Thursday, April 3, 2008

siri tauladan



Kita di bawah-Nya

Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
3 April 2008




Episod pertama:

“Apakah kaitan agama dengan manusia?” Soal sahabat saya sebentar tadi. Saya terdiam sebentar dan cuba menjawab tetapi hambar. Jawapan saya tidak dapat memuaskan hati dia dan tidak dapat merungkai persoalannya. Saya tidak dapat jawab dengan baik soalan yang sebegitu mudah, dan saya terasa begitu bodoh ketika itu. Mujur, rakan bilik saya ada ketika itu,dan saya bawa soalan itu kepada beliau. Alhamdulilah beliau dapat menjawab dengan baik, dan ketika itu juga idea mencurah-curah ke dalam kotak minda saya. Tapi persoalannya disini, ialah “mengapa pada awal saya tidak dapat menjawab dengan baik soalan itu?”

Saya bermuhasabah balik diri saya, dan cuba menyelidik kembali mengapa tiba-tiba soalan yang comman di utarakan setiap kali dalam kelas Perbandingan agama bersama Brother Shah , tidak dapat dihuraikan dengan baik. Akhirnya saya ketemu jawapan, bahawa saya sudah melakukan kesalahan. Pasti para pembaca tertanya-tanya,apa kesalahannya nak bantu orang lain. Namun secara tidak sedar,saya telah meletakkan kebergantungan secara mutlak kepada diri saya, tanpa mengetahui bahawa itu adalah satu kesalahan. Seharusnya, saya perlu meletakkan kebergantungan kepada Allah dan meletakkan harapan untuk menyelesaikan soalan itu dengan pertolongan Allah,tetapi saya meletakkan 100% kepada ilmu saya.

Disebabkan itu, Allah mengelukan lidah saya untuk menghuraikan persoalan yang datang kepada saya. Saya berterima kasih kepada sahabat saya tadi, kerana anda menjadi wasilah untuk Allah menegur perbuatan saya. Kesombongan terhadap apa yang dimiliki dan bersikap “ya aku tahu”, dan “ya aku boleh jawab” adalah satu sikap yang berbahaya kepada insan terutama para dai’e khususnya. Sebab itu, sejarah banyak merakamkan tentang betapa takutnya para ulama silam untuk menjawab persoalan-persoalan yang dibawa kepada mereka. Imam Malik pernah ditanya 10 soalan, tetapi hanya dua sahaja yang beliau jawab. Selebihnya, beliau mengatakan “aku tidak tahu.”

Saya menasihati para pembaca dan khususnya kepada diri saya, ingatlah bahawa setinggi mana pun ilmu yang kita, tetapi Allah lebih berkuasa keatas sesuatu. Tidak mustahil untuk Allah melakukan apa yang ingin Dia lakukan. Moga diri kita terus berada dalam Taqwa dan Ihsan, dan sentiasa meletakkan kebergantungan kita pada-Nya 100%.


Episod kedua:


“Jadi diri sendiri.” Perkataan itu terkeluar bila saya membaca buku Membina imaginasi cemerlang. Sudah lama saya cuba menjadi orang lain, dengan erti kata saya menipu diri sendiri. Mengapa mahu menjadi orang lain,sedangkan kita sendiri tidak tahu siapa diri kita sendiri. Ramai kawan saya yang sama-sama mendaki gunung kinabalu dulu pelik dengan perubahan sikap saya. Kalau dulu saya suka membuat lawak dan seorang yang ‘kepala gila-gila’, tetapi sekarang perwatakan itu sudah tidak ada lagi.

Kenapa wajah yang serius dan penuh dengan kekelatan terpapar melalui raut wajah saya. Bila ditanya mengapa, saya akan menjawab “tekanan kerja.” Saya sendiri tidak mahu perwatakan saya yang humor dan selamba itu hilang dari diri saya,kerana, disebabkan perwatakan itulah saya mudah menyesuaikan diri dengan semua orang. Saya terus mengasak bertubi-tubi soalan mengapa saya berubah? Memang benar, muhasabah, merenung setiap perbuatan dan segala apa yang orang perkatakan tentang diri kita, ia boleh menjadi mekanisma untuk kita menyedari tetang kebobrokan diri kita. Bersyukur saya tidak terlambat untuk menyedari hal ini, dan saya bersyukur kerana ada beberapa insan yang sudi menegur saya. Kawan yang mengenali saya dengan perwatakan gila-gila dan selamba dulu, kini pasti merasa janggal apabila berjumpa dengan diri saya sekarang. Mohon maaf dipinta…

Mungkin april ini menjadi titik-tolak kepada konsep ta’ruf dalam kehidupan saya. Mungkin ia akan mengambil masa,tapi percayalah saya benar-benar seperti yang anda kenali sebelum ini. Percayalah…

Kepada para pembaca paradigma, dan khususnya diri saya, jadikanlah dua episod ini sebagai satu tauladan dan pedoman. Kita boleh memperolehi pengalaman bukan sahaja melalaui diri kita, tetapi kita juga boleh mempelajari dan merasai pengalaman itu melalui pengalaman orang lain. Jadikanlah pengalaman saya ini sebagai satu pemangkin untuk berubah kearah yang lebih baik, dan sentiasa terus menjadi diri anda. Jangan hipokrit!

WaAllahualam…

2 comments:

  1. Assalamualaikum.
    Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana artikel akhi telah menguatkan apa yang akak fikirkan selama ini iaitu sejauh mana kita benar-benar meletakkan kebergantungan kepadaNya, hatta dalam perkara yang kita pernah belajar ataupun selalu amalkan. Kerana ilmu itu milik Allah, kan? Tidak wajar rasanya manusia merasai bahawa dia yang memberi jawapan kepada persoalan manusia lainnya kerana kelebihan ilmunya, sedangkan ilmu itu hakikatnya milik Allah dan meminjamkan kepada kita untuk kebaikan ummah. Pengalaman ini juga pernah dirasai dan ketika itu Allah izin untuk akak sedar, Alhamdulillah, Allah sayangkan kita, kerana itu Dia mahu kita belajar daripada kesalahan, kan? =)
    Memang pahit untuk menerima, tetapi mungkin itu yang terbaik kerana Allah juga mengingatkan kita bahawa boleh jadi apa yang kita suka itu tidak baik untuk kita, tetapi apa yang kita benci itu adalah yang terbaik untuk kita. Untuk menjadi diri sendiri, kita perlu kenal diri. Untuk kenal diri, kita perlu arif tentang Pencipta diri. InsyaAllah, semoga akhi istiqamah dalam apa jua perkara yang baik untuk diri, sahabat-sahabat dan juga agama.=)

    ReplyDelete
  2. Waalaikumusalam kak..
    Memang benar kak, sekejap sahaja Allah boleh menegur kita. Dengan sekelip mata juga Allah boleh merendahkan kita dihadapan orang lain dek kerana kesombongan kita pada-Nya.
    Tetapi saya sedar bahawa itu adalah salah satu cara Allah menunjukkan betapa Dia kasih kepada hambanya,dan dia sayang untuk membenarkan hamba-Nya terus melakukan kesilapan.Moga diri ini akan terus menjadi Yussamir dan terus tunduk di atas kebesaran-Nya..

    ReplyDelete