Friday, March 7, 2008

pandangan


Sekadar sebuah pandangan tentang hiburan

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
7 Mac 2008
www.yussamir.com



Pagi tadi saya mendapat email dari seseorang, berkenaan dengan hukum pergi ke konsert.Di bawah ini pertanyaan beliau kepada saya:

Assalamu'alaykum warohmatullahi wabarokatuh,

Bro saya ada persoalan.apa hukum pergi konsert yang ada campur laki2 ngan pompuan? tapi kita tak join la.kita duduk tepi je.konsert tu ada tujuan baikla...bukan sekadar suka2 je.harap dapat tolong.




Jawapan saya:

Adalah satu fitrah manusia menginginkan sesuatu yang dapat menggembirakan hati,oleh hiburan adalah salah satu alat untuk menggembirakan hati.Menurut dewan bahasa dan pustaka,hiburan bermaksud; sesuatu (perbuatan, benda,) untuk menghiburkan (menyenangkan, menenteramkan) hati.

Islam tidak menyekat fitrah manusia dalam berhibur,malahan Islam mengingiktiraf hiburan.Walaubagaimanapun, Islam meletak beberapa syarat untuk berhibur.Syarat-syarat ini bukanlah perkara yang membebankan malahan ia memberi kebaikan kepada orang Islam.

Antara bukti islam membenarkan hiburan untuk penganutnya ialah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,bahawa Saidina Abu Bakar telah masuk ke rumah Saiditina Aisyah untuk menemui Nabi Muhammad.Ketika itu ada dua gadis bersama Saiditina Aisyah yang sedang menyanyi, kemudian Abu Bakar memarahi mereka seraya berkata: "Apakah patut ada seruling syaitan di rumah Rasulullah?" Kemudian Nabi Muhammad menegur Saidina Abu Bakar: "Biarkanlah mereka, wahai Abu Bakar, sesungguhnya hari ini adalah hari raya."

Hadith ini dengan jelas membenarkan nyanyian (iaitu salah satu bentuk hiburan).Walaubagaimanapun,Islam menetapkan beberapa syarat dalam konteks berhibur.

Antara syarat-syaratnya ialah;

  1. Isi hiburan harus sesuai dengan adab dan ajaran Islam.Misalnya tidak mengajak kepada penzinaan,tidak memuji-muji kecantikan wanita dan lelaki,tidak bercampur antara lelaki dan perempuan dan tidak mengucapkan perkara-perkara yang lucah..

  1. Penampilan para penyanyi tidak menjolok mata, suaranya tidak dimanjakan atau yang dapat menaikan nafsu para pendengar dan menetapi adab dan ajaran Islam.Rasionalnya Islam menetapkan hal ini ialah,untuk menggelakkan gejala-gejala tidak sihat dan lain-lain yang berpunca dari keghairahan menonton para artis yang berpakaian menjolok mata dan terkesan dengan suara-suara mereka. Naluri seksual adalah perkara yang amat dominan sehingga ada pakar psikologi yang menafsirkan seluruh tabiat manusia dengannya. Naluri seksual sebegini sepatutnya dimartabatkan dan dimuliakan (dengan adab Islam) bukan dibangkitkan dengan perkara-perkara yang menghairahkan.Allah menjelaskan hal ini dalam Quran al-Ahzab ayat 32; “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)”.

  1. Tidak berlebih-lebihan dalam berhibur.Berlebih-lebihan dalam berhibur dapat melalaikan hati manusia dari melakukan kewajipan-kewajipan yang besar , dan dapat mengabaikan hak dan membuang masa manusia yang sangat terbatas.

Berdasarkan syarat-syarat diatas,jelaslah apabila hiburan atau sejenisnya dapat menimbulkan rangsangan dan membangkitkan syahwat, menimbulkan fitnah, menjadikannya tenggelam dalam khayalan, maka hendaklah menjauhinya.Dan jika hiburan yang dianjurkan terhindar dari hal-hal yang terlarang sepertimana yang diperjelaskan,maka ia dibenarkan oleh Islam.

“Kebaikan ialah apa yang ditenterami oleh jiwa dan ditenangi oleh hati sedangkan dosa ialah perkara yang tidak ditenterami oleh jiwa dan tidak ditenangi oleh hati, walau apapun yang telah difatwakan oleh orang-orang yang memberikan keputusan.”

( Hadith direkodkan Imam Ahmad dari Abi Tha’labah dan disahihkan dalam kitab Sahih al-Jami’ as-Saghir)

*Olahan dari:Fatwa Dr Yusuf al-Qardhawi,dalam Fatwa-Fatwa Kontemporer jilid 1 dan 2 dan daripada pembelajaran secara terus dari beberapa ulama.


Ulasan saya:

Jawapan di atas adalah jawapan yang saya tulis dalam buku yang bakal diterbitkan (insyAllah).Berkenaan dengan konsert yang bakal berlangsung pada malam ini. Pertamanya,saya ucapkan sekalung tahniah dan syabas di atas usaha dan kerja-keras pihak berkenaan, dalam mengadakan Konsert Amal pada malam ini. Moga usaha pihak tersebut memberi satu petanda bahawa Mahasiswa dan pihak Universiti masih lagi perihatin dan mengambil berat akan insan-insan yang memerlukan.Namun begitu, saya mencadangkan anda pergi dahulu,kemudian jika syarat-syarat di atas tidak dipatuhi maka anda WAJIB keluar dari konsert tersebut. MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA,walaupun bermatlamatkan AMAL namun jika konsert itu tidak mengasingkan perempuan dan lelaki kemudian tidak berhenti ketika azan sedang dilaungkan dan sebagainya (tidak ikut kareteria seperti diatas) . Maka saya sarankan eloklah anda tidak pergi ke konsert.


Peminat OAG
Saya secara jujur pada mulanya ingin pergi ( sudah membeli tiket,kerana saya peminat utama kumpulan OAG), namun setelah berfikir dan berbincang dengan beberapa sahabat yang dipercayai,saya membuat keputusan untuk tidak pergi. Antara diperbincangkan ialah tentang impak dan fitnah yang mungkin akan berlaku,dan ketidak-mampuan penganjur mengikuti kreteria di atas. Cukuplah saya membeli tiket itu sebagai tanda AMAL . Moga jawapan saya ini dapat memuaskan hati saudara. Saya bukanlah insan yang sempurna dan insan yang tidak punya perasaan pada hiburan sehinggakan menolak hiburan dan sebagainya.Namun,Islam itu adalahjalan hidup saya,saya tidak menghiraukan apa-apa pun ungkapan dan sindiran yang mengatakan saya jumud atau tidak ‘ROCK’. Yang saya tahu, dalam segala kehidupan saya,saya perlu lakukan atas landasan yang telah ditetapkan Islam.

Akhir kata dari saya,fikir-fikirkanlah,dan buatlah keputusan. Keputusan di tangan saudara,sama ada mahu pergi atau tidak.Terima kasih kerana anda perihatin, dan mempercayai saya untuk bertanya tentang hal ini.


WaAllahualam.

Yang benar,
Yussamir Yusof.




p/s: Walaupun email ini dihantar kepada saya atas dasar saya sebagai Timbalan Presiden 1 IU ,namun jawapan saya ini bukanlah mewakili Institusi Usrah Kampus Cyberjaya,ini adalah jawapan peribadi dari saya.Namun begitu, pihak IU telah menghantar sepucuk surat rasmi kepada pihak berkenaan.Harap maklum.

No comments:

Post a Comment