Friday, November 7, 2008

Berdiam diri atau Membisu

Berdiam diri atau membisu? Mengapa dan apakah wajar tindakan tersebut?

Bagi para pembaca Paradigma yang mengikuti perkembangan saya, pasti ada yang menjawab bahawa saya tidak mendiamkan diri. Malahan saya terus bergerak ke sana-sini dan masih menulis. Tetapi persoalan tetap akan muncul iaitu di mana? Sepanjang proses mendiamkan diri selama sebulan lebih ini, saya banyak mempelajari perkara baru. Antaranya menulis dalam bahasa Inggeris dalam sebuah blog baru, mempelajari Adobe Photoshop, mengunjungi Indonesia, dan memerhati serta memahami diri saya sendiri.



MASIH MENULIS

Sepanjang mendiamkan sebentar Paradigma dari terisi apa-apa bahan, saya sebenarnya masih mengikuti perkembangannya dengan membaca komen-komen yang dihantar oleh para pembaca. Ada yang menyokong tindakan saya untuk mendiamkan diri sebentar, dan ada juga yang membantah tindakan tersebut. Walaubagaimanapun, saya sedar bahawa para pembaca mempunyai niat yang baik dengan menghantar komen-komen tersebut, dan saya amat menghargainya.

Kesedihan dan kegembiraan mengisi diri saya sepanjang saya mencari diri sebenar. Lebih-lebih lagi apabila saya berkunjung ke Bandung, Indonesia. Melihat dan memerhatikan sendiri keadaan masyarakat di sana, dan ia amat menginsafkan diri saya. Banyak perkara yang saya perolehi apabila berada di sana. Cahaya kegembiraan juga terisi di sana, tetapi kegembiraan itu sebenarnya masih dalam samar-samar, sama ada kegembiraan itu akan berterusan atau akan terhenti, saya masih ragu.

Kesedihan seringkali dikaitkan dengan kegagalan dalam diri manusia. Begitu juga dengan saya. Falsafah saya, “jatuh dua kali dalam dua lubang yang sama amat perit, tetapi jika jatuh dua kali ke dalam dua lubang yang berbeza , itu lebih bahagia.” Mengapa? Kerana bagi saya, sesiapa yang jatuh ke dalam lubang yang sama lebih sekali, bererti mereka tidak berjalan dari kesilapan lepas. Tetapi jika seseorang itu jatuh ke dalam lubang yang berbeza meskipun sudah dua kali terjatuh, orang itu beruntung kerana belajar dari kesilapan lepas untuk tidak melalui di lubang yang sama.


GAGAL SEBUAH KEJAYAAN
Dua kali gagal dalam situasi yang berbeza, bererti sudah menaiki dua tangga menuju kejayaan. Jangan takut, tetapi rancang dan fikirkan apa cara untuk kita terus mendaki mencapai kejayaan di puncak sana. Sebentar tadi saya mendengar sebuah rancangan di radio. Seorang pendengar telah menelefon DJ yang bertugas, dan apa yang menarik beliau mengatakan, umur 21 tahun adalah umur di mana seseorang itu sudah mulai memikirkan masa depan, tidak kiralah sama ada keluarga, pekerjaan, kehidupan dan pelbagai lagi.

Apa yang saya boleh katakan, saya lebih awal daripada itu, walaubagaimanapun saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Usia seawal 20-an seharusnya digunakan untuk memikirkan apa yang harus digapai dan dicapai pada masa hadapan. Ukirkan gambaran di minda dan catatkan di kertas segala apa yang kita fikirkan boleh diusahakan dan yakin untuk memperolehinya. Berikan solusi-solusi segala tribulasi di minda kita, agar minda kita dapat menyelesaikannya dengan segera. Bukan menambah masalah, tetapi cuba mencari formula untuk menyelesaikan masalah dan cara untuk kita berjaya pada masa hadapan.

Sejak 4 tahun lalu saya telah merancang dan menulis misi dan visi saya, sama ada dalam kotak ingatan dan juga di buku catatan. Walaupun sepanjang mengisi perancangan tersebut ada yang gagal, tetapi tidak merasakan kegagalan itu jalan mati. Tetapi lebih kepada motivasi dan peringatan dari Allah bahawa ada banyak perkara lagi saya harus usahakan untuk mencapai cita-cita saya.

Banyak perkara lagi yang saya akan isi, dan ceritakan. Insya Allah saya akan ceritakan pengalaman saya berkunjung ke Indonesia, dan segala kebaikan yang saya dapat di sana. Kebaikan itu diperolehi dari proses memerhati, menyelami, menilai dan menimbang segala apa yang saya lihat dan berbual bersama orang di sana. Banyak perkara! Kunjungan saya di sana tidak sia-sia, banyak yang saya perolehi...


TERIMA KASIH
Saya ucapkan terima kasih kepada para pembaca yang sentiasa menyokong saya dengan menghantar email dan juga memberi komen dalam Paradigma semasa saya mendiamkan diri untuk seketika. Khususnya kepada Mentor-mentor saya yang banyak memberi idea dan sumbang-saran kepada saya agar lebih matang dalam menjalani kehidupan. Saya sekarang bermotivasi dan bersedia untuk menyumbang kembali idea-idea dan juga ingin menjadi sebahagian dari "erti hidup pada memberi".




1 comment:

  1. Salam.

    bukan senang nak menahan diri daripada menulis,apatah lagi membisu.

    kalau ianya dapat memberi seribu erti di kemudian hari,apa salahnya,supaya lebih berhati-hati.

    Masing-masing ada cara tersendiri,kalau saya kalau suatu hari nanti (belum lagi) dah sampai suatu tahap, ingat nak kayuh basikal laju-laju,tengok sampai mana berhenti,tak kesah la tol semua.(berapa kg agaknya turun).refleksi diri sambil kayuh basikal best wo.hehe.

    selamat kembali menulis k.

    p/s: wanita susah sikit nak membisu.:)

    ReplyDelete