Sunday, April 20, 2008

CERPEN



Perempuan itu bernama Salwa


(Episod terakhir)

Oleh: Yussamir yusof

Cyberjaya
21 April 2008
3.32 pagi
www.yussamir.com



Alex cirit-birit. Nasi lemak yang dikunyahnya lahap pagi tadi disalahkan. Aku pula sejak dari dalam MRT sehinggalah sampai di bukit Gombak aku masih membisu. Aku memikirkan Salwa, ya Salwa. Kenapa aku semacam sudah dirasuk? Aku dirasuk jiwa, adakah aku gila?

Alex mengadu kesakitan, mukanya merah padam menahan kesakitan. Dia menekan-nekan perutnya yang sedikit boroi itu. Aku mengambil minyak angin cap kapak-rasanya hanya di Malaysia sahaja ada minyak angin jenama itu- dalam beg, kemudian memberikan kepada Alex untuk disapu di perutnya.

MRT meluncur laju di celah-celah banggunan Kota Singa. Kadang-kadang terlihat si ibu sedang memasak di dapur, si anak dara sedang menyidai kain dan si anak kecil terjenguk-jenguk di beranda melambai-lambai MRT yang lalu di belakang rumahnya. Kepadatan penduduk serta kawasan yang terhad, membuatkan Kerajaan Singapura terpaksa membina laluan MRT dekatan dengan rumah-rumah penduduk. Aku berasa syukur kerana Malaysia masih ada ruang dan tempat untuk di jadikan sebagai laluan Komuter, LRT, Star dan lain-lain. Setiba kami di satu stesyen, aku dan Alex terus bergegas keluar. Sangka kami itu adalah stesyen Bukit Gombak, tapi setelah berjalan barangkali 10 minit lamanya. Baru aku dan Alex tersedar yang tempat yang kami berada sekarang bukan Bukit Gombak, tapi Stesyen MRT Jurong East.

Aku dan Alex merayau-rayau tanpa arah di sekitar Jurong point. Ramai manusia yang mundar-mandir di pusat membeli belah itu. Ada yang membeli dan ada juga yang sekadar membelek-belek barang yang dijual. Para penjual pula tidak putus-putus memujuk dan mempromosi barangan kepada para pengunjung. Aku dan Alex sekadar berdiri memerhatikan gelagat pengunjung di pusat beli belah Jurong Point. Aku hilang punca. Kemana harus aku dan Alex melangkah.

*Jurong point


Alex mula rimas dengan keadaan di situ. Dia tertanya-tanya kenapa harus ke sini. Dia membuka mulut.

“Yus, kita nak pergi mana ini? Kalau sekadar pusat membeli-belah, di Malaysia pun ada.”

“Sebentar,aku pun tidak ada idea. Kita duduk di sini.” Aku dan Alex duduk di kerusi yang disediakan di situ. Duduk untuk menghilangkan lelah dan juga berfikir kemana arah yang harus dituju. Aku mengeluarkan sekeping peta yang diambil secara percuma di kaunter pertanyaan.

“Kita ke sini.” Alex menunjukkan minat untuk ke Zoo Negara Singapura.

Aku pun berminat,tetapi kalau sekadar menonton gelagat-gelagat haiwan katulistiwa yang beraksi di balik jeriji. Aku membantah. Aku mahu ke tempat yang lebih memberikan kepuasan di dalam pergembaraan ini. Yang dapat memberikan satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.

“Perhatian kepada pengunjung pusat membeli belah Jurong Point. Kepada sesiapa yang ada kehilangan anak lelaki yang berumur 6 tahun, bernama Syahrizal sila datang ke kaunter pertanyaan dengan segera. Terima kasih” Pengumuman dari alat pembesar suara pusat membeli belah Jurong Point membingitkan. Tetapi pengumuman itu menarik minat aku. Suara itu seperti aku kenali. Aku menarik tangan Alex, kemudian cepat-cepat menghayunkan kaki menuju ke arah suara tadi. Alex hanya mengikut tanpa sebutir persoalan muncul dari mulutnya.

Ada dua orang pekerja yang berada di kaunter di mana suara itu datang. Aku cuba mendapatkan kepastian dengan memerhatikan dari jauh.

“Kenapa kau semacam mencari-mencari.” Soal Alex yang melihat gelagat aku tidak betah berada di satu posisi. Aku bergerak ke sana-sini untuk memastikan telahan aku benar.

“Aku sedang memastikan adakah benar apa yang hati aku katakan.” Jawab aku acuh tak acuh.

“Guna bahasa novel ini yang aku tak suka. Cakap sajalah yang kau sedang mencari wanita itu bukan?

Aku terkesima. Bagaimana Alex tahu tujuan aku berdiri di sini. Adakah dia memang sudah tahu dari awal atau sekadar menduga di air yang keruh. Aku memandangnya,kemudian tersenyum pahit.

“Ya,benar. Tapi aku tak pasti, adakah wanita yang bersuara tadi perempuan yang sama yang telah jadikan aku gila bayang. Alex gelak besar. Mulutnya tidak berbau. Aku mencebir.

Aku tak pedulikan Alex, aku terus mendekati kaunter pertanyaan. Seorang wanita bertudung menyucapkan selamat, setiba aku di kaunter itu.

“Selamat petang Encik.Boleh saya bantu.”

“Saya nak tahu, siapa yang buat pengumuman tadi. Pengumuman berkenaan seorang budak kecil yang hilang tadi.” Soal aku.

Wanita itu ke bahagian tengah setelah meminta aku bersabar sebentar. Dia mahu menyemak nama yang membuat pengumuman tadi.

“Maaf encik, orang yang bertanggungjawab membuat pengumuman tadi sedang berehat. Kalau encik tidak keberatan, sila datang selepas jam 3. Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu.” Ujar perempuan itu. Kemudian bergerak ke arah bahagian tengah untuk menyambung kerja yang lain. Aku hampa.

Aku menekan butang telefon bimbit. Mencari-cari nama Alex, untuk dihubungi. Entah kemana Alex menghilang.

“Engkau dimana?” Tanya aku yang kehampaan.

“Aku di Food court tingkat 5. Aku lapar,nak makan sesuatu. Aku tunggu di sini.” Suara Alex yang bercampur-campur. Bunyinya seperti dia sedang mengunyah sesuatu. Pasti sedang melantak.

Alex sedang makan tika aku sampai. Aku meletakkan beg di kerusi kemudian ke kedai makan yang menghidangkan berbagai makanan laut. Setelah memesan kerang goreng dan sup sotong serta nasi kosong, aku ke tempat duduk semula.

Sedang aku duduk-duduk sementara menunggu makanan siap. Kelibat perempuan yang aku cari itu muncul dibalik orang-orang yang ramai. Aku bergegas untuk mendapatkan perempuan itu. Suara Alex yang bengang tidak aku pedulikan, perempuan itu harus aku dapatkan. Ada misteri yang harus aku rungkaikan. Walaupun misteri itu bukan tujuan aku kemari. Barangkali perempuan itu ada sesuatu yang disembunyikan dari aku. Atau ada rahsia yang membuatkan aku tertarik dan ditarik untuk mengetahuinya. Aku bingung. Perasaan ini semakin kuat bila Alex mengatakan wajahnya persis Maria.

“Salwa!” Aku memangil nama perempuan itu. Aku sekadar mencuba nasib. Kalau benar perempuan itu Salwa yang dicari aku,pasti dia akan menoleh. Memang benar dugaan aku. Perempuan itu memalingkan mukanya kearah aku. Aku cepat-cepat ke sana.

Benar kata Alex,muka Salwa persis Maria.


20 tahun dahulu aku pernah membuat kesilapan yang sangat besar. Waktu itu aku masih remaja. Hidup aku penuh bergelumang dengan dosa. Aku tidak pernah memikir atau berfikir yang aku punya agama. Mujur Alex disamping aku sama ada senang atau susah aku. Dia tempat aku mengadu.

“Aku berdosa kepada Maria. Aku bukan tidak menyintainya,tetapi aku tak bersedia untuk menjadi seorang ayah.” Aku meluahkan perasaan pada Alex. Alex mencuka. “Itu bukan namanya cinta, tapi nafsu.Bila engkau dah dapat apa yang kau mahukan, kau biarkan Maria terkontang-kanting dengan kandungannya. Kau memang tidak bertangungjawab Yus.” Alex menyebur.Dia marahkan aku. Sebagai seorang sahabat yang sudah lama bersama aku, dia tak sangka aku akan berbuat begitu pada Maria. Tapi aku tiada pilihan.

“Aku tiada pilihan Alex.”

“Jadi,bagaimana dengan Maria?” Soal Alex.

“Keluarganya malu mendapat tahu yang Maria sedang mengandung. Bapanya telah menghantar Maria ke Singapura untuk menyembunyikan hal itu daripada diketahui orang-orang sekeliling.”

“Puas hati kau bukan? Insaflah Yus, hidup ini bukan sekadar untuk suka-suka.Kita ada tangungjawab dan amanah yang harus dipikul. Walaupun aku bukan seagama dengan kau, tapi aku tahu itulah ajaran yang diajarkan oleh agama Islam. Zina itu dosa besar!”


Lamunan aku mati. “Assalamualaikom.” Aku ucapkan salam pada perempuan di depan mata aku. Wajahnya tersinar cerah bagaikan pancaran mentari kehidupan yang datangnya dari bebola mata yang coklat ceria.Persis Maria.

Salwa kaget. Perlahan dia menjawab salam aku.

“Waalaikumusalam. Ada apa?” Salwa kelihatan resah.

Aku cuba menyusun frasa yang terbaik untuk dituturkan di depan Salwa. Aku kehilangan kata-kata. Debar jantung aku memukul dada.

“Kamu salwa kan?” Soal aku.

“Ya, saya Salwa.”

“Kamu masih ada ibu?” Aku tergagap bertanya.

“Masih ada.Sekarang berada dirumah. Kenapa encik tanya pasal ibu saya?” Salwa kehairanan. Suaranya agak tinggi bila aku bertanya pasal ibunya.

“Saya kenalan ibu kamu. Nama ibu kamu Maria bin Suhail warga Malaysia dan umur kamu sekarang 19 tahun dan dilahirkan di Malaysia juga?.” Aku menduga. Dalam keharapan yang ibunya benar-benar Maria dan itu adalah anak aku.

Dia diam sebentar.Kemudian menganggukkan kepala.Aku gembira.

“Boleh saya berjumpa dengan ibu kamu.Penting.” Aku separuh mendesak. Salwa tidak membalas. Wajahnya menggambarkan dia tidak mempercayai kata aku. Aku mencuba meyakinkannya.

“Sudah lama saya mencari ibu kamu. Ada hal yang berkaitan dengan ayah kamu.” Aku berhelah.

Dia tersentak apabila aku menyebut ‘ayah’. Dia menundukkan kepala. Kemudian bersuara lemah.

“Baiklah. Saya habis kerja selepas jam 5,tunggu saya di kaunter. Saya akan bawakan encik bertemu ibu.” Sejurus bersetuju, dia terus melangkah pergi.


Tiba-tiba bahu aku ditepuk.

“Itu ke perempuan yang kau cari dari tadi.” Alex yang dari tadi menyaksikan kejadian itu dari jauh bertanya. Aku menganggukkan kepala. Kemudian bersuara. “Itu anak Maria.”

“Apa! Anak Maria.” Alex terkejut,suaranya tinggi.

“Ya, itu anak Maria,anak Maria adalah anak aku!!” Aku menjerit tetapi suara aku tersekat dan air mata aku mengalir.

“Alex,aku harus menebus kesalahan aku. Aku sudah bertaubat,aku bukan seperti dulu lagi.Mungkin pengembaraan kita ke sini,adalah satu perencanaan yang ditentukan Allah. Dan aku pasti ini adalah peluang untuk aku membetulkan kesilapan yang telah aku buat dahulu.” Alex memeluk aku. “Tuhan masih sayangkan engkau Yus. Jangan kau persiakan peluang ini.Ketemu Maria,kemudian jelaskan pada Salwa tentang kau. Aku pasti Maria tidak pernah memburuk-burukkan engkau di depannya. Aku juga pasti yang Salwa akan menerima engkau seadanya.” Alex optimis, aku hanya diam didalam esakan tangisan….



Salwa menutup diari arwah ayahnya yang tersimpan rapi di sebuah kotak kayu bersalut kain emas kemerah-merahan. Diari itu sudah tersimpan disitu sejak 5 tahun lalu. Namun hari ini baru dia tahu apa yang terisi di dalam kotak itu,setelah dia dan ibunya berpindah semula ke Malaysia. Dia juga tahu tentang kesemua kisah ayahnya dan Alex, sahabat ayahnya.


Di belakang diari itu tertulis,

“Kepada anakku Salwa dan isteriku yang tersayang. Terima kasih kerana sudi menerima aku sebagai seorang ayah dan suami.Dua puluh tahun meninggalkan kita dengan duka dan lara. Namun kini kita sudah kembali bersatu di atas nama Keluarga bahagia.Kepada Maria, terima kasih kerana kasih dan sayangmu selama ini terus membuatkan aku tabah dan sabar menghadapi kematian kerana dosa lamaku,aids.Kepada anakku Salwa,ayah berbangga denganmu kerana tegar dan gagah menghadapi hari-hari tanpa ayah selama dua puluh selama ini. Kini,engkau terpaksa pula berhadapan dengan pandangan masyarakat tentang buruknya penyakit ayahmu ini. Namun engkau tidak peduli semua itu,yang penting bagimu, engkau tidak lagi anak yatim.Yang penting bagimu,ayahmu sudah insaf dan menyayangimu teramat. Ayag hadiahkan diari ini kepadamu Salwa, sepeninggalan ayah ke alam baqa’. Ayah tidak menyesali akan kehadiranmu di dunia ini,dan ayah mencintai ibumu sepanjang hayat…

Yang mencintaimu,
Yusairizal bin Akramin
1964-2008


5 comments:

  1. huhu..best bro..ada kelainan..ingatkan yus ni umur ala2.20 an..rupa2nya dah lanjut hehe..

    ReplyDelete
  2. bahasa yg digunakan segar dan sesuai dgn jiwa generasi kini/khalayak.
    bykkan penceritaan agama sebegini!

    ReplyDelete
  3. ana fyruz,
    betul la tu. yus ni baru 21 tahun.. lebih kurang la rasanya.

    ReplyDelete
  4. ASsalamualaikom..
    Cikgu Wan-terima kasih cikgu sebab sudi memberi komen yang membina.
    Azree- Ana Fyrus merujuk yus yang didalam cerpen..huhuhh dia ingat yus dalam cerpen tu berumur 20-an tetapi sebenarnya sudah berumur. hehehe...
    Ana Fyruz- terima kasih sebab datang dan membaca.. :D

    ReplyDelete
  5. nama atuk salwa tu akramin kan?
    hehehe, mengingatkan akak pada seseorang bernama akramin. Akak just baca episod akhir.Tapi seronok dah.
    Teruskan usaha.Akak baca je, nak nulis tak mahir macam awak.Nanti terbit buku ye.Confirm akak beli.

    ReplyDelete