Watak-watak:
Pemuda (seorang sarjana Islam yang terpinggir. Janggutnya besar dan lebat)
Aristi (Seorang pencari tuhan merangkap pemikir melayu moden yang mundur. Masih tercari-cari siapa tuhan. Bersikap keanak-anakkan.)
Babak 1
(Aristi keluar perlahan dari belakang pentas, kemudian berdiri di tengah-tengah pentas. Dia memegang pen dan kertas, dan berlagak seperti orang sedang mencari ilham.)
Aristi: Tuhan tidak pernah menyuruh untuk manusia berhenti berfikir tentangnya. Tetapi mengapa manusia sering menahan aku untuk terus berfikir tentang-Nya? Aku bukan budak yang boleh disuruh-suruh tanpa memberi alasan. Ah! Persetan semuanya.
Kemudian Aristi berjalan ke kanan dan ke kiri sambil berlagak seperti mahu mencari ilham untuk menulis. Kemudian dia berkata:
Tuhan, jika kau ada hadirkanlah di hatiku,
Tuhan, aku tidak mahu lemas sendirian mencari-Mu,
Tuhan, semadilah dalam diriku, agar aku menjadi sepertimu.
(Tiba sedang Aristi habis perenggan akhir itu, seorang lelaki muda datang kepadanya.)
Pemuda: Mustahil! Itu Wahdatul wujud. Meresap dalam diri Tuhan, seperti hukum al-Haj dan arabi. Sesat hukumnya.
Aristi: Sesat kau bilang? Siapa kata? Siapa kau? Aku tidak kenal kau.
(Berlaku pentengkaran, tetapi pemuda itu hanya membisu. Lelaki itu duduk didepan Aristi.)
Pemuda: Sila duduk. Kita bincang, engkau ada darah tinggi, tidak elok untuk kesihatan.
Seorang krew datang membawa air dan pil, sekadar selingan untuk menunjukkan Aristi benar-benar ada sakit darah tinggi.
(Keadaan di atas pentas senyap sepi. Ada dua-tiga orang lalu lalang, tetapi tidak mengendahkan Aristi dan pemuda itu. Lampu terang terus dituju kepada dua orang tersebut, lampu-lampu lain dimalapkan, agar penonton dapat fokus kepada Aristi dan Pemuda itu. Raut wajah Aristi masih lagi mencuka)
Pemuda: Kau tahu siapa Arabi? Semua orang kata dia sesat. Ajaran ini menyatakan bahawa alam atau zat manusia adalah manifestasi zat Allah, jadi wujud Allah dan wujud manusia adalah satu jua. Mana boleh hal ini berlaku.
Aristi: Kau silap. Bukan bersatu, tetapi tuhan bersama aku, dan aku bersama tuhan. (Kemudian Aristi bangun, mengaru-garu kepala. Dia mengeliling pemuda sambil tertunduk-tunduk. Kelihatan bingung, kemudian duduk kembali. Raut mukanya masih mencuka, bibirnya dijuihkan kepada pemuda) Jadi tuhan dan manusia itu bagaimana?
Pemuda: (di tangannya ada tasbih. Tetapi tidak digunakan, hanya sebagai hiasan) Tuhan sudah cerita semuanya pada kita. Melalui kitab-Nya dan juga ciptaannya. Tidakkah kau tahu, Tuhan memberi khabar melalui dua hal. (Pemuda bangun kemudian menghadap audien, dia menunjukkan dua menggunakan jarinya) Melalui Maqru’ah dan Manzuroh.
Aristi: Apa kebenda itu? (menggaru-garu kepala)
Pemuda: Melalui bacaan iaitu melalui kitab-Nya dan juga melalui penglihatan, iaitu berfikir melalui ciptaan-Nya yang wujud.
Aristi: Maksud kau, zikir dan fikir.
Pemuda: Wah, kau faham? (bergerak menuju ke Aristi. Kemudian menepuk-nepuk bahunya.)
Aristi: Tidak, aku tak faham. Aku sekadar menduga. Moga kail yang dihulur dapat menjangka dalam atau tidak lautan itu. Tapi semacam sudah terduga, bahawa benar benak aku berfikir. Mungkin ini berkat zikir ditangan kau. (Aristi mencapai biji tasbih dari pemuda. Pemuda mengelak, kemudian terus dirampas oleh Aristi. Pemuda mengejar Aristi sambil terjerit-jerit meminta balik biji tasbih itu)
(Tirai ditutup, lampu dialihkan ke arah orang ramai yang lalu-lalang. Kedengaran bunyi jeritan dari pemuda terus-terusan. Kemudian senyap. Sesekali kedengaran suara orang-orang sedang bercakap di bahagian tepi pentaas. Mereka sedang bermain dam dan main terup. Tirai dibuka semula, kelihatan fa’alu sedang membaca kitab ar-Radd ‘ala Manthiqiyyin karya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah. Fa’ala adiknya mendekati fa’alu kemudian duduk rapat-rapat sebelah abangnya. Lampu terang dihalakan kepada Fa’ala dan Fa’alu.)
InsyaAllah akan bersambung, “Drama pentas: Tuhan bukan daerah terlarang untuk pemikiran” karya Yussamir Yusof.
___________________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.
"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com
No comments:
Post a Comment