Artikel pilihan Paradigma: Anak muda Malaysia
Assalamualaikum.
Alhamdulillah!!
Memetik kata-kata saudara Yussamir; " “Inilah akibatnya jika manusia tak dengar kata Allah"
Benar kata-kata saudara, keputusan semalam umpama satu hukuman buat mereka yang selama ini 'bermain-main' dengan amanah dan berpaling daripada agama Allah dan seolah-olah menempelak ke muka mereka yang selama ini angkuh dan sombong seolah-olah mereka tidak akan mampu ditumbangkan.
Lebih 700 000 daripada jumlah keseluruhan para pengundi adalah pengundi baru yang tidak salah kalau kita anggarkan mungkin hampir kesemuanya adalah anak muda yang baru mendaftar. Saya mengikuti pengumuman pilihanraya semalam dan sedikit emosi dengan kenyataan seorang panelis yang membayangkan undi anak muda kini adalah kerana mahukan perubahan dan ulasannya membayangkan seolah-olah anak-anak muda kini 'tidak kenal dek untung' dan tidak matang membuat keputusan. Dan ini tidak boleh dikirakan sebagai kebangkitan rakyat, tetapi hanyalah kebangkiran anak muda. Kebangkitan anak muda yang disekat suaranya, akhirnya menuntut keadilan dengan cara memangkah undi!!
Saya bercakap dalam kapasiti saya selaku anak muda berstatuskan pelajar IPT yang 'diikat' dengan AUKU dan amat terhad penglibatan dalam politik dalam negara. Suara dan buah fikiran hanya boleh disuarakan jika selaras dan mengikut arus parti politik pemerintah, tidak ada sebarang bangkangan walaupun kita melihat terdapat mungkin sedikit kepincangan. Kita tidak layak menegur dan dimomokkan dengan tindakan undang-undang yang akan dikenakan dan membawa kesan kepada pengajian sehinggakan mak ayah di kampung turut berpesan, jangan pandai-pandai nak bercakap soal politik selain mengikut arus. Jadi suara anak muda ini hanya sebahagiannya didengar, itu pun jika mereka tidak menyentuh soal kepincangan, hanya menjadi pak turut! Alangkah ruginya aset negara ini dibentuk sebegini rupa, maka tidak hairanlah akan lahir generasi yang tidak mahu berfikir soal politik, tidak mahu ambil tahu apa yang jadi pada negara, asalkan hidupnya selesa!
Kami sedar kami kurang pengalaman, kami tahu kami ini budak hingusan di kalangan pimpinan negara, cuma pemerintah tidak perlu takut dengan suara anak muda ini, kami hanya minta ruang untuk bercakap dan menyatakan pendapat kami, walaupun mungkin kami anak muda yang mentah, kerana ini apa yang kami fikirkan. Jika salah di pihak kami, maka kami minta ditegur dan dibetulkan. Bukan mendidik kami menjadi pak turut yang tidak tahu apa yang diturutnya! Atas kesedaran yang kami bukanlah selamanya muda dan pasti kami pula yang akan meneruskan pemerintahan negara, tidak takutkah pimpinan jika yang meneruskan tampuk pimpinan negara adalah terdiri daripada generasi kami yang hanya tahu menurut dan tidak mampu berfikir kerana dalam tidak sedar, itulah realiti hidup kami kini!
Buat semua anak muda negara Malaysia yang kita cintai; sedarlah dan bangunlah! Kita kerap melaungkan kitalah pewaris negara tetapi bersediakah kita menerajuinya? Berapa ramai anak muda dilalaikan dengan hiburan dan budaya hedonisme, dan berapa kerat pula anak muda yang diingatkan kepentingan menuntut ilmu dan menyiapkan diri untuk menjadi pemimpin? Bukan setakat menjadi pemimpin negara, malah untuk memimpin diri pun masih lagi terkapai-kapai. Semua daripada kita boleh menjadi pemimpin tetapi berapa ramai daripada kita MAMPU menjadi pemimpin yang bertaqwa? Taqwa itu yang akan membawa kepada keadilan buat semua yang dipimpin.
Renung-renungkanlah kisah pemuda-pemuda hebat akuan Allah di dalam Surah Al-Kahfi. Bagaimana Allah mengangkat martabat mereka kerana mempertahankan keEsaan Allah dan akidah mereka di hadapan pemerintah yang mengaku Tuhan. Masih tetap utuh dengan pendirian bahawa yang hak itu tetap hak dan yang batil itu adalah selamanya tidak akan diterima sebagai yang hak!
"Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk. Dan Kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran."
[Al-Kahfi 18:13-14]
Dan renung-renungkanlah kekuatan akidah dan keberanian Saidina Ali yang menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW ketika Nabi SAW keluar berhijrah. Seorang ANAK MUDA yang ketika itu seingat saya hanyalah berusia 12 tahun. Tak tercabarkah kita? Memang tidak selayaknya membandingkan Iman kita dengan sahabat, cuma jadikanlah mereka antara pembakar semangat untuk kita juga berusaha ke arah tahap Iman mereka, insyaAllah.
Maka anak-anak muda warga Malaysia sekalian, jika benar seperti yang didakwa kita ini mengundi kerana jemu dan mahukan perubahan, mari kita bekerja ke arah perubahan!! Laksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sebaik-baiknya dan jangan pernah lari dan jauh daripada berendah diri dan memohon pertolonganNya.
No comments:
Post a Comment