Monday, May 4, 2009

CATATAN MALAM HARI KEDUA

MALAM ITU.

Malam semalam, saya, abang Sab dan Effan mengetuai program Muhasabah diri untuk para peserta. Gabungan metod ala-ala ESQ, ditambah pengalaman saya dan juga abang Sab membuatkan malam itu seperti sebuah malam kembali mengenali asas diri manusia. Manusia tidak pernah lari dari membuat kesilapan, dan manusia tidak akan sunyi dari sebarang kritikan. Malam itu semuanya kembali kepada asas, asas paling utama mengenali bahawa kehidupan yang dipinjam oleh Allah bukan selama-lamanya dapat dirasai. Daripada Allah kita perolehi, dan kepada-Nya juga kita semua akan kembali.

Mainan lagu instrument yang menyentuh perasaan, menggulit perlahan memasuki ruang-ruang hati dan fikiran para peserta. Menyerap perlahan sambil diisi dengan untaian-untaian bermakna untuk bekal adik-adik itu menghadapi cabaran dan dugaaan yang akan mendatang. Lumrah manusia yang mudah terusik apabila berbicara tentang ibu dan bapa. Saya dan abg Sab memanipulasikan lumrah itu untuk menyedarkan adik-adik bahawa kehidupan tidak akan dirasai tanpa kehadiran kedua-dua insan yang bernama Ibu dan Bapa.

Menyedarkan mereka bahawa peri-pentingnya mereka menjaga kedua ibubapa mereka, dan sentiasa menghormati keduanya serta memberi peringatan bahawa redha Allah berada di atas redha ibubapa. Berselang-seli dengan ucapan dari hadith-hadith Nabi serta kalam Allah, sedikit sebanyak memberi bukti bahawa agama sentiasa berkait-rapat dengan kehidupan manusia. Agama sentiasa memandu manusia untuk berjaya, dan agama juga sentiasa memberi petunjuk kepada mereka yang mencari jalan pulang dari kesesatan.


(adik-adik bersama fasi masing-masing)


Segala puji bagi Allah, aktiviti muhasabah diri berjalan dengan lancar. Walaupun ada sebahagian dari adik-adik lelaki yang kurang mengambil perhatian, tetapi kami yakin bahawa sedikit sebanyak aktiviti ini dapat memberi satu suntikan kepada mereka untuk berubah.

“Abang diberi tanggungjawab untuk menjalankan aktiviti ini bukan kerana abang orang terbaik. Tetapi di sebabkan abang adalah orang yang pernah gagal dalam kehidupan sebagai seorang pelajar dan anak, abang merasakan yang abang perlu berkongsi bersama dengan adik-adik betapa pedih dan peritnya menjadi orang gagal dan tak berguna. Tidak perlu merasai pengalaman jika kita sendiri boleh mempelajari sesuatu dari pengalaman orang lain. Belajarlah untuk belajar, insyaAllah adik-adik semua akan jadi orang terpelajar.” Saya mulakan bicara sambil memerhatikan setiap wajah-wajah adik-adik yang berada di depan saya.

Melihat mereka, saya teringat diri saya ketika berada di zaman seperti mereka. Ketika itu saya tidak punya cita-cita, tidak ada semangat untuk bersaing, dan tidak ada semangat untuk berjaya. Kini apabila saya mempunyai peluang, saya mahu adik-adik di depan saya malam itu untuk tidak merasai seperti apa yang saya rasa. Cukuplah saya sahaja yang merasainya, biar mereka mengecapi kejayaan tanpa jalan yang terlalu payah. Malam itu aktiviti muhasabah berakhri selepas mereka dipulangkan semula kepada fasilitator yang menjaga mereka sepanjang program. Saya puas, abang Sab dan Effan juga pasti puas, kerana dapat berkongsi bersama mereka. Moga ia menjadi azimat kepada mereka.


_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

No comments:

Post a Comment