Alhamdulilah, selesai. Akhirnya selesai juga peperiksaan akhir tahun ke-tiga saya. Isnin ini saya sudah bersiap-siaga untuk praktikal. Mohon semuanya dipermudahkan. Saya mahu bersiap-siap, mahu ketemu Prof. Madya Dr. Mohd Zuhdi di UIA. Ada hal mahu dibincangkan. Saya ada cerita, cerita saya di bawah ini. Moga ada manfaatnya.
”Abang Faizal Musa masih lagi tidak henti-henti melakukan khianat.” Kata Remmy aljawais kepada saya setibanya saya di bilik.
“Ada apa lagi? Saya malas mahu melayan orang begitu.” Saya mememekkan muka, tanda tidak suka diusulkan dengan kenyataan sebegitu. “Dia kata apa biar p la, dia kata dia pengkaji sejarah ke apa ke, biar p la dia.”
“Tak-tak, ini dia ambil kenyataan Syeikh Daud al-fathoni al-palembangi al-irani. Syeikh itu pun setuju.” Beriya-iya Remmy aljawais budak syiah yang sudah taubat beritahu saya.
“Tiada ulama lain ke?” Saya menyoal. “Dia bercerita berdasarkan bukti atau cakap-cakap macam ‘pengkaji sejarah’ lulusan syariah itu?” Saya memuncungkan mulut. Tidak kira siapa pun, tetapi kalau cakap main redah tanpa ada asas, kita perlu tolak.
Bukan saya cakap sebarangan, dan bukan pula saya cakap saya ini ‘pakar’ sejarah atau ‘pengkaji’ sejarah macam lelaki tehran itu. Cuma ini ialah realiti, bukan orang-orang biasa, malahan cendiakawan Islam terkemuka juga tanpa sengaja mencedok fakta-fakta sejarah dari sumber-sumber yang tidak tepat. Termasuklah Sayyid Abul A’ala al-Maududi, Syed Qutb, Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Prof. Hamka. Lalu, pandangan mereka itu dikritik dan dibetulkan oleh ulama’ lainnya tanpa mereka itu dicemuh dan dicela atas kelemahan mereka itu.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan:
“Ketika saya membaca pemikiran al-Maududi tentang sejarah dan peradaban Islam, seketika itu pula perasaan saya bergetar. Saya sangat hairan ketika dia menghukumi sejarah Islam dengan cara berlebihan. Padahal, dia memiliki keutamaan, kedudukan, kemuliaan dan kedalaman pemikiran. Baik dalam ilmu, pemikiran dan daya kritisme. Hal ini menunjukkan bahawa manusia tetaplah manusia. Meskipun memiliki ilmu dan kemuliaan, pasti dia tetap memiliki kekurangan, kealpaan dan kesalahan. Hal itu terjadi kerana sikap yang berlebihan. Kerana, tidak ada yang maasum kecuali Nabi (SAW)."
Lagi-lagi Qaradhawi, mesti lelaki Tehran itu muak. Kalau dia boleh membawa sumber dia, saya juga perlu membawa sumber saya. Macam pak Kaduk bermain dengan ayam, dia mahu adil tapi dia sendiri tidak mahu adil dengan orang lain.
Remmy aljawais masih lagi berteleku di depan saya. “Tidak sakitkah kaki duduk sebegitu?” Dia menggeleng, macam lelaki dari Keling. Tidak mengapa, perkataan itu sudah dibenarkan untuk digunakan.
“Jadi siapa yang salah?” Kaji sendirilah, kalau tidak dapat jadi ‘sepengkaji’ tetapi jadilah manusia yang hormat kepada Tabien. Bukan asyik-asyik mahu cela sana cela sini.
“Kejap-kejap.” Remmy yang baru mahu bangun, duduk kembali.
“Dia ada baca buku Muqadimmah? Karya Ibnu Khaldun?”
“Mestilah, dia kan ‘pengkaji’ yang berwawasan syariah.” Jawab Remmy sungguh sinis.
“Kenapa?” Tanya Remmy aljawais yang sudah lama melemparkan batu karbala di sungai. Kalau tidak kemana-mana dibawanya, macam tuhan pula batu itu!
Remmy mengambil buku Muqadimah di laci belakang tempat saya sandar. Pandai! Dia buka sendiri, dari satu halaman ke satu halaman dia teroka. Kemudian dia bacakan untuk saya.
“Seorang imam tidak sewajarnya dicurigai meskipun dia telah melantik ayah atau puteranya sendiri sebagai penggantinya. Dia telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kebajikan kaum muslimin selagi dia masih hidup. Lebih daripada itu dia bertanggungjawab untuk membasmi, semasa hidupnya (kemungkinan mewabaknya perkara-perkara yang tidak diingini) setelah kematiannya …. Malah, dia tidak harus sama sekalinya dicurigai dalam apa jua hal pun. Lebih-lebih lagi sekiranya ada alasan (untuk melantik seorang pengganti itu), seperti keinginannya untuk meningkatkan kepentingan umum, atau kekhuatiran akan terjadinya suatu malapetaka (sekiranya tidak dilantik seorang pengganti), oleh itu meragui seorang imam itu adalah bukan persoalannya. Hal yang sedemikian sebagai satu contoh adalah sebagaimana yang berlaku apabila Muawiyah melantik puteranya, Yazid. Tindakan itu diambil dengan persetujuan rakyat dan, dengan kerana itu, dengan sendirinya menjadi satu bahan hujah kepada persoalan yang dibincangkan. Akan tetapi, Muawiyah sendiri bersikap lebih menyokong puteranya Yazid berbanding dengan bakal penggantinya yang lain. Sebabnya ialah, dia lebih menitikberatkan kepentingan umum yang menghendaki adanya perpaduan dan harmoni di kalangan masyarakat itu, kerana orang yang menerajui kuasa eksekutif, iaitu Bani Umayyah, pada waktu itu bersetuju melantik Yazid. Tidak ada motif yang lainnya daripada Muawiyah. Hemahnya yang tinggi dan hakikat bahawa dia merupakan salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi mencegah keterangan yang lain-lainnya. Fakta bahawa dia sering datang kepada para sahabat terkemuka, untuk dimintai nasihat, dan kenyataan bahawa mereka tidak memberikan pendapat (yang bertentangan) merupakan bukti tidak adanya kecurigaan atas dirinya. Mereka (para sahabat) tidak termasuk orang gegabah yang mengambil keputusan dalam masalah kebenaran, dan demikian pula Muawiyah tidak mudah seenaknya menerima kebenaran. Mereka mempunyai peranan masing-masing dalam masalah ini, dan keadilan mereka menahan diri mereka untuk bertindak sewenang-wenangnya.” (Muqaddimah (edisi terjemahan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1995), ms. 229-230)
____________________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.
"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com