Monday, March 31, 2008

Filem Fitna


*Geert Wilders-manusia yang menghuru-harakan usaha pendamaian antara dunia islam dan bukan islam melalui filem Fitna

Filem Fitna antara emosi dan rasional

Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
1 April 2008
12.34 pm




Semalam seorang sahabat yang menuntut di luar Negara, berhasrat meninjau dan ingin berkongsi pandangan dengan saya tentang Filem Fitna. Persekitaran budaya yang berbeza dan atmosfera pendidikan yang juga berbeza, memberi pelbagai idea dan pandangan luar biasa pada kami malam itu. Anjakan paradigma yang statik kepada paradigma yang dinamik, mungkin itu boleh saya gambarkan kepada perbincangan saya dengan beliau malam itu melalui YM.

Antara soalan yang ditanya kepada saya ialah, apakah pandangan saya tentang versi boikot yang sedang dikeudarakan oleh segenap lapisan masyarakat dewasa ini terhadap produk Belanda.Seperti sudah ditanam dan ditunjal-tunjal kepala ini, saya menyuarakan bahawa pandangan saya sedondon dengan pandangan yang diutarakan oleh Tun Mahathir (dan juga orang kebanyakan), bahawa memboikot adalah jalan yang harus dipilih oleh Umat Islam.

Seperti kebanyakan pelajar yang mengambil subjek ekonomi, pasti akan membicara tentang supplier and demand dalam melontarkan idea dalam isu memboikot, dan saya juga tidak terlepas.


Namun, setelah mendalami isu ini secara bersama dan cuba merungkai satu persatu persoalan. Saya merasakan pandangan beliau tentang isu ini lebih rasional dan releven dari pandangan saya. Iaitu dengan mengutamakan konsep dakwah secara hikmah, melalui penjelasan secara meluas dan berterusan tentang Islam kepada masyarakat antarabangsa. Disamping, mengutarakan tentang tugas, tanggungjawab dan peranan ahli politik serta badan-badan yang berkaitan, antaranya OIC , Badan Ulama Islam Antarabangsa dan juga Eropah (yang kini diketuai oleh Al-Imam Yusuf al-Qardhawi). Selain penjelasan kepada masyarakat antarabangsa terutama Belanda kini, pendedahan dan pendidikan Islam secara effisyen dan meluas kepada Umat Islam terutama yang berada di negara-negara blok barat,harus dipertingkatkan.Ini semua harus dijalankan secara bersama oleh dunia Islam, agar Umat Islam boleh menjadi duta kepada agama Islam bagi menerangkan dan menyampaikan tentang Islam yang sebenar. Oleh itu pandangan dan sikap prejudis kepada Umat Islam dapat dihakis.


Memboikot adalah jalan terakhir bagi isu ini, kerana isu ini bukan berkaitan dengan masyarakat Belanda tetapi kepada seorang figur sahaja. Oleh itu, perlaksanaan boikot harus berada di tangga terakhir dan menjadi altenatif yang bukan menjadi keutamaan. Alhamdulilah, Ulama tersohor dan terpecaya di kalangan ulama-ulama mu’tabar iaitu al-Imam Yusuf al-Qardhawi yang juga ketua Ulama Islam Antarbangsa, juga meletakkan usaha memboikot di tangga ke lima semasa menyatakan lima spektrum yang berisi seruan kepada kaum Muslimin untuk melawan serangan yang memburukkan Islam dan Al-Quran (kenyataan al-Imam Yusuf al-Qardhawi ini diperoleh dari laman web eramuslim yang berbahasa Indonesia,kemudian telah diedit oleh saudara Abu Hasif dan sedikit dari paradigma).


*al-Imam Yusuf al-Qardhawi


Seruan ini disampaikan berikutan penyiaran filem “Fitna” yang ditayangkan oleh ahli politik radikal Belanda Geert Wilders di internet. “Kita tidak boleh menganggap enteng upaya menyalakan api terhadap Al-Quran, ” tegas Qaradhawi. Qaradhawi menegaskan bahawa dakwaan Wilders dalam “Fitna” yang menyebutkan bahawa Islam mengajarkan kebencian dan pembunuhan, sangat berlawanan dengan ajaran Islam yang menyeru kasih sayang dan hidup bersama secara damai dengan semua pihak. Qaradhawi dalam kesempatan yang sama juga menyelar sikap sebagian umat Islam yang turut mencemarkan nama Islam dan secara automatik membuka peluang bagi musuh-musuh Islam untuk memperburuk agama Islam yang hanif.


Dalam keterangannya kepada Islamonline, Qaradhawi menegaskan, “Apa yang dilakukan oleh ahli politik radikal Belanda itu, sama dengan menyalakan api terhadap Al-Quran.” Ia menambahkan, “Filem yang menuding al-Quran sebagai kitab suci fasis adalah pembohongan, dan merupakan perkataan yang tidak dikeluarkan kecuali oleh orang yang bodoh, sombong dan keras kepala. Ini rangkaian baru dari rangkaian permusuhan yang telah dibangun oleh arus di Barat, yang mengambil keuntungan di baliknya.” Lima hal yang yang digariskan Qaradhawi dan harus dilakukan umat Islam adalah;

1. “Menolak pendustaan ke atas Rasulullah saw yang menyebutkan baginda seorang yang haus darah dan seorang haus seks, secara ilmiah. Penolakan ini harus dilakukan secara menyeluruh, hingga sampai kepada orang-orang yang selama ini memiliki imej buruk terhadap Rasulullah dan orang yang tidak tahu akan kemuliaan Rasulullah saw.”

2. Kedua, “Melalui kaedah politik, sikap negara-negara Islam besar harus berdiri secara jantan untuk membela Islam dan Rasul-Nya.”

3. Ketiga, “Penolakan massa dengan menekan pemerintahan kaum Muslimin untuk memiliki sikap tegas berdasarkan keimanan bahawa umat Islam masih hidup dan masih memiliki kecintaan besar terhadap keyakinannya.”

4. Keempat, Qaradhawi menyerukan agar ada penolakan di lapangan seni dan budaya. Beliau menerangkan upaya itu misalnya, drama, filem atau drama bersiri untuk meluruskan imej yang selama ini tertutup dari Islam.

5. Kelima, “Pemboikotan ekonomi terhadap negara-negara yang mengizinkan penduduknya mencederai kesucian Islam. Pemboikotan ini adalah senjata yang mampu menyakitkan suatu negara.”



Akhir kata, Belanda dan Israil adalah dua isu yang berbeza dan kami bersama dalam mengatakan bahawa memboikot barangan Israil adalah wajib,sepertimana Fatwa yang dikeluarkan oleh Al-Imam Yusuf al-Qardhawi sebelum ini. Namun untuk memboikot barangan Belandan disebabkan isu ‘Fitna’ tanpa melihat dalam konteks yang lebih luas terutama peluang dakwah,maka itu adalah satu kesilapan. Mungkin ada yang bakal menempelak tulisan ini, tapi fikirkanlah hal ini dengan fikiran yang rasional tanpa melibatkan emosi. Benar kita menyayangi Islam dan memarahi perbuatan yang memperlekehkan al-Quran, tetapi islam juga mengajar kita bersikap rasional dan luas.

Lihat sahaja sejarah Islam dimana para sahabat terkejut ketika Nabi Muhammad saw menerima penjanjian Hudaibiyah. Sehinggakan Saidina Umar menyoal tindakan Nabi Muhammad saw,namun baginda melihat perjanjian ini bukan setakat perjanjian tetapi baginda melihatnya dengan skop yang cukup luas. Oleh sebab itu,kita juga perlu meniru sikap dan ibrah yang disampaikan kepada kita melalui tokoh yang bernama Muhammad saw.

Peristiwa ini telah direkodkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim,bahawa Saidina Umar al-Khatab berkata, “Kemudian aku datang kepada Nabi Muhammad saw, lalu aku bertanya kepada baginda. Bukankah engkau Nabi Allah? Baginda menjawab, “Benar.” Kemudian aku bertanya lagi, “bukankah orang-orang kita yang terbunuh akan masuk syurga dan orang-orang mereka akan masuk neraka?”. Baginda menjawab, “Ya benar!” Aku bertanya lagi, “lalu mengapa kita menyetujui agama kita direndahkan?” Baginda menjawab, “sesungguhnya aku ada Rasul Allah,aku tidak akan menyalahi perintah Allah dan Dia pasti akan membelaku.” Dan seterusnya..... (hadith ini panjang,cukuplah setakat ini)


Allah jua mengetahui...


*Kredit kepada Saudara Imran di atas muzakarah kita malam semalam.





________________________________________________________

Artikel yang dicadangkan oleh paradigma untuk dibaca:

  1. Five Ways to Defend Qur'an: Qaradawi
  2. Before Another Cycle of Anger :An Anti-Islam Movie: How to Respond?
  3. Dutch Jews Blast Anti-Qur'an Film

Saturday, March 29, 2008

Pak Kasim


Pak Kasim dengan anak-anaknya

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
30 Mac 2008
Cerpen abstrak




Mari sini semua! Ada sebuah cerita yang Pak Kasim nak kongsikan.

Ini ha, anak-anak Pak Kasim selalu berkawan dengan Putih. Bukan Pak Kasim benci dengan Putih,tapi Pak Kasim tak berkenan betul dengan sikapnya. Tidak eloklah kita benci-benci orang ini, sebab agama Pak Kasim tak membenarkan penganutnya membenci orang. Agama Pak Kasim agama kasih sayang,agama yang menolak kemudaratan.

Sambung balik cerita tadi. Bukan dengan perangai Putih sahaja yang Pak Kasim tidak berkenan, tetapi sikap anak-anak Pak Kasim yang suka sangat kawan dengan dia. Entah apa yang disuapkan pun Pak Kasim tidak tahu. Semua benda atau barang, anak-anak Pak Kasim ada, bukannya Pak Kasim tak beri.

Dengar kata dari orang sekeliling, anak-anak Pak Kasim disuap dengan gula getah. La.. Tidak faham betul Pak Kasim dengan budak-budak ini. Gula getah pun nak terhegeh-hegeh, Pak Kasim boleh beri sekotak!


“Sabar Pak Kasim,jangan emosi!” Jerit Talia yang dari tadi duduk bersimpuh di depan orang tua itu. Pak Kasim mengetuk kepala kanak-kanak perempuan itu. “ Bersopan sikit kalau nak tegur pun!”

Ha... sambung lagi. Lepas dapat tahu mereka disuap dengan gula getah, Pak Kasim naik hangin satu badan. Lepas itu Pak Kasim pun pergilah cari-cari maklumat sikit,kenapalah Putih baik sangat pada anak-anak Pak Kasim,sehinggakan beri mereka gula getah. Akhirnya Pak Kasim dapat tahu yang anak-anak Pak Kasim ini adalah pemberi maklumat kepada Putih. Mula-mula Pak Kasim nak gelak juga, tapi Pak Kasim tahan saja, sebab takut nanti gigi palsu Pak Kasim terpelanting pula. La... kenapa kau ketawa pula! Pak Kasim bukan buat lawak ini.


Pak Kasim pun tanyalah orang-orang yang berkaitan,maklumat apa yang anak-anak Pak kasim beri pada Putih. Macam penting bebenor Pak Kasim tengok. Kata Ali dia dapat tahu dari Saili,Saili pula cakap dia dapat tahu dari Ijalik, Ijalik beritahu bahawa kalika yang ceritakan kepada dia,yang maklumat itu tentang perempuan. Terkejut beruk Pak Kasim,udahlah maklumat itu diriwayatkan secara mutawatir, tidak mungkin Pak Kasim tidak percaya. Kurang asam punya anak-anak Pak Kasim, mereka beri maklumat tentang perempuan kepada Putih. Masa itu Pak Kasim marah sangat-sangat. Tidak mengapa,kita tengok sahaja dulu tingkah laku anak-anak Pak kasim ini.


“Pak Kasim!” Panggil Leman dari jauh,sambil berlari-lari anak ke arah Pak Kasim. “Kenapa kau ini Leman?” Tanya Pak Kasim,ditangan dia sepotong rokok berasap.



#Siputih sedang melanyak


Terpaku Pak Kasim bila Salim beritahu, Putih rogol anak Pak Mutawif di seberang kampung. Yang banggangnya, perempuan itu kena rogol di kampungnya,manakala kampung seberang itu kampung Putih. Patutlah dia berani, tiada siapa yang berani selamatkan perempuan itu. Lagi malangnya, anak-anak Pak kasim ada ketika kejadian itu berlaku, bukannya nak menghalang tetapi mereka sekadar melihat dan menjerit-jerit dari jauh. Bila ada yang nak pergi melawan, tiba-tiba anak sulung Pak kasim suruh berbincang dulu. Bila ditanya kenapa, anak sulung Pak Kasim itu kata,kesannya nanti mereka tidak akan dapat gula getah lagi. Ya Allah! Pak Kasim bila dengar macam itu, Pak kasim geram sampai nak naik gila ini. Akhirnya perempuan itu kena rogol juga, yang anak-anak Pak Kasim masih tercegat tidak tahu nak buat apa-apa. Bodoh! Menyesal Pak kasim membesarkan mereka,biar tuhan sahaja membalas kejahatan mereka. Selagi mereka berperangai macam itu,selagi itulah perempuan-perempuan yang ada disekitar kampung kena lanyak dengan Putih.

Pak kasim mengurut-ngurut dadanya, kemudian air matanya mengalir...Bilalah anak-anaknya nak sedar dan bangun menentang si Putih, mungkin bila dah kena pada kakak,atau emak, atau kakak sendiri baru mereka nak bertindak rasanya. Tapi ketika itu, semacam sudah terlambat!! Bodoh dan bangang kata Pak kasim.


Sebelum Pak Kasim pulang,dia ada sempat berpesan. Jom kita boikot barang Belanda dan barang Putih yang dijual di kedai Pak Samad,bila tiada pembeli, mesti Belanda dan Putih berputih mata...Pak Kasim tiba-tiba pengsan,terus mata hitamnya hilang dan berganti putih. Eh! Dia senyum....

Thursday, March 27, 2008

Sebuah cerpen

Photobucket

Cerpen abstrak :Sarwajagat nerakanika

Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
27 Mac 2008




“Tangkap wanita itu!” Panglima Arenawati berpangkat General dalam turus angkatan tentera Agronita, memberi arahan kepada anak buahnya. Anak-anak buahnya lekas menangkap Izrul yang sedang berehat-rehat di tepi bangsal kosong.

“Eh,kenapa saya pula ditangkap. Lagipun saya bukan wanita saya lelaki.”

Sejurus izrul mengatakan dia lelaki, anak-anak buah panglima Arenawati ketawa terbahak-bahak.

“Apa kau ingat aku buta? Engkau itu wanita bukan lelaki,tengok itu kau punya anu!”

“Ya,aku mempunyai anu,sebab itu aku katakan aku ini lelaki.Lelaki ada anu,wanita tidak ada!” Izrul marah diperlakukan sedemikian rupa. Dia cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri dari pegangan anak buah panglima itu.

“Gila punya budak!Aku bilang wanita,wanitalah. Tidak perlu berdolak-dalik. Kamu berdua bawa dia ke bilik tahanan, dan jangan lupa tempatkan dia bilik tahanan bandar kadiawapan.” Panglima Arenawati mula naik berang apabila kata-katanya cuba disangkal oleh Izrul. Sejurus,memberi arahan agar Izrul ditempatkan di bilik tahanan bandar Kediawapan, dia terus menaiki airobadani untuk pulang ke Markas. Airobadani terus laju membelah awan meninggalkan kawasan larangan yang telah dicerobohi oleh Izrul tadi.

Sepanjang perjalanan ke Bandar Kediawapan Izrul terpinga-pinga, kerana dia belum pernah lihat bandar yang sebegitu canggih ini. “Encik, ini negara apa ?” Tanya Izrul terketar-ketar.

Seorang daripada tentera yang menangkapnya tadi menoleh ke arah Izrul.Kemudian dengan suara lantang dia menjawab, “Ini negara Sarwajagat nerakanika, sebuah negara yang diperintah oleh Kerabatinun Azharitunin.

“Ha! Negara Sarwajagat nerakanika? Kedengaran suara Izrul sedikit tinggi.Dia berasa pelik dengan nama negara ini,seumur hidup dia tidak pernah mendengar nama negara ini,walaupun dia bukanlah seorang peminat subjek geografi.

“weh bangun!” Petra mengejutkan Izrul yang meracau-racau macam kucing baru beranak. Izrul bangun,mengesek-gesek matanya yang tidak gatal.

“Mimpi! Astagfirullah petang-petang macam inilah aku nak mimpi yang bukan-bukan.” Izrul bingkas dari pembaringan,kemudian menuju ke arah surat khabar yang berselerakan di depan televisyen. Terpapar di dada akhbar, tajuk ‘bila kebenaran sudah tidak dapat dikenalpasti’.

“Ah!! Patutlah Panglima Arenawati kata aku ini wanita...” Izrul tersengih sambil kepalanya ligat memikirkan tentang kawan-kawannya yang menuduhnya sesat. Wahabi kata mereka!..Izrul terus tersenyum,lebar..sangat lebar....

Wednesday, March 26, 2008

ulasan


YA, AKU ADALAH WAHABI !


Oleh : Abu Basir

*Dengan sedikit edit di bahagian laras bahasa oleh paradigma.



Sekalipun aku mengelak daripada jenama yang dicipta, yang dikatakan telah
memecah-belahkan kaum muslimin dan tidak menyatupadukan mereka. Akan
tetapi, secara jelas aku mengumumkan tanpa rasa ta'sub atau
kecenderungan berpuak bahawa aku adalah WAHABI. Iaitu mereka yang
dimuliakan dengan kecintaan kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab
rahimahullah dan kecintaan kepada seruan dakwah beliau.

Jika Wahabiah itu maknanya seruan kepada tauhid dan aqidah yang
sahih, serta menghapuskan syirik dan juga bebas daripada perbuatan
dan golongan bidaah seperti yang diseru oleh Syeikh.

Ya, aku adalah WAHABI...!


Jika Wahabiah itu maknanya seruan kepada al-Kitab dan al-Sunnah, serta
berpegang teguh dengan cara, petunjuk dan pemahaman Salafus Soleh. Tambahan ia menghapuskan kefanatikan mazhab seperti yang diseru oleh Syeikh,

Ya, aku adalah WAHABI...!


Jika Wahabiah itu maknanya berpegang kepada sunnah yang tsabit lagi
sahih, serta menghapuskan bid'ah dan khurafat seperti yang diseru oleh Syeikh,

Ya, aku adalah WAHABI...!


Jika Wahabiah itu maknanya berjihad memerangi taghut yang zalim, juga
jihad memerangi syirik dan orang musyrikin seperti yang diseru oleh
Syeikh,

Ya, aku adalah WAHABI...!


Jika Wahabiah itu maknanya jalan pertengahan tanpa condong kepada
sikap melampau dan berserah seperti yang diseru oleh Syeikh,

Ya, aku adalah WAHABI...!


Telah ku teliti keadaan mereka yang mengkritik secara penuh kedengkian
terhadap Syeikh dan seruan dakwahnya, lalu ku dapati mereka itu ;

Samada kafir ataupun syiah rafidhah ataupun ahli sufi yang
melampau. Aataupun ahli bid'ah yang sesat, ataupun mereka yang
jahil yang mengulang-ulang apa yang mereka dengari tanpa mereka
mengenali siapakah Syeikh dan seruan dakwahnya itu.

Inilah barisan yang buruk. Amat malang dan rugi bagi mereka yang
merelakan diri mereka berdiri bersama barisan ini, ataupun menjadi
pesertanya, ataupun menambah ramai bilangannya.

Apakah yang mereka dendamkan terhadap Syeikh? Alangkah ramainya
sekali golongan pendendam pada zaman ini. Kita telahpun mendengarnya
sejak dari dulu lagi akan dendam golongan ini. Kata nista dan cacian
serta tohmahan terhadap Syeikh dan seruan dakwahnya - sehingga
kalimah Wahabi itu menjadi kata nista dan jelik pada kebanyakan
masyarakat! - tanpa ditunjangi kepada hujah (sekalipun yang kecil)
yang membenarkan golongan ini mengenai kezaliman, tohmahan dan hinaan
serta dendam mereka...?!

Nah, inilah dia peninggalan Syeikh dan karya-karyanya berada di tangan
kita! Mudah untuk didapati bagi yang berkehendakkannya, semuanya
berbicara dengan Haq dan menyeru kepada yang Haq. Disamping menyuruh dengan Haq.
Datangkanlah kepada kami satu kekurangan ( yang benar-benar salah ) -
jika kalian adalah golongan yang benar - untuk diadili Syeikh dan
diadili juga seruan dakwahnya yang sudah tentu akan membenarkan
segala dendam, nista dan tohmahan kalian...?!

Jika kalian tidak menjumpainya dan sememangnya kalian tidak akan
menemukannya,kami telah mengetahui, bahawa, apakah sebenarnya yang
menjadikan kalian mendendami Syeikh dan seruan dakwahnya. Iaitu
kerana berdirinya Syeikh di atas kebenaran amat tidak menyenangkan
kalian dan juga syaitan-syaitan kalian.

Jika dikatakan : Lihatlah kepada kezaliman dan kesalahan mereka yang
menisbahkan diri mereka terhadap Syeikh dan seruan dakwahnya pada
zaman ini...?
Aku katakan : Tidak terjejas sama sekali Syeikh dan seruan dakwahnya
dengan wujudnya golongan ini pada zaman ini - yang mendakwa mereka
adalah pengikut Syeikh dan seruan dakwahnya - kerana mereka melakukan
kesalahan yang dihasilkan oleh diri mereka sendiri dan bukannya
kesalahan orang lain
. Sesungguhnya seseorang itu tidak boleh disoal
dan dihisab dengan sebab kesalahan orang lain, jika ianya dibolehkan,
maka, tiada siapa pun yang akan selamat di muka bumi ini daripada
dakwaan orang lain!

Tambahan dari Penulis Paradigma:
Kepada insan yang mengatakan saya mempromosi dakwah Wahabi melalui artikel yang menerangkan apa dan siapa itu wahabi,maka saya meletakkan segalanya kepada Allah. Saya hanya menerangkan kebenaran tanpa mengurangkan sedikit pun, kerana anda dan saya juga membela dan kebenaran, dan anda juga mengetahui tentang itu. Maka terpulang kepada insan yang mendakwa saya mempromosi dakwah itu, sama ada saya salah atau bukan, Kalau salah maka betulkan dengan membawa hujah agar saya tenang dan rela membenarkan pandangan anda. Saya suka dengan artikel yang diterjemahkan semula ini, terpulang kepada semua pembaca paradigma,kerana anda semua sudah matang.

Tuesday, March 25, 2008

cerita saya



Pahit itu sebenarnya Manis

Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
2.34 pagi
www.yussamir.com

Saya bukanlah seorang anak yang suka bergantung sepenuhnya kepada dua orang tua. Saya suka berdikari, dengan berdikari saya akan dapat lebih merasai. Sebelum memasuki Universiti,saya pernah bertekad untuk tidak akan menyusahkan kedua ibubapa saya walaupun saya tahu mereka mampu menanggung saya. Tetapi sehingga sekarang saya masih tidak pernah meminta duit elaun daripada kedua ibubapa saya. Bagi saya cukuplah duit biasiswa yang saya perolehi daripada Yayasan Telekom. Namun disebabkan minat dan kecenderungan saya yang suka melihat duit ‘beranak’ dan suka buat duit. Maka saya menceburi beberapa bidang yang dapat menambahkan duit poket saya. Bidang pertama yang sahabat saya sarankan dan galakkan adalah bidang penulisan.Alhamdulilah,usaha saya berbaloi dengan buku doa yang bakal terbit pada bulan 6 ini. Usaha untuk menambah duit sambil mencari jalan menyebarkan ajaran Islam tidak terhenti setakat itu sahaja. Kini saya dan rakan-rakan saya sedang bertungkus-lumus dalam bidang perniagaan. Walaupun baru setahun jagung, tapi kami cuba merealiasasikan apa yang telah kami rancangkan.

Roti dan Maggi makanan utama

Pengalaman yang saya belum pernah kongsikan bersama,waima dengan rakan niaga saya ialah,dompet saya pernah ada satu ringgit sahaja. Ketika itu saya betul-betul ikat perut, untuk merealisasikan apa yang diidam saya sanggup,itulah keazaman dan keyakinan saya. Ada satu ketika saya kekeringan duit dan lapar,untuk hilangkan kelaparan saya, saya mengimpikan yang saya bakal dapat duit banyak selepas ini dan makan banyak-banyak. Selepas beberapa minit, perut yang lapar itu akan terus menjadi kenyang dan cukuplah dua keping roti dan maggi menjadi hidangan makan tengahari dan malam. Kebanyakan duit saya disalurkan untuk perniagaan kami yang baru naik.

Berhutang dan terjerat

Kadang-kadang itu, ada pula yang meminjam dari saya. Bukan sedikit tetapi melebihi Rm300, mahu tidak mahu saya pinjamkan jua.Sebab saya juga pernah meminjam, maka bila orang tengah sesak datang meminjam pada saya,maka tidak sampai hati untuk mengatakan tidak.Walaubagaimanapun, kadang-kadang saya sendiri terjerat di mana saya pula menjadi mangsa kekeringan bila hutang tidak dibayar-bayar pada masa yang dijanjikan. Kepada mereka yang susah sangat nak bayar hutang,renung-renungkanlah hadith di bawah ini:

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahwa Nabi صلی الله عليه وسلم bersabda: "Ruh orang mati itu tergantung dengan hutangnya sampai hutang itu dilunasi untuknya."(Riwayat Ahmad dan Tirmidzi. Hadits hasan menurut Tirmidzi.)

Akhir kata,bukan senang untuk berdikari dan berjaya,tetapi tidak susah untuk menjadi apa yang kita impikan melalui usaha yang gigih dan perancangan yang rapi. Setelah semua lengkap, kepada Allah jua ia dikembalikan. Moga semua usaha saya berbaloi dan pengalaman-pengalaman itu tidak akan terhenti di situ sahaja,dan saya sudah bersedia untuk pengalaman yang lebih dasyat lagi. Kerana pahit itu sebenarnya manis.

Abdullah Ibnu Umar رضي الله عنه berkata: Rasulullah صلی الله عليه وسلم membaca doa: " Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari bahaya hutang, bahaya musuh, dan kemenangan para musuh". (Riwayat Nasa'i. Hadits shahih menurut Hakim.Dipetik dari kitab Bulugul Maram,Ibnu Hajar)

Monday, March 24, 2008

Respon


Apakah ciri-ciri seorang dai’e

Oleh:Yussamir yusof
Cyberjaya/4:19 pagi
www.yussamir.com




Alhamdulilah peperiksaan sebentar tadi saya dapat menjawab dengan lancar. Selepas sahaja tamat menjawab,saya terus bergegas ke Masjid untuk menghadiri perjumpaan para tanzim Institusi Usrah.

“Apa ciri seorang daie’?” seorang sahabat saya bertanya.

Saya termenung sekejap,kemudian saya berfikir sejenak.

“Adakah aku sudah cukup sempurna untuk memberi pandangan bagi soalan ini?” Saya menyoal diri sendiri.


Keperluan menjawab
Sebenarnya apabila kita menjawab soalan,kita sebenarnya menasihati diri kita sendiri. Abaikan dahulu persoalan sama ada kita lakukan atau tidak apa yang kita perkatakan itu. Yang penting sekarang, memberi tahu agar mahu melakukan dengan kemampuan yang sedia ada.

Tidak menjadi masalah atau satu dosa apabila kita sering memberi buah pandangan dan juga nasihat. Kerana Allah sendiri telah berkata, “berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (surah al-asr :3).

Tidak semestinya apabila seseorang itu berpesan kearah kebaikan, dia sudah melakukannya. Fitrah manusia inginkan kebaikan dan menolak keburukan, jesteru manusia akan sering menasihati perkara yang dirasakan baik bagi dirinya dan baik untuk orang yang dinasihatinya.


Ciri-ciri seorang dai'e
Tidak banyak yang saya kongsikan ciri-ciri ini bersama sahabat saya itu,namun cukuplah sebagai buah tangan dari saya. Namun, diingatkan bahawa ciri-ciri menjadi seorang dai’e adalah sebuah perkara yang subjektif. Oleh itu apa-apa ciri yang bersesuaian dengan sunnah Nabi ,para sahabat dan para tabien,maka ia sesuailah untuk diterapkan dalam diri kita.


Keperluan Ilmu
Pentingnya seorang dai’e itu menyiapkan diri dengan ilmu, adalah point pertama saya bila menjawab pertanyaan beliau.

Abdullah bin Mas'ud berkata, "Nabi صلی الله عليه وسلم bersabda, Tidak boleh iri hati kecuali pada dua hal, yaitu seorang laki-laki yang diberi harta oleh Allah lalu harta itu dikuasakan penggunaannya dalam kebenaran, dan seorang laki-laki diberi hikmah oleh Allah di mana ia memutuskan perkara dan mengajar dengannya. (Sahih Bukhari)

Perhatikan hadith di atas. Hadith ini dengan jelas menggambarkan betapa tinggi dan mulianya seseorang insan dengan ilmu. Dengan ilmu jugalah, seseorang itu dapat memutuskan sesuatu perkara, dan menyampaikan ilmu itu agar bermanfaat kepada semua orang. Ilmu menjadi perkara asas kepada para dai’e sebelum mereka keluar ke lapangan dakwah dan islah. Seorang dai’e yang berdakwah tanpa ilmu, akan menjadi pemusnah kepada jalan kebaikan. Mereka akan menjadi punca kepada salah-faham dan punca kepada kerosakkan. Kita biasa dengar pepatah orang melayu, “seperti tikus membetulkan labu” tetapi kita tak pernah untuk menyelami maksud tersirat dalam pepatah itu. Pepatah itu dengan halus menyindir orang yang tidak berilmu, tetapi cuba membetulkan sesuatu yang tidak ada pengetahuan bagi dirinya. Oleh sebab itu,dengan Ilmu barulah sesuatu perkara dapat dilakukan,kalau tidak ia lebih membawa kepada kerosakan.
Hal ini selaras dengan apa yang dikatakan Nabi saw iaitu, “Ilmu itu adalah imam,Amal itu adalah makmum.” (HR Ibnu Abdul Barr-Dari Muaz dengan Sanad Mauquf


Sampaikanlah
Tidak ramai dikalangan kita berani untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orang lain. Untuk menjadi seorang dai’e yang mantap,kita seharusnya perlu ada keyakinan untuk menyampaikan sesuatu yang kita tahu,lebih-lebih lagi kebenaran. Ramai dikalangan kita hanya berani menyampaikan sesuatu perkara melalui penulisan,tapi tak berani berhadapan dengan cara menasihati atau berhujah. Saya tertarik dengan kata-kata al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya yang bertajuk ‘fatwa antara pencerobohan dan penelitian’. Katanya, kita seharusnya bukan sahaja duduk membaca kitab di dalam rumah, tetapi kita seharusnya keluar merasai kehidupan bersama masyakarat. Selain kita dapat menyampaikan buah fikiran kita, kita juga akan sentiasa up-to date dengan hal-hal semasa.

Saya tertarik dengan keberanian seorang sahabat ini,yang berani menyampaikan ilmu. Sahabat Nabi saw ini bernama Abu Zar,

katanya, "Andaikan kamu semua meletakkan sebilah pedang di atas ini (sambil menunjuk ke arah lehernya). Kemudian aku memperkirakan masih ada waktu untuk melangsungkan atau menyampaikan sepatah kata saja yang kudengar dari Nabi صلی الله عليه وسلم sebelum kamu semua melaksanakannya, yakni memotong leherku, niscaya kusampaikan sepatah kata dari Nabi صلی الله عليه وسلم itu." (Hadiht Bukhari - dimaushulkan oleh ad-Darimi dan Abu Nu'aim dalam Al-Hilyah.


Jadilah insan Rabanni
Ingin menjadi insan Rabanni bukanlah dengan menyertai kumpulan nasyid Rabanni.Tetapi menjadi Rabanni dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dengan bertahap-tahap. Maksud bertahap-tahap adalah, sampaikan ilmu pengetahuan yang asas-asas (mudah) dahulu, kemudian barulah ilmu-ilmu yang rumit. Hal ini harus ada dalam jiwa seorang dai’e, kerana seorang dai’e harus tahu mad’u atau orang yang ingin didakwahnya. Dakwah yang ingin disampaikan mestilah sesuai dengan level mereka, pendekatan yang sesuai serta laras bahasa yang mampu difahami oleh para madu’.

Saidina Ali pernah berkata, “ bicaralah pada manusia sesuai dengan apa yang mereka ketahui,dan tinggalkanlah apa yang mereka ingkari.Adakah kalian menginginkan mereka mendustakan Allah dan Rasul-Nya.” (Hadith riwayat Bukhari,Mauquf sehingga Saidina Ali)


Berlemah lembut
Jangan sesekali bersikap keras dan tidak toleransi. Tetapi bersikaplah lemah lembut , sentiasa memberi khabar gembira dan sentiasa mempermudahkan.

Kata Nabi, “permudahkanlah,jangan dipersulitkan. Berilah khabar gembira dan janganlah buat manusia lari.” (Mutafaqun alaih).

Kita harus sedar bahawa pendekatan keras dan penuh kekakuan hanya akan melenyapkan kebaikan yang ada dalam pergerakan dakwah. Oleh sebab itu, ada sebuah atsar yang menyatakan, “barangsiapa yang menyuruh kepada kebaikan,maka hendaklah dia melakukakannya dengan cara yang baik.”.

Manakala menurut Imam al-Ghazali dalam kitab ihya’ ulumuddin , “janganlah seseorang menyuruh kepada kebaikan dan tidak melarang kemungkaran kecuali dia berhati lemah lembut dengan apa yang diperintahkan itu.Juga lembut dengan apa yang dia larang, sabar dengan apa yang dia perintahkan dan sabar dengan apa yang dia larang. Kemudian mengerti apa yang dia perintahkan dan apa yang dia larang.”


Akhir kata marilah sama-sama kita katakan, "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik." (Surah Yusuf:108)

Saturday, March 22, 2008

Ibu


Selagi ada masa

Oleh :Yussamir Yusof

www.yussamir.com



Tadi lepas menonton cerekarama yang bertajuk Ihsan,sahabat saya terus menghubungi ibunya di rumah.

“Assalamualaikom.” Kedengaran suara ayahnya di hujung talian.

“Waalaikumusalam, ayah sihat?” Sahabat saya menanyakan khabar.Sesekali dia mengesat-ngesat matanya,semacam ada air yang mengalir.

“Alhamdulilah,kau macam mana?”

“Sihat je..Nak cakap dengan ibu kejap.”

Tidak berapa kemudian suara ibunya kedengaran.

“Assalamualaikom,dekat mana tu?”

Sahabat saya terdiam seketika,kemudian air matanya berderai. Kami hanya memerhatikan dia dari dekat.Ah…Suara ini memang betul-betul boleh menggetarkan jiwa.

“Ibu…Amin…” Sahabat saya itu tidak dapat meneruskan perbualan.Dadanya sesak.

Belum sempat dia cakap dengan lebih lanjut,kedengaran suara esakan ibunya di talian. Saya yang berada di sebelahnya juga turut tidak tertahan-tahan,kemudian turut tenggelam dengan tangisan kedua anak beranak itu.

“Ibu tau,amin tengok cerita itu juga kan.” Suara ibunya terketar-ketar meneruskan perbualan.Sahabat saya itu masih tidak dapat tenang,air matanya terus deras mengalir.

“Ibu doa sangat-sangat,anak ibu tak jadi macam Nordin itu.Jangan sesekali derhaka kat ibu dengan ayah.Ingat tu.” Pesan keramat dari ibunya,kami yang mendengarnya juga turut mengiyakan.

“Amin minta maaf sangat-sangat ibu,kalau ada silap dan salah maafkan amin ye.” Sahabat saya beriya-iya memohon maaf dari ibunya.Dia takut jika kesalahan yang dilakukan tidak perasaan oleh dirinya. Dia terus menangis..

“Ibu maafkan,dah-dah jangan nangis lagi.” Ibunya memujuk.

“Terima kasih ibu...ok lah ibu..Kirim salam dengan ayah...Assalamualaikom.”

Perbualan ditamatkan....




Pesanan ringkas: Selagi ada masa, segeralah mohon maaf kepada kedua ibu bapa kita.Takut-takut terlambat.....


“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan Ibubapa, manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”

( Dikeluarkan oleh Tarmidzi dalam sunannya.Dalam bab berkenaan dengan keutamaan pada keredhaan ibubapa.Ia juga dinilai sahih dalam silsilah alhadis assahihah)

Wednesday, March 19, 2008

Cinta pada Muhammad saw


Cintaku

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
4.19 pagi bersamaan 12 rabiuawal



Cintaku,

Bukan hanya sekadar luahan bibir,

Bukan hanya sekadar khayalan minda,

Bukan hanya mainan kata-kata,

Bukan hanya hafal dan lafaz.


Cintaku,

Semata untuk dirinya,

Semata untuk umatnya,

Semata untuk keluarganya,

Semata untuknya.


Cintaku,

Laksana cintamu pada Khadijah,

Laksana cintamu pada Fatimah,

Laksana cintamu pada Hassan dan Husin,

Laksana cintamu pada para sahabat.


Cintaku,

Dihadirkan dengan lafaz-lafaz sunnah,

Dihadirkan dengan perbuatan sunnah,

Dihadirkan dengan tulisan-tulisan sunnah,

Dihadirkan dengan bicara sunnah.


Cintaku,

Tidak tertahan-tahan,

Tidak terbatas,

Tidak ada dua,

Tidak ada dusta,


Cintaku,

Semuanya untuk Muhammad,

Semuanya menuruti Muhammad,

Semuanya kerana Muhammad,

Semuanya demi Muhammad.





Betapa hati ini terlalu merinduimu Ya Khalilullah.Betapa hati ini cinta padamu.Betapa hati ini sering teringatkanmu.Betapa hati ini dipenuhi bunga-bunga cinta padamu.Moga kita ketemu di sana nanti.Moga aku dapat mendakapmu.Mendakap sepuas-puasnya.Biarkan aku menangis di bahumu.Biarkan aku menatap mukamu sepuas-puasnya.Benar,aku cinta padamu.Cintaku padamu,membuatkan aku mentaati Allah.Segala puji Allah,yang menghadirkan cintamu pada hati ini.

Tuesday, March 18, 2008

Ayah


#Paklong dan ayah(berbaju oren)

Kerana Ayah

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
www.yussamir.com



Saya bukanlah pelajar genius, yang sentiasa memahami dan mengingat apa yang dipelajari sepintas lalu. Saya juga bukanlah seorang budak lelaki yang mempunyai impian dan cita-cita besar ketika kecil. Ketika saya di bangku sekolah rendah,saya hanya berada di kalangan pelajar-pelajar yang nakal dan tidak secerdik pelajar yang berada di kelas Arif. Kelas cemerlang adalah kelas yang biasa saya masuki. Kelas Arif iaitu kelas pertama di SEDC tidak ada apa-apa yang istimewa bagi saya. Bagi saya cukuplah saya ke sekolah dan belajar benda baru setiap hari. Kadang-kadang berasa kecut pula untuk ke sekolah, kerana kerja yang diberi oleh cikgu tidak disiapkan. Sehinggalah ketika saya berumur 12 tahun,saya ditempatkan di kelas 6 Arif, kelas pertama yang tak pernah saya idamkan sejak memasuki sekolah rendah. Orang pertama yang gembira dengan berita itu ialah ibu dan ayah saya. Kedua-dua insan ini tak pernah memarahi saya ketika saya sentiasa mendapat markah yang teruk dalam setiap peperiksaan. Malahan merekalah yang memberi semangat dan dorongan kepada saya. Walaupun ayah saya kurang bersama saya dan kurang memberi nasihat dan kata-kata semangat seperti ayah-ayah lain. Dia tetap mengikuti perkembangan pembelajaran saya melalui ibu. Ayah sangat sibuk,sehinggakan saya pernah merajuk dengannya kerana tidak pergi ke program motivasi yang dianjurkan oleh sekolah.Ketika itu saya tidak memahami lagi kesibukan dan kepayahan ayah, yang menyabung nyawa di luar bertugas sebagai pegawai polis. Saya merajuk,tapi ayah tidak pernah memujuk. Di hati ini berasa seperti tidak dihargai ketika itu,yang akan datang memujuk saya ialah ibu.


Nilai sebuah kesusahan

Saya tidak tahu kenapa ayah bersikap begitu pada saya,adakah dia tidak menyayangi saya? Persoalan-persoalan itu terus bertubi-tubi menerpa kedalam minda saya ketika itu. Selepas UPSR, dengan keputusan yang tidak memberasangkan dan mengecewakan saya dihantar ke sekolah agama swasta di Pontian. Perasaan meronta-ronta tidak dilayan oleh ayah,ibu hanya mampu menasihati saya agar sabar dan belajar untuk berdikari. Dua bulan saya menangisi dan berasa tertekan dengan suasana baru di asrama. Makan yang dicatu, mandi berebut-rebut dan sikap senior-senior yang menakutkan membuatkan saya terus bertambah tertekan. Kehidupan yang penuh dengan cabaran dan tertekan,saya tabah dan terus menyiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Dengan keadaan yang tidak seselesa seperti dirumah,dan persaingan dalam pelajaran, pada awalnya merunsingkan saya.Tapi lama-kelamaan keadaan itu menjadi perkara yang membahagiakan kepada saya. Saya semakin kuat berusaha,dan semakin kuat dalam menghadapi cabaran dan ujian. Peperiksaan pertengahan tahun di Maahad Tahfiz saya berjaya mendapat tempat 2 bagi kelas tahfiz (di sana pelajar dibahagikan kepada dua,iaitu kelas tahfiz dan kelas biasa),dan berjaya menghafal Quran sebanyak 2 helai dalam masa 10 minit. Ramai yang memuji-muji saya dengan mengatakan saya Genius! Tapi saya menafikan sekeras-kerasnya,kerana saya tahu saya bukan genius. Saya sendiri tidak tahu mengapa saya boleh menjadi begitu,saya sendiri bingung. Begitu juga pada peperiksaan-peperiksaan yang mendatang,saya terus berjaya menempatkan diri dalam kalangan 3 pelajar terbaik. Ayah saya tidak pernah memuji saya,dia hanya menasihati saya agar belajar dengan lebih keras dan jitu. Dia tersenyum dan terus tersenyum dan saya pula kecewa kerana disuruh belajar dengan lagi keras pula.


Sekalung ucapan tahniah
dan sebuah pemahaman

Sehinggalah pada saat saya berjaya dengan keputusan yang sangat cemerlang dalam Peperiksaan Matrikulasi,barulah ayah saya mengucapkan tahniah dan memeluk saya. Dan pada ketika itu,saya sangat gembira dan saya tidak mahu penjelasan beliau mengapa beliau bersikap tidak enak pada saya sebelum ini. Tanpa penjelasan dari beliau,saya sudah berjaya mendapat tahu mengapa ayah saya berbuat begitu. Kata ibu, sepanjang saya berada di asrama,ayah saya tidak putus-putus menceritakan akan kejayaan saya pada adik-beradi saya dan rakan-rakannya.Tidak putus-putus juga dia berbangga yang anaknya ini sudah berjaya menghafal separuh dari keseluruhan Quran. Bila dikatakan saya genius oleh rakan atau saudara-saudara yang lain,ayah saya jawab, “dia bukan genius tapi dia kerja keras.Itu sebab dia boleh berjaya,dia berjaya kerana dia tidak berada dalam keadaan selesa.Itu sebab aku hantar dia ke asrama dan tak pernah nak puji depan-depan dia.” Saya menitiskan air mata bila ibu menceritakan ini pada saya dan sebuah kefahaman terhadap insan bernama ayah terus kembang mekar didalam diri ini.

Memang benar kata ayah, saya berkerja keras.Saya sedar yang saya bukan genius,sebab itu saya berkerja keras untuk mencapai apa yang saya idamkan. Pada awalnya,kerja keras saya selama ini terdidik atas kedinginan sikap ayah pada saya,dan atas keputusan ayah memasukkan saya ke asrama.Namun lama-kelamaan kerja keras itu terus sebati dengan diri saya.Saya kerja keras kerana saya tahu dengan kerja keras barulah saya akan dapat apa yang saya mahukan. Berkat doa dan kasih sayang ibu bapa saya dan berkat pertolongan ustaz dan guru-guru yang tidak pernah jemu-jemu mendidik saya, saya berjaya dengan cemerlang dalam semua peperiksaan;PMR dan SPM dan kini berada di menara gading.


“Yang pipih tidak akan datang melayang”
“yang bulat tidak akan datang bergolek”

Apa yang saya mahu sampaikan dalam artikel kali ini bukanlah untuk meninggi diri atau berbangga dengan kejayaan saya. Namun ,sebagai satu peringatan dan pengajaran bahawa manusia itu diciptakan pasti ada kelebihan dan kekurangan. Dalam setiap kekurangan akan pasti terselit kelebihan, yang boleh menengelamkan kekurangan yang terdapat pada diri seseorang. Usaha dan terus bersandar kepada Allah adalah teras kehidupan. Sesuatu yang ingin kita capai,bukan hanya sekadar berdoa dan mengharapkan ia datang bergolek.Tetapi usaha yang keras dan berterusan adalah faktor membuatkan apa yang ingin dicapai akan digapai. Betapa ramai orang diluar sana yang tidak pernah cuba untuk mengenali potensi diri masing-masing. Bahkan ada yang secara sindir mengatakan, “dah tak pandai nak buat macam mana?”. Kenapa kita tidak berkata, “Kenapa aku tidak pandai?” Kemudian cari punca mengapa kita tidak dapat berjaya seperti orang lain. Sesuatu masalah pasti ada punca yang menyebabkannya,Allah tidak pernah menjadikan sesuatu tanpa sebab,kerana semua yang DIA cipta bukan sia-sia.

DON’T UNDERESTIMATE diri sendiri,kita seharusnya ada cita-cita yang besar. Kejayaan seseorang sebenarnya ditentukan oleh sebesar manakah hasrat, sasaran, kehendak ,azam, objektif dan cita-cita yang tertanam dilubuk hati. Oleh sebab itu,kita jangan pandang rendah pada diri kita!


“Rezeki secupak takkan jadi segantang”
“Ulat dalam batu pun boleh hidup”

Peribahasa ini sering kali diucapkan oleh orang yang tidak mahu berusaha.Hanya menganga dari pagi hingga ke petang menunggu orang untuk menyuapkan nasi kedalam mulut. Bagi saya,manusia tidak boleh berhenti beruasaha. Kerana kita tidak pernah tahu berapa banyak rezeki yang Allah telah sediakan untuk kita.Allah hanya mengarahkan kita mencari rezeki,tetapi Allah tidak pernah memberitahu sukatan rezeki yang telah ditetapkan. Kata Allah, “Apabila telah ditunaikan shalat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.[1]”. Malahan Nabi Muhammad saw sendiri pernah mendoakan Anas bin Malik agar rezekinya bertambah-tambah. Doa Nabi saw, kepada Anas bin Malik “Ya Allah,Banyakkanlah hartanya dan anak-anaknya serta berikanlah keberkatan apa yang Engkau telah berikan kepadanya". [2]

Atas dasar inilah manusia harus terus berusaha dan berkerja keras untuk mendapat apa yang dimahukan,tidak boleh sesekali berhenti berusaha. Memang benar,berasa cukup itu adalah satu perkara yang bagus kerana menolah sikap tamak Islam menolak sikap tamak tetapi sedarlah bahawa Islam juga tidak pernah menyuruh umatnya goyang kaki dan berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa. Nabi Muhammad saw sendiri pernah berdoa agar terlindung dari kefakiran. Kata Nabi saw, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada kefakiran, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada kekurangan dan kehinaan, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada menzalimi atau dizalimi[3].

Akhir kata,kejayaan itu bukan datang secara tiba-tiba. Ia perlukan sebuah pengorbanan dan kefahaman yang jelas. Kerja keras yang berterusan dan sentiasa berserah diri pada yang Maha Esa adalah aspek penting dalam kehidupan kepada orang yang ingin berjaya,sama ada di dunia atau akhirat. Ingatlah,Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri[4]”.

WaAllahualam.....








_______________________________________________________

[1] Al-jumaah :10

[2] (Hadits Riwayat Bukhari 7/152, 154,161-162. dan lain-lain).

[3] (Shahih Riwayat Abu Dawud No. 1544, Ahmad 3/305,325. Nasa'i, Ibnu Hibban No. 2443. Baihaqi 7/12).

[4] Ar-raad :11

Sunday, March 16, 2008

Penerangan ringkas


Sebuah penerangan ringkas:Maulid Rasul


Paradigma menyarankan 3 link ini untuk dibaca sempena kedatangan 12 RABIUAWAL.Ketiga-tiga ini adalah kajian ringkas penulis yang pernah dihasilkan(telah dibahagikan kepada tiga untuk memudahkan pembacaan),moga bermanfaat kepada semua.

p/s: Artikel-artikel ini adalah artikel ketika saya baru mula berjinak dengan dunia penulisan.Gaya bahasa dan cara pengolahan juga berbeza dengan sekarang,jika ada terdapat kesalahan dan sebagainya,saya mengalu-alukan pembetulan dari para pembaca.


Maulid Rasul : 1

Maulid Rasul : 2

Maulid Rasul : 3


Dibawah ini adalah artikel yang sama,cuma bezanya artikel dibawah ini tidak dibahagikan kepada 3 seperti diatas.Sekian.


Menjelang Maulidur Rasul
oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
www.yussamir.com


12 RabiulAwal menjelang lagi,pasti ramai sudah dapat tangkap apa yang nak saya utarakan pada artikel kali ini,tapi artikel kali ini akan membincangkannya dalam skop yang lebih luas dan ilmiah.Maulidur rasul ataupun kelahiran nabi saban tahun kita sambut,pelbagai acara kita lakukan dan nikmati sempena Maulidur rasul,tapi sedar tak sedar kita sendiri tidak tahu siapa itu Muhammad Bin Abdullah.

Dikesempatan ini saya akan memperkenalkan siapa itu Muhammad Bin Abdullah dan asal-usul perayaan maulidur Rasul ini.Selain itu saya juga akan mengupas Tarikh sebenar kelahiran Nabi dan pendapat dari beberapa ulama mengenai hukum menyambut Maulidur rasul

Nama sebenar baginda adalah Muhammad Bin Abdullah bin Abdul Muthalib(yang sebenarnya Syaibatul Hamd) bin Hisyam Bin Abdul Manaf (nama sebenarnya Al-Mughirah) Bin qushayyi(nama sebenarnya Zaid) Bin Kilab Bin Murrah Bin Kinanah Bin Khuzaimah Bin Mudrikah Bin Ilyas BinMudhar Bin Nazar Bin Mu’iddu Bin Adnan[1]

Kita semua sudah sedia maklum bahawa kelahiran nabi besar kita adalah 12 Rabiul Awal tapi sebenarnya tarikh itu diperselisihkan dan ia sebenarnya tidak tepat dan sebenarnya kelahiran baginda adalah 9 Rabiul awal dan ia telah di persetujui oleh beberapa ulama iaitu :

Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin `Aini[2] .

Ia diperkuatkan lagi berdasarkan kajian yang dibuat oleh sarjana Islam yang bernama Muhammad Pasya seorang ahli falak Mesir.Kajian yang dibuat adalah cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau.

Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimanapun hari isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) ialah jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

  1. Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.
  1. Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.
  1. Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah,maka kelahiran Nabi saw jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb.Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.
  1. Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi saw, walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ia diperkuatkan lagi dengan pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan tadi di atas.

Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik[3], Safiyyuul Rahman Al Mubarakfuri[4], `Allamah Sibli Nu’mani[5], dan Maulana Abdul Kalam Azad[6].

Kesimpulannya Kelahiran nabi adalah 9 Rabiul Awal bukanlah 12 Rabiul awal,dan pendapat ini diperkuatkan lagi dengan pandangan Syeikh Muhammad Bin Salleh Al-Utsaimin berkata[7] bahawa tarikh yang paling tepat adalah 9 rabiul awal dan 12 rabiulawal adalah tidak tepat.Artikel yang seterusnya akan saya akan paparkan sejarah siapa yang memulakan sambutan Maulidur Rasul ini dan apakah hukumnya menurut pandangan syariat.

Mula Berkembangnya Peringatan Maulid Nabi Muhammad saw

Al-Hafizh Ibnu Katsir berkata[8], “bahwa Daulah Fathimiyyah ‘Ubaidiyyah nisbah kepada ‘Ubaidullah bin Maimun Alqadah Alyahudi yang memerintah Mesir dari tahun 357 H-567 H. Merekalah yang pertama kali merayakan perayaan-perayaan dengan banyak sekali diantaranya perayaan Maulid Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.” Keterangan ini ditulis juga oleh Al-Maqrizy[9] , Syaikh Muhammad Bakhit Al-Muthi’i mufti Mesir[10] , dan Syaikh ‘Ali Mahfudz menyetujui mereka[11]. Jadi yang pemula mensyariatkan perayaan ini adalah orang-orang Zindiq (menampakkan keislaman untuk menyembunyikan kekafiran) Al-‘Ubaidiyyun dari Syi’ah Rafidhah keturunan Abdullah bin Saba Al-Yahudi. Mereka tidak mungkin merayakan Maulid Rasul karena cinta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi mempunyai agenda yang tersembunyi.

Salehudin al-Ayubi

Namun ada yang berpendapat[12] bahawa perayaan ini dimulakan oleh Salehudin Al-Ayubi ketika itu beliau memegang jawatan sebagai Gabenor di Haramain(Makkah dan Madinah) dari tahun 1174-1193 M atau 570-590 H pada Dinasti Bani Ayyub. Salahuddin mempunyai niat atau berpendapat semangat juang umat Islam harus dihidupkan kembali dengan cara mempertingkatkan kecintaan umat kepada Nabi mereka. Salahuddin memperingatkan umat Islam di seluruh dunia agar hari lahir Nabi Muhammad SAW, 12 Rabiul Awal (tarikh ini sudah kita bincangkan sebelum ini) kalender Hijriyah, yang setiap tahun berlalu begitu saja tanpa diperingati, kini harus diraikan.

Ketika Salahuddin meminta persetujuan dari khalifah di Baghdad yakni An-Nashir, ternyata khalifah setuju. Maka pada musim ibadah haji bulan Dzulhijjah 579 H (1183 Masehi), Salahuddin sebagai gabenor haramain (dua tanah suci, Makkah dan Madinah) mengeluarkan arahan kepada seluruh jemaah haji, agar setelah kembali ke kampung halaman masing-masing segera mempersiapkan diri untuk menyambut perayaan maulidur di mana saja berada,dan bahawa mulai pada tahun 580 Hijriah (1184 M) tanggal 12 Rabiul-Awal dirayakan sebagai hari Maulid Rasul dengan berbagai kegiatan yang membangkitkan semangat umat Islam.Namun perlu diingatkan disini bahawa sambutan yang dilakukan Al-Ayubi ini mendapat tentangan dari para ulama .Antara sebab para ulama menentang adalah sejak zaman Nabi peringatan seperti itu tidak pernah ada. Lagi pula hari raya rasmi menurut Islam cuma ada dua, yaitu AIdil Fitri dan AIdil Adha. Akan tetapi Salahuddin kemudian menegaskan bahawa perayaan Maulid Nabi hanyalah kegiatan yang menyemarakkan syiar agama, bukan perayaan yang bersifat ritual, sehingga tidak dapat dikategorikan bid`ah yang terlarang.

Antara kegiatan yang diadakan oleh Sultan Salahuddin pada peringatan Maulid Nabi yang pertama kali tahun 1184 (580 H) adalah menyelenggarakan sayembara puisi dan penulisan riwayat Nabi beserta puji-pujian bagi Nabi dengan bahasa yang seindah

Mungkin.itu lah serba ringkas sejarah permulan Maulidur rasul,dan artikel ini bukanlah satu artikel yang mutlak mengatakan “memang ini lah sejarahnya” tapi ia sekadar satu usaha pengkajian ringkas saya bagi memberikan Information kepada para pembaca,jika ada kesilapan fakta dan sebagainya maka saya sangat mengalu-alukan pembetulan artikel ini.Dan artikel seterusnya kita akan lihat apa pula pandagan para ulama silam dan masa kini tentang menyambut perayaan Maulidur rasul ini

Hukum perlaksanaan sambutan Maulidur rasul

Pada mulanya saya mahu menyatakan 3 pendapat dalam artikel kali ini,tapi bila saya memiakirkannya kembali saya rasakan dengan ruang yang tidak mengzinkan dan masa yang suntuk maka saya akan memberikan anda semua dengan pendapat ketiga iaitu pendapat golongan yang bersederhana.Iaitu tidak mengharamkan secara mutlak dan juga tidak membenarkannya secara mutlak.

Sejak kebelakangan ini ramai reformis-reformis Islam ghairah untuk berdakwah dan menegakkan islam,tapi pendekatan mereka tidak selari dengan naluri Islam itu sendiri.Lagi-lagi jika kita bangkitkan soal sambutan Maulidur Rasul,bilamana saya perkatakan ini tidaklah saya berniat untuk merendahkan semangat mereka sedangkan saya juga salah seorang dari mereka yang mahu melihat keagungan Islam kembali.Tapi kita perlu ingat dan sedar bahawa pemikiran kita mestilah tidak terlalu rigid dalam membincangkan Islam yang kadang-kadang kita bercakaran hanya dek kekhilafan diantara para ulama.Mengapa sampai begitu wahai muslimin?

Allah berfirman ,"Berpegangl ah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai" (Ali-Imran: 103)

Bila membincangkan mengenai Maulidur rasul,ramai yang beraggapan bahawa saya akan mengatakan tidak boleh atau mereka menganggap saya akan berpegang pada hujah Bin Baz ,Syeikh Utsaimin(moga Allah sentiasa merahmati ulama-ulama yang hebat ini) dan lain-lain yang mengharamkan sambutan ini.Tapi saya tidak,kerana dalam permasalahan ini,terdapat beberapa pintu untuk kita masuki dan perbincangkan perihal hal ini.

Saya suka membawakan satu komentar dari Imam Mutawalli Sha'rawi,menurut beliau[13], "Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w) dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jinn Islam bergembira diatas kelahiran baginda (s.a.w), kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w)?"

Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya". Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri."

Bertitik tolak daripada hadis tersebutlah Umat Islam kini tercari-cari bagaimana cara untuk kita mengingatkan kembali Umat Islam agar mencintai Nabi SAW dan memberikan kesedaran dan kefahaman kepada Umat Islam tentang perjuangan dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan Islam.(lagi-lagi lah dalam zaman ini yang sudah ramai yang jauh dari cahaya Iman).

Dan persoalann ini juga telah bermain didalam minda Salahudin Al-ayubi ketika umat Islam sedang berjuang keras mempertahankan diri dari serangan tentara salib Eropah, yakni dari Prancis, Jerman, dan Inggris. Kita sudah maklum bahawa zaman itu dikenali sebagai Perang Salib atau The Crusade. Pada tahun 1099 M tentara salib telah berhasil merebut jerusalem dan menyelinap masuk ke Masjidil Aqsa .Umat Islam saat itu kehilangan semangat perjuangan dan persaudaraan ukhuwah. Secara zahir memang umat Islam terpecah-belah dalam banyak kerajaan dan kesultanan. Walaupun ada satu khalifah iaitu Dinasti Bani Abbas di kota Baghdad sana, namun hanya sebagai lambang persatuan spiritual.Dan disebabkan itu Salahudin Al-Ayubi mengadakan Sambutan Maulidur Rasul bagi membangkitkan semula semangat para pejuang Islam dan juga umat Islam ketika itu[14].

Menyambut sekadar mengingati

Kita menyambut Maulidur rasul bukanlah untuk menjadikannya salah satu perayaan ibadah tapi hanya sekadar untuk mengingati dan mensyukuri akan kelahiran Nabi kita yang menjadi pembimbing kita keluar dari kegelapan. Menurut Ibnu al-Hajj[15], "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan islam.

Dengan adanya sambutan Maulidur rasul maka kita akan dapat memperkenalkan muslimin siapa itu Muhamaad dan secara tak langsung kita akan membuatkan hati Muslimin tergerak untuk berselawat keatas Nabi (s.a.w) ,meniru akhlak nabi dan meniru segala perbuatan baginda dan memuji baginda yang merupakan satu perkara yang diarahkan oleh Allah di dalam ayat,"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat keatas Nabi, wahai orang-orang yang beriman ! berselawatlah kamu dan berilah salam keatasnya"[16]. Berkumpul beramai-ramai dan mengingati Nabi (s.a.w) akan membuat kita mudah untuk mendoakan baginda serta berselawat dan memuji-muji baginda. Suruhan itu pula dinyatakan dalam keadaan jamak (ramai - 'plural') didalam kaedah nahu bahasa Arab (sila rujuk ayat al-Quran) : Allah dan MalaikatNya berselawat dan memuji Nabi - didalam satu perkumpulan yang ramai. Adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa selawat keatas Nabi (s.a.w) hanya boleh dilakukan secara bersendirian.

Dan kemudian bila kita rujuk kembali didalam sahih Bukhari berkenaan dengan Abu Lahab yang akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya, kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w). Hadith ini terdapat didalam kitab Nikah oleh Bukhari , Dan kemudian Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi berkata[17], "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya "hancur tangan-tangannya" ; diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"? Tentu lebih lagi ganjarannya”.

Boleh diperkatakan disini bahawa sambutan ini dilakukan adalah semata untuk Memperingati hari kelahiran baginda dan ia secara tidak langsung akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.Kerana baginda adalah ikutan kita dan ia mempunyai akhlak yang mulia sepertimana Firman Allah didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4)

Dan bila kita melewati kembali sirah Nabi,antara cara Nabi mahu meningkatkan semangat juang para sahabat yang lain ialah memuji-muji diri baginda dan bercerita mengenai akhlah baginda dengan bersayembara syair.Ini telah dinyatakan oleh Al-hafiz Ibnu Kathir didalam kitabnya bahawa para Sahabat ada meriwayatkan bahawa Nabi (s.a.w) memuji nama baginda dan membaca syair mengenai diri baginda semasa peperangan Hunayn untuk membakar semangat para Sahabat dan menakutkan para musuh. Pada hari itu baginda berkata,"Aku adalah Rasulullah! Ini bukanlah dusta. Aku anak Abdul Mutalib .Rasulullah (s.a.w) sebenarnya amat bergembira dan menyenangi mereka yang memuji baginda kerana ianya merupakan perintah Allah dan baginda memberi kepada mereka apa yang Allah anugerahkan kepada baginda. Apabila kita bersama-sama berkumpul untuk mendekati Nabi (s.a.w), kita sebenarnya juga, melakukan sesuatu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah justeru kerana mendekati Nabi (s.a.w) akan membuatkan Allah redha kepada kita.

Terdapat juga hadith riwayat Bukhari didalam al-Adab al-mufrad(bukan semua hadis didalam ini adalah sahih) dan kitab-kitab lain, Rasulullah (s.a.w) bersabda,"Terdapat hikmah di dalam syair"; dan kerana itu bapa saudara Nabi (s.a.w) al-'Abbas mengarang syair memuji kelahiran Nabi (s.a.w) seperti didalam rangkap berikut:

Dikala dikau dilahirkan , bumi bersinar terang Hinggakan nyaris-nyaris pasak-pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahaya mu, Dan kami dapat terus melangkah Lantaran kerana sinar dan cahaya dan jalan yang terpimpin[18].

Sekarang kita sudah tahu mengapa sambutan ini dibenarkan dan diperbolehkan tapi kita semua kena ingat bahawa kebenaran ini bukanlah secara mutlak tapi tetap dibatasi dengan syarak.Apa yang dikatakan dengan syarak ialah kita tidak mencipta atau melakukan satu ibadah khusus ketika Sambutan itu dilaksanakan.Misalnya kita mewajibkan puasa pada Mualidur rasul atau kita diwajibkan berakikah dan sebagainya.Tapi kita lebih kepada memperingatkan kembali dan menyoroti kembali siapa itu Muhammad rasul Allah.Dan sambutan ini bukan sahaja tertakluk pada hari tertentu saja,tapi sepatutnya sambutan ini perlu dilakukan acap kali agar kita hati kita sentiasa bersama Allah dan Junjungan besar kita.Dalam majlis-majlis sambutan ini kita perlu dedahkan masyarakat tentang segala perilaku nabi dan sebagainya,dan bagi peminat sunnah dan mereka yang betul-betul bersemangat dalam menghidupkan sambutan ini maka saya galakan juga untuk berpuasa setiap hari isnin kerana hari ini adalah juga hari kesukaan baginda. Muslim menulis didalam Sahihnya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku." Rasulullah (s.a.w) mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith.

Oleh itu berdasarkan pada pendapat para ulama dan dalil-dalil maka kesimpulannya sambutan ini boleh diadakan tapi ia perlu diawasi dan diperjaga agar sambutan ini tidak tercemar dengan kegiatan yang tidak membawa kepada penghayatan Sirah nabi,dan kandungan program-program juga perlu ditekankan yang berbentuk mengenali nabi.Dan saya berharap artikel ini dapat merungkai persoalan dalam minda kita semua sekian lama ini dan jadilah muslim yang berfikiran terbuka dan sentiasa berlapang dada dalam persoalan khilafiah.Dan sekall lagi saya katakan bahawa jika ada kesilapan fakta dan sebagainya,saya dengan rendah diri memohon agar para pembaca segera maklumkan pada saya.Akhir sekali “jika pemahamanku silap,aku akan menariknya semula semasa hidupku atau sesudah matiku“(imam syafie)








_____________________________________________________________


[1] (rujuk kitab Feqh Sirah Said Ramadhan Al-buthi).Nasab ini diperolehi melalui hadis nabi yang diriwayatkan oleh Muslim,Sabda Nabi “sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah dari anak Ismail dan memilih Quraisy dari Kinanah,kemudian memilih Hasyim dari Quraisy dan memilihku dari Bani Hasyim.

[2] (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2 halaman 260-261)

[3] “Nurul Yaqin” (hal. 6)

[4] Ar Rahiqul Makhtum” (halaman 54)

[5] “Siratun Nabi” (jilid 1 hal. 176)

[6] “Rasul Rahmat” (hal. 37)

[7] Majalah Al-Mujahid, edisi 22, Syaikh Ibnu Utsaimin

[8] Al-Bidayah wan Nihayah (11\172)

[9] Al- Mawa’idz wal I’tibaar (1\490)

[10] Ahsanul Kalam fiima Yata’allaqu bissunnah wal Bid’ah minal Ahkam [halaman 44- 45]

[11] Al-Ibdaa’ fii Madhaarr Al-Ibtidaa’ [halaman 251]

[12] ibid

[13] kitabnya iaitu Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya (ms.295)

[14] ibid

[15] al-Madhkal (jilid 1, ms. 261)

[16] Al-Ahzab:56

[17] kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi

[18] Petikan ini tercatat didalam kitab Imam as-Suyuti, Husn al - Maqsid ms.5 dan didalam kitab Ibnu Kathir, Maulid ms.30 dan juga didalam kitab Ibnu Hajar, Fath al-Bari.