Friday, November 14, 2008

MENCABAR FATWA

“Saya harap saudara dapat membatalkan jawapan saudara dalam hal ini.” Beritahu saya pada seorang sahabat di sebuah laman Islamik.

“Mengapa?” Dia terkejut.

“Kerana jawapan saudara itu tidak selari dengan hadith Rasulullah.” Jawab saya.

“Tetapi itulah hujah dalam Mazhab Syafie.”

“Tetapi ada hadith yang menolak pandangan tersebut.”


Dialog yang bermula dengan semangat persaudaraan dan harmoni bertukar keruh. Saya berkeras mahu dia menarik pandangannya dan dia pula bertahan dengan pandangannya. Saya berpegang pada hadith yang sahih, dia pula berpegang pada fatwa Imam Syafie yang dikenali sebagai Pembela Sunnah. Jika dilihat sekali imbas dalam pandangan Salafinya, saya benar. Dilihat dari segi bukan Salafinya, saudara saya itu benar.


ADA APA PADA NAMA
Besar sangatkah Salafi ini? Apa itu Salafi?
Dulu saya sangat keras dalam hal-hal yang berkaitan dengan Salaf atau tidak. Sekarang ini saya bertanya kembali kepada diri saya dan juga rakan-rakan saya, “ada apa atas nama?” Ya, ada apa atas nama jika kita tidak bertindak atau berkelakuan seperti yang dilakukan oleh para Salafusoleh.

Kita berbangga kerana kita mengaku kita mengikut jalan/manhaj Salafusoleh. Jalan yang diredhai dan diakui oleh Rasulullah. Berdasarkan sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, “Sebaik-baik orang adalah di zamanku (sahabat), kemudian orang sesudah mereka (tabi’in) dan kemudian orang sesudah mereka (tabi’ut tabi’in).”

Tetapi kenapa dalam kelompok kita ada membahagi-bahagi Salaf ini kepada Salaf jalur keras, Salaf jalur sederhana, dan Salaf jalur bermudah-mudah? Saya bertanya kerana saya berfikir, dan tidak bermakna saya menolak manhaj ini. Saya masih berada di Manhaj ini tetapi saya menyoal tentang lompang-lompang dan kerosakan yang mula menular dalam manhaj yang dibawa kita. Manhaj itu tidak ada cacat celanya, tetapi pembawa manhaj ini yang memberi kesan buruk kepadanya.


SINDIRAN KERAS
Sepanjang bercuti semester saya tidak membazirkan masa saya dengan tidur atau bersenang-senang yang melampau. Enam buah buku telah saya baca dan hadam dengan keras. Kaifa Nata’mal Ma’at-Turats wat-tamzahab wa ikhtilaf (Bagaimana beramal dengan khazanah Klasik, Mazhab dan Ikhtilaf (perbezaan di kalangan Ulama’) karya Imam Yusuf al-Qardhawi adalah salah satu buku yang saya baca dan hadam. Membaca buku ini seperti mendengar sendiri nasihat dari beliau. Buku ini banyak menyedarkan saya tentang sikap dan kelakuan Salaf yang saya bawa.

Antara bait-bait yang ditulis oleh beliau dalam buku ini yang benar-benar menyentak dan menyedarkan saya ialah, “Benar bahawa kamu berpegang kepada Quran dan Sunnah, tetapi kamu harus menyedari bahawa pemahaman kamu terhadap nas tersebut bukanlah sebuah wahyu dan tidak terjaga dari kesalahan. Mungkin dalam memahami nas tersebut kamu hanya melihat zahirnya sahaja tanpa menyelami maksud sebenar dari nas tersebut. Sama seperti yang dilakukan oleh sebahagian sahabat yang tidak melakukan solat Asar di tengah perjalanan dan mereka melakukannya dengan qadha’ setelah mereka sampai di Bani Quraizah. Para sahabat tersebut sebenarnya salah dalam memahami nas walaupun Nabi s.a.w tidak menegurnya, kerana mereka dimaafkan.”

Ayat ini seperti menyindir diri saya, dan serta-merta saya teringat dialog di atas antara saya dan sahabat saya yang terjadi tidak lama dahulu dalam sebuah laman. Mengapa saya mahu menolak pandangan Imam Syafie atas dasar saya tahu sebuah hadith, kenapa saya tidak sahaja membenarkan hujah tersebut, dan dalam masa yang sama menghargai kedua-dua pandangan.


BEZA TAPI BENAR
Mungkin peristiwa di bawah ini akan menyedarkan kita bahawa Manhaj Salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad adalah Manhaj Salaf yang harus kita tiru dan selami. Bukan sekadar atas nama dan atas kritikan-kritikan kita terhadap para Imam dengan disulami perkataan ‘Kritikan Ilmiah’. Membawa Manhaj Salaf itu bukanlah sekadar berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, tetapi menghormati para Imam juga adalah salah satu ciri orang-orang yang membawa Manhaj Salaf.

Seorang sahabat kepada Imam Ahmad bin Hanbal pernah bertanya kepada beliau tentang seseorang yang menjadi imam solat, sedangkan ketika itu dia memakai kulit serigala atau kulit yang diambil dari binatang mati yang sudah disamak. Kemudian Imam Ahmad menjawab, “jika dia memakainya, maka dia telah mentakwilkan hadith ini : Jika kulit binatang disamak, maka ia menjadi suci (HR Ahmad, Tirmidzi, an-Nasa’i, dan ibnu Majah). Maka hukumnya, tidak mengapa engkau solat di belakangnya.”
[penulis : maksud menakwilkan bahawa hadith ini merangkumi semua kulit binatang sehingga kulit binatang bangkai pun kalau disamak dibolehkan untuk dipakai] .

Orang itu bertanya lagi, “bererti engkau berpendapat bahawa hal itu dibolehkan?” Imam Ahmad menjawab kembali, “Tidak, kami tidak berpendapat bahawa hal itu dibolehkan, berdasarkan sebuah hadith Nabi, “Janganlah kalian menggunakan kulit binatang yang mati, sama sudah disamak, atau dikeringkan.” (HR An-Nasa’i).

Imam Ahmad ditanya lagi, “bagaimana hal itu boleh berlaku. Sedangkan orang itu telah salah dalam mentakwilkan hadith tersebut.” Imam Ahmad berkata, “semua orang yang menakwilkan sesuatu yang datang dari Nabi Muhammad s.a.w, dan dari sahabat baginda, atau dari salah satunya, kemudian ia menjalankan hasil takwil tersebut, maka tidak mengapa jika kita solat di belakangnya, meskipun kita berbeza pandangan dengan mereka.” (Peristiwa ini dinukilkan dari kitab Kaifa Nata’mal Ma’at-Turats wat-tamzahab wa ikhtilaf , dan terdapat dalam Fathul Bari fi tartib al-fiqhi li tahmid, karya Ibnu Bar)



5 comments:

  1. satu pandangan yg berani dari anda.. bagus..salam ziarah..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.

    Maksud Yus, kita boleh menafsirkan apa juga hadith dan berpegang dengan pandangan kita walaupun orang lain punya pandangan yang berlainan? Atau perlu menerima pandangan orang lain yang dilihat lebih menghampiri maksud hadith berkenaan?

    Syukran in advanced. =)

    Ana yang memohon pencerahan,
    Yan Norayhunt

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah..

    akhirnya allah berikan kita semua, anda dan saya peluang utk berfikir..

    sebenarnya islam mmg mengharuskan adanya perbezaan pendapat.. hal ini memperkaya lagi keilmuan islam dan harus dihormati.. bknnya utk diperbalah2kan..

    jadilah salafy yg berakal.. jgn jadi salafi yg jumud..

    utamakan persaudaraan sesama kita..

    ReplyDelete
  4. Alhamdulilah
    Terima kasih kepada semua.

    To Kak Norayhunt: Kita itu haruslah merujuk kepada mereka yang arif dalam hal menafsirkan hadit, sepertimana yang dijelaskan oleh Imam az-Zhabi dalam Siyar A’laam an-Nubalaa iaitu, "mereka yang dibenarkan menakwilkan hadith ini hanyalah mereka yang cukup alat-alat ijtihad iaitu, mendalam pemahamannya terhadap hadith, menghafal keseluruhan masalah-masalah furu’, hafal kitab-kitab dalam masalah usul, mampu membaca menurut kaedah nahwu, aktif melakukan amalan-amalan fadhail, hafal al-Quran, sering menafsirkan dan pandangannya sangat tajam dan kritis."

    Manakala bagi kita ini pula ialah, menukilkan bukan menakwilkan. Kita boleh mengkaji dan menilai semua pandangan dengan menukil kembali pandangan para ulama yang muktabar terhadap sesuatu perkara. Setelah kita menilai dan mengkaji berdasarkan pandangan para ulama dengan penjelasan lanjut dengan cara bertanya dengan orang yang alim, maka kita berhak mengambil mana2 pandangan berdasarkan daripada penilaian kita tanpa ada sebarang niat selain daripada mencari kebenaran. Itu sebab, Hassan al-Bana mengatakan dan dipetik kembali dari sebuah kitab karya al-Imam Yusuf al-Qardhawi bahawa masyarakat umum harus menjadi al-Ittiba' bukan taklid. Ittiba' bermaksud mengikuti sesuatu pandangan berdasarkan bukti, bukan sekadar menerima sahaja tanpa bertanya dan menilai sesuatu pandangan itu.

    WaAllahualam.


    TO SOOD: Saya tahu anda seorang yang anti wahabi, tetapi sebenarnya anda juga harus menilai dan menjernihkan kembali apa pandangan anda dan penafsiran anda tentang Wahabi ini. Kajilah, nilailah, dan renungilah. Sama-sama kita berfikir dan muhasabah diri kita..

    WaAllahualam..

    ReplyDelete
  5. ya akhi. Ini antara Qaul2 (quotation) Imam Syafi'e:

    1."Setiap org harus bermazhab kpd Rasulullah s.a.w dan mengikutinya. Apapun yg aku katakan atau sesuatu yg ku katakan itu berasal dari Rasulullah s.a.w, tetapi ternyata berlawanan dgn pendapatku, maka apa yg disabdakan oleh Rasulullah s.a.w itulah yg menjadi pendapatku."

    2. "Seluruh kaum muslimin telah sepakat bhwa org yg secara jelas mengetahui suatu hadis dr Rasulullah s.a.w tidak halal meninggalkannya dan menggunakan pendapat seseorang."

    3. "Bila kalian menemukan kitabku sesuatu yg berlainan dgn hadis Rasulullah s.a.w,maka berpeganglah Hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku."

    4. "Bila sesuatu hadis itu sahih, itulah pendapatku."

    5. "Kalian lebih tahu tentang hadis dan para rawinya dpd aku. Apabila suatu hadis itu sahih, beritahulah kpdku,biar dimana pun orgnya,apakah di kuffah,bahrah,atau syam,sampai aku pergi menemuinya."

    6. "Setiap perkataanku bila berlainan dgn riwayat yg sahih dr NAbi s.a.w hadis nabi lebih utama dan jgn kalian bertaqlid kpdku."

    7. "Setiap hadis yg datang dr Nabi s.a.w, bererti itulah pendapatku,sekalipun kalian tidak pernah mendengarnya sndiri dr aku."

    Wallahu'alam..
    Sebenarnya banyak lg Qaul2 dpd imam Syafi'e. tapi kalu nak tulis semua, seminggu pun tak leh siap.
    Dpd Qaul ni,pandai2 lah kita menilai. Jangan terlalu taksub dgn sesuatu pendapat, dan jgn plak terlalu Taqlid.

    ReplyDelete