Thursday, April 3, 2008

Penerangan ringkas


Sebuah penerangan ringkas: Solat jumaat

Oleh: Yussamir Yusof
.Cyberjaya
4 April 2008/Jumaat

Beberapa kesalahan makmum sebelum, dan semasa solat Jumaat:

  1. Tergesa-gesa ke Masjid.

Menjadi satu kesalahan kepada makmum yang tergesa-gesa ke Masjid. Seseorang yang telah mendengar azan haruslah bersegera ke Masjid dengan keadaan tenang dan tenteram. Arahan ini meliputi dalam semua keadaan, walaupun ketika itu Iqomat sedang dikumandangkan. Perkara ini telah dijelaskan oleh sebuah hadith yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, “Menurut Abu Hurairah ra Nabi Muhammad saw bersabda: “Apabila kamu telah mendengar iqomat dialunkan, berjalanlah menuju untuk solat berjamaah. Kamu hendaklah bersikap tenang dan tenteram. Janganlah tergesa-gesa,apa sahaja yang kamu dapati bersama imam,maka solatlah bersamanya. Manakala apa yang saja yang terlepas daripada rakaat, kamu sempurnakanlah kemudian.”


  1. Tidak Solat Tahiyatul Masjid.

Seringkali makmum yang masuk ke dalam masjid terus duduk, tanpa melaksanakan solat sunat Tahiyatul Masjid. Sedangkan solat sunat ini adalah antara solat sunat yang sangat diberatkan (sunat muakad) oleh Nabi Muhammad saw. Banyak sekali hadith direkodkan yang menunjukkan Nabi saw menitik beratkan solat sunat ini. Antaranya ialah,sebuah hadith yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, sabda Nabi, “ Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid janganlah sesekali dia duduk melainkan selepas dia melaksakan solat dua rakaat( tahiyatul Masjid).”

Arahan ini juga termasuk dalam keadaan ketika khatib sedang berkhutbah pada hari jumaat.Perkara ini telah terakam dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Muslim,kata Nabi saw, “jika salah seorang di antara kalian mendatangi solat jumaat sedangkan khatib sedang berkhutbah maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah keduanya.”


  1. Bercakap-cakap ketika khatib sedang berkhutbah.

Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi saw berkata, “Apabila kamu berkata “diamlah” kepada rakanmu pada hari jumaat padahal imam sedang berkhutbah,maka sia-sialha engkau (pahala jumaat).” (Hadith direkodkan Bukhari- petikan dari kitab Nailul Authar susunan Imam Syaukani)

Hadith di atas menunjukkan larangan khusus ketika khutbah sedang berlangsung. Dan jumhur ulama’ berpendapat haramnya semua perkara yang melibatkan perbualan ketika khutbah sedang berlangsung. Menurut Ibnu Hajar as-Qolani dalam kitab Fathul Bari, “yang dikecualikan daripada diam ialah apabila khatin telah sampai kepada khutbah yang tidak diperintahkan dalam khutbah seperti doa untuk kebaikan penguasa, dan seumpamanya.


  1. Tidak merapatkan saf

Para sahabat dan generasi salafus-soleh terdahulu amat menitik beratkan masalah saf, kerana ia adalah sunnah dari Nabi Muhammad saw. Mereka tidak akan mengerjakan solat selagi saf tidak rapat dan betul. Jabir bin samurah berkata, “Rasulullah saw telah keluar kepada kami lalu bersabda: Adakah kamu tidak mahu berbaris seperti para malaikat berbaris disisi tuhannya?Lalu kami bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah cara mereka berbaris disisi tuhannya? Kemudian baginda menjawab: Mereka menyempurnakan saf-saf pertama,kemudian diikuti saf-saf seterusnya,serta merapatkan saf tiada ruang kosong antara mereka.” (Hadis direkodkan Muslim)


Cara merapatkan saf:

a) Rapat antara bahu dan kaki

Anas ra berkata, “ Solat telah pun diiqomatkan,kemudian Rasulullah saw menghadap kepada kami sambil berkata: tetapkanlah engkau semua mendirikan saf-saf dan rapatkanlah saf-saf kerana sesungguhnya aku dapat melihat kamu semua dari belakangku.” (hadith direkodkan Bukhari dan Ahmad)

Manakala dalam riwayat Bukhari, Anas berkata: Lalu ada di antara kami yang merapatkan bahunya dengan bahu kawannya serta kakinya dengan kaki kawannya.

b) Tidak ke depan dan ke belakang.

Menurut Abu Said al-Khudri,dia berkata, “Rasulullah saw telah melihat di kalangan sahabatnya ada yang terbelakang sedikit lalu baginda berkata: Majulah kamu semua ke depan! Ikutlah aku dan hendaklah kamu mengikuti orang-orang yang sesudahmu itu. Sesebuah kaum yang suka ke belakang (tidak mengikut arahan imam) mereka pasti akan dibelakangi oleh Allah.” (Hadith direkodkan Muslim)

c) Berlemah lembut,jangan berhimpit-himpit keterlaluan.

Menurut Ibnu Umar ra, Rasulullah saw berkata :
“Dirikanlah saf-saf. Rapatkanlah antara bahu-bahu,tutuplah ruang-ruang kosong.Berlemah-lembutlah kamu terhadap saudara-saudara kamu (ketika membuat saf). Janganlah engkau biarkan ruang kosong untuk dimasuki syaitan. Sesiapa yang merapatkan saf pasti Allah sentiasa berhubung dengannya. Sebaliknya sesiapa yang memutuskan saf pasti Allah putuskan hubungan dengannya.” (Hadith direkodkan Abu Daud, disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim)




___________________________________________________

Sumber rujukan:

I. Kitab Nailul Authar –Imam Syaukani.

II. Al-fatawa - Syeikh Abdul Aziz Baz (matan Mufti Am Arab Saudi)

III. Wuduk dan solat menurut Sunnah dan Mazhab Syafie- Abu Ruwais al-Syubrawi.

IV. Software Maktabah Syamilah – untuk mengoreksi darjat hadith-hadith.

V. Fathul Bari – Ibnu Hajar as-Qolani.

2 comments:

  1. yus.
    apa pendapat anda jika terdapat saf makmum yang melebihi imam. kerna terjadi pada jumaat lepas, sewaktu bersembahyang di Presint 8. Surau tersebut dimasuki dari saf depan bukan belakang seperti selalu. Jadi apa bila penuh. kami terpaksa membina saf baru di hadapan garisan imam. maknanya kami berada di hadapan imam di suatu sudut lain. sah ke? sbb kalau ikut di masjidil haram pun imam bersembahyang di bawah bumbung di dalam masjid dan makmum di hadapannya iaitu di tempat tawaf..harap penjelasan. trimas!

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikom..
    Saya cuba menjawab sekadar yang mungkin..

    Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah al-Anshaari:

    “… Rasulullah s.a.w. berdiri untuk menunaikan solat, lalu akupun datang dan berdiri di samping kiri beliau. Rasulullah meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan beliau. Kemudian datang pula Jabbar bin Shakr r.a., ia berwudhu’ lalu mengikuti solat kami, ia berdiri di samping/sebelah kiri Rasulullah. Beliaupun meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang beliau...” (Hadis Riwayat Muslim, no. 3006)

    Jika tiga orang makmum atau lebih solat bersama imam, maka mereka berdiri di belakang imam menurut kesepakatan para ulama. Hadis-hadis yang menyebutkan tentang masalah ini terlalu banyak untuk disebutkan satu persatu. Makmum tidak boleh berada di depan imam, kerana tidak sah bermakmum bersama seorang imam kecuali jika imam tersebut berada di depan mereka. Jumhur ulama berpendapat, barangsiapa berada di depan imam maka batal solatnya. Imam Malik, Ishaq, Abu Tsaur dan Daud membolehkannya, jika tempat terlalu sempit. (Rujuk: Sahih Fiqih Sunnah, jil. 2, hal. 239, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

    ReplyDelete