Tuesday, March 4, 2008

PRU 12



SPR jangan perbodohkan kami,SPR jangan diperbodohkan


Dahulu :

Majlis Fatwa Benar SPR Guna Dakwat Pada Jari

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 8 Ogos - Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kaedah penggunaan tanda dakwat pada jari yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya umum akan datang dibolehkan dari segi hukum syarak.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, hasil analisis sampel dakwat oleh sepasukan pakar dari Jabatan Kimia dan Bahagian Proses Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati dakwat tersebut tidak mengandungi sebarang unsur najis.

Beliau berkata, dakwat yang tidak dapat dipadamkan itu juga bersifat telap air dan tidak mendatangkan sebarang mudarat sekiranya dicelup pada tangan atau kuku.

"Dakwat itu tidak membabitkan hukum atau fatwa baru tetapi kita melihat dari segi sama ada ia boleh menghalang umat Islam daripada mengambil wuduk.

‘‘Jadi terpulang kepada SPR untuk menggunakan dakwat itu dalam pilihan raya kerana hasil analisis sampel dakwat yang dibentangkan kepada kita menunjukkan tiada sebarang halangan dan keraguan dari segi hukum,'' kata Abdul Shukor kepada pemberita selepas mempengerusikan Muzakarah Khas Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai penggunaan dakwat itu di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Muzakarah tersebut diadakan bagi membincangkan cadangan SPR untuk memperkenalkan penggunaan tanda dakwat di kuku pada pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan penipuan ketika pengundian.

Perkara itu adalah antara pembaharuan yang ingin diperkenalkan oleh SPR dalam pilihan raya umum ke-12 selain mencadangkan penggunaan peti undi lut sinar menggantikan peti undi hitam yang digunakan sejak 1955.

Menurut Abdul Shukor, Jakim selaku urus setia muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan akan memaklumkan serta-merta keputusan rasmi mengenai hukum penggunaan dakwat itu kepada SPR.

Ditanya berapa lama tempoh dakwat itu melekat pada jari sebelum dapat dipadamkan, beliau berkata, ia boleh bertahan sehingga dua atau tiga hari bergantung kepada individu yang menggunakannya.


Jangan cat kuku hari mengundi

PUTRAJAYA 21 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengingatkan para pengundi supaya tidak mengecat kuku pada hari pengundian 8 Mac ini bagi memudahkan petugas mencalitkan dakwat pada kuku jari mereka.

Setiausahanya Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor berkata, bagaimanapun penggunaan inai adalah dibolehkan kerana ia berwarna merah.

''SPR meminta pengundi jangan mengecat kuku pada hari tersebut. Pakai pada hari keesokannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

SPR sebelum ini memutuskan untuk menggunakan dakwat khas dari India yang sukar dipadamkan untuk beberapa hari bagi mengelakkan penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah membenarkan penggunaan dakwat itu yang tidak melanggar hukum syarak.

Dari segi cara penggunaannya, kerani kedua di tempat mengundi akan mencalit dakwat itu pada kuku atau jari telunjuk tangan kiri selepas identiti pemilih dipastikan oleh kerani pertama.

Kerani ketiga pula akan memberikan kertas undi yang telah ditindik selepas tanda kuku selesai dibuat oleh kerani kedua.

Bagi pengundi yang tidak ada jari, cap akan dibuat atas tunggul lengan bagi menentukan individu berkenaan telah mengundi.

Ditanya jika masih terdapat pengundi yang datang dengan memakai cat pada kuku: "Itu saya tak boleh kata apa, kerana itulah syaratnya dan SPR tidak akan menyediakan cecair penghakis cat kuku di pusat pembuangan undi," tegas beliau.

Bagaimanapun, sebelum ini Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, jika terdapat pengundi memakai cat pada kuku, dakwat itu akan ditandakan pada jari.

Mengenai dakwaan Pas Kedah, terdapat penipuan dalam Daftar Pemilih 2007 yang melibatkan 1,031 pengundi pos tentera di daerah mengundi Kota Aur, Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek beliau berkata, mereka boleh mendakwa apa sahaja dan daftar pemilih tersebut telah melalui proses undang-undang kerana ia sudah dipamerkan.

''Jadi, mengikut undang-undang, yang mana sudah diwartakan, berdasarkan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, ia tidak boleh lagi dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk di mahkamah, sebab ia sudah melalui proses undang-undang," katanya.

Kamaruzaman berkata, mereka boleh mempertikaikan apa sahaja dan semasa undi pos akan dikeluarkan, semua ejen calon yang bertanding termasuk parti pembangkang akan dijemput.

''Kalau Pas bertanding di semua 222 kerusi Parlimen, masa nak keluar undi pos, ejen mereka akan dijemput. Masa nak buka undi pos pun, ejen mereka akan dijemput. Begitu juga semasa nak kira undi pos.

''SPR tidak terlibat dalam kancah politik cuma memaklumkan perkara yang benar sahaja. Jadi, jika orang nak buat apa-apa tuduhan, terpulanglah," jelasnya



Kini:

SPR batal penggunaan dakwat pada kuku semasa pilihan raya

04/03/2008 5:05pm

PUTRAJAYA 4 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan penggunaan dakwat pada kuku semasa pengundian pada pilihan raya umum 8 Mac ini dibatalkan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman membuat pengumuman itu pada sidang akhbar di sini yang turut dihadiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.- Utusan



Pesananku: Jangan pula selepas ini kotak undi lutsinar yang dipersetujui, ditukar saat-saat akhir sebelum pilihanraya berlangsung. Tolonglah,jangan perbodohkan rakyat lagi,rakyat sudah tak sanggup begini lagi!!!!!!

Oh Malaysia tanah tumpah darahku!


4 comments:

  1. nampak sgt!!..nampak sgt diorang mmg ada muslihat dan nampak sgt diorang rasa tekanan dari BA!!kita mmg kena peduli..1000 undi dtg dari 1 undi,so jom tunaikan kewajipan..

    ReplyDelete
  2. Sesiapa yang dah cukup umur dan dah daftar,WAJIB TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.
    Pagi ini bila baca berita tentang hal ni, saya tertanya-tanya apa sebab pembatalan penggunaan dakwat di saat-saat akhir sedangkan telah lama dipersetujui. Tidak ada penerangan susulan daripada tindakan tersebut.
    Apa yang cuba mereka buktikan? Mereka berkuasa dan punya hak untuk memanipulasi keadaan sesuai dengan kehendak mereka? Bingung memikirkan nasib negara kalau berterusan begini.
    Semoga Allah bantu memberikan kita, dan mereka, hidayah dan taufikNya.

    "Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar.:[Al-Baqarah 2:9]

    Wallahualam.

    ReplyDelete
  4. Salam. Apa cerita dakwaan depa yang kononnya ada org seludup masuk dakwat tuh? bukan sebab tuh ka depa batalkn celup dakwat?? Dah dapat tangkap ka?? tak dengaq cerita apa pun. Depa puak2 nih memang kaluttt. Nampak sangat la depa jadik kuda tunggangan. Kuda elok lagi la pandai nak naik angin bila ada yg tak kena, tapi depa ni, ishh..tak tau nak kata apa! Sori la bangkitkan hal ni lagi..walaupun mgkin orang rasa isu ni dah lapuk. tapi geram....
    Sabaq2...

    ReplyDelete