Friday, May 1, 2009

HARI KEDUA DI PULAU TUBA



Hari Jumaat- hari kedua saya berada di Pulau Tuba.

Awal pagi lagi saya sudah berusaha untuk bangun. Penat semalam masih belum hilang. Cuaca panas dan bahang masih lagi mengintai-ngintai batang tubuh kami semua. Subuh di sini 5.45 pagi. Saya sekadar menggosok gigi dan bersiap ala-kadar sebelum turun ke surau untuk solat berjamaah bersama peserta.

Hampa! Tidak ada seorang pun yang datang untuk berjamaah. Pagi itu, saya berasa sedikit kecewa melihat motivasi peserta yang pudar. Manusia memang perlu motivasi, tetapi apabila motivasi tidak disertakan dengan keakraban Tuhan, maka motivasi sekadar motivasi.

Jam 8.30 pagi saya dan semua fasilitator membimbing peserta dengan senaman ponco-ponco. Sejenis senaman tarian dari Indonesia. Saya mengenali senaman ini semasa berada di Perlis. Ketika itu, senaman ini sangat asing bagi saya, senaman tarian! Tetapi selepas 4 kali mengikuti program Sek@MMU yang rata-ratanya menggunakannya sebagai 'senaman rasmi', saya sekarang boleh dikatakan pakar ponco-ponco. :)


(sekitar di makmal komputer)



Kelas IT seperti biasa di jalankan. Kantuk saya tidak tertahan-tahan, mengajar sambil mata tertutup. Adik-adik yang perasan kantuk saya, kadang-kadang menumbuk-numbuk belakang badan saya.

"Bagi segar sikit mata itu bang." Kata Rofidzi sambil tangannya ligat menumbuk-numbuk belakang badan saya.

"Terima kasih." Ujar saya, sekuntum senyuman yang sedikit segar sedikit layu dihadiahkan.

Selepas solat Jumaat, para peserta yang dibahagikan kepada 10 kumpulan mula bersaing antara satu sama lain. Mereka bersaing dalam aktiviti 'Explore Race'. Para peserta diuji dari pelbagai sudut, mental (Soduku), Fizikal (makan mee yang dicampur dengan cencaluk), dan macam-macam lagi.


(makan mee dengan cencaluk. sampai menangis jadinya.)





Malam ini akan diadakan malam kebudayaan, malam terakhir sebelum majlis penutup pada hari esok. Semasa saya sedang kemaskini blog ini, para Fasilitator sedang mempersembahkan pentomen mereka. Kejap lagi pula saya bersama Effan akan 'memberi' tangisan kepada para peserta. Moga semuanya berjalan lancar.. Ameen.



_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment