Friday, November 14, 2008

Badoeng (Paris Van Java)

Semasa di Bandung, Indonesia, pemikiran saya sentiasa berputar memikirkan tentang masyarakat di sana dan kehidupan beragama mereka. Kehidupan yang serba-serbi dhaif, dan lokasi perumahan mereka juga terlalu padat. Selain, jurang perbezaan antara orang kaya dan miskin juga terlalu besar, sehinggakan sukar untuk mencari mereka yang berada pada kedudukan di tengah-tengah. Malahan pemegang ijazah amat sukar untuk mempunyai pekerjaan.


Pada mereka yang bijak berniaga sendiri peluang itu amat besar berbanding mereka yang hanya bergantung pada kertas Ijazah itu sahaja, jaminan anda untuk kebuluran sangat besar.

Rasuah amat berleluasa di sana. Sehinggakan anggota Polis di sana tidak lagi dihormati dan mereka tidak lebih sekadar nama sahaja. Saya sendiri berhadapan dengan kejadian MEMINTA rasuah. Tanpa segan silu, tanpa ada sebarang perasaan bertanggungjawab, pegawai imigresen di lapangan terbang meminta sejumlah wang kepada saya.
“Saya sudah gunakan semua wang saya , dan tidak ada tersisa pun.” Jawab saya dengan perasaan yang sangat geram.

Ganguan seksual juga menjadi trend di sana bagi pegawai-pegawai kerajaan. Kalau tidak percaya, silakan pergi dan merasai kebejatan tersebut. Perkara ini juga berlaku didepan mata saya sendiri. Malu dan geram! Tetapi apakah daya saya, jika berbuat tidak molek dengan pegawai tersebut pasti tangan ini akan digari dan disumbat di jeriji besi.

Buatlah aduan! Saya sendiri tidak yakin dengan sistem kepolisian mereka, apatah lagi sistem kehakiman, inikan pula mahu saya membuat aduan. Lebih malang lagi, saya pula dituduh melakukan penipuan. Semua itu boleh terjadi!


BUAT APA SAHAJA
Masyarakat di sana amat kreatif , kreatif dalam mencari sesuap nasi. Kita di Malaysia tidak pernah terfikir untuk menjadikan motor speda (motorsikal) sebagai pengangkutan awam seperti Teksi dan bas. Tetapi di sana, tidak mustahil dan pengangkutan itu mempunyai permintaan yang sangat tinggi. Oh lupa, di sana pengangkutan ini dikenali dengan nama OJEK. Kalau anda mahu mencuba, silalah pergi ke Bandung.

Memerhati dan melihat kesusahan mereka saya tersedar, betapa untung dan bersyukurnya saya berada di Malaysia. Ya! Tanah airku yang tercinta. Allah sangat adil, dan Dia tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Itu saya amat pasti, kerana masih ada golongan kaya yang terdiri daripada mereka yang taat kepada Allah. Bukan sekadar mentaati Allah, tetapi usaha dan iktiar mereka untuk menjadi orang yang MEMBERI terlihat dari kesungguhan mereka mengubah nasib diri dan orang-orang sekitar mereka.



KUNFAYAKUN DAN SANG MURABI
Kunfayakun dan Sang Murabi adalah dua buah filem Indonesia yang banyak memberi kesan dan pengaruh ke atas diri saya untuk mencari Tuhan. Kedua-duanya memaparkan tentang PERCAYA kepada Allah dan ISTIQOMAH terhadap apa yang kita lakukan. Percaya bahawa Allah mendengar apa yang kita pohonkan, dan sentiasa Istiqomah dalam bermohon kepada-Nya. Kenapa saya kebelakangan ini banyak cerita tentang Mencari Tuhan? Kerana saya suka untuk mengajak para pembaca mencari Tuhan. Kerana saya sudah merasai manisnya ‘bertemu’ dengan tuhan, dan saya mahu berkongsi kemanisan itu bersama anda semua.

“Tidak ada satupun hamba-Ku yang ikhlas Kuambil harta yang Kuberikan padanya, kecuali Kuganti dengan yang lebih baik. Tidak ada satupun hamba-Ku yang redha dengan bala yang Kutimpakan padanya, kecuali Kunaikkan derajatnya. Dan tidak satupun hambaKu yang bersyukur, kecuali Kutambah nikmatKu padanya” (Hadith Qudsi).

Hadith Qudsi di atas juga salah satu pemangkin kepercayaan saya terhadap Allah. Saya juga percaya bahawa kemanisan menjadi hamba, dan kemanisan menjadi manusia yang mempunyai tanggungjawab di muka bumi ini adalah sebuah ganti yang Allah beri pada saya.

BERSANGKA BAIK KEPADA ALLAH
“Perancangan Allah lebih baik daripada perancangan manusia.” Itu adalah ayat yang biasa kita ucapkan apabila sesuatu perkara yang kita rancang tidak menjadi. Tetapi adakah ucapan kita selari dengan hati kita? Atau hanya manis di mulut, tetapi di hati kita meratap dan menyalahkan Allah! Mengapa kita tidak melihat di balik sesuatu yang kita tidak inginkan itu ada kebaikan yang menanti.

Mengapa apabila keburukan yang menimpa, kita tidak berdoa agar perkara yang lebih baik Allah gantikan untuk kita? Semua persoalan itu harus ditanya kepada diri kita. Adakah kita hanya Muslim dimulut, tetapi hati kita tidak pernah mengaku akan segala ‘jalan cerita’ yang telah Allah arahkan ini. Bersangka baiklah pada Allah, kerana apabila kita bersangka baik padanya, Allah akan bersangka baik pula kepada kita.

“Barangsiapa yang tidak bersyukur atas nikmatKu, tidak bersabar atas bala yang Kutimpakan, dan redho terhadap keputusanKu, keluarlah dari langitKu dan carilah Tuhan selain diriKu". (Hadith Qudsi)

Ya Allah, tiada tempat lagi yang layak aku duduk selain dari tempat yang telah Engkau tetapkan untukku. Tiada tuhan lain yang dapat aku serahkan jiwa ragaku, selain kepada Engkau Sang Maha Kuasa.


No comments:

Post a Comment