Wednesday, March 12, 2008

Kenangan


Rinduku pada Padang,bumi Minangkabau

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
13 Mac 2008
www.yussamir.com


Bagai pinang pulang ke ganggang

Menjejakkan kaki di Bumi Padang,benar-benar memberi satu perasaan yang tidak dapat diungkapkan.Bagai pinang pulang ke gagang,disamping membuat penyelidikan berkaitan budaya masyarakat di sana,saya secara tidak langsung dapat mengenali secara dekat susur galur keturunan saya.Keturunan masyarakat Padang majorotinya berketurunan Minangkabau,keturunan yang penuh dengan adat dan resam.Menurut pengkaji masyarakat Minang,perkataan Minangkabau diperolehi berdasarkan perkataan ‘menang kerbau’[1].Peristiwa ini terjadi semasa pertandingan ‘adu kerbau’ antara, orang Pagaruyung dengan orang Majapahit.Dalam pertandingan itu,kerbau dari pihak Pagaruyung berjaya mengalahkan kerbau dari pihak Majapahit.Sejurus kemenangan tersebut orang-orang pagaruyung berteriak “menang kerbau”,dan lama kelamaan istilah menang kerbau ini bertukar menjadi Minangkabu.

#bergambar di pintu masuk Universiti Andalas

Untuk mengetahui lanjut dan melihat secara dekat peninggalan Masyarkat kuno Minangkabau,kumpulan penyelidikan Appex menuju ke Bukit tinggi.Selain dikenali sebagai kawasan peninggalan sejarah Minangkabau,tempat ini juga menjadi tumpuan para pelancong yang ingin membeli belah dan menikmati udara segar di atas bukit.


Membela wanita dan mendidik lelaki

Keunikan dan keunggulan masyarakat Minangkabau adalah sistem kekeluargaannya,wanitanya dilindungi dan lelakinya pula dididik.Bagi masyarakat Minangkabau,para wanitanya dilindungi dari pelbagai sudut.Paling menonjol dari segi pembahagian harta dan perwarisan.Bila meninggal kedua ibu bapa dalam sesebuah keluarga,harta terutamanya tanah dan rumah akan diberi kepada anak perempuan.Manakala lelaki akan diberikan hak berdasarkan sistem faraidh kecuali tanah dan rumah.Banyak kisah terjadi di mana,anak lelaki memberikan sepenuhnya harta-harta keluarga kepada adik-beradiknya yang perempuan.Hal ini terjadi disebabkan,anak-anak lelaki Minangkabau sejak kecil telah dididik agar berdikari dan merantau mencari rezeki dan ilmu pengetahuan.Menurut penjaga Rumah Minang di Bukit Tinggi Indonesia,anak-anak lelaki ketika berumur 10 tahun akan ditempatkan di surau.

Semasa di surau,mereka akan mempelajari ilmu agama,pencak silat dan cara-cara untuk mencari rezeki.Menurut Saudara Rodinin yang juga seorang pengkaji masyarakat Minangkabau,para pemuda yang dihantar ke surau dituntut untuk berdisplin,tahan lasak,berani,berwawasan luas dan berfikiran kehadapan.Budaya surau mengharapkan seorang pemuda untuk hidup sederhana,tetapi tidak harus berfikir dan bertindak secara tradisional.Di surau perlulah dibina rasa kebersamaan,kesatuan,kejujuran,saling menghargai antara satu sama lain,dan prinsip persaudaraan.Ibarat kata pepatah “saciok bak ayam,sadancing bak basi[2]”.Hal ini semua merupakan bekal-bekal yang amat diperlukan untuk merantau,lauik sati rantau batuah.

Anak-anak perempuan Minang pula,akan di ajar cara mengurus rumah tangga dan bertenun.Antara adat resam masyarakat Minang yang unik adalah,anak perempuan yang belum berkahwin akan tidur di luar(ruang tamu berada dibahagian tepi rumah Minang,selain menjadi tempat tidur ia juga dijadikan tempat mempelajari dan membuat tenunan),manakala anak perempuan yang sudah berkahwin akan tidur dalam bilik bersama suami.Kebiasaannya rumah Minangkabau terdapat 6 bilik kecil dan satu bilik sederhana untuk ibu bapa.Bagi anak yang sudah berkahwin akan ditempatkan dibilik-bilik yang disediakan,namun begitu bilik tersebut amatlah kecil.Penulis pada mulanya berasa hairan juga,kenapa bilik ini terlalu kecil hanya boleh memuatkan dua orang sahaja.Tapi akhirnya baru penulis tahu bahawa memang sengaja dibina sebegitu,agar si suami tidak mengabaikan keperluan keluarga dan membina rumah sendiri.Betapa halus dan penuh dengan hikmah ,orang-orang minangkabau memberi nasihat kepada anak-anaknya.Senang cerita,sungguh halus cara mereka “menghalau” anak mereka yang sudah berkahwin dari rumah gadang[3] mereka.


Adat basandi syarak,syarak basandi kitabullah[4]

Masyarakat Minangkabau masih lagi mengamalkan adat pepatih dan temenggung.Adat pepatih dan temenggung banyak perbezaannya,kalau di Malaysia adat pepatih masih diamalkan di Negeri Sembilan,dan adat temenggung sesetengahnya masih diamalkan di negeri Johor.Jika di Padang,untuk membezakan sesebuah keluarga itu mengamalkan adat Temenggung atau Pepatih dilihat dari tangga yang dibina.Dalam setiap rumah gadang, terdapat tangga di anjung kiri dan kanan dalam rumah tersebut.Jika dalam sesebuah rumah ada tangga dikanan dan kirinya,maka keluarga itu mengamalkan adat pepatih.Jika sebaliknya,maka keluarga tersebut mengamalkan adat temenggung.

#tangga kecil itu berada di anjung;kanan dan kiri anjug


Pengamalan Islam yang cukup mantap,kalau boleh penulis katakan.Walaupun dihimpit dengan kemiskinan dan berbagai bencana alam,masyarakat Minang kukuh memegang Islam sebagai petunjuk mereka dalam kehidupan. Agama Islam menjadi agama majoriti di Indonesia khasnya di padang.Pengamalan ajaran Islam menjadi teras dan pasak dalam pembanggunan spiritual di kalangan masyarakat padang terutama di kalangan mahasiswa sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui pendekatan dan aktiviti yang dijalankan oleh BEM(badan eksekutif mahasiswa) dan Persatuan Islam di sana yang dikenali dengan nama Forum Kajian Islam Rabbani.

Antara usaha mereka untuk mengukuhkan kebergantungan mahasiswa kepada nilai-nilai Islami, adalah melalui pengedaran majalah yang berorentasikan Islam.Majalah tersebut dinamakan dengan nama Putri News,isi-isinya tidak hanya menekankan hal-hal yang berkaitan pengamalan islam sahaja,namun meliputi semua hal sama ada didalam atau diluar kampus.Usaha pengedaran majalah-majalah sebegini seharusnya diperluaskan dan digunapakai di MMU.Seharusnya dengan kemampuan dari segi kewangan dan teknologi,seharusnya MMU lebih kehadapan dari UNAND dalam usaha ini. Berdasarkan kepada kaji selidik penulis di MMU,Institusi Usrah sedang dalam usaha untuk menghasilkan majalah islamik.Secara peribadi,sokongan yang padu pada usaha ini haruslah diberikan terutama dari pihak atasan MMU.


Sampah sarap yang tidak terurus

Benar,kawasan disana kotor dan tidak maju, ini bukanlah berpunca dari sikap tetapi disebabkan ketidakmampuan mereka dalam menyediakan pusat pembuangan sampah yang sistematik,kekurangan dana dan kekurangan infrastruktur menjadikan hal ini terjadi.Selama seminggu saya berada di Padang,tidak ramai peminta sedekah yang saya lihat.Mereka sanggup berkerja dari meminta-minta.


Menghormati tetamu

Sikap menghormati dan memuliakan tetamu adalah asas didikan orang-orang minang.Para pelajar yang mengiringi kami dari Universitas Andalas adalah buktinya.

Mereka tidak lelah melayan kehendak dan kerenah delegasi Appex,misalnya menyediakan minuman penyejuk badan[5],menyediakan bilik yang luas,menyediakan bas yang besar dan mempunyai hawa dingin(Rektor Unand,menegur pelajar yang mengiring kami,kerana menjemput kami di lapangan terbang dengan bas yang tidak ada penghawa dingin dan kecil.Rektornya menyuruh mereka menempah bas yang berhawa dingin dan besar sepanjang program Appex dijalankan) dan yang paling utama budi bahasa mereka yang tinggi.Walaupun mempunyai perbezaan dari segi bahasa(tidaklah terlalu ketara) namun mereka tetap menjaga pertuturan dan perilaku mereka.Tidak pernah penulis melihat perkara-perkara yang tidak enak dilakukan sepanjang program kami.


Rumah gadang

Rumah Gadang adalah identiti masyarakat Minangkabau.Rumah Gadang mempunyai nilai estitikanya tersendiri pada masyarakat Minangkabau. Rumah Gadang adalah nama untuk rumah adat Minangkabau,kawasan Sumatera Barat. Rumah ini memiliki keunikan bentuk struktur iaitu dengan atap yang menyerupai tanduk kerbau dibuat dari bahan ijuk (serabut pangkal pelepah enau yang biasa dipintal orang menjadi tali). Dihalaman depan Rumah Gadang biasanya selalu terdapat dua buah bangunan Rankiang (tempat menyimpan padi khas suku Minangkabau. Rumah Gadang pada hujung bangunan sebelah kanan dan kirinya terdapat ruang anjung sebagai tempat pengantin bersanding atau tempat perubatan ketua adat, disebabkan itu rumah Gadang dinamakan sebagai rumah Banjuang.


#rankiang



Akhir kata

Penulis tidak dapat nak tulis kesemua hasil penyelidikan yang diperolehi,kerana hasil penyelidikan ini akan dijurnalkan.Cukup lah beberapa maklumat dan pengalaman yang dapat disampaikan melalui artikel kali ini.(sudah lama siapkan artikel ini,Cuma kali ini baru sesuai untuk di’post’). Penulis sarankan para pembaca untuk pergi sendiri ke Padang,terutama di Bukit Tinggi.SANGGAT SERONOK DAN MENAMBAH PENGETAHUAN!!!








[1] Ronidin-Minangkabau di mata anak muda

[2] Bahasa Minang

[3] Orang-orang minangkabau memangil rumah mereka sebagai rumah gadang-gadang bermaksud besar

[4] Adat bersendi syarak,syarak bersendi kitabullah

[5] Asrama di Universitas tidak menyediakan kipas,kerana ketidakmampuan mereka menyediakannya.

No comments:

Post a Comment