya sangka beliau seorang pendiam. Beliau suka berjenaka tetapi tidak pernah ketawa, kadang-kala saya sendiri tidak mengerti adakah dia membuat lawak atau sekadar bercerita. Lucu!

Indonesia sebuah negara Islam, sebuah negara yang penuh dengan sejarah. Tidak kurang juga dengan kelahiran para ulama’ dan cendikiawan Islam. Sebut sahaja HAMKA, KH Rahmat Abdullah, Wali Songo, Syeikh Ali Audah, Prof Dr Hasbi As-shidiqie dan ramai lagi. Mengapa saya memilih Indonesia sebagai tempat untuk saya mencari Tuhan? Banyak sebabnya, dan saya pasti sebab-sebab itu sukar untuk saya senaraikan satu persatu.

“Kita sudah sampai.” Ujar Pak Salim pendek.

“Saya memandang sekeliling. Padat!” Ramai pelancong pada hari itu. Begitu juga dengan para penjual yang mengusung barang-barang mereka untuk dijual. Pak Salim menginngatkan saya agar jangan cepat membeli barang-barang di situ. Harus tawar-menawar, kata Pak Salim. Katanya lagi, kadang-kadang satu barangan itu baru 30 Ribu Rupiah, tetapi mereka jual dengan harga 150 Ribu Rupiah, jadinya harus berhati-hati dan jangan tertipu, pesan Pak Salim lagi kepada saya.


sekitar di atas puncak Tangkuban Parahu


Saya keluar dari kereta, angin-angin dingin menyapa dan menyambut kedatangan saya. Saya memeluk tubuh, kesejukannya mencucuk kulit luar epedermis saya. Walaupun tidak mencengkam hingga ke tulang sunsum, tetapi kedinginannya amat terasa. Saya menuju ke arah papan tanda yang tertulis, “Tangkuban Parahu”. Saya tersenyum gembira, akhirnya saya sampai juga di sini.

Perhatian





Pemberitahuan:

Kedua-dua telefon bimbit saya hilang / keciciran / dicuri semasa diletakkan di dalam bagasi kapal terbang Air Asia. Jadi kepada rakan-rakan sila email atau YM saya untuk sebarang update / pemberitahuan / kecemasan / dan sebagainya untuk sebulan ini sebelum saya membeli telefon bimbit baru.


Kepada rakan sekolah lama saya : An-nur dan SMKA Pedas, saya mengharapkan anda semua emailkan kepada saya nombor telefon anda. Sila gunakan link 'HUBUNGI' yang ada di atas untuk menghantar email kepada saya. Harap kerjasama dari anda semua.

Saya masih belum bersedia untuk mengisi apa-apa di dalam Paradigma. Banyak perkara di dalam kepala saya untuk diberikan kepada para pembaca. Tetapi...Sabar, kerana saya masih menyusun, mengatur dan menilai segala isi kandungan dalam kepala ini.